Sebarang cadangan ataupun pandangan boleh dihantar kepada jamadilkubra@hotmail.com
Selamat Datang
Usrah Jamadilkubra ialah rangkaian keluarga keturunan SYED JAMALUDDIN AL-AKBAR AL-HUSAINI (Wajo Makasar 1352-1415 M) BIN AHMAD JALALUDDIN SYAH (AHMAD SYAH JALAL) melalui keturunannya SYED ALI NURUDDIN ZAINUL ALAM (Ali Nurul Alam).
Pada 18/09/2010 (Sabtu), sebahagian besar keluarga Zakaria bin Yusuf al-Kubrawiy al-Husaini memenuhi ruangan legar Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa bagi menghantar seorang lagi putera Usrah Jamadilkubra Habib Mohd Izzat Dhiaul Haq Bin Azman al-Kubrawiy al-Husaini yang akan berangkat ke Yaman bagi menyambung pengajian di Universiti al-Ahqaf.
Para pelajar Madrasah Islamiah Ahbabul Mustafa (MIAH) juga turut sama mengambil peluang ini bagi mengiringi salah seorang teman mereka ini. Walaupun suasana agak ceria di pagi itu, namun bagi ahli Usrah Jamadilkubra, bahang perpisahan cukup mencengkam jiwa. Apatah lagi Mohd Izzat ini merupakan salah seorang anak yang cukup baik, cintakan ilmu, serta banyak membantu dalam perjalanan Usrah Jamadilkubra.
Kejauhan yang dibatasi dengan ruangan lautan dan sempadan antarabangsa tidak mungkin akan dapat menjauhkan hati dan perasaan yang telah terikat dekat kasih dan sayang terhadap anak muda yang mulia ini. Beliau bukan saya permata yang disayangi oleh keluarga, namun turut dikasihi para guru dan disayangi oleh para teman.
Dari Kota Bharu, beliau diringi oleh gurunya sendiri Habib Abu Aswad, bapanya Habib Azman, nendanya Hajah Halijah Awang al-Yahya serta ibu saudaranya Syarifah Zalina ke KLIA. Beliau dijadualkan berangkat ke Yaman pada 20/09/2010 (Ahad).
Ya Allah… rahmatilah pemuda ini. Kurniakanlah dia ketetapan iman, kejituan jiwa dan ketenangan hati dikejauhan yang tidak pernah dapat memisahkan pertautan antara hati-hati yang disimpulkan dengan mahabbah dan mawaddah.
Ya Allah… permudahkanlah perjalanan pemuda ini, jauhkan dia dari kesusahan dan maqbulkanlah segala cita-citanya.
Ya Allah… dari kejauhan ini kami titipkan pemuda ini kepadaMu dibawah jagaanMu dan dibawah perhatianMu bersama kasih kami yang sentiasa hangat seumpama hembusan angin Kota Yaman.
18/03/2010 Usrah Jamadilkubra telah mengadakan majlis Maulid Nabawi bertempat di rumah Bonda, Kg. Tanjung Kuala. Majlis bermula selepas solat isyak secara berjemaah dengan pembacaan Maulid Dibaei serta qasidah-qasidah memuji junjungan mulia Nabi Muhammad s.a.w.
Walaupun ada golongan-golongan tertentu yang mengatakan bahawa merayakan mauled ini adalah satu perbuatan bidaah serta membaca mauled berzanji dan maulid dibaei merupakan perbuatan mungkar, kami mempunyai hujah-hujah yang mengatakan sebaliknya bersumberkan ulama-ulama yang muktabar seperti al-Hafiz Imam Jalaluddin as-Suyuti.
Malah Ibn Taimiyyah sendiri telah menyebut dalam himpunan fatwanya juzuk 23 muka surat 134 yang menyebut:
Maka membesarkan Mawlid dan menjadikannya sebagai waktu atau musim yang dirayakan telah dilakukan oleh sebahagian manusia dan bagi mereka baginya (yakni pada menyambut Mawlid tersebut) ganjaran pahala yang besar kerana baiknya niat mereka dan kerana mereka membesarkan Junjungan Nabi s.a.w.
Semalam, kelas pengajian haji dan umrah anjuran Madrasah Islamiah Ahbabul Mustafa (MIAM) diserikan dengan bacaan qasidah oleh Habib Hussin al-Habsyi al-Falembani. Beliau yang dijemput khas oleh MIAM bagi menjadi guru marawis dan hadhrah selama sebulan.
Beliau telah menyampaikan qasidah Ya Rasulallah yang membuatkan para hadirin begitu terpegun dan takjub dengan alunan suara beliau yang sungguh merdu itu.
Baru-baru ini Syeikh Abdul Rahman al-Munish, imam qaryah Ramadhan Dataran Stadium Sultan Muhammad IV telah mengunjungi Usrah Jamadilkubra. Beliau yang ditemani Imam Rosli, Imam Tua Masjid Ismaili Bandar Tumpat.
Beliau telah disambut oleh Abu Aswad dan beberapa ahli Usrah Jamadilkubra yang lain. Usrah Jamadilkubra amat berbesar hati menerima kunjungan hormat dari salah seorang pakar al-Quran itu. Sedikit biodata Syeikh Abdul Rahman al-Munish adalah seperti berikut:-
Beliau dilahirkan pada 24 Jun 1984 di Bandar Maadi, Kaherah Mesir. Keluarga beliau berasal dari Arab Saudi. Beliau merupakan cucu kepada al-Alim al-Allamah Syed Sabiq, pengarah Kitab Fiqh Sunnah yang terkenal itu dan nasab keturunannya bersambung sehingga Khalifah Islam Keempat, Syaidina Uthman al-Affan. Beliau merupakan graduan Universiti al-Azhar, Mesir dan mendapat sanad dan ijazah al-Quran dan tajwid. Beliau merupakan hafaz al-Quran serta lahir dari keluarga yang semuanya penghafaz al-Quran.
Sesiapa yang tidak mencintaimu tiadalah solat baginya
Satu program telah dianjurkan oleh Usrah Jamadilkubra untuk meraikan dua orang putera Jamadilkubra yang akan berangkat melanjutkan pengajian. Habib Dzul Wahyu al-Kubra akan berangkat ke Pesantren Rubath al-Muhibbien, Palembang Darussalam. Manakala Habib Muhamad Izzat pula dijangkakan akan berangkat ke Rusaifah al-Malikiyah di Mekah al-Mukarramah.
Program ini telah diadakan di Cham Malay Cafe & Restaurant, Jalan Tok Hakim Kota Bharu. Majlis bermula lebih kurang pukul 8.00 malam dengan dipengerusi oleh Habib Farid Fajilah. Majlis dibuka dengan bacaan doa oleh Habib Zaini al-Kubra. Diikuti dengan ucapan pengarah program, Habib Fakrulradzi dan ucapan Pengerusi Usrah Jamadilkubra, Habib Azman.
Kemudian wakil keluarga bagi kedua-dua putera turut dijemput memberikan ucapan dan kata-kata semangat. Fakriah Afiqah menyampaikan amanat keluarganya buat abangnya Habib Mohamad Izzat. Manakala Che Rosli sendiri sebagai bapa telah menyampaikan kata nashat dan perangsang kepada Dzul Wahyu.
Majlis turut diserikan dengan persembahan qasidah yang dialunkan oleh sahabat-sahabat Habib Muhamad Izzat yang telah dijemput bersama dibawah bimbingan Abu Aswad. Majlis juga turut memberikan kesempatan kepada kedua-dua putera Jamadilkubra yang diraikan ini untuk memberikan ucapan kepada ahli Usrah.
Antara persembahan khas ialah bacaan puisi oleh Seruling Senja dan Bahtera Cinta yang intipatinya mengandungi pesanan dan wasiat khusus untuk kedua-dua putera Jamadilkubra itu. Kedua-dua putera itu turut diserahkan wasiat dan pesanan oleh nenda mereka Hajjah Halijah Awang sebagai satu ingatan yang berkekalan tatkala berada di perantauan nanti.
Persembahan khas pula ialah nasyid Perpisahan yang didendangkan oleh kedua-dua putera itu serta para ahli Usrah yang lain dalam penuh syahdu dan sendu. Akhir sekali upacara memohon restu dari seluruh ahli Usrah yang mana kedua-dua putera tersebut bersalaman dan memohon kemaafan dari semua ahli Usrah
Semoga Allah s.w.t merahmati kedua-dua putera tersebut dengan ilmu yang bakal mereka perolehi nanti serta dapat mengamalkan dalam kehidupan mereka.
Baru- baru ini dua orang pakar nasab telah mengunjungi Usrah Jamadilkubra dalam misi mereka mengkaji nasab-nasab keturunan para Habaib yang terdapat di Kelantan. Mereka adalah Habib Fadhil bin Umar al-Idrus, pakar nasab Naqabatul Asyraf dari Terengganu dan Habib Aliyaddin bin Hassan Assegaf, pakar nasab Alawiyyah dari Jakarta. Mereka berada di Kelantan selama dua hari atas urusan tersebut.
Hari ini (Jumaat 01/01/2010) bermula Kelas Pengajian Umrah 2010 kelolaan Madrasah Islamiyyah Ahbabul Mustafa. Para peserta kelasnya adalah terdiri daripada bakal-bakal individu yang akan berangkat menunaikan umrah yang djangkakan pada bulan Jun nanti.
Kelas dikendalikan oleh Abu Aswad al-Kubrawiy. Hari ini adalah kelas pertama dan akan diadakan setiap petang Jumaat bermula pada pukul 5.30 petang. Pada kali ini para peserta didedahkan mengenai sejarah kota Mekah dan Kaabah itu sendiri.
Malam ini (Jumaat 31/12/2009) satu majlis khatam al-Quran telah diadakan untuk 3 orang putera Jamadilkubra iaitu Zdul Wahyu Hidayah Fakrul Nidzami bin Che Rosli, Ahmad Afzar bin Azman al-Kubrawiy dan Ahmad Nasrullah bin Zaini al-Kubrawiy.
Majlis telah diadakan dirumah bonda, di Kampung Tanjung Kuala Tumpat yang bermula dengan solat maghrib berjemaah dan kemudiannya diteruskan dengan upacara khatam al-Quran.
Pada 23/10/2009 (Jumaat) seorang ahli Usrah Jamadilkubra, Mohd. Abd. Rahman Yah al-Kubrawiy telah selamat diijab kabulkan dengan belahan jiwanya Siti Hawa binti Junuh bertempat di Kampung Tujuh, Tumpat. Majlis akad nikah dilakukan oleh Abu Aswad al-Kubrawiy dirumah pihak pengantin perempuan selepas solat Jumaat. Kemudian majlis itu diserikan dengan sedikit kenduri kesyukuran.
Manakala selepas asar pada hari yang sama, rombongan pengantin perempuan bertandang ke rumah pihak lelaki di Kampung Tanjung Kuala Tumpat yang turut diadakan majlis kesyukuran dengan menjemput saudara-mara dan jiran-jiran. Alhamdulillah, semoga Allah s.w.t merahmati pasangan pengantin baru ini sebagaimana Dia merahmati Adam dan Hawa serta Rasulullah s.a.w dan Khadijah.
Ya Allah... Rahmatilah pasangan ini, bahagiakanlah pasangan ini, kurniakanlah dari keduanya zuriat keturunan yang soleh dan solehah. Ya Allah... Jauhkanlah mereka dari cubaan diluar kemampuan mereka, berikanlah kesabaran dan tetapkanlah jiwa mereka dengan iman kepadaMU.
Seperti setiap hari raya, selepas solat sunat Aidilfitri kami berkumpul seluruh ahli keluarga di rumah bonda. Memohon maaf dari bonda dan semua ahli keluarga agar tiada lagi sebarang luka yang tersimpan.
Kemudian, kami melawat guru kami al- Alim al- Allamah Syeikh Abdul Qadir Mohd Yusuf yang sekarang ini sedang uzur. Banyak yang telah saya pelajari dari beliau dan saya juga telah mengambil tarekat Ahmadiyyah Idrisiyah. Beliau merupakan seorang yang alim dalam bidang tasawuf.
Selepas itu kami bertolak ke tanah perkuburan Lambor, Kg. Delima untuk menziarahi makam moyang kami al- Alim al-Allamah Allahyarham Syed Hussin bin Abdullah al- Yahya al-Hafiz dan makam datuk kami al-Alim al-Allamah Allahyarham Tuan Guru Awang Abdus Samad. Kami bertafakur sebentar di makam mereka mengenangkan kisah kedua-dua jasad yang dikebumikan disini yang menjadi buah mulut, ikutan dan pendakwah dikalangan masyarakat.
Semalam (31/05/2009) Bonda dan rombongannya telah berangkat untuk menunaikan umrah. Ramai ahli keluarga yang turut menghantar bonda ke Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa pukul 8.00 pagi semalam.
Bonda dijangkakan pulang semula ke tanah air pada 16/06/2009. Semoga bonda dan rombongan mendapat umrah yang diterima Allah.
15/05/2009 (Jumaat), Usrah Jamadilkubra telah mengadakan majlis makan malam keluarga serta sambutan hari ibu bertempat di Restoran Chiangmai, Kota Bharu. Majlis ini merupakan acara tahunan yang diadakan bagi meraikan bonda tercinta Halijah Awang diatas pengorbanannya membesar serta mendidik anak-anak.
Majlis diserikan lagi dengan persembahan-persembahan dari anak-anak dan cucu-cucu yang turut mengambil bahagian bagi memeriahkan majlis ini. Semoga ikatan ukhwah kekeluargaan terus terjalin selama-lamanya.
Majlis dimulakan dengan bacaan doa oleh cucuanda Ahmad Nasrullah
Wakil menantu Rohadi, sedang memberikan ucapan seperti kempen pilihan raya.
Wakil cucuanda Nurul Atiqullah sedang memberikan ucapan persembahan kasih
Acara kemuncak ialah pemotongan kek Hari Ibu oleh Bonda Halijah Awang
Segala puji dan syukur kepada ALLAH s.w.t kerana dengan kehendakNYA telah menggerakkan hati salah seorang ulama al-Alim Al-Allamah Habib Ali bin Muhammad al-Jufri untuk berkunjung ke daerah kami ini.
Dengan kesempatan ini, para pencinta ilmu serta ahli bait berkumpul untuk mendengar taujihat, mauizatul hasanah serta wasiat yang ingin disampaikan oleh ulama besar itu. Dalam tausiyyah yang disampaikan beliau itu, beliau memetik ayat 31 dari surah Ali Imran yang bermaksud:-
"Katakanlah (Wahai Muhammad): "Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani."
Beliau menambah lagi, sekiranya kita mahu dikasihi Allah maka kita wajib menuruti semua ajaran Rasulullah s.a.w. kerana tanda orang-orang yang dikasihi Allah itu adalah mereka yang mencintai Baginda Rasulullah s.a.w. Tidak ada ikutan yang lebih baik dan paling patut untuk di ikuti kecuali Baginda Rasulullah.
Akhirnya beliau turut berpesan supaya terus berpegang dengan aqidah ahlu sunnah wal jamaah.