Selamat Datang

Usrah Jamadilkubra ialah rangkaian keluarga keturunan SYED JAMALUDDIN AL-AKBAR AL-HUSAINI (Wajo Makasar 1352-1415 M) BIN AHMAD JALALUDDIN SYAH (AHMAD SYAH JALAL) melalui keturunannya SYED ALI NURUDDIN ZAINUL ALAM (Ali Nurul Alam).

Selasa, 3 November 2009

Syukur...Bukan Keluargaku

Imam al-Habib al-'Arif Billah 'Aydrus bin 'Umar bin 'Aydrus al-Habsyi rahimahumUllah, pengarang " 'Iqd al-Yawaqiit al-Jawhariyyah", menceritakan bahawa pernah satu ketika sekumpulan saadah berkumpul sambil membaca kitab "Masyra`ur Rawi" karya Imam asy-Syilli, yang menyebut kemuliaan, kewalian, sirah dan manaqib para pemuka saadah rahimahumUllah. 
 
Maka hendak dijadikan cerita, seorang badwi telah turut sama hadir dalam majlis tersebut. Setelah tamat pengajian, si badwi telah bertanya: "Mereka-mereka yang begitu hebat sebagaimana tersebut dalam kitab itu keluarga siapa?" Maka dijawab oleh para saadah yang hadir: "Oh, itu semua keluarga kami." Mendengar jawapan tersebut, si badwi berkata: "Alhamdulillah, syukur yang mereka itu bukan keluargaku." Para saadah merasa hairan, lalu berkata: "Jika sahaja mereka itu keluargamu, sudah tentu ianya lebih baik". Perkataan para saadah tersebut menerima jawapan si badwi dengan katanya: " Seandainya mereka itu keluargaku, pasti aku sangat malu dan bumi ini akan menjadi sempit bagiku, kerana amalanku tidak seperti amalnya mereka."

Ese nukilkan kisah ini agar dapat dijadikan teladan, istimewa buat mereka berketurunan mulia, agar sentiasa menjaga nama baik keturunan mereka tersebut. Jangan sekadar mengharapkan orang untuk beradab dan memuliakan kita, sedangkan dalam masa yang sama kita sendiri tidak menunjukkan adab dan tidak memuliakan orang. Jika orang awam yang jahil lagi rendah keturunan tidak menunjukkan akhlak dan adab, maka itu mungkin dikeranakan kejahilan mereka. Tetapi seorang ulama atau seorang yang berketurunan mulia tetapi kurang adab dan akhlaknya, maka apakah alasan mereka. Perlukah kita menunggu orang untuk berakhlak dan memuliakan kita, baru kita hendak berakhlak dan memuliakan orang???? .... al-'afwu.



Dipetik dari Bahrus Shofa

Isnin, 2 November 2009

Kewajipan Mencintai Keluarga Nabi SAW‏

Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN

RATA-RATANYA masyarakat Islam keliru mengenai apakah pegangan sebenar Ahli Sunnah Wal Jamaah terhadap ahli keluarga Nabi SAW. Kekeliruan ini membuatkan ramai di kalangan kita tidak mahu menyentuh permasalahan mengenai hak-hak Ahli Bait barangkali kerana khuatir terlibat dengan fahaman puak Syiah dan Rafidhah. Sebahagian yang lain menganggap ia bukanlah suatu permasalahan yang penting untuk diambil berat dan diperbahaskan dengan panjang lebar.Walau apa pun alasannya, perbuatan dan perkataan salafussoleh serta ulama telah bersalahan dengan pendirian mereka. Pendapat salaf juga menjadi bukti dan hujah bahawa mereka tidak pernah meletakkan perbahasan mengasihi Ahli Bait sebagai perkara sampingan dan hal remeh-temeh.Sebabnya, mereka sedar dengan sebenar-benar kesedaran bahawa mencintai dan memuliakan ahli keluarga Nabi SAW adalah perintah yang wajib dijunjung walau di mana mereka berada.Secara umumnya perintah memulia dan mencintai ahli keluarga Nabi SAW termaktub di dalam firman Allah SWT yang bermaksud:
Katakanlah (Wahai Nabi Muhammad): Bahawa aku tidak meminta sebarang upah di atas seruan dakwahku ini melainkan agar kalian mencurahkan rasa kasih sayang terhadap al-Qurba (kaum kerabat Rasulullah SAW). (as-Syuura: 23)

Demikian juga diriwayatkan dalam banyak hadis mengenai tuntutan mencintai dan memuliakan Ahli Bait seperti sabda Nabi SAW yang bermaksud:
Aku ingatkan kamu kepada Allah (agar mencintai dan memuliakan) ahli keluargaku.
(riwayat Muslim, Tarmizi, al-Nasa'i, Ahmad dan al-Hakim).

Di dalam hadis yang lain pula Baginda SAW bersabda, maksudnya:
"Sesungguhnya aku tinggalkan buat kalian dua bekalan iaitu Kitabullah dan keturunanku Ahli Bait. Sesungguhnya Allah Yang Maha Pelembut dan Maha Mengetahui telah memberitahuku bahawa kedua-duanya tidak akan berselisih sehinggakan kedua-duanya masuk ke syurga, maka lihatlah bagaimana kalian melanjutkan kepimpinanku terhadap dua perkara ini".
(Dikeluarkan oleh al-Haytami dalam Majma' al Zawaid)

Daripada dalil-dalil di atas, nyatalah kepada kita bahawa mencintai dan memuliakan Ahli Bait adalah merupakan perintah yang terbit dari pelita al-Quran dan Sunnah Nabi SAW.


Salafussoleh dan Ahli Bait

Para salafussoleh r.a tidak membiarkan firman Allah SWT dan hadis-hadis yang terlalu banyak menekankan peri pentingnya mencintai dan memuliakan Ahli Bait sebagai kalam yang sia-sia. Mereka telah mempraktikkan semua ini sepanjang kehidupan mereka dan menyemai rasa kasih dan penghormatan terhadap Ahli Bait ke dalam hati anak-anak mereka sejak kecil lagi.


Saidina Abu Bakar al Siddiq r.a pernah berkata:
"Demi jiwaku yang berada di dalam kekuasaan-Nya, aku lebih suka menyambungkan silaturrahim dengan kerabat Rasulullah SAW daripada kerabatku.
(riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Saidina Umar ibn al-Khattab r.a pula pernah menyatakan kepada Saidina Abbas r.a dengan katanya: "Demi Allah! Keislaman kamu pada hari kamu memeluk Islam lebih aku sukai daripada pengislaman al-Khattab (iaitu bapanya), kerana keIslaman kamu lebih dikasihi oleh Rasulullah SAW daripada pengislaman al-Khattab". (riwayat Ibnu Saad di dalam al-Tobaqat).

Demikian juga perbuatan Saidina Zaid ibn Thabit r.a yang mencium tangan Ibnu Abbas r.a lalu berkata: "Beginilah kami diperintahkan agar menghormati ahli keluarga Nabi kami".

Seorang cucu Rasulullah SAW yang bernama Abdullah ibn Hasan ibn Hasan berkata: "Aku telah datang menemui Umar ibn Abdul Aziz dengan membawa hajatku. Maka dia berkata kepadaku: Sekiranya kamu mempunyai sebarang hajat, maka utuskanlah seorang utusan kepadaku dan tulislah hajatmu itu kerana aku malu kepada Allah tatkala melihatmu berada di depan pintu rumahku".


Kecintaan Imam Mazhab Terhadap Ahli Bait

Imam-imam mazhab fiqh yang muktabar juga sentiasa meletakkan kedudukan Ahli Bait di tempat yang selayaknya seperti yang telah diperintahkan oleh Allah dan rasul-Nya.

Mereka hidup bergaul dengan zuriat Baginda SAW yang mendiami kota Madinah, Mekah dan bumi Syam dengan pergaulan yang baik, penghormatan dan kasih sayang demi meraih keredaan nenda mereka, Rasulullah SAW.

Imam Abu Hanifah r.a adalah di antara imam-imam Ahli Sunnah yang begitu mengasihi ahli keluarga Nabi SAW. Beliau telah berfatwa agar umat Islam memberikan wala' (kesetiaan), melazimi dan mentaati Saidina Ibrahim ibn Abdullah ibn al-Hasan ibn al-Hasan al-Muthanna ibn Ali r.a. Fatwanya ini menyebabkan beliau dipenjara tetapi diuar-uarkan bahawa beliau dihukum penjara kerana menolak jawatan kadi yang ditawarkan kepadanya.

Imam Malik ibn Anas r.a juga telah memuliakan dan berfatwa agar umat Islam memberi ketaatan kepada Saidina Ibrahim ibn Zaid ibn Ali Zain al-Abidin ibn al-Husain ibn Ali r.a. Lantaran daripada itu, beliau dipenjarakan selama beberapa tahun.

Imam Muhammad ibn Idris al-Syafie pula adalah di kalangan imam yang paling tebal kecintaannya terhadap ahli keluarga Nabi SAW. Beliau menegaskan di dalam serangkap syairnya yang bermaksud: "Sekiranya mencintai ahli keluarga Nabi SAW menjadikan seseorang itu digelar Rafidhah, maka saksikanlah wahai manusia dan jin bahawa aku adalah Rafidhah".

Di dalam sebuah syairnya yang lain beliau menyatakan: "Wahai Ahli Bait Rasulullah! Cinta terhadap kalian adalah satu kewajipan di dalam al-Quran yang diturunkan Allah, Cukuplah bukti betapa tingginya kedudukan kalian, sesiapa yang tidak bersalawat ke atas kalian di dalam solat, maka tidak sempurnalah solatnya".

Diriwayatkan oleh muridnya bernama al-Rabi' bahawa: Ketika kami pergi mengerjakan haji bersama Imam Syafie r.a, kami melihat beliau tidak akan mendaki suatu tempat yang tinggi atau turun ke kawasan lembah, melainkan beliau akan menangis dan mendendangkan syairnya yang bermaksud: "Ahli keluarga Nabi adalah perisaiku dan mereka adalah wasilahku kepada Allah, aku berharap kelak dengan keberkatan mereka, agar diserahkan sahifah (catatan amalan) di tangan kananku".


Mencintai Ahli Bait di sisi Ahli Sunnah Wal Jamaah

Sesungguhnya Ahli Sunnah Wal Jamaah adalah kelompok umat Islam yang paling benar dan tepat dalam mempersembahkan kasihnya terhadap ahli keluarga Nabi SAW.

Kecintaan mereka pada hakikatnya berbeza dengan pegangan kaum Syiah yang bersifat melampau dalam mengagungkan Ahli Bait. Kecintaan mereka yang berpaksikan kepada al-Quran dan Sunnah ini merumuskan kepada kita kepada beberapa perkara:

1. Ahli Sunnah mewajibkan pengikutnya mencintai dan memuliakan semua Ahli Bait dan sahabat-sahabat Baginda SAW kerana tanda kasih yang tulus terhadap Nabi SAW ialah dengan mengasihi dan memuliakan Ahli Bait dan para sahabat baginda.

2. Ahli Sunnah berlepas diri (tiada kena mengena) dengan jalan orang yang melakukan pelampauan ke atas keluarga Nabi SAW seperti mana amalan kaum Rafidhah yang tercela.

3. Ahli Sunnah memuliakan isteri-isteri Nabi SAW serta mendoakan agar Allah SWT meredai mereka setiap kali disebut nama-nama mereka. Pemilihan mereka sebagai isteri adalah dari perbuatan Nabi SAW yang maksum. Sekiranya kita mencerca mereka seperti amalan kaum Syiah, secara tidak langsung kita mempertikaikan kemaksuman Rasulullah SAW.

4. Ahli Sunnah menyifatkan Ahli Bait sebagaimana yang disyariatkan dan digariskan oleh al- Quran dan Sunnah, bukan mengasihi mereka untuk menjayakan syiar dan muslihat politik seperti mana amalan kaum Syiah.

5. Ahli Sunnah tidak mengiktikadkan bahawa Ahli Bait adalah maksum, bahkan mereka juga manusia biasa yang tidak terlepas dari melakukan dosa sebagaimana manusia yang lain.

6. Ahli Sunnah beriktikad bahawa perkataan dan pendapat yang menyebut tentang kelebihan atau kemuliaan Ahli Bait tidaklah bermaksud melebihkan mereka pada setiap keadaan atau setiap orang. Bahkan dari beberapa sudut yang lain terdapat individu-individu lain yang lebih afdal daripada mereka.

Demikian juga terdapat banyak kitab karangan ulama fiqh, hadis dan tafsir mengenai gesaan mencintai dan memuliakan ahli keluarga Nabi SAW. Di antara mereka ialah al-Hafiz Jalaluddin al-Suyuti r.a.

Beliau telah menulis sebuah risalah bertajuk Ihya' al-Mayyit Bi Fadhail Aalil Bait yang menghimpunkan 60 buah hadis yang membicarakan tentang tuntutan mengasihi, keutamaan dan kelebihan ahli keluarga Nabi SAW.


Ahad, 1 November 2009

Bantahan Terhadap Dr. Asri


Hari ini boleh dikatakan semua media massa termasuk akhbar dan elektronik menyiarkan kenyataan Dr. Asri Zainul Abidin, mantan Mufti Perlis mengenai bantahan beberapa NGO dan individu tertentu mengenai tawaran yang dikemukakan oleh PM kepada beliau sebagai Yang Di Pertua (YDP) Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM).

Bantahan itu dibuat dengan alasan bahawa Dr. Asri bukanlah berfahaman ahli sunnah wal jamaah sebaliknya menganut fahaman Wahabiah serta tidak menerima pakai hadis-hadis Imam al-Bukhari dan mecerca ula-ulam yang terkenal seperti Imam Nawawi dan Imam al-Ghazali.

Saya mengenali Dr. Asri sejak tersebarnya peristiwa perdebatan beliau dengan Astora Jabat suatu ketika dahulu serta sempat mendengar beberapa siri kuliyah beliau semasa beliau menyambung pengajian di UIA Gombak.

Berdasarkan ilmu saya yang sedikit dan cetek ini, saya mendapati Dr. Asri memang berfahaman Wahabiyah yang dipelopori oleh Syeikh Muhammad Abd Wahab. Mana-mana pendapat ulama laian yang bertentangan oleh fahaman Wahabiyah, akan ditolak beliau walaupun fahaman tersebut sebenarnya ada asas dalil dari al-Quran, Sunnah, Ijma' mahupun qiyas.

Malah ramah ulama-ulama hebat di Malaysia yang menolak fahaman yang dibawa oleh Dr. Asri tersebut seperti Dr. Uthman el-Muhammady, Syeikh Muhammad Fuad Kamaluddin al-Makki, al- Alim al-Allamah Syeikh Nuruddin al-Marbui al- Banjari al-Makki dan banyak lagi.

Dr. Asri seolah-olah menolak adabul ikhtilaf di kalangan ulama dengan mana-mana pendapat yang bertentangan dengan fahaman beliau akan ditolak malah ada yang dihukum sebagai sesat dan bidaah.

Padahal ulama-ulama muktabar dan para salfussoleh terdahulu memberikan sesuatu pendapat adalah selepas membuat kajian dan penelitian terperenci dari sumber-sumber hukum dan bukannya dibuat berdasarkan akal dan nafsu semata-mata.


Jumaat, 23 Oktober 2009

Selamat Pengantin Baru



Pada 23/10/2009 (Jumaat) seorang ahli Usrah Jamadilkubra, Mohd. Abd. Rahman Yah al-Kubrawiy telah selamat diijab kabulkan dengan belahan jiwanya Siti Hawa binti Junuh bertempat di Kampung Tujuh, Tumpat. Majlis akad nikah dilakukan oleh Abu Aswad al-Kubrawiy dirumah pihak pengantin perempuan selepas solat Jumaat. Kemudian majlis itu diserikan dengan sedikit kenduri kesyukuran.

Manakala selepas asar pada hari yang sama, rombongan pengantin perempuan bertandang ke rumah pihak lelaki di Kampung Tanjung Kuala Tumpat yang turut diadakan majlis kesyukuran dengan menjemput saudara-mara dan jiran-jiran. Alhamdulillah, semoga Allah s.w.t merahmati pasangan pengantin baru ini sebagaimana Dia merahmati Adam dan Hawa serta Rasulullah s.a.w dan Khadijah.

Ya Allah...
Rahmatilah pasangan ini, bahagiakanlah pasangan ini, kurniakanlah dari keduanya zuriat keturunan yang soleh dan solehah.

Ya Allah...
Jauhkanlah mereka dari cubaan diluar kemampuan mereka, berikanlah kesabaran dan tetapkanlah jiwa mereka dengan iman kepadaMU.





Rabu, 14 Oktober 2009

PERGERAKAN SEMASA ZIKIR


Pergerakan di dalam berzikir adalah perkara baik kerana mencergaskan tubuh badan untuk melakukan ibadah zikir.Hukumnya adalah harus di sisi syarak dengan berdalilkan apa yang dikeluarkan oleh al-Imam Ahmad dalam Musnadnya dan juga al-Hafiz al-Maqdisi dengan rijal sahih daripada hadis Anas R.A. katanya:
Adalah orang-orang Habsyah menari dihadapan Rasulullah S.A.W. Dan berkata mereka dengan bahasa mereka: Muhammad hamba soleh. Maka bersabda Rasulullah S.A.W.: Apa yang mereka katakan? Maka dikatakan: Mereka mengatakan: Muhammad hamba soleh. Maka tatkala baginda melihat mereka dalam keadaan begitu tidaklah baginda mengingkari mereka dan memperakui perbuatan tersebut.

Dan dimaklumi sesungguhnya hukum-hukum syarak diambil daripada kata-kata Rasulullah S.A.W. serta perbuatan dan pengakuan baginda. Maka apabila baginda memperakui perbuatan mereka serta tidak mengingkarinya jelaslah ini adalah harus.Dan pada hadis (di atas) adalah dalil tentang boleh/sah menghimpunkan antara pergerakan yang harus dan (dalam masa yang sama) memuji Rasulullah S.A.W.

Dan sesungguhnya perbuatan (menggoyangkan tubuh) ketika berzikir tidak dinamakan tarian yang haram bahkan ia harus kerana mencergaskan jasmani/tubuh untuk berzikir dan membantu untuk menghadirkan hati bersama Allah Taala apabila niat betul. Maka setiap perkara mengikut niat dan sesungguhnya setiap amalan dengan niat dan sesungguhnya setiap orang mendapat apa yang diniatkan.

Imam Junaid pernah ditanya:
Sesungguhnya kaum sufi bertawajuh dan bertamayul? Jawab beliau: Biarkanlah mereka bergembira bersama Allah Taala. Sesungguhnya mereka adalah suatu kaum yang jiwa mereka telah terputus dari segala-galanya, hati mereka telah letih dan lesu, maka tidak mengapa mereka melakukan dengan maksud mengubati keadaan yang dialami. Andainya kamu mengecapi apa yang mereka kecapi nescaya kamu menguzurkan mereka.


Dpetik dari Ibn Nafis

Ahad, 20 September 2009

Sepagi Di Hari Raya



Seperti setiap hari raya, selepas solat sunat Aidilfitri kami berkumpul seluruh ahli keluarga di rumah bonda. Memohon maaf dari bonda dan semua ahli keluarga agar tiada lagi sebarang luka yang tersimpan.
Kemudian, kami melawat guru kami al- Alim al- Allamah Syeikh Abdul Qadir Mohd Yusuf yang sekarang ini sedang uzur. Banyak yang telah saya pelajari dari beliau dan saya juga telah mengambil tarekat Ahmadiyyah Idrisiyah. Beliau merupakan seorang yang alim dalam bidang tasawuf.
Selepas itu kami bertolak ke tanah perkuburan Lambor, Kg. Delima untuk menziarahi makam moyang kami al- Alim al-Allamah Allahyarham Syed Hussin bin Abdullah al- Yahya al-Hafiz dan makam datuk kami al-Alim al-Allamah Allahyarham Tuan Guru Awang Abdus Samad. Kami bertafakur sebentar di makam mereka mengenangkan kisah kedua-dua jasad yang dikebumikan disini yang menjadi buah mulut, ikutan dan pendakwah dikalangan masyarakat.

Ahad, 6 September 2009

NUR MUHAMMAD: ASAS DARI AL-QURAN DAN HADITH (Bahagian 2)

ASAS DARI HADITH

Rasulullah s.a.w menjelaskan bahawa 'Nur'nya 'turun' menerusi keturunan beliau dalam 3 hadith berikut:

Aku telah diutuskan dalam keadaan yang terbaik pada semua keturunan anak Adam, sejak kejadian mereka.
Sahih Bukhari, Jild 4, Buku 56, No. 757

Aku telah dimasukkan ke dalam tanah pada Adam dan adalah yang dijanjikan kepada ayahanda ku Ibrahim dan khabaran gembira kepada Isa ibn Maryam beberapa rantai (dalam Ahmad 4:127-128, Bayhaqi dalam Shu'ab #1385 dan, dalam Dala'il al-nubuwwa 1:83, 2:130 dan Hakim.)

Bila Tuhan menjadikan Adam, Dia menurunkan aku dalam dirinya(Adam). Dia meletakkan aku dalam Nuh semasa di dalam bahtera dan mencampakkan aku ke dalam api dalam diri Ibrahim. Kemudian meletakkan aku dalam diri yang mulia-mulia dan memasukkan aku ke dalam rahim yang suci sehingga Dia mengeluarkan aku dari kedua ibu-bapa ku. Tiada pun dari mereka yang terkeluar. (Ibn Abi `Umar al-`Adani meriwayatkan dalam 'Musnad' dan, al-Tilimsani)

Jabir ibn `Abd Allah r.a. berkata kepada Rasullullah s.a.w: "Wahai Rasullullah, biarkan kedua ibubapa ku dikorban untuk mu, khabarkan perkara yang pertama Allah jadikan sebelum semua benda." Baginda berkata: "Wahai Jabir, perkara yang pertama yang Allah jadikan ialah cahaya Rasulmu daripada cahayaNya, dan cahaya itu tetap seperti itu di dalam KekuasaanNya selama KehendakNya, dan tiada apa, pada masa itu, dan ........." (petikan sebahagian).

• `Abd al-Hayy al-Lucknawi menyebutnya dalam al-Athar al-marfu`a fi al-akhbar al-mawdu`a (ms. 33-34 , edisi Lahore dan berkata: "Keawalan (awwaliyya) cahaya Muhammadan (al-nur al-muhammadi) telah perkukuhkan melalui perawian `Abd al-Razzaq, sebagai tetap mendahului semua kejadian."

• `Ajluni (Isma`il ibn Muhammad) dalam Kashf al-khafa' (1:265 Maktabat al-Ghazali edisi Beirut) meriwayatkan keseluruhan hadith ini daripada Qastallani iaitu penulisan beliau Mawahib. Mengikut Qastallani dalam al-Mawahib al-laduniyya (1:55) `Abd al-Razzaq (m 211H) meriwayatkannya dalam Musannafnya dan Zarqani dalam Sharh al-mawahib beliau (1:56 Matba`a al-`amira edisi Cairo) menjelaskan tiada kesangsian berhubung dengan kewibawaan `Abd al-Razzaq sebagai perawi. Bukhari mengambil 120 perawian daripada beliau dan Muslim 400 ahadith.

• `Abd al-Haqq al-Dihlawi menyebut hadith di atas sebagai bukti dalam Madarij al-nubuwwa (dalam bahasa Parsi 2:2 Maktaba al-nuriyya edisi Sakhore) dan mengatakan ia sahih.

• `Abidin (Ahmad al-Shami), menyebut hadith berkenaan sebagai komentari terhadap puisi Ibn Hajar al-Haytami al-Ni`mat al-kubra `ala al-`alamin.

• Nabahani menyebut dalam Jawahir al-bihar (3:354).

• Alusi (al-Sayyid Mahmud) dalam tafsir Al-Qur'an bertajuk Ruh al-ma`ani (17:105 edisi Beirut ) juga menyentuh berkenaan hadith ini yang dikaitkan dengan hadith yang lain, juga lihat al-Qasim #261.)

Ali ibn al-Husayn daripada bapanya daripada datuknya berkata bahawa Rasullullah s.a.w berkata: "Aku adalah cahaya dihadapan Tuhanku selama empat belas ribu tahun sebelum Dia menjadikan Adam a.s.
• Imam Ahmad dalam Fada'il al-sahaba (2:663 #1130),
• Dhahabi dalam Mizan al-i`tidal (1:235), dan
• al-Tabari dalam al-Riyad al-nadira (2:164, 3:154).

Sayuti mencatitkan sembilan hadith yang lain yang menunjukkan bahawa Rasullullah s.a.w adalah yang pertama dijadikan , antaranya dilaporkan oleh Bukhari dalam Tarikh , dan juga oleh Ahmad, Tabarani, Hakim, dan Bayhaqi, bahawa Maysara al-Fajr r.a. berkata, " Aku bertanya, " Ya Rasullullah, bilakah engkau seorang nabi?, dan baginda berkata, "Sementara Adam diantara roh dan jasad."(al-Khasa’is al-kubra, ms. 3-4)

Sebalik itu pula terdapat satu hadith dalam Tirmidhi yang menyatakan bahawa kesemua para nabi dijadikan daripada Nur dari Allah dan Muhammad s.a.w adalah yang pertama daripada mereka, dengan rantaian yang munasabah, tetapi tidak pula disebut oleh Suyuti. Ini adalah agak menghairankan yang Sayuti boleh tertinggal hadith yang berkenaan memandangkan bahawa beliau adalah seorang hafiz dalam hadith dan kitab beliau al-Khasa’is al-kubra mengkhusus kepada hadith yang sedemikian rupa. Pun bagitu memadailah ulasan di atas dan Al-Quran berkenaan Rasullullah s.a.w adalah cahaya dari Allah.

~~~~~ o O o ~~~~~]


ASAS DARI SAHABAT r.a., TABI'EN DAN TABI'ET TABI'EN
.
Qadi `Iyad menyatakan, selepas merujuk kepada 3 hadith yang pertama di atas:
"Inilah apa yang dimaksudkan oleh al-`Abbas ibn `Abd al-Muttalib apabila beliau berkata:
.......Sebelum engkau datang ke dunia ini
engkau lah yang tebaik disebalik bayang bayangan dan di dalam diri
semasa mereka menutup diri mereka dengan daun daun
Kemudian engkau turun melalui masa
Semasa engkau dilahirkan, dunia menyinar
dan ufuk dicahayai oleh cahaya mu.
Kami berjalan in dalam sinaran itu
dan dalam cahaya dan laluan petunjuk yang benar "

• Ali al-Qari dalam 'Sharh al-Shifa'(1:364) mengatakan ia diriwayatkan oleh Abu Bakr al-Shafi`i dan Tabarani, dan
• juga disebut olehIbn `Abd al-Barr dalam 'al-Isti`ab' dan,
• Ibn al-Qayyim dalam 'Huda Nabiyy Allah (s.a.w)'

Ibn `Abbas berkata, "Ruh Nabi Muhammad s.a.w adalah cahaya dihadapan Allah dua ribu tahun sebelum Dia menjadikan Adam a.s. Bahawa Nur itu memuji Dia dan para malaikat memuji dengan puji-pujian yang Nur itu memuji. Apabila Allah menjadikan Adam, Dia meletakkan Nur itu ke dalam Adam a.s."

Ibn `Abbas juga menjelaskan taqallubak -- "terjemahan engkau" -- dalam surah (26:218-219) di atas, sebagai " engkau turun melalui diri keturunan engkau."

• al-Shifa oleh Qadi `Iyad.

Lain-lain rujukan berhubung dengan tafsiran ayat terutamanya perkataan 'taqallubaka' dan 'sajidin' serta 'Lam azal unqal...' pada hadith ke 3 diatas sila lihat :
• Suyuti dalam 'Masaalik al-Hunafa' fi waalidayy al-Mustafa ',
• Fakhr al-Din Razi dalam 'Asrar al-Tanzil'(ms 39-40.),
• Imam Shahrastani dalam 'al-milal wal-niHal'(ms 64),
• Imam Abul Hasan al-Mawardi dalam 'A`lam al-nubuwwa' (ms 67-68) dan,
• Abu Ja`far al-Nahhas dalam 'Ma`aani al-Qur'aan'
• Allama Shabbir Ahmad Uthmani, Tafsir Uthmani, terj. Muhammad Ashfaq Ahmad (Bombay: Taj Publishers, 1992) Jld. 2, ms. 1657.

Abu Ja`far al-Nahhas dalam 'Ma`aani al-Qur'aan' menyentuh penjelasan Ibn `Abbas dan menambah:
"Betapa baik penjelasan Shams al-Din ibn Nasir al-Din al-Dimashqi apabila beliau berkata:
"Ahmad maju sebagai satu cahaya yang besar yang menyinari pada dahi-dahi mereka yang sujud. Baginda silih berganti di dalam mereka abad ke abad sehingga baginda menjelma sebagai terbaik dari para utusan."

Sebagai satu pendirian bahawa Rasullullah s.a.w adalah bashar atau ‘manusia’, tiada kesangsian disini, kerana ia adalah Al-Quran dan Aqidah. Pun bagitu Al-Quran tidak cuma menjelaskan bahawa baginda adalah cuma seorang manusia, padahal lebih dari itu. Sebagai al-Busayri nukilkan dalam Qasida al-Burda :
Muhammad adalah seorang manusia,
tetapi tidak seperti kemanusiaan
Baginda adalah permata,
sementara manusia adalah batu.

Walaupun Rasullullah s.a.w adalah cahaya dari Allah s.w.t, baginda adalah cahaya yang dijadikan. Baginda tidak harus disamakan dengan bagaimana Kristian melihat 'Jesus' atau Hindu dengan Avatar mereka. Mungkin itulah antara sebab Allah mengantikan kepercayaan seperti ini dengan Islam yang tulin kembali.

Penambahan seperti Nur Allah tidak seharusnya difahamkan sebagai sifat kepada Allah akan tetapi ia adalah satu contoh idafa tashrif seperti Baitullah bagi Kaabah di Mekah. Ia adalah satu sandaran pengiktirafan kemuliaan terhadap sesuatu itu DARI Allah dan bukan TERHADAP Allah. Ini jelas pada ayat 24:35, jikapun diterjemahkan sebagai "Allah, Dia Cahaya langit dan bumi. ......." tidak dapat dipisahkan dengan "Petunjuk Allah kepada nurNya itu;" pada ayat yang sama. Pendirian ini adalah tidak keterlaluan dan tidak pula bertentangan kerana istilah seperti ini juga digunakan pada Al-Quran, yang antara lainnya ialah seperti unta betina kaum Thamud yang dikenali dalam Al-Quran sebagai Naqat Allah. Nur Allah hendaklah diletak pada prespektif yang sebenar seperti juga Baitullah tidak seharusnya dilihat sebagai tempat tinggal Allah ataupun Naqat Allah sebagai unta betina tunggangan Allah, nauzubillah.

Sebaliknya jika ada golongan yang cuba membolak balikkan kedudukan ini, maka pendirian mereka adalah keterlaluan dan jelas dari segi pemahaman, kematangan, tujuan dan motif.

~~~~~ o O o ~~~~~


RUMUSAN

Ketara pada penjelasan di atas, Muhammad sebagai Nur ataupun Nur Muhammad bukanlah suatu perkara asing pada zaman dan di antara kalangan para sahabat, Salaf as-salihin mahupun generasi Khalaf as-sadiqin. Ulama-ulama tafsir dan hadith pada genarasi sahabat, tabien, tabiet-tabien ini telah masak dengan "Awaluddin Makrifatullah' masing-masing walaupun diiktiraf sebagai ulama' dalam bidang-bidang tersendiri.

Sebagai contoh, Al-Bukhari yang bergelar Imam hadith adalah jauh lebih tinggi kemampuannya dari seseorang yang bertaraf hafiz hadith. Sebagai imam hadith termaklum bahawa penguasaan ahadith beliau jauh melebihi 600,000 perawian. Tidakkah menghairan kenapa beliau memasukkan hadith di atas di dalam Sahih beliau yang merujuk kepada apa yang diistilahkan sebagai Nur Muhammad, jika beliau sendiri tidak yakin mahupun menerima institusi Nur Muhammad? Paling mudah dan selamat, beliau boleh memutuskan untuk tidak memasukkan perawian hadith berkenaan di dalam Kitab sahih beliau walaupun ia sahih dari segi sanad. Justeru, adakah Imam Bukhari was-was terhadap matan hadith berkenaan?

Dari sudut tasawwuf, institusi Muhammad s.a.w itu adalah luas dan jauh lebih luas dari kefahaman umum. Jika tidak, tasawwuf sendiri tidak akan jadi satu bidang pengajian yang formal jika ia bagitu mudah. Bagitu juga institusi Muhammad s.a.w dalam tasawwuf tidak akan dikaji secara mendalam jika telah ada cabang lain dalam Islam yang mampu mengkaji lebih baik dari bidang tasawwuf sendiri. Institusi Muhammad s.a.w perlu dikaji dengan lebih luas, lebih teliti dan lebih jitu kerana ada dalil dari Al-Quran dan hadith mahupun riwayat para sahabat, tabien dan tabiet-tabien yang menunjukkan sedemikian rupa. Ini memerlukan ia dikaji dengan lebih mendalam agar dapat diletakkan asas yang tepat terhadap institusi berkenaan.

Penulisan ini adalah setakat untuk menampakkan bahawa ada asas untuk mengkaji dan perlu dikaji Muhammad sebagai Nur, selain daripada setakat menerima Muhammad sebagai "abu basyar" sahaja. Paling ringkas, orang awam sendiri sedar bahawa institusi diri mereka sendiri mempunyai jasmani dan rohani. Itupun tidak mereka kaji sepenuhnya dan menjadikan ia satu bidang yang formal. Contoh, bidang kedoktoran sahaja adalah cuma sebahagian dari bidang jasmani. Kita tak dapat nak nafikan bahawa institusi pengkajian ini adalah amat luas dan melibatkan beratus ribu pakar diseluruh pelusuk dunia baik Muslim mahupun bukan, dan masih ada lagi banyak persoalan yang berlum berjawab berbanding dengan yang telah dapat dijawab. Jawapan inipun seringkali diperbaiki dan diubah, dari masa ke semasa.

Agak menghairankan ada golongan yang boleh mempersoalkan perkara ini tanpa mempunyai asas langsung dalam bidang tasawwuf. Kita tidak nafi kewibawaan mereka dalam bidang mereka. Cuma persoalannya, pernahkah seorang pakar gigi mempersoalkan berkenaan pengajian perbedahan ataupun istilah-istilahnya? Pernahkah pakar jiwa yang mempunyai berbagai-bagai therapy mereka mempersoalkan kenapa rawatan cancer mengunakan perkataan therapy dalam istilah chemotherapy? Jauh sekali seorang jurutera letrik. Inilah yang dikatakan "professional ethic. "Sesungguhnya Islam dan Muslim adalah dua perkara yang berbeza.

Semua melaung-laungkan perjuangan yang berlandaskan Al-Quran dan sunnah. Sebaliknya, tuduhan-tuduhan berhubung dengan Nur dan Hakikat Muhammad berkitar pada isu neo-platonism, pathernism dan sepertinya. Rata-rata rujukan terhadap neo-platonism dan pathernism cuma bersumber kepada seorang Muslim lain yang sependapat dengannya dan tidak lebih dari itu.

Antara sumber rujukan terawal berkenaan isu ini ialah kepada Prof. A. E. Affifi (edisi 1938). Adakah ini dalil? Paling dekat setakat yang penulis pernah jumpa adalah rujukan kepada "Encyclopedia of Islam" ed.2; pun bagitu adakah ini dalil, sedangkan edisi pertamanya pernah diharamkan kerana ia mempunyai gambar "Mohammad the Prophet", yang segak dengan pedang dipinggang. Selain dari itu, rujukan demi rujukan rata-rata 'berkiblatkan' L. Massignon, Prof. Reynold A. Nicholson dan anak muridnya A.E. Affifi, M.A. Palacios, Whittaker(The Neo-Platonists), Wensinck (Encyclopedia of Islam) dan sepertinya. Tidakkah ini bertaqlid?

Ada baiknya, sangkalan seperti ini di rujuk terus kepada penulisan Plato atau Aristotal yang authentik lagi asli. Ini lebih tepat walaupun masih tidak dapat diterima sebagai dalil. Sekurang-kurangnya kita yang meraba-raba mencari kebenaran akan tahu kedudukan yang sebenar dan arah sangkalan atau arah rujukan dan arah keugamaan yang di anut oleh sesuatu pihak itu.

Mengapa amat kurang dan kebanyakan masanya tiada rujukan kepada nas dan ahadith, baik terhadapnya mahupun sebaliknya. Pun bagitu, perlu diingatkan bahawa penolakkan satu sanad tidak bermakna sanad yang lain juga mansuh.
Sebaiknya untuk menidakkan kedudukan yang dibentangkan di atas ialah:
1. Menunjukkan kesilapan pada rujukan-rujukan di atas.
2. Menampakkan kelemahan pada rujukan-rujukan di atas.
3. Membuktikan tafsir ayat dan sanad hadith di atas adalah lemah.
4. Memberi tafsir lebih kukuh pada nas-nas yang sama.
5. Memberi nas-nas yang menidakkan pendirian ini dengan tafsirnya sekali
6. Memberi rujukan hadith serta sanad yang lebih kukuh.

Siapa saja yang sayang akan ugama dan dirinya akan akur, begitu juga penulis yang jahil berhubung dengan ugama dan bertaqlid kepada yang lebih arif sebagai rujukan. Seandainya kejahilan penulis di lambakkan dengan rujukan yang lebih jahil dari itu, semestinya penulis akan menjadi lebih sombong untuk menidakkan apa yang dikemukakan. Inilah yang cuba dikikis oleh kesufian dan tasawwuf.

Sesungguhnya nafsu adalah musuh golongan sufi yang paling di hormati.

Dipetik dari : http://www.bicarasufi.com/bscweb/asas/a6.html


Fatwa Negeri Serawak

Ahli mesyuarat membuat kesimpulan dan cadangan bahawa :

i) Tidak semua fahaman dan pegangan kepada "Nur Muhammad" itu sesat, kerana sebahagian ulama mu'tabar seperti Imam Ibnu Hajar Al-Haitami, Syaikh Ibrahim Al-Baijuri, Sayyidis-Syaikh Ja'far Al-Barzanji, Sulthanul Awliya' Syaikh Abdul Qadir Al-Jilani dan ramai lagi, menerima konsep ini dengan penafsiran yang sewajarnya tanpa melampaui batas 'aqidah dan syariah Islam. Dalam penafsiran mereka "Nur Muhammad" adalah seawal-awal makhluk ciptaan Allah swt, bersifat dengan sifat baharu (bukannya qadim) dan sekali-kali tidak mempunyai unsur-unsur ketuhanan.

ii) Kesalahfahaman dan penyelewengan banyak berlaku kerana sebahagian kelompok telah tersalah atau dengan sengaja memberikan tafsiran yang salah kepada hadith-hadith yang menyebut bahawa 'Nur Muhammad' ini diciptakan daripada "nur Allah" atau dengan tafsiran yang seolah-olah "Nur Muhammad" itu adalah satu juzuk daripada zat Allah s.w.t. yang mana tafsiran ini adalah nyata bercanggah dengan aqidah Islam dan tidak ada seorang pun ulama mu'tabar yang berpegang dengan penafsiran sedemikian. Tafsiran sebeginilah yang sesat lagi menyesatkan dan semestinya dibendung.

iii) Konsep "Nur Muhammad" sebagaimana yang dipegang oleh sebahagian ulama mu'tabar, sewajarnya diletakkan dalam perkara khilafiyyah yang sepatutnya ditanggapi diterima dengan fikiran terbuka dan rasa tasamuh yang tinggi. Percaya atau tidak kepada hal yang demikian tidaklah merosakkan aqidah

iv) Oleh kerana tidak semua pegangan terhadap konsep "Nur Muhammad" itu sesat, maka sewajarnya kita janganlah bermudah-mudah untuk menyesatkannya tanpa usul periksa terlebih dahulu. Menyesatkan konsep "Nur Muhammad" secara keseluruhan akan mengakibatkan hukuman sesat kepada ramai ulama mu'tabar yang menjadi sandaran ummat

Menurut Pengerusi salah faham mengenai "Nur Muhammad" hendaklah ditangani dengan memberikan penjelasan yang sewajarnya berpandukan para ulama terdahulu disamping menjaga adabul-ikhtilaf.

http://www.e-fatwa.gov.my/mufti/fatwa_search_result.asp?keyID=951