Selamat Datang

Usrah Jamadilkubra ialah rangkaian keluarga keturunan SYED JAMALUDDIN AL-AKBAR AL-HUSAINI (Wajo Makasar 1352-1415 M) BIN AHMAD JALALUDDIN SYAH (AHMAD SYAH JALAL) melalui keturunannya SYED ALI NURUDDIN ZAINUL ALAM (Ali Nurul Alam).

Rabu, 12 Mei 2010

Definisi sufi dan tasauf


Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN


Imam Al Ghazali seorang tokoh sufi yang berpengaruh.

SEBAGAI memulakan siri pengenalan dan penjelasan kita terhadap tasauf dan dunianya marilah kita melihat makna istilah tasauf dan sufi itu sendiri. Terdapat banyak pendapat ulama mengenai kata asal tasauf.

Ini kerana, perkataan sufi pada asalnya diambil atau berasal daripada suatu benda atau perkara yang dinisbahkan kepadanya.

Di antaranya:

1. Perkataan sufi berasal dari nama seorang lelaki yang dipanggil Sufah. Nama sebenarnya ialah al-Ghauth ibnu Mur ibn Ud ibnu Tabikhah ibn Ilyas ibnu Mudhar. Beliau telah menumpukan seluruh kehidupannya hanya untuk beribadat kepada Allah di Masjid al Haram.

Daripada perbuatannya itu, nama sufi dinisbahkan kepada namanya. (al Fairuz Abadi, Qamus al-Muhit, Jld 2. H: 1105).

Ada ulama yang menolak pandangan ini kerana jika sufi sememangnya dinisbahkan kepada nama orang yang kuat beribadat, maka nama para sahabat dan tabien lebih layak dinisbahkan kepada sufi kerana kedudukan mereka yang lebih tinggi dan mulia.

2. Sebahagian ulama yang lain pula berpendapat, nama sufi dinisbahkan kepada perkataan suf iaitu pakaian yang dibuat daripada bulu kambing. Pendapat ini dipilih oleh Ibnu Taimiyyah, al Suhrawardi (Awarif al Ma'arif. H: 41) dan Ibnu Khaldun (Muqaddimah Ibni Khaldun, H: 517) berdasarkan beberapa perkara.

3. Dikatakan juga perkataan sufi dinisbahkan kepada Ahli Suffah. Iaitu, mereka yang tinggal di anjung Masjid Nabawi di Madinah yang disediakan oleh Rasulullah SAW untuk sahabat-sahabat yang miskin.

Di antaranya, sahabat baginda, Abu Hurairah, Abu Zar dan Abu Darda' kerana mereka mempunyai persamaan dengan orang sufi dari segi hubungan dengan Allah. Mereka telah memutuskan hubungan dengan dunia dan meluangkan masa untuk beribadat.

Pendapat ini ditolak, kerana dari segi bahasa, sekiranya mereka menyandarkan kepada Ahli Suffah, maka mereka akan dipanggil sebagai Suffi, iaitu dengan dua fa, sedangkan perkataan sufi hanya mempunyai satu fa.

Pengarang Qamus al-Muhit menyatakan, bahawa sandaran nama ini adalah salah dari segi tatabahasa Bahasa Arab.

4. Dikatakan ia berasal daripada perkataan sof iaitu saf hadapan, kerana orang-orang sufi akan berdiri di saf-saf hadapan ketika menghadap Allah di akhirat kelak. Ini juga tidak tepat dari segi bahasa, kerana sekiranya nama sufi disandarkan kepada perkataan sof, maka sudah tentu ia disebut sebagai soffi bukannya sufi.

5. Dikatakan juga, perkataan tasauf dinisbahkan kepada makhluk pilihan Allah (sofwah). Ini juga tidak tepat dari sudut bahasa, kerana mengikut bahasa, orang yang terpilih disebut di dalam Bahasa Arab sebagai Sofawi.

6. Dinisbahkan kepada Sufanah yang bermaksud tumbuhan di padang pasir. Ini kerana, mereka hidup memadai dengan makanan yang sedikit seperti tumbuh-tumbuhan yang berada di padang pasir.

Pendapat ini juga tidak betul kerana mengikut Bahasa Arab, sekiranya dinisbahkan kepada Sufanah maka ia menjadi Sufani bukannya sufi.

7. Dikatakan, perkataan sufi berasal dari perkataan Sufah al-Qafa (rambut-rambut yang tumbuh di hujung bahagian belakang kepala) kerana ahli sufi memalingkan pandangan mereka daripada makhluk dan menghadapkan pandangan mereka kepada Allah.

8. Dikatakan perkataan sufi berasal dari perkataan sofaa, yang bermaksud suci. Sekalipun terdapat pendapat yang menyangkalnya dari segi bahasa, namun ini adalah pendapat yang sahih dan dipersetujui oleh kebanyakan ulama.

Abu al-Fath al-Busti r.a (wafat 401 H) pernah menyatakan dalam syairnya:

"Manusia telah bercanggah pendapat di dalam memberikan makna sufi dan mereka telah berselisih pendapat padanya, mereka menyangka bahawa ia terbit daripada perkataan suf (pakaian bulu kambing);

"Dan aku tidak sekali-kali memberikan nama ini melainkan kepada pemuda yang mensucikan dirinya, maka ia menjadi suci sehingga dinamakan sebagai sufi".

Mereka dinamakan sufi kerana dinisbahkan kepada perkataan Sofaa disebabkan Ahli Sufi memandang kepada batin atau dalaman sesuatu perkara, ketika manusia memandang kepada zahirnya.

Orang sufi juga sentiasa berusaha membersihkan dan menyucikan diri mereka daripada kotoran zahir dan batin. (Abdul Aziz Ahmad Mansur, Al-Tasauf al-Islami al-Sohih, H: 24-27)

Tasauf dari sudut istilah

Sheikh Zarruq r.a menyebut, definisi tasauf mencapai sehingga dua ribu pentakrifan. (ibn Ajibah, Iqaz al Himam. H: 24) Semua definisi tersebut dicetuskan oleh ulama berdasarkan zauq dan pengalaman rohani yang mereka alami dalam mujahadah mereka menuju kepada Allah.

Sebahagian mereka pula, mendefinisikan tasauf berdasarkan peringkat-peringkat yang terdapat dalam tasauf.

Di antaranya, Abu Muhammad al-Jariri r.a mentakrifkan tasauf berdasarkan keadaan Ahli Bidayah (orang yang berada di peringkat permulaan).

Beliau mentakrifkan: "(Tasauf) adalah berakhlak dengan segala akhlak yang mulia dan keluar daripada setiap akhlak yang hina". (al Qusyari, Risalah al-Qusyairiyyah fi Ilmi al-Tasauf. H: 280)

Manakala Abu al-Hasan al-Nuri mentakrifkan tasauf berdasarkan mujahadah orang-orang yang sedang salik menuju kepada Allah (Orang yang mengambil tariqah daripada penghulu kaum sufi dan menjalaninya mengikut syarat-syarat yang telah mereka tetapkan).

Beliau berkata: "Tasauf ialah meninggalkan segala kehendak nafsu". (Al-Kalabazi, al-Ta'aruf li Mazhab Ahli al Tasauf H: 32, al Munawi, Al-Kawakib al-Durriyyah fi Tarajim al-Sa'adah al-Sufiyyah, Jilid 1 H: 524)

Imam al-Syazuli r.a pula berkata: "Tasauf adalah melatih nafsu ke arah pengabdian kepada Allah dan menundukkan nafsu di bawah hukum-hakam-Nya". (Al-Mafakhir al-'Aliyyah, H: 111)

Imam al-Junaid r.a, yang diiktiraf umum sebagai Imam dan penghulu golongan sufi (w. 297H / 910M) pula mentakrifkan tasauf berdasarkan keadaan Ahli Nihayah atau orang yang telah merasai hasil perjalanannya yang dicita-citakan.

Menurutnya, tasauf adalah: "Allah mematikan kamu daripada memandang kepada diri kamu (fana') dan Dia menghidupkan kamu dengan mengingati-Nya dan bermunajat kepada-Nya (baqa')". (Al-Risalah al Qusyairiah H: 280, Awarif al Ma'arif H: 39 dan Nataij al Afkar al-Qudsiyyah Jilid 4 H: 6)

Ini merupakan darjat sufi yang paling tinggi dan sempurna. Berdasarkan definisi-definisi di atas, kita mendapati bahawa seseorang Ahli Sufi perlu melalui tiga peringkat berikut:

1. Bidayah

Orang yang berada di peringkat ini, akan merasai pada fitrahnya bahawa terdapat suatu hakikat yang perlu dikecapi. Hakikat itu ialah akhlak dan peradaban yang mulia.

Natijahnya, rohnya benar-benar merasa rindu untuk mengecapinya. Untuk mengenali dan mengecapinya pula, memerlukan kepada suatu perjalanan yang berbekalkan keazaman dan niat yang jujur dan benar.

2. Mujahadah

Aspek amalan yang berhubung kait dengan syariat.

3. Orang yang merasai Zauq

Merasai dan mencapai hasil yang dicita-citakan.

Dalam erti kata lain, peringkat tasauf adalah:

# Mengenal nafsu, rangsangan dan keinginannya.

# Menyucikan hati dan membersihkan roh daripada sifat-sifat yang kotor dengan bermujahadah.

# Menghiasi diri dengan sifat-sifat yang mulia dan meningkatkan diri dari satu makam ke satu makam untuk menjadi ahli sufi yang mempunyai hati yang sentiasa sibuk bersama Allah.

Maka, seseorang salik masih belum layak untuk digelar sebagai Ahli Sufi, melainkan setelah melalui ketiga-tiga peringkat ini dan orang-orang yang masih belum merentasi ketiga-tiga peringkat ini, dinamakan sebagai murid atau mutasawwif. (Abdul Aziz Ahmad Mansur, al-Tasauf al-Islami al-Sohih H:23)

Kesimpulan

Berdasarkan semua definisi di atas, dapatlah dibuat kesimpulan, bahawa tasauf tertegak di atas konsep kejernihan, merebahkan kedegilan nafsu, mengikut sunnah, zuhud terhadap dunia dan keseronokannya, memutuskan hubungan dengan selain Allah dan sentiasa bertafakur tentang-Nya.

Sebahagian Ahli Sufi berkata: Permulaan tasauf ialah ilmu, pertengahannya ialah amal, dan penghujungnya ialah mendapat kurniaan daripada Allah SWT.

Berdasarkan huraian di atas, dapat kita fahami, tasauf adalah suatu cabang ilmu yang definisinya telah ditangani secara ilmiah dan kemas. Ia juga terbit daripada usul agama yang sahih dan bukannya berpunca daripada mazhab serpihan atau agama lain, seperti dakwaan sesetengah pihak.

Selasa, 4 Mei 2010

Tajdid jangan pecah belah umat


Apakah maksud islah dan tajdid?

DR. ROSLAN: Menurut Ibn Manzur dalam bukunya Lisan al-Arab jilid 2, islah bermaksud menghilangkan kerosakan atau mendirikan semula sesuatu yang telah runtuh.

Islah dari segi istilah adalah usaha mengembalikan sesuatu keadaan kepada sesuatu keadaan yang betul, tepat dan sesuai.

Kalimah islah amat luas digunakan dalam al-Quran. Contohnya, perkataan islah, aslaha, aslahu, yuslihu, muslihin dan aslih.

Perkataan-perkataan ini terdapat dalam ayat yang secara langsung memberi kefahaman bahawa umumnya islah ini merujuk kepada sesuatu perkara yang berubah daripada keburukan kepada kebaikan.

Tajdid menurut Kamus Dewan bermaksud menghidupkan kembali ajaran Rasulullah SAW yang semakin ditinggalkan akibat amalan bidaah.

Daripada penjelasan maksudnya, tajdid bererti mengembalikan semula sesuatu kepada bentuk asalnya setelah ia rosak atau hilang bentuk keaslian tanpa mengurangkan apa-apa daripadanya atau menggantikannya dengan yang lain.

Daripada segi bahasa, tajdid mempunyai beberapa pengertian. Menurut Ibn Manzur, perkataan tajdid adalah kalimah Arab yang berasal daripada jaddada dan yujaddidu. Tajdid yang bermaksud sebagai sayyarahu jadidan iaitu menjadikannya baru atau bernafas baru.

Jika diperhalusi, kalimah jaddada bermaksud 'membaharukan sesuatu hingga ia menjadi baru'.

Apa pula maksud 'membaharukan sesuatu hingga ia menjadi baru'?

DR. ROSLAN: Untuk memahaminya, sesuatu yang diperbaharui itu mesti melalui tiga peringkat.

Pertama, sesuatu yang diperbaharui itu mestilah sedia wujud, hidup dan manusia yang hidup dengannya.

Kedua, ia rosak dan tercemar setelah berlalunya masa dan ketiga, sesuatu yang telah kotor itu diperbaharui iaitu dimurnikan semula.

Kalimah tajdid daripada segi bahasa merujuk kepada sesuatu melalui tiga tahap perkembangan iaitu tahap kemunculan, tahap kehancuran dan tahap pembinaan semula.

Melakukan tajdid dalam agama bukanlah bermaksud mencipta agama baru tetapi memperbaiki keadaan agama yang telah rosak setelah beberapa tempoh dari penurunan agama tersebut.

Kalau 'tajdid' itu membawa kepada berpecah-belah masyarakat, pada saya itu tidak boleh dinamakan islah dan tajdid.

Apakah pendekatan islah dan tajdid Muhammad Abdul Wahhab?

DR. ROSLAN: Muhammad Abdul Wahhab ialah pengasas kepada gerakan pembaharuan dan ideologi wahhabi di Hijaz. Beliau adalah tokoh yang mewarnai pendekatan reformis abad ke-18.

Dilahirkan di Uyaynah, Najd, Saudi pada tahun 1703 dan meninggal dunia pada tahun 1792 pada usia 89 tahun.

Abad ke 18 Masihi selalu dikaitkan dengan kemunculan gerakan pembaharuan dan reformis Islam. Ia berlaku di mana gerakan pembaharuan ini muncul di pelbagai tempat.

Bagi reformis abad ke 18, salah satu tanda penyelewengan masyarakat Islam adalah adaptasi praktis yang dicedok daripada agama lain. Contohnya berdoa kepada wali dan menganggap wali boleh memberi berkat dan melakukan keajaiban.

Di kalangan pengikutnya, cetusan pembaharuan Muhammad Abdul Wahhab juga dikenali sebagai gerakan al-Muwahhidun walaupun rata-rata masyarakat menamakannya sebagai gerakan wahhabi.

Beliau mengambil pendekatan pembaharuan untuk membanteras amalan-amalan yang menurutnya adalah khurafat dalam masyarakat di Najd. Antara amalan tersebut adalah pemujaan terhadap para wali, alim ulama, sahabat nabi serta kepada Nabi SAW.

Penduduk Najd dikatakan mengunjungi kubur yang dianggap keramat secara beramai-ramai, menghias kubur dengan pelbagai hiasan dan dibuat binaan dengan bumbung yang pelbagai bentuk.

Ini amat tidak disenangi oleh Muhammad Abdul Wahhab kerana ia tidak dilakukan pada zaman Rasulullah. Oleh itu, pendekatan beliau adalah dengan meratakan tanah perkuburan agar tiada lagi usaha pemujaan dilakukan dan memperlihatkan bahawa setiap kubur itu adalah sama, tiada istimewa antara satu dengan yang lain.

Beliau menyeru kepada tauhid dan pembaharuan pendekatan terhadap al-Quran dan hadis. Beliau menyeru kepada amalan ijtihad.

Beliau menjalin hubungan baik dengan pemimpin politik tempatan yang bersetuju melaksanakan ajarannya. Jihad dengan maksud berperang bukanlah tujuan utama pergerakan yang diasaskan beliau.

Namun, beliau mendapat tentangan ulama dan pemimpin lain yang melihat adanya ancaman terdapat mereka daripada ajaran yang dibawanya.

Gerakan wahhabi mempunyai dua tujuan utama iaitu membersihkan akidah umat Islam dan membasmi bidaah. Beliau banyak dipengaruhi oleh gerakan salafiah yang dipelopori oleh Ibn Taimiyyah dan Ibn al-Qayyim.

Gerakan beliau menyebabkan ramai golongan sufi berasa tidak senang. Mereka berasa terancam dengan seruan Muhammad Abdul Wahhab yang seolah-olah mahu membanteras amalan-amalan yang dipraktikkan.

Beliau melihat kegiatan dan amalan golongan sufi bukan sahaja mengandungi unsur-unsur bidaah tetapi turut mengandungi amalan yang tidak betul dan boleh membawa kepada syirik seperti tawassul dengan Tok Sheikh yang dianggap sebagai wali dan keramat.

Begitu juga beberapa amalan yang dikatakan bidaah dan ditentang oleh beliau seperti mengadakan perayaan Maulid Nabi, majlis khusus untuk wirid, zikir dan sebagainya.

Dalam masalah furu' (cabang) yang melibatkan hukum fikah, beliau mengamalkan mazhab Hanbali. Tauhid beliau menekankan kepada tiga serangkai iaitu tauhid rububiah, tauhid uluhiah dan asma' wal sifat.

Apa pula pengaruh ajaran wahhabi di Malaysia?

DR. ROSLAN: Ajaran wahhabi ini mengambil pendekatan agak keras, semata-mata memberi penekanan kepada Allah dengan menolak sunah Rasulullah, tawassul, syafaat dan lain-lain (petikan pandangan Muhammad Uthman el-Muhammadi dalam Utusan Malaysia, 27 Nov. 2005)

Lalu ajaran ini menentang hal-hal melibatkan ibadat umum seperti bacaan talkin, membaca Yasin pada malam Jumaat, bacaan qunut dalam solat Subuh, bacaan bismillah secara jahar (kuat), selalu menggerakkan jari telunjuk ketika tahiyat dan meletakkan tangan di dada ketika solat.

Pengaruh ajaran ini lebih terkesan di Perlis dengan penerapan ideologi islah dalam undang-undang tubuh kerajaan Perlis iaitu dalam Perkara 17.

Ia menetapkan seorang raja yang akan dilantik hendaklah beragama Islam yang beraliran Ahli Sunnah wal Jamaah (ASWJ).

Demikian juga untuk melantik seorang pemangku Raja atau jemaah pemangku Raja haruslah yang beraliran ASWJ (Perkara 3:1).

Ini adalah langkah yang baik tetapi ia menjadi kontroversi apabila penghuraian maksud ASWJ itu oleh golongan islah hanya merujuk kepada al-Quran dan sunah tanpa berpegang kepada mazhab tertentu. Malah adakalanya tidak langsung berpegang kepada mana-mana mazhab.

Mereka lebih suka membebaskan diri daripada cengkaman fahaman mazhab dan ingin mengimplementasi galakan untuk melakukan ijtihad daripada bertaklid kepada mazhab. Ada juga yang mengatakan ia sebagai la mazhabiyyah atau tanpa mazhab.

Barangkali dalam hal ini, elok kita merujuk kepada peringatan Allah sebagai jalan tengah mengharmonikan keadaan agar sesuai dengan amalan masyarakat Islam di Malaysia. Islah dan tadjid mestilah tidak ke arah perselisihan mahu pun perpecahan.

Ini bertepatan dengan firman Allah yang bermaksud: ...Jika kamu semua berselisih dalam sesuatu perkara maka kembalikanlah ia kepada Allah dan Rasul- jika kamu benar beriman 
keada Allah dan hari akhirat...(an-Nisa': 59)

Dipetik dari utusanonline pada 04/04/2010

Tasauf: cabang agama yang dizalimi


Oleh PANEL PENGKAJI YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN


Mempelajari Ilmu tasauf menjadi pelengkap kepada ilmu fardu ain yang lain.

DALAM siri tulisan mengenai tajdid di minggu-minggu yang lalu ada disebut bahawa tasauf kerap menjadi sasaran sesetengah aliran mereka yang mendakwa tajdid.

Tasauf, tarekat dan istilah-istilah yang berkaitan dengannya sering dimomokkan oleh mereka seolah-olah setiap yang bernama tasauf dan tarekat itu sesat, bidaah dan khurafat.

Strategi memomokkan istilah ini sebenarnya suatu cubaan mengunci minda dan menjadikan masyarakat jauh hati daripada tasauf tanpa benar-benar mengenali dan memahaminya dengan tepat.

Mereka ini sedar jika masyarakat meneliti dan mendekati tasauf dengan adil dan bersungguh-sungguh, kefahaman dan penghayatan yang murni terhadap tasauf akan menjadi salah satu benteng yang memisahkan masyarakat daripada terpengaruh aliran yang ingin mereka juarai.

Tasauf sebagai cabang ihsan

Kunci utama kepada kefahaman yang murni terhadap tasauf adalah dengan menyedari bahawa sebenarnya ia tidaklah melainkan cabang atau dimensi Ihsan daripada agama kita.

Ihsan selain daripada Islam dan iman serta kesedaran tentang akhir zaman merupakan cabang dan dimensi utama al-Din seperti yang kita semua tahu daripada hadis Jibril yang merupakan antara induk hadis-hadis Nabi SAW.

Begitu besar pengajaran yang hendak dibawa melalui hadis tersebut sehingga Jibril telah menyampaikan secara istimewa iaitu dengan merupakan dirinya sebagai manusia dan berdialog secara langsung dengan Nabi SAW bersaksikan para sahabat.

Dari situ, kita semua maklum bahawa agama yang kita anuti ini sebenarnya terdiri daripada tiga cabang Islam, iman dan ihsan yang terjelma kepada tiga cabang ilmu utama agama iaitu syariah, akidah dan akhlak.

Tiga istilah alternatif bagi ilmu-ilmu ini adalah fiqh, tauhid dan tasauf. Jadi sebenarnya dalam peta minda Islam, tasauf adalah istilah lain bagi dimensi ihsan atau akhlak.

Jika itulah kedudukan tasauf dalam kerangka faham agama kita, tidak peliklah jika kita melihat para ulama muktabar sepanjang zaman, sebagai mereka yang paling menguasai selok-belok agama ini, bersikap sangat positif terhadap tasauf dan dunia tasauf.

Kebanyakan mereka terjun langsung ke dalam dunia tersebut dengan mengamal, mengajar dan mengarang kitab-kitab rujukan dalam bidang ini. Selebihnya menjadi mereka yang mencintai para ulama dan pemuka tasauf atau sekurang-kurangnya tidak mengambil sikap memusuhi mereka.

Imej-imej negatif tasauf

Tetapi kenapa masih ada yang takut dengan tasauf atau memandangnya sebagai asing atau negatif?

Jika direnungi, tasauf adalah dimensi dalaman atau batin agama kita. Kerana sifatnya itu telah timbul salah-faham dan kekeliruan terutama di peringkat amalan dan perbahasan yang lebih tinggi.

Mendekati tasauf di tahap yang tinggi tanpa panduan guru yang berkelayakan boleh menyebabkan timbulnya ajaran sesat. Bila ini berlaku, ajaran-ajaran salah ini sering mendapat liputan meluas dan sensasi di media seperti dalam kes Hassan Anak Rimau, Ayah Pin dan al-Arqam.

Kumpulan dan ajaran tasauf yang menyeleweng sering menggunakan istilah-istilah dalam dunia tasauf seperti tarekat, sheikh, mursyid, aurad, kasyaf, yaqazah dan seumpamanya. Akhirnya istilah-istilah ini turut terpalit dan dilihat negatif sedangkan hakikatnya tidak begitu.

Sebenarnya penyelewengan turut berlaku dalam cabang lain seperti syariah. Malah penyelewengan dalam cabang syariah mungkin lebih meluas dan melibatkan lebih ramai orang dan kumpulan.

Cuma mungkin kesannya tidak begitu kelihatan atau kurang dirasakan oleh mereka yang terlibat. Bukankah masih banyak penyelewengan daripada landasan hukum syariah yang ada dalam masyarakat kita?

Dalam bidang dan kumpulan mana pun akan ada mereka yang menyeleweng atau ekstrem. Soalnya, adakah kita adil menilai dan menghukum sesuatu bidang atau kumpulan hanya dengan merujuk kepada mereka yang menyeleweng atau sesat yang muncul dari bidang atau kumpulan itu?

Jika begitu, banyaklah bidang dan cabang ilmu yang harus kita tolak kerana adanya bebiri hitam yang muncul daripada kalangan pengamalnya!

Adakah bijak kita meminggirkan tasauf hanya kerana beberapa individu dan kelompok yang sesat yang timbul dari dunia tasauf?

Segelintir mereka yang salah menghayati tasauf juga menyebabkan timbul imej seolah-olah tasauf adalah anti-dunia, anti-kemajuan dan anti-perjuangan.

Harus diingat, jika tasauf hendak dinilai dengan neraca seseorang yang memang tenggelam dan mabuk dengan dunia dan material memanglah tasauf akan dilihat pasif dan tidak cukup dinamik.

Ada juga orang yang baik-baik dan minatkan agama tetapi punya tanggapan bahawa tasauf adalah ilmu yang terlalu tinggi untuk mereka. "Kami belum layak mengaji tasauf", kata mereka.

Ini juga satu sindrom yang amat merugikan kerana ia menjauhkan mereka daripada apa yang amat diperlukan dalam kehidupan mereka.

Siapakah di kalangan kita yang tidak perlukan penyucian diri dan peningkatan kerohanian?

Malah ini adalah suatu keperluan bagi setiap Muslim pada setiap ketika dalam hidupnya. Kita akan jelaskan nanti betapa tasauf, seperti juga ilmu-ilmu lain ada tahap dan peringkat-peringkatnya.

Selagi mana kita mendatangi tasauf mengikut tahap dan kaedahnya, dengan bimbingan guru yang layak maka tidak timbul sindrom tidak layak atau belum sesuai belajar tasauf.

Ada juga di sana kelompok dan kumpulan yang sentiasa mencemburui dunia tasauf dan pendokongnya kerana tasauf dilihat sebagai aliran tandingan kepada aliran yang mereka juarai.

Lantas mereka sering cuba menempelkan label-label bidaah, khurafat dan taksub kepada tasauf.

Insya-Allah kita akan membahaskan asas-asas al-Quran dan al-sunnah di sebalik tasauf. Jika difahami dengan jujur, tasauf yang murni adalah bebas daripada label-label ini.

Sebaliknya, jika diteliti, kelompok yang mentohmah tasauf, sering terlibat dengan unsur-unsur bidaah, khurafat dan taksub.

Tengok sahaja bagaimana mereka menjulang tokoh-tokoh mereka sendiri dalam pelbagai bentuk dan cara. Seolah-olah tokoh-tokoh ini sahaja yang memonopoli kefahaman dan kebenaran. Bukankah ini taksub walaupun tiada tangan yang dicium atau berkat yang diambil?