Selamat Datang

Usrah Jamadilkubra ialah rangkaian keluarga keturunan SYED JAMALUDDIN AL-AKBAR AL-HUSAINI (Wajo Makasar 1352-1415 M) BIN AHMAD JALALUDDIN SYAH (AHMAD SYAH JALAL) melalui keturunannya SYED ALI NURUDDIN ZAINUL ALAM (Ali Nurul Alam).

Rabu, 16 Disember 2009

Dalil sanggah beza tauhid uluhiah dan rububiah

MENYAMBUNG persoalan minggu lepas tentang tauhid uluhiah dan rububiah yang dibezakan oleh pereka tauhid ini, adakah terdapat perbezaan di antara kedua-duanya? Maka minggu ini kami memaparkan pula dalil aqal dan naqal yang menafikan sama sekali perbezaan ini.

Kami tegaskan sekali lagi, bahawa dengan membezakan di antara kedua-dua tauhid ini, mereka menganggap orang musyrik sebagai ahli tauhid dengan tauhid rububiah.

Dalam erti kata lain, melalui konsep tauhid rekaan Ibnu Taimiyyah ini, orang musyrik atau orang yang tidak mengucapkan kalimah syahadah dianggap sebagai ahli tauhid atau orang yang mengesakan Allah.

Ini kerana, kononnya mereka percaya dan mengakui bahawa Allah yang mencipta segala sesuatu dan mentadbir segala urusan alam ini, tetapi mereka tidak bertauhid dengan tauhid uluhiah kerana menyekutukan Allah dalam sembahannya.

Maknanya juga, dalam satu masa seseorang itu boleh dikira sebagai ahli tauhid dan musyrik. Inilah salah satu kepincangan tauhid ini yang mendapat sanggahan yang hebat daripada ulama Ahli Sunnah.

Sebagai menjelaskan lagi kepincangan dan kebatilan tauhid ini, marilah sama-sama kita merujuk kepada dalil-dalil ulama dari sudut akal dan naqal.

Dari sudut aqal

Sekiranya orang-orang musyrik termasuk di dalam golongan ahli tauhid rububiah (sebagaimana yang mereka percayai), bermakna mereka ini beriktikad dengan iktikad yang jazam (teguh dan tidak berbelah bahagi).

Dengan iktikad ini, sudah pasti mereka tidak akan meragui bahawa Allah itu Esa pada ciptaan, kekuasaan, pentadbiran, takdir dan perbuatan-Nya serta dalam mendatangkan suatu kesan sama ada manfaat atau pun mudarat, yang kesemuanya ini adalah komponen bagi tauhid rububiah.

Jika inilah keadaannya, bolehkah diterima akal, dengan iktikad sedemikian mereka boleh pula mengambil tuhan selain Allah untuk disembah, sedangkan tuhan yang lain itu tidak berkuasa mendatangkan sebarang manfaat atau mudarat kepada mereka?

Orang-orang musyrik pada setiap zaman dan tempat menyembah pelbagai sembahan selain Allah. Mereka mempercayai bahawa sembahan-sembahan mereka itu boleh melakukan sesuatu perbuatan, mendatangkan kesan, manfaat dan mudarat.

Boleh mendekatkan mereka kepada Allah, boleh mendatangkan sesuatu kebaikan bagi setiap orang yang datang meminta pertolongan kepada tuhan-tuhan mereka dan boleh mendatangkan mudarat kepada setiap orang yang berpaling daripadanya.

Semua kepercayaan ini menafikan tauhid rububiah.

Dari sudut naqal

Nas-nas syariat telah menetapkan secara jelas, terang dan qatie (pasti) bahawa orang-orang musyrik pada setiap masa dan tempat tidak akan mampu bertauhid dengan tauhid rububiah semata-mata dan menafikan uluhiah, tetapi mereka semua adalah orang-orang musyrik pada uluhiah dan rububiah sekali gus kerana kedua-duanya adalah perkara yang satu.

Sebagai contoh, kami sebutkan di sini dalil-dalilnya:

1. Firman Allah SWT dalam menceritakan tentang orang-orang musyrik ketika ditanya tentang rahsia sebenar mereka menyembah berhala selain Allah: Tidaklah kami (orang musyrik) menyembah atau memuja mereka (sembahan-sembahan mereka), melainkan supaya mereka mendampingkan kami kepada Allah dengan sedamping-dampingnya. (al-Zumar: 3)

Ayat ini jelas menunjukkan, orang-orang kafir beriktikad bahawa patung-patung mereka mempunyai kekuasaan untuk memberikan hidayah kepada mereka dan mendekatkan diri mereka kepada Allah. Maksudnya sembahan mereka itu mampu memberi kesan dengan sendirinya.

Maka di manakah letaknya tauhid mereka bagi tauhid rububiah?!.

2. Nabi Hud a.s ketika berdialog dengan orang musyrikin tentang patung-patung sembahan mereka dan ketika diterangkan kepada mereka bahawa sembahan mereka itu tidak berkuasa untuk mendatangkan sesuatu kepada mereka melainkan Allah, mereka berkata: Kami hanya boleh berkata bahawa setengah daripada tuhan-tuhan kami telah mengenakanmu sesuatu penyakit gila (disebabkan engkau selalu mencaci penyembahan kami itu). (Hud: 54)

Kepercayaan bahawa sembahan-sembahan mereka boleh mendatangkan kesan yang buruk, jelas menunjukkan bahawa orang musyrik mempercayai pada sembahan-sembahan mereka ada kekuasaan yang boleh melakukan sesuatu perbuatan dan mendatangkan kesan mudarat atau manfaat.

Ini menunjukkan bahawa orang musyrikin tidakpun mengesakan Allah pada rububiah tetapi menyekutukan Allah dengan tuhan-tuhan yang lain pada tauhid uluhiah. Iktikad mereka ini ternyata berbeza dengan apa yang dipercayai oleh pendokong bidaah pembahagian tauhid.

3. Allah SWT berfirman: Tidakkah engkau pelik memikirkan (wahai Muhammad) tentang orang yang berhujah membantah Nabi Ibrahim (dengan sombongnya) mengenai tuhannya (Rabb) kerana Allah memberikan orang itu kuasa pemerintahan? Ketika Nabi Ibrahim berkata: Tuhanku (Rabbi) ialah Yang Menghidupkan dan Yang Mematikan. Ia (Namrud) menjawab: Aku juga boleh menghidupkan dan mematikan. (al-Baqarah: 258)

Berdasarkan ayat di atas jelas dapat dilihat, Namrud telah mendakwa dirinya dengan perkara yang berkaitan tentang rububiah seperti mempunyai kerajaan, kekuasaan dan pemerintahan.

Dia juga mempercayai mempunyai keistimewaan rububiah yang boleh menghidupkan dan mematikan. Kemudian selepas itu, dia berdebat dengan Nabi Ibrahim a.s tentang Rabbnya (tuhan yang menjadikan) dan bukan tentang Ilahnya (tuhan yang disembah) sebagaimana penggunaan istilah dalam ayat tersebut.

Adakah selepas penjelasan ini, masih ada yang mendakwa: Sesungguhnya Namrud adalah ahli tauhid dengan tauhid rububiah dan Nabi Ibrahim a.s telah datang kepadanya untuk mengajak kepada tauhid uluhiah sahaja?

4. Allah SWT telah berfirman dalam menceritakan tentang Nabi Yusuf a.s yang mengajak sahabat-sahabat sepenjaranya kepada akidah tauhid yang suci:

Wahai sahabat sepenjaraku berdua! Memuja dan menyembah berbilang-bilang tuhan (Arbaab - jama' kepada Rabb) yang bercerai-berai itukah yang lebih baik atau menyembah Allah Tuhan yang Maha Esa lagi Maha Berkuasa? (Yusuf: 39)

Marilah bersama saya memerhatikan perkataan Nabi Yusof a.s ketika mempersoalkan tentang Tuhan yang lebih baik disembah: "Adakah Tuhan-tuhan (Arbab) yang bercerai-berai. Beliau tidak berkata: "Tuhan-tuhan (Aalihah - jamak kepada Ilah)."

Adalah jelas bahawa penghuni penjara menyembah lebih daripada satu Rabb dan lebih daripada satu Ilah.

Adakah masih boleh diterima oleh akal yang sejahtera, jika dikatakan: Orang-orang musyrikin bertauhid dengan tauhid rububiah dan Nabi Yusuf datang kepada mereka dengan membawa tauhid uluhiah sahaja? Maha Suci Allah, ini adalah suatu pembohongan yang besar!.

5. Allah SWT berfirman menceritakan tentang Firaun yang berkata ketika menakut-nakutkan kaumnya agar mereka mentaatinya. Firaun berkata: Akulah tuhan kamu (Rabbukum) yang tertinggi. (al-Naazi'aat: 24)

Demikianlah dakwaan rububiah Firaun bagi dirinya dan dia cuba mengagamakan kaumnya dengan rububiah ini. Maka dari sini, tidakkah ada langsung sebesar zarah perasaan salah bagi mereka yang mendakwa bahawa Firaun dan kaumnya bertauhid dengan tauhid rububiah dan telah datang kepada mereka Musa Kalimullah a.s dengan tauhid uluhiah sahaja?

Di ketika yang lain, Firaun juga mendakwa uluhiah bagi dirinya ketika dia berkata: Wahai orang-orangku, aku tidak mengetahui adanya bagi kamu sebarang tuhan (ilah) selain daripadaku. (al-Qasas: 38)

Ini menunjukkan bahawa tidak ada perbezaan di antara rububiah dan uluhiah. Oleh kerana itu, sesiapa yang mendakwa dirinya dengan rububiah, maka dia telah menjadikan dirinya Ilah (sebagai tuhan yang patut disembah).

Sesiapa yang mendakwa dirinya dengan uluhiah pula, maka dia telah menjadikan dirinya sebagai Rabb (tuhan yang menciptakan, mentadbir dan sebagainya) bagi orang lain.

6. Mayat-mayat yang berada di dalam kubur, masing-masing tidak ditanya tentang uluhiah dan tauhidnya, tetapi malaikat akan bertanya kepadanya: Man Rabbuka? (Siapakah rab (tuhan) kamu?"

Sekiranya tauhid itu seperti yang dipercayai oleh Ibnu Taimiyyah, yang mana semua manusia di sisinya beriktikad dengan tauhid rububiah, kenapakah soalan malaikat ini masih diperlukan dan bermanfaat?

Ini menunjukkan bahawa dakwaan Ibnu Taimiyyah adalah tidak benar dan palsu semata-mata.

Kesimpulannya, orang yang syirik pada uluhiahnya dikira sebagai syirik pada rububiahnya juga. Sesiapa yang syirik pada rububiah maka dia juga adalah syirik pada uluhiah.

Minggu hadapan kami akan mengemukakan dalil-dalil mereka dan jawapan ulama tentang kesamaran dakwaan mereka. Benarlah perumpamaan Quraniy bahawa, sesungguhnya rumah yang paling rapuh ialah rumah labah-labah. (al-Ankabut: 41). Wallahu a'lam.

Rabu, 9 Disember 2009

Rehlatul Kubra (Hari Kedua)




29 September 2009 (Selasa)

Saya tidak dapat menikmati tidur dengan lena kerana asyik terjaga sahaja walaupun saya sebenarnya keletihan. Sudah menjadi kebiasaan saya, sukar untuk tidur pada malam pertama saya berada di tempat baru.

Saya terjaga seawal jam 4.50 pagi setelah azan subuh dilaungkan dari menara masjid yang berdekatan. Saya bangun untuk berwuduk terlebih dahulu sebelum mengejutkan Izzat untuk berjemaah. Setelah solat subuh yang saya imamkan selesai, Izzat terus ke bilik air untuk mandi. Manakala saya pula masih bersenang-senang diatas tilam, cuba untuk melelapkan mata buat sepicing sementara menunggu Izzat siap mandi.


Kami bersiap-siap untuk ke Desa Tosora, Wajo sebagaimana yang dirancangkan walaupun saya masih kepenatan dan keletihan. Kami turun untuk bersarapan di lobi hotel pada pukul 6.00 pagi sebelum meneruskan perjalanan kami. Saya mengambil mee goreng bersama ayam goreng dan sup sebagai sarapan pagi pada hari ini. 



Tepat jam 6.20 pagi, Pak Dani tiba untuk menjemput kami. Menurut Pak Dani, perjalanan dari Kota Makassar ini ke Desa Tosoro Kabupaten Wajo itu akan mengambil masa lebih kurang 5 jam. Terbayang dalam fikiran tersebut, tempoh masa tersebut menyamai perjalanan dari Kota Bharu ke Kemaman. Namun perjalanan ke Desa Tosora ini akan melalui cerun bukit dan puncak gunung yang curam pasti akan membuatkan kami kecut perut.

Untuk keluar dari Kota Makassar ini, kami melalui lebuh raya bertol. Saya tidak pasti berapa buah tol yang telah kami lalui namun keadaan lebih raya di sini agak teruk jika hendak dibandingkan dengan kualiti lebuh raya di Malaysia. Avanza yang kami naiki bergoyang-goyang kerana keadaan jalan yang tidak rata. Manakala sistem trafiknya pula hampir menyamai sistem trafik di Thailand. Penguatkuasaan undang-undang jalan raya yang tidak setegas di Malaysia.

Mata saya masih mengantuk dan tubuh saya masih kepenatan akibat dari perjalanan semalam dan tidak cukup rehatnya. Namun begitu, saya tetap teruja untuk menziarahi makam moyang kami Syed Jamaluddin al- Akbar al-Husaini di Wajo. Oleh kerana perjalanan ini akan mengambil masa lebih kurang 10 jam pergi dan balik, Pak Dani berhenti untuk mengisi minyak, membeli minuman dan buah-buahan sebagai bekal dalam perjalanan atas permintaan Abu Aswad.


Untuk ke Wajo, kami melalui jalan yang berbukit dan sempit.  Jalan raya yang agak sibuk dengan kenderaan termasuklah lori-lori. Ada kalanya kami pemandu kami terpaksa berhenti untuk memberikan laluan kepada lori yang datang dari arah bertentangan. Kami melalui selekoh- selekoh tajam dan cerun- cerun dalam yang memerlukan kemahiran dan kecekapan pemandu. Dan kami beruntung kerana Pak Dani seorang pemandu yang memenuhi ciri-ciri tersebut.

Ketika kami melalui perkampungan Bugis yang terletak di puncak gunung, Abu Aswad memberitahu bahawa orang Bugis amat kuat pegangan aqidahnya walaupun amalan syariat mereka agak longgar. Jika ada antara mereka yang murtad, maka orang tersebut bisa mati atau sakit tenat kerana dikerjakan mereka. Ianya disokong oleh Pak Dani.


Jam 8.25 pagi, Abu Aswad mengarahkan Pak Dani mencari kedai makan untuk berhenti minum bagi memberikan sedikit kerehatan kepada Pak Dani. Lalu kami berhenti untuk minum di Rumah Makan Cijantung, Jalan Poros Maros – Bone. Kami memesan dua es jeruk[1], teh ‘o’ ais dan kopi. Saya tidak memesan apa-apa makanan kerana perut masih kenyang setelah bersarapan di hotel tadi.

Kami memasuki sempadan Kabupaten[2] Bone[3] pada pukul 8.50 pagi. Sewaktu kami sampai di sebuah desa, saya lihat sekumpulan penduduk berebut-rebut mengutip buah asam yang bertaburan di atas jalan raya tanpa menghiraukan keselamatan mereka. Malah mereka memarahi kami kerana membunyikan hon kepada mereka.

Sewaktu melalui Kabupaten Soppeng, kami melihat sekumpulan penduduk yang memakai pakaian sedondong yang dikenali sebagai ‘pagar rayu’. Ianya bertujuan untuk menjemput penduduk kampung hadir ke majlis kenduri perkahwinan.     

Pukul 10.40 pagi, kami memasuki Kabupaten Wajo. Mengikut keterangan Pak Dani, di sinilah terkenalnya dengan pembuatan dan penghasilan kain sutera asli. Kebanyakan rumah di sini walaupun nampak uzur, namun mereka mempunyai parabola besar yang tingginya melebihi saya. Mengikut Pak Haris (pemandu yang membawa kami semasa di Kota Palu, Sulawesi Tengah), parabola sebesar itu mampu untuk menerima 120 siaran dari seluruh dunia. Wow..hebat benar bunyinya. Tambahan lagi, mereka tidak perlu bayar apa-apa bil. Cuma keluarkan perbelanjaan untuk membeli peralatan tersebut yang berharga sekitar RM700 sahaja. 
 



Dari jalan utama untuk ke Desa Tosora, kami perlu melalui jalan kecil yang agak teruk sejauh 10 km. keadaan berlubang dan tidak rata menyebabkan Avanza yang kami naiki terhujung- hayang. Terasa lenguh dan letih seluruh badan kami dibuai macam tu. Akhirnya kami sampai ke desa tersebut pukul 11.30 pagi.


Menurut Abu Aswad, kami perlu mendapatkan kunci makam tersebut dari kepala desa[4].  Sekarang, kawasan makam tersebut sudah dipagar dan dijaga dengan rapi tidak seperti dulu yang dibiar terbiar begitu sahaja. Kami memasuki kawasan pemakaman tersebut setelah dibuka oleh kepala desa yang seorang wanita. Terpampang dalam kawasan tersebut papan tanda yang bertulis “Maqam Assyeikh al-Habib Jamaluddin al-Akbar al-Husaini”. Allah s.w.t sahaja yang tahu perasaan saya tatkala itu bila melihat sebuah makam diantara makam-makam lain yang dipagar cantik. Kami memasuki kawasan tersebut dengan ucapan salam sebagaimana yang diriwayatkan dari satu hadis Nabi s.a.w :
وَعَنْ بُرَيْدَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ، كَانَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم يُعَلِّمُهُمْ إِذَا خَرَجُوْا إِلَى الْمَقَابِرْ أَنْ يَقُوْلَ قَائِلُهُمْ: اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ أَهْلَ الدِّيَارِ مِنَ الْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُسْلِمِيْنَ، وَإِنَّ إِنْ شَاءَ اللَّهُ بِكُمْ لاَ حِقٌوْنَ ، أَسْأَلَ اللَّهَ لَنَا وَلَكُمُ الْعَافِيَةَ. (رواه مسلم)
Dari Buraidah r.a berkata, adanya Nabi s.a.w mengajarkan para sahabatnya jika pergi ke kubur supaya membaca: Selamat sejahtera bagimu penduduk kaum Mu’minin dan Muslimin, dan kami insya Allah akan mengikuti kamu, aku mohon kepada Allah untuk kami dan kamu selamat. (Riwayat Muslim)[5]


Kami kemudiannya bertafakur di situ sejenak bagi mengenangkan perjuangan dan dakwah almarhum sehingga beliau sampai ke daerah yang jauh itu. Perjalanan kami dari Kota Makassar ke Desa Tosora, Wajo dengan berkereta itu pun mengambil masa 5 jam. Apatah lagi beliau yang datang dari Timur Tengah ke daerah pedalaman tersebut.

Dikawasan tersebut terdapat dua makam utama yang berpagar. Satunya adalah milik moyang kami al-Marhum Syed Jamaluddin al-Akbar yang bernesankan dua buah batu kuning. Sementara sebuah makam lagi bersebelahan dengan makam tersebut yang bernesankan meriam dikatakan makam milik menantu al- Marhum, Raja Wajo pertama yang memeluk Islam. 



Ya Allah Ya Tuhan…
Peliharalah roh al- Marhum Syed Jamaluddin al-Akbar ini dan tempatkanlah beliau disamping para roh solihin, syuhada dan anbia yang dikasihi Mu.

Ya Allah Ya Tuhan…
Jadikanlah kami dari leluhurnya yang mulia ini sebuah generasi yang rabbani lagi kamilin. Jadikanlah kami anak cucu beliau ini sebagai pendakwah dan pejuang agamaMu sehingga hari kiamat.

Ya Allah Ya Tuhan…
Jauhilah kami anak cucunya ini dari sebarang perbuatan fasik, munkar serta musyrik kepadaMu. Janganlah ada dikalangan kami anak cucunya ini jiwa-jiwa yang jauh dari keimanan.

Ya Allah Ya Tuhan…
Jadikanlah roh al- Marhum ini dan kami yang masih hidup ini sentiasa berada di bawah rahmatMu yang Mulia..Wahai tuhan yang penuh dengan kemuliaan.
 

Selepas bertafakur dan berdoa sejenak di makam tua tersebut, kami melihat bekas tapak runtuhan masjid milik moyang kami. Makam itu pun sebenarnya terletak dalam kawasan tapak masjid tua. Hanya mihrab masjid sahaja yang masih kukuh berdiri di situ.

Takdir Allah s.w.t yang menentukan bahawa moyang kami akan dimakamkan di situ. Sekiranya makam dan masjid tersebut berada berdekatan dengan kami seperti di Malaysia, sudah pasti kami akan menjaganya serta membangunkan kembali sisa masjid tinggalan moyang kami tersebut.

Setelah itu kami mula keluar dari kawasan makam tersebut sementara kepala desa masih menunggu kami di muka pintu masuk makam. Setelah itu, beliau meminta kami untuk menurunkan tandatangan dalam buku pelawat yang disediakan. Menurut Abu Aswad, semasa kedatangan beliau pertama kali dahulu masih belum ada buku pelawat. Abu Aswad kemudiannya memberikan sedikit sumbangan kepada kepala desa untuk tujuan pembangunan makam tersebut.

Walaupun kami menempuh satu perjalanan yang jauh untuk sampai ke makam tersebut, namun ia cukup bererti bagi saya kerana dapat menziarahi dan melihat sendiri makam moyang kami yang mulia itu. Terlalu berat hati saya untuk meninggalkannya kerana entah bila pula saya akan datang menziarahinya kembali. Semoga Allah s.w.t memberikan saya peluang yang lain untuk datang menziarahi makam tersebut di lain kali bersama ahli keluarga kami yang lain.

Sesudah itu kami meninggalkan makam sepi tersebut dengan perasaan berat hati untuk kembali semula ke Kota Makassar. Dalam perjalanan itu, kami singgah di Kota Wajo untuk makan tengahari. Dikala itu jam telah menunjukkan pukul 12.40 tengahari. Berkebetulan pulak perut saya memang sudah diminta untuk di isi. Lalu kami singgah di Warong Sop Anda yang terletak di tengah Kota Wajo.

Abu Aswad memesan lauk untuk makan tengahari kami ini semuanya berasaskan ikan. Ikan merah goreng dan gulai ikan. Semasa kami menunggu hidangan sampai, tv Indonesia sedang menyiarkan berita tengahari mengenai kontroversi batik antara Indonesia dan Malaysia. Berita tersebut turut menyebut bahawa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah mengiktiraf batik sebagai warisan Indonesia. Ini kemudiannya diulas dalam berita tersebut bahawa batik memang berasal dari Indonesia tetapi ianya telah berkembang di Malaysia.  Nampaknya kontroversi antara Malaysia dan Indonesia tidak pernah surut. Bermula mengenai isu bendera, tarian pendek dan kemudiannya batik. Entahlahlah, saya fikir ianya hanya satu isu yang kecil sahaja yang sepatutnya diselesaikan secara musyawarah anak beranak.

Semasa sedang menikmati hidangan tengahari tersebut, Abu Aswad merancang untuk menziarahi makam Syeikh Yusuf Tajul Khalwati al- Makasari, makam Pangeran Diponegoro dan makam Sultan Hasanuddin pada esok hari kerana kami masih belum mempunyai jadual khusus untuk esok. Cuma kami akan berangkat ke Kota Palu, Sulawesi Tengah dengan pesawat terbang yang dijadualkan berlepas pada pukul 3.00 petang.



Setelah itu, kami singgah untuk solat zohor jama’ taqdim di Masjid Agung Ummul Qura’ yang terletak di tengah-tengah Kota Wajo. Masjid yang cukup besar dan cantik. Solat yang diimamkan oleh Abu Aswad diruang masjid yang luas itu.

Pada pukul 2.20 petang, kami bertolak dari Kota Wajo balik semula ke Kota Makassar melalui jalan yang kami datang tadi akan mengambil masa lebih kurang 5 jam. Ahh.. sudah terbayang kepenatan yang bakal kami tempuhi sepanjang perjalanan nanti. Saya lihat wajah Pak Dani selaku pemandu sudah terbayang keletihan kerana memandu yang tidak henti-henti. Namun oleh kerana sudah menjadi kebiasaannya memandu jauh, maka dia masih lagi mampu untuk meneruskan tugasnya sebagai pemandu.


Jalan yang kami lalui untuk balik semula ke Kota Makassar ini adalah merupakan jalan yang sama kami gunakan semasa datang pagi tadi. Tapi biasanya perjalanan balik akan dirasakan lebih cepat berbanding pagi tadi. Sehinggalah kami berhenti rehat dan minum di Rumah Makan Cijantung tempat kami singgah semasa dalam perjalanan ke Kota Wajo pagi tadi. Dikesempatan ini kami mengambil peluang untuk melepaskan hajat.

Saya rasa keletihan yang amat sangat telah menguasai badan. Dalam fikiran saya sekarang ini, hanya ingin segera sampai di hotel seterusnya mandi dan kemudiannya tidur sebelum saya menyambung kembali penulisan Rehlatul Kubra yang terhenti semalam kerana laptop saya kehabisan baterinya.


Setelah menunaikan hajat, saya memesan bakso meehon dan jus mangga. Saya masih ingat pesan isteri saya sebelum datang ke sini bahawa sekarang inilah peluang untuk saya merasai bakso yang sebenar. Izzat memesan bakso sup, manakala Abu Aswad pula memesan bakso telur.    

Jam 4.48 petang, kami meneruskan perjalanan untuk balik ke Kota Makassar yang masih berbaki lagi lebih kurang 2 jam. Kawasan yang paling menakutkan kami ialah sewaktu melalui puncak gunung kerana jurangnya amat curam serta jalannya sempit. Beberapa kali Pak Dani terpaksa berhenti memberikan laluan kepada lori yang datang dari arah bertentangan terutamanya sewaktu melalui selekoh yang terlalu tajam dan terhalang padangan oleh bongkah-bongkah batu besar.

Hari sudah mulai gelap dan kami berjaya melepasi puncak gunung serta sampai di kaki gunung sewaktu azan maghrib berkumandang dari menara masjid sekitar kawasan tersebut. Terbit rasa syukur di hati saya kerana Allah s.w.t telah mempermudahkan perjalanan kami hari ini.

Kami tiba di Hotel Bumi Asih, Kota Makassar pada pukul 6.45 petang. Kami berniat untuk jama’ ta’khir maghrib kerana saya ingin berehat terlebih dahulu bagi menghilangkan keletihan sehari suntuk perjalanan pergi balik antara Makassar dan Wajo.

Sesudah membersihkan diri ala kadar, saya terlelap di atas katil dalam bilik hotel. Terlalu penat sangat rasanya. Kira-kira dua jam kemudian saya bangun untuk mandi dan solat. Saya lihat Izzat juga terlena di katil sebelah.

Setelah solat jama’ ta’khir bersama Izzat, saya pinjam handphone Abu Aswad untuk hantar sms kepada isteri saya di tanah air. Saya ingin memberitahu khabar kami di sini dan juga bertanyakan khabarnya di sana. Walaupun sekadar melalui sms, namun terasa sedikit terubat rindu di hati saya kepadanya.

Kemudian saya sambung kembali penulisan Rehlatul Kubra yang terhenti semalam sehinggalah jam menunjukkan pukul 11.13 malam. Saat itu kepenatan dan keletihan kembali menguasai diri, saya sudah tidak mampu menanggungnya lagi lalu mengambil keputusan untuk tidur sahaja bagi mendapatkan tenaga dan kekuatan untuk perjalanan seterusnya esok.

Ya Allah…janganlah Engkau biarkan pada diri kami berdosa kecuali telah Engkau ampunkan, dan janganlah Engkau biarkan aib pada diri kami kecuali telah Engkau tutupi. Aku bertaubat kepadaMu Ya Rahman dari kejahatan yang telah aku perbuat. Sungguh dosa ini telah menompok dan aku mengadu padaMu ya Ilahi dari kemaksiatan- kemaksiatan yang telah menderaku dan aib- aib yang menyengsarakanku.[6]


[1] Di Malaysia dipanggil jus oren
[2] Kabupaten merupakan sejenis daerah di Indonesia yang diketuai oleh seorang kepala daerah yang digelarkan bupati. (http://ms.wikipedia.org/wiki/Kabupaten)
[3] Bone adalah sebuah daerah yang terletak di Sulawesi Selatan. Bone merupakan salah sebuah kerajaan utama Bugis dari abad ke 14 hinggalah ke abad ke 19. Pada abad ke 14, di bawah pemerintahan Raja Kerrampelua, sempadan Bone diperluaskan dan ketika itu, Bone menguasai tanah-tanah yang subur. Ini menyumbang kepada kemakmuran Bone. Pada tahun 1509, Bone diserang Luwu' tetapi berjaya mengalahkan Luwu' dan berjaya memperoleh alat kebesaran Luwu' iaitu Payung Merah. Sekitar 1535, Bone bersama dengan Goa dan Soppeng menguasai Luwu'. Pada abad ke 16 pula, kerajaan ini jatuh ke tangan Makassar dan ini menyebabkan rakyat Bone merasa tidak berpuas hati dan ingin membalas dendam. Pada tahun 1667, seorang putera Bone bernama Arung Palakka mengetuai suatu serangan menyerang Makassar. (http://ms.wikipedia.org/wiki/Bone)
[4] Tok penghulu
[5] Imam an- Nawawi, Riyadhus Sholihin. Victory Agencie, Kuala Lumpur. 2009, muka surat: 453.
[6] Irwanto al- Krienciehie, Berselimut Surban Cinta. Diva Press, Jogjakarta. 2008 muka surat: 121.

Isnin, 7 Disember 2009

Rehlatul Kubra (Hari Pertama)


28 September 2009 (Isnin)

Pukul 11.30 pagi, semua ahli rombongan Rehlatul Kubra sudah berada di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP), Pengkalan Chepa untuk ‘check in’  kerana penerbangan kami Air Asia AK 5283 dijadualkan berlepas dari Kota Bharu ke Terminal LCCT, KLIA pada pukul 12.20 tengahari. Saya telah dihantar oleh isteri, Nik Haslini ke lapangan terbang.

Dari KLIA kami akan ke Ujung Pandang, Makassar untuk melawat Makam Syed Jamaluddin al- Akbar al-Husaini di Wajo. Kami dijadualkan berada di sana selama dua hari sebelum bertolak ke Kota Palu, Sulawesi Tengah bagi menghadiri Majlis Haul Habib Idrus bin Salim al- Jufri.


Keadaan di terminal LTSIP agak sibuk sedikit berbanding hari biasa, mungkin ini kerana bersempena cuti Hari Raya Aidilfitri baru sahaja berakhir. Saya agak teruja untuk menyertai rombongan ini apatah lagi apabila diberitahu akan melawat makam moyang kami di Wajo, Makassar.

Rombongan ini diketuai oleh Abu Aswad al- Kubrawiy yang selalu datang ke sini atas urusan dakwah dan agama. Perjalanan rombongan ini juga turut ditaja oleh Abu Aswad sendiri. Turut serta dalam rombongan ini anak saudara saya, Mohd Izzat Dhiaul Haq al- Kubrawiy.

Setelah pengumuman dibuat meminta para penumpang penerbangan AK 5283 menaiki pesawat, saya agak kagum dengan pencapaian Air Asia sebagai sebuah syarikat tambang murah sekarang ini. Pesawatnya lebih baru jika hendak dibandingkan pertama kali saya menaikinya suatu ketika dahulu. Tempat duduknya pula telah ditetapkan tidak seperti dulu yang menggunakan prinsip siapa dulu, dia yang dapat.

Ini adalah kali pertama Mohd Izzat menaiki pesawat udara, jadi tidak hairanlah anak muda itu kelihatan seperti agak risau sewaktu pesawat yang kami naiki ‘take off’ dari landasan serta ketika pesawat tersebut memasuki awan. Namun begitu, keadaan cemas tersebut juga turut dirasai oleh ahli rombongan yang lain walaupun kami sudah biasa menaiki pesawat udara. Mengikut pengumuman oleh ‘senior flight attendant’, penerbangan kami dari Kota Bharu ke KLIA akan memakan masa lebih kurang 55 minit.

Sewaktu kapal terbang sudah stabil di udara, Abu Aswad memesan sandwich, nasi lemak dan hot dog untuk mengisi perut-perut ahli rombongan yang belum sempat bersarapan sebelum bertolak tadi. Saya hanya memilih sandwich sahaja kerana pagi tadi saya sempat bersarapan dengan nasi berlauk.

Pesawat kami mendarat di terminal LCCT, KLIA pada pukul 1.20 tengahari. Dari sana selepas kami mengambil bagasi, kami terus ‘check in’ untuk penerbangan dari KLIA ke Ujung Pandang, Makassar[1]. Bila sebut sahaja Ujung Pandang, Makassar saya tiba-tiba sahaja teringat akan perjuangan Sultan Hasanuddin yang disebut-sebut dalam sejarah Indonesia akan kehebatannya. Bukan sahaja kehebatan perjuangan beliau, malah peribadi dan ketaqwaan beliau juga menjadi sanjungan dan kebanggaan penduduk Makassar sehingga hari ini. Maka tidak hairanlah jika Kerajaan Indonesia menamakan lapangan terbang di Ujung Pandang, Makassar dengan nama Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Hasanuddin.

Kali ini Abu Aswad menyerahkan urusan tiket dan ‘check in’ kepada saya. Ramai sekali para penumpang yang turut beratur menunggu giliran mendapatkan tiket serta mendaftarkan bagasi. Penerbangan ke Ujung Padang, Makassar no: AK 586 dijangkakan berlepas dari KLIA pada pukul 4.05 petang. Sekarang baru sahaja lebih kurang pukul 2.30 petang.

Saya berehat sekejap di kerusi yang disediakan oleh pihak pengurusan lapangan terbang seusai urusan ‘check in’ kerana pinggang terasa sedikit sengal akibat terlalu lama berdiri. Pelbagai gelagat manusia yang saya lihat. Sudah lama saya tidak melihat panorama sebegini setelah meninggalkan kota metropolitan Kuala Lumpur lima tahun yang lalu apabila menamatkan pengajian di sana. Sewaktu saya masih di universiti, saya suka ke Bandar apabila mempunyai masa terluang. Selain daripada untuk mendapatkan barang keperluan, saya juga gemar untuk melihat gelagat dan ragam manusia yang berada di sana. Amat benarlah firman Allah s.w.t :


Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).[2]

Pukul 3.15 petang kami solat jama’ taqdim zohor dan asar disurau yang terdapat dibalai berlepas dengan di imamkan oleh ketua rombongan, Abu Aswad. Kemudiannya kami berehat di Plaza Premium Lounge sementara menunggu waktu berlepas. Saya tidak tahu berapa bayaran yang dikenakan untuk seorang kerana semuanya telah diuruskan oleh Abu Aswad. Tetapi mengikut maklumat Abang Lie, salah seorang ahli rombongan yang biasa mengikuti Abu Aswad bahawa bayaran yang dikenakan bagi setiap orang ialah sebanyak RM60. Di sana juga turut disediakan pelbagai jenis makanan secara ‘buffet’ sebagai hidangan. Saya mengambil kesempatan untuk merasai sup cendawan, bubur nasi serta spegati.

Tepat pukul 4.00 petang, kami menaiki pesawat Air Asia AK 586 untuk ke Ujung Pandang. Walau bagaimanapun berlaku sedikit kelewatan kerana mengikut kapten kapal, terdapat 3 orang penumpang yang mendaftar masuk masih belum menaiki pesawat sedangkan semua bagasi mereka berada dalam ruangan bagasi pesawat. Menurut kapten lagi, peraturan menetapkan bahawa penerbangan tidak boleh diteruskan sehinggalah kesemua bagasi tersebut diturunkan semula.

Pesawat ini rata-ratanya dinaiki oleh warga Indonesia kerana saya hanya mendengar bahawa Indonesia yang dituturkan oleh kebanyakkan penumpang pesawat ini termasuklah kapten, juruterbang dan ‘crew’ penerbangan.

Sebelum saya mematikan handset sebagaimana yang telah ditetapkan oleh peraturan penerbangan, saya sempat menghantar SMS terakhir kepada isteri tersayang memberitahunya bahawa saya kini akan berlepas ke Ujung Pandang, Makassar. Turut mohon doanya agar saya selamat sehingga kembali semula ke tanah air.

Setelah semuanya selesai, pesawat yang sepatutnya berlepas pada pukul 4.05 petang ‘take off’ pada pukul 4.30 petang. Saya berdoa memohon keselamatan sepanjang penerbangan yang dijangkakan mengambi masa selama 3 jam 25 minit sebagaimana yang diumumkan  oleh ‘senior flight attendant’, Mei Ling. Bagi mengisi masa penerbangan yang hampir 3 jam setengah itu, saya telah sediakan al- Quran dan sebuah novel ‘ Munajat Cinta 2’ karya  Taufiqurrahman al- Azizy.


Semasa dalam penerbangan, kami telah diberikan ‘Arrival/ Departure Card’ dan Customs Declaration oleh crew penerbangan untuk diisi bagi memudahkan urusan Kastam dan Imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Hasanuddin Ujung Pandang, Makassar nanti.

Pembacaan novel ditemani rasa ngantuk dan bosan kerana masa penerbangan yang panjang. Namun begitu, saya menemui satu rangkaian kata yang cukup indah dan bermakna untuk kita renungi bersama sewaktu membaca novel yang berbunyi begini:
Segala puji bagi Allah yang daripada belas kasih-Nya tak ada orang yang kehilangan harapan, yang daripada nikmat- nikmat-Nya tak ada orang yang tak mendapatkan, yang daripada ampunan-Nya tak ada orang yang kecewa, yang daripada cinta dan kasih-Nya tak ada makhluk yang terzalimi, dan yang ibadah kepada-Nya tak ada yang terlalu tinggi.[3]

Tumpuan saya terhadap pembacaan novel tersebut juga turut terganggu oleh crew penerbangan dan para penumpang yang lalu lalang untuk ke tandas atau mendapatkan sesuatu. Saya telah membeli ‘passport holder’ yang berharga RM40 daripada flight crew yang menawarkan cenderhati Air Asia kepada para penumpang.


Abu Aswad kemudiannya mengarahkan kami supaya berniat jama’ ta’khir maghrib kerana kami mungkin kelewatan sewaktu tiba di Makassar nanti. Sebagaimana yang dijangka, pada pukul 7.37 malam, tayar pesawat yang kami naiki selamat mencecah landasan di Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Hasanuddin Ujung Pandang, Makassar. Waktu tersebut, maghrib telah lama berlalu dan telah masuk waktu isyak di sini. Terbit kalimah Alhamdulillah di mulut saya serta rasa syukur di hati ini kerana Allah s.w.t memberikan kami keselamatan sehingga ke saat ini.

Bila sebut sahaja Ujung Pandang, Makassar terbayang difikiran saya beberapa tokoh hebat yang mewarnai sejarah disini. Mereka ialah Sultan Agung Hasanuddin, Syeikh Yusuf Goa dan Pangeran Diponegoro.

Setibanya disini, kami telah diberikan satu borang kesihatan untuk di isi oleh penguasa kesihatan tempatan. Kami dan semua barang turut dikenakan semburan pencegahan penyakit H1N1 menggunakan mesin bagi mengelak penularan virus H1N1. Seterusnya urusan dengan pihak imigresen dan kastam selesai dengan mudah tanpa sebarang kerumitan. Kami dibenarkan memasuki Makassar dengan bebasnya.


Kami telah ditunggu oleh Pak Dani, pemandu yang akan membawa kemana sahaja sepanjang kami berada di Makassar ini. Beliau telah dihubungi oleh Pak Haris, sahabat Abu Aswad untuk memberikan khidmat kepada kami. Beliau seorang pemandu Toyota Avanza yang cekap dan hebat.

Khidmat pertama Pak Dani ialah membawa kami ke rumah penginapan atau hotel yang sederhana tapi selesa untuk kami menginap sepanjang dua hari kami berada di sini. Abu Aswad singgap di wartel[4] untuk membeli kad sim telefon bagi memudahkan beliau berhubung dengan semua sahabat dan kenalan beliau di sini.

Pengamatan saya terhadap warga Makassar yang saya kenali tidak sampai sejam ini ialah mereka merupakan pemandu atau pengguna jalan raya yang terlalu banyak sabar dan tolak ansurnya. Hon-hon kedengaran disepanjang jalan, bukan kerana tanda amaran atau marah terhadap pemandu lain tetapi sebagai tanda memohon ruang untuk bergerak sahaja. Mereka bebas keluar masuk simpang, memotong dan berhenti kerana para pemandu lain akan memberikan ruang kepada mereka untuk berbuat demikian. Saya percaya, kalau keadaan ini berlaku di Malaysia sudah tentu bukan hanya sekadar bunyi hon yang panjang sebagai tanda marah dan amaran kepada pemandu lain. Malah sumpah seranah juga turut terhambur keluar dari mulut mereka. Kadang-kadang, anggota badan juga turut dijadikan bahan melepaskan amarah seperti penumbuk dan sebagainya.


Kami turut singgah di Rumah Makan 17 Propinsi Masakan Padang untuk makan malam. Abu Aswad yang meminta Pak Dani singgah di kedai makan nasi padang untuk memberikan peluang kepada ahli rombongan merasai masakan Padang. Ini adalah pertama kali saya merasai masakan Padang. Mereka sediakan nasi tambah bagi setiap orang tanpa diminta. Cara yang hampir sama dengan hidangan nasi Restauren Hoover di Kota Bharu, Kelantan.  

Sewaktu Pak Dani ingin keluar dari parking keretanya, saya kedengaran bunyi wisel dari belakang serta memberikan arahan kepada Pak Dani bagi memudahkan Pak Dani keluar dari parking tersebut. Kenderaan lain juga turut berhenti memberikan laluan kepada kenderaan kami. Setelah itu seorang lelaki yang memakai vest yang tertera ‘juruparkir’ menghampiri tingkap Pak Dani lalu lelaki itu diberikan Rp 1,000[5] oleh Pak Dani sebagai upah khidmat yang diberikannya itu.  Timbul pada fikiran saya bahawa kerja tersebut jauh lebih baik dan lebih mulia jika hendak dibandingkan dengan mencuri, meragut, menipu, merompak dan sebagainya kejahatan jalanan.



Lebih kurang pukul 10.30 malam, Pak Dani menghantar kami ke Hotel Bumi Asih yang terletak di Jalan Dr. Sam Ratulangi No. 17 Makassar sebagai tempat penginapan kami sepanjang kami berada disini. Saya berkongsi bilik dengan Izzat. Biliknya agak selesa cuma tempat letak aircond yang tidak sesuai menyebabkan bilik kami tidak sejuk sepenuhnya. Plug elektriknya juga memberikan masalah kerana di sini hanya mempunyai dua pin sahaja sedangkan kebanyakkan barang elektrik yang saya bawa ada tiga pin terutamanya plug laptop saya. Jadi saya perlu mendapatkan plug converter bagi memudahkan saya untuk menggunakan peralatan elektrik tersebut.
Selepas menunaikan solat jama’ ta’khir maghrib dan isyak yang diimamkan oleh Izzat, saya mengambil kesempatan yang terluang ini untuk memulakan penulisan Rehlatul Kubra ini sementara segala-galanya masih hangat dan terbayang dalam fikiran saya ini. Walaupun kepenatan, saya membuka laptop dan memulakan catatan perjalalanan ini. Izzat pula sudah lena dibuai mimpi di katil bersebelahan dengan iringan dengkuran kecil.

Beteri laptop sudah menunjukkan amaran merah dan saya juga sudah kepenatan. Tambahan pula, pagi esok selepas solat subuh kami akan bertolak ke Desa Tosora Kabupaten Wajo, Makassar untuk menziarahi makam moyang kami, Syed Hussin Jamaluddin al- Akbar atau Syeikh al-Habib Jamaluddin al- Akbar al- Hasani[6] yang akan mengambil masa 5 jam perjalanan dari Kota Makassar ke Desa Tosora tersebut.

Oleh yang demikian, saya mengambil keputusan untuk berehat dan tidur sahaja tatkala tepat jam 12.06 pagi.

Ya Allah, aku berlindung kepadaMu dari mengisyaratkan dengan hati,lisan atau tangan kepada selainMu. Tidak ada tuhan selain Engkau, Allah Yang Maha Esa, Maha Tunggal dan Maha Kekal. Dan kepadaMulah aku berserah diri.

Wahai Tuhanku, sebagaimana Engkau telah menjaga wajahku dari sujud kepada salainMu, maka jagalah wajahku daripada meminta selain dariMu. Wahai Tuhanku, cukuplah bagiku kebanggaan bahawasanya Engkau menjadi Tuhan bagiku dan cukuplah kemuliaan bagiku bahawa aku menjadi hamba bagiMu. Sesungguhnya Engkau seperti yang kuinginkan, maka jadikanlah aku seperti yang Engkau inginkan.[7]




[1] Ujungpandang adalah nama lain untuk Makassar dan dipakai dari kira-kira tahun 1950-an sampai tahun 2000.

Alasan untuk mengganti nama Makassar menjadi Ujungpandang adalah alasan politik. Antara lain karena Makassar adalah nama sebuah suku bangsa padahal tidak semua penduduk kota Makassar adalah anggota dari etnik Makassar.

Alasan lainnya yang sering diajukan tetapi dirasa kurang masuk akal ialah konon kerana kata Makassar mengandung kata "kasar" sehingga orang Makassar sering diejek. Padahal nama Makasar berasal dari bahasa Makassar "MANGKASARA" yang berarti yang menampakkan diri atau yang bersifat terbuka. (http://id.wikipedia.org/wiki/Ujungpandang)

Kota Makassar (dahulu daerah tingkat II berstatus kotamadya; dari 1971 hingga 1999 secara resmi dikenal sebagai Ujungpandang atau Ujung Pandang) adalah sebuah kotamadya dan sekaligus ibu kota provinsi Sulawesi Selatan. Kotamadya ini adalah kota terbesar di pada 5°8′S 119°25′E / 5.133°S 119.417°E / -5.133; 119.417Koordinat: 5°8′S 119°25′E / 5.133°S 119.417°E / -5.133; 119.417, di pesisir barat daya pulau Sulawesi, menghadap Selat Makassar. Makassar dikenal mempunyai Pantai Losari yang indah.

Makassar berbatasan Selat Makassar di sebelah barat, Kabupaten Kepulauan Pangkajene di sebelah utara, Kabupaten Maros di sebelah timur dan Kabupaten Gowa di sebelah selatan.

Kota ini termasuk kota kosmopolis, banyak suku bangsa tinggal di sini. Di kota ini ada suku Makassar,Bugis,Toraja dan Mandar.Di kota ini ada pula komunitas Tionghoa yang cukup besar. Makanan khas Makassar adalah Coto Makassar, Roti Maros, Kue Tori', Palabutung,Pisang Ijo, Sop Saudara, dan Sop Konro. Makassar memiliki wilayah seluas 128,18 km² dan penduduk sebesar kurang lebih 1,25 juta jiwa. (http://id.wikipedia.org/wiki/Kota_Makassar)

[2] Surah al- Hujurat: 13
[3] Taufiqurrahman al- Azizy, Munajat Cinta 2. PTS Litera Utama, Kuala Lumpur. 2009. Muka surat : 153
[4] Singkatan bagi warung telefon.
[5] Lebih kurang menyamai 0. 25 sen mata wang Malaysia.
[6] Nasab beliau ialah Syed Jamaluddin Hussin al-Akbar @ Syed Jamaluddin al-Hussin @ Syed Hussin Jumadil Kubra Bin Ahmad Jalaluddin Syah @ Ahmad Syah Jalal Bin Abdullah Amir Azamat Khan @ Abdullah al-Amir @ Abdullah Azamat Khan @ Abdullah Khan Bin al-Muhajir Ilal Hindi Abdul Malik Bin Alwi Aamul Faqih Bin Muhammad Sahibul Mirbath Bin Ali Khali’ Qassam Bin Alwi Bin Muhammad Bin Alwi Bin Ubaidillah Bin Ahmad al-Muhajir Bin Isa as-Syakir Bin Muhammad Bin Ali Uraidhi Bin Jaafar Shodiq Bin Muhammad al-Baqir Bin Ali Zainul Abidin Bin Syaidina Hussin Syahid Karbala Sibtu Fatimah Az Zahra’ al-Batul Bin Syaidul Mursalin Muhammad Khatamun Nabiyyin.

Terhadap tarikh kelahiran beliau ini terdapat banyak perselisihan diantara para pengkaji sejarah dan ahli nasab. Tetapi mengikut Syekh Waliyuddin Khan ( Tarikh Aghrariah: 1923), beliau dilahirkan pada tahun 1336 di Kota Agra India. Beliau dilahirkan bersama limpahan harta dan kemewahan kerana Ayahanda beliau, Syed Ahmad Jalaluddin Syah adalah Gabenor Agra di bawah pemerintahan Kesultanan Mughal yang berpusat di New Delhi pada masa itu. Walaupun kehidupan beliau dilimpahi kemewahan dunia, tetapi hal itu tidaklah melalaikan beliau dari istiqamah pada landasan Aslaf beliau yang terdahulu. Dari umur belasan tahun, beliau banyak mengembara ke pelusuk India khasnya di Syaharanfur, Karachi dan Nizamuddin untuk mendalami ilmu khususnya dalam bidang Hadith dan Tasauf. Beliau juga sering mendapat ru’yah bertemu dengan Syaidul Makhluq dan di anugerahkan ALLAH ilmu laduni.

Sewaktu beliau berumur 25 tahun, beliau di tunjukkan untuk menjadi gabenor di Haidrabad. Beliau dengan sedaya- upaya berusaha untuk menolak jawatan tersebut dan akhirnya terpaksa beliau terima dengan berat dan kecewa. Sewaktu beliau menjadi gabenor Haidrabat itulah, beliau telah menerapkan Prinsip Islam dalam pemerintahan beliau dan mencontohi para Khalifah ar-Rasyidun. Hasil dari itulah, dalam masa beberapa tahun sahaja, Haidrabad telah termasyhur sebagai pusat perdagangan. Sewaktu beliau menjawat jawatan gabenor ini juga, telah beberapa kali beliau di amanahkan untuk menjadi panglima perang dalam menentang pemberontakan dari Kerajaan Hindu India.

Ketika umur beliau 30 tahun, beliau telah melaksanakan Ibadah Haji di Makkah dan melangsungkan ziarah ke Madinah. Sewaktu beliau berziarah Datuk beliau di Madinah inilah, beliau telah bertemu dengan Baginda secara sedar ( Yakazoh) dan di tunjukkan supaya meninggalkan jawatan yang beliau duduki sekarang dan dianjurkan supaya membawa dakwah ke timur.

Lalu sewaktu pulang dari haji dan ziarah itu, beliau tidak langsung pulang ke Hadrabad, tetapi ke Mughal untuk berziarah kakek beliau Syed Abdullah Amir Azamat Khan. Semasa berada di Mughal inilah, beliau telah bertemu dengan beberapa orang saudara sepupu beliau dan mereka telah diajak untuk bersama-sama melaksanakan dakwah ke timur. Semasa berbincang tentang hala tuju mereka ke timur ini, mereka telah bersepakat untuk menjadikan Kepulauan Nusantara ini sebagai daerah dan lembangan dakwah mereka.

Setelah persetujuan di ikat, berangkatlah beliau ke Nusantara ini bersama 6 saudaranya yang lain. Perjalanan mereka ini telah di kenali sebagai “ Wali Tujuh Dengan Perancangan Islam Di Timur”. Semasa dalam pelayaran ke Nusantara ini, mereka telah di uji oleh Sang Yang Maha Mencipta dengan beberapa ujian yang berat dan hal itu tidak mematahkan hasrat mereka.

Setelah tiba di Nusantara ini, mereka telah berpecah untuk mendirikan lembangan dakwah kepada beberapa kepulauan dan Syed Jamaluddin Hussin al-Akbar bersama beberapa saudaranya telah memilih daerah dakwahnya yang pertama di Empayar Langkasuka iaitu yang meliputi Champa (Indo China/ Kemboja sekarang) sehingga ke Kepulauan Mindanao di Filipina, manakala ibukotanya pula adalah Tanah Serendah Sekebun Bunga (Kelantan Tua). Semasa berdakwah di sini, beliau tidak sahaja mendekati para rakyat dan marhain, tetapi turut berdakwah kepada golongan pembesar dan istana. Berhasil dari sinilah, beliau telah diminta oleh Raja Sang Tawal (Sultan Baqi Syah/ Sultan Baqiuddin Syah), Sultan yang memerintah Tanah Serendah Sekebun Bunga pada masa itu untuk tinggal di istana dan menjadi penasihat Sultan.

Semasa beliau berdakwah dan menjadi Penasihat Sultan di Kerajaan Langkasuka, beliau telah dikahwinkan dengan dua orang puteri dari Tanah Serendah Sekebun Bunga iaitu Puteri Linang Cahaya yang merupakan Putri Raja Sang Tawal dan Puteri Selindung Bulan (Putri Saadong II) serta seorang Putri Diraja Champa yang bernama Putri Ramawati dan seorang Putri Diraja Johor. Puteri Ramawati (Champa) isteri kedua beliau dan Putri Selindung bulan (Kelantan Tua) isteri ketiga ini adalah saudara sebapa yang dikahwini oleh beliau setelah kematian isterinya yang kedua.

Dari perkahwinan dengan Putri Diraja Kelantan Tua ini beliau mendapat dua orang putra yang bernama Abdul Malik (Gerisik) dan Ali Nurul Alam (Fathoni) serta seorang putri yang bernama Putri Siti Aisyah (Putri Ratna Kesuma). Dari perkahwinan beliau dengan Putri Ramawati yang merupakan Putri Sultan Zainol Abidin Syah (Che Bong Nga), beliau mendapat seorang putra yang bernama Ibrahim Zainol Akbar (Ibrahim Asmaro @ Ibrahim As Samarqandi). Adapun perkahwinan beliau dengan Putri Diraja Johor telah memberikan dua orang putra, iaitu Syarif Muhammad Kebungsuan(Mindanao Filipina) dan Sultan Berkat(Zainol Alam Barakat).

Dari keturunan beliaulah lahirnya para pejuang dan pendakwah di seluruh pelusuk Nusantara kita ini. Contohnya, dari Abdul Malik, lahirnya para Wali Sembilan (Wali Songo) di Indonesia dan dari Ali Nurul Alam, lahirnya para pemerintah, ulama dan pendakwah di Fathoni. Di setiap tempat dan negeri yang mereka kunjungi, mereka langsung membaur dengan rakyat setempat dan menggunakan nama dan gelaran yang dipakai oleh masyarakat secara umum. Mereka mengorbankan gelaran Syed, Syarif dan Habib demi melihat bersatunya jiwa masyarakat dalam dakwah Islami. Dari hal itulah, mereka kini lebih dikenali sebagai Tengku, Tuan, Nik dan Wan. Mereka membaur bersama masyarakat dengan keluhuran akhlak dan kehidupan bersahaja serta ketaatan pada agama seperti yang diwarisi dari leluhur mereka telah memikat hati masyarakat peribumi sehingga Islam tersebar dalam masa yang reletif singkat.

Dari hasil dakwah beliau bersama saudaranya beserta perancangan yang berhikmah, Islam tersebar dengan meluas sehingga Empayar Langkasuka lebih dikenali sebagai Empayar Chermin Jeddah, manakala ibu negerinya (Tanah Serendah Sekebun Bunga/ Kelantan Tua) dikenali sebagai Negeri Serambi Mekah. Ini jelas pada masa itu, yang mana penyebaran ilmu agama amat pesat serta terbinanya Madrasah Diniah ( pondok pasentren ) bagaikan cendawan selepas hujan serta mereka yang datang belajar agama di sini disamakan tarafnya dengan mereka yang belajar agama di Mekah. Perkembangan Islam di bawah pimpinan beliau tidak terhenti setakat itu sahaja, bahkan beliau berjaya melatih para kader dakwah dan menghantarnya ke seluruh pelusuk Asia Nusantara ini.

Dikalangan keturunan beliau yang masyhur sebagai pendakwah diantaranya dari keturunan Ibrahim Zain al-Akbar (Champa) ialah Maulana Ishak, Muhammad Ainul Yakin (Sunan Giri), Ahmad Rahmatullah (Sunan Ampel), Ibrahim (Sunan Bonang), Hasyim (Sunan Derajat), Jaafar Shadiq(Sunan Kudus) . Manakala dari keturunan Ali Nurul Alam (Fatoni) lahirnya Wan Hussin (Tok Masjid Telok Manok/ Tok Syed Quran), Wan Abdullah (Wan Bo/ Tok Raja Wali), Wan Demali, Syarif Hidayatullah (Sunan Gunung Jati) dan Wan Demali (Temenggung Laut). Dari keturunan Abdullah (Wan Bo/ Tok Raja Wali) inilah yang telah melahirkan keturunan Abd Malik @ Muluk (Tok Ku Hitam/ Pakcu Keling).

Setelah beberapa lama beliau melaksanakan jihad dan dakwahnya di utara Nusantara maka beliaupun belayar kembali dan memilih kawasan selatan yang meliputi Kepulauan Jawa pula. Semasa berada di Pulau Jawa inilah, beliau sempat melihat kejayaan dakwah yang dilaksanakan oleh adakanda dan cucunda beliau. Setelah beberapa lama berada di Pulau Jawa akhirnya beliau merantau dan berdakwah ke daerah Bugis(Makasar/ Ujung Pandang) di Sulawesi Selatan. Semasa melaksanakan dakwahnya disini, beliau telah dipanggil oleh Qadhi Haqiqi Rabbul Jalil menghadapNya. Maka kembalilah insan yang telah banyak berjasa untuk Agama ALLAH ini dalam keadaan redha lagi diredhai pada tahun 1415 m dan dimakamkan di hadapan masjid beliau di Jalan Masjid Tua, Desa Tosora, Kacamatan Manjeuleng, Kabupaten Wajo, Propensi Sulawesi Selatan. Semoga ALLAH tetap mencurahkan Rahmat dan berkahNya kepada beliau serta menerima semua hasanah beliau dan memaafkan segala khilaf beliau juga mengangkat beliau ke darjah yang selayaknya bersama datuk beliau Syaidul Mursalin Wakhatamun Nabiyyin. (http://usrah-jamadilkubra.blogspot.com/search/label/Sejarah)

[7] Imam Ali: al- Mukhtar min Bayanihi wa Hikamihi. Pustaka Hidayah, Bandung. Cetakan Ke VII, Mac 2009. Muka surat: 15.