Selamat Datang

Usrah Jamadilkubra ialah rangkaian keluarga keturunan SYED JAMALUDDIN AL-AKBAR AL-HUSAINI (Wajo Makasar 1352-1415 M) BIN AHMAD JALALUDDIN SYAH (AHMAD SYAH JALAL) melalui keturunannya SYED ALI NURUDDIN ZAINUL ALAM (Ali Nurul Alam).

Selasa, 8 Mac 2011

Bertawassul dengan makam Nabi SAW


Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN

PADA minggu ini kita melihat pula perbuatan para sahabat yang bertawassul dengan makam Nabi SAW. Perbuatan mereka ini boleh dijadikan sandaran bahawa ia bukanlah suatu kesalahan dan menjernihkan lagi kefahaman kita tentang tawassul ini.
Berkata al-Imam al-Hafiz al-Darimi di dalam kitabnya al-Sunan, bab kemuliaan yang dikurniakan oleh Allah kepada Nabi Muhammad SAW selepas kewafatannya: Pada suatu masa, penduduk Madinah ditimpa kemarau yang dahsyat. Maka mereka mengadu kepada Sayyidah Aisyah RA, lalu Sayyidah Aisyah RA berkata, "Perhatikanlah makam Rasulullah SAW. Maka buatlah sebuah tingkap menghadap ke arah langit hingga tiada satu atap yang menghalang di antara maqamnya dengan langit."

Aus ibnu Abdullah berkata: "Maka mereka pun membuat tingkap tersebut. Lalu selepas itu, kami diturunkan hujan hingga rumput-rumput tumbuh dengan subur dan unta-unta menjadi gemuk, (seolah-olah) badannya pecah kerana banyaknya lemak. Maka tahun itu dinamakan Tahun al-Fatq (binatang gemuk dan berlemak) (Sunan al-Darimi Jld 1, H: 43)."

Inilah yang dinamakan bertawassul dengan makam baginda SAW. Bukan kerana ia adalah kubur semata-mata tetapi kerana di dalamnya disemadikan jasad makhluk yang paling mulia dan kekasih Tuhan semesta alam. Maka ia mendapat kemuliaan kerana berhampiran dengan Baginda SAW dan layaklah ia mendapat kedudukan yang mulia.

Jika dikaji sanad hadis ini maka kita dapati ia tidak mengapa (untuk digunakan). Bahkan di sisi saya, sanadnya adalah amat baik. Ia telah diterima baik oleh ulama dan mereka telah menjadikan sanad seperti ini sebagai pendukung kepada hadis yang lain, bahkan dengan sanad yang mempunyai kriteria yang lebih rendah daripada itu.

Sebahagian ulama berkata bahawa athar ini mauquf (terhenti atau disandarkan) kepada Aisyah, dan beliau adalah seorang sahabat, sedangkan perbuatan sahabat tidak boleh dijadikan sebagai hujah.

Jawapannya ialah, sekalipun bertawassul dengan makam Rasulullah SAW hanyalah lahir daripada idea Aisyah, namun beliau adalah seorang yang terkenal dengan keluasan dan kesaratan ilmunya dan beliau melakukan perbuatan tersebut di Madinah, di tengah-tengah ulama yang terdiri daripada sahabat yang hebat.

Kisah ini sudah cukup bagi kami menjadikan dalil bahawa Sayyidah Aisyah, Ummul Mukminin mengetahui bahawa Rasulullah SAW tetap mengasihi dan memberikan pertolongan kepada umatnya selepas kewafatannya. Orang yang menziarahinya dan memohon syafaat dengannya pasti akan diberikan syafaat sebagaimana yang dilakukan oleh Ummul Mukminin.

Perbuatannya ini tidak termasuk di dalam kategori amalan syirik atau salah satu jalan menuju kesyirikan sebagaimana anggapan salah golongan yang mempermudahkan urusan mengkafirkan dan menyesatkan orang lain. Sesungguhnya Aisyah dan orang yang menyaksikannya bukanlah orang yang buta dan jahil tentang kesyirikan.

Kisah ini membatalkan hujah mereka yang suka mengkafirkan dan menyesatkan golongan yang mengharuskan bertawassul dengan Nabi SAW selepas kewafatannya. Kisah ini telah menegaskan bahawa Nabi SAW tetap mengambil berat dan prihatin tentang keadaan umatnya di dalam maqamnya sekalipun telah wafat. Telah diriwayatkan bahawa Sayyidah 'Aisyah RA pernah berkata:

"Pada suatu ketika, aku masuk ke dalam rumahku yang terdapat makam Rasulullah SAW dan ayahandaku di dalamnya dan aku tidak menutup auratku di situ, dan aku berkata tidak mengapa kerana yang ada hanyalah suami dan ayahandaku.

"Setelah Umar ibn al Khattab dikebumikan di samping makam Rasulullah SAW dan ayahandaku, maka demi Allah aku tidak pernah masuk ke dalamnya melainkan dalam keadaan menutup aurat kerana malu dengan Umar RA." (riwayat Ahmad, al-Hakim dalam al-Mustadrak, al-Haithami mengatakan dalam Majma' al-Zawaid bahawa rijalnya sahih).

Aisyah tidak melakukan suatu perkara yang batil. Tetapi dia mengetahui bahawa Nabi SAW dan kedua orang temannya mengetahui siapakah insan yang berada di sisi kubur mereka.

Selasa, 1 Mac 2011

Bertawassul dengan hak para nabi


Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN

PADA minggu ini, kita menyambung semula perbahasan kita tentang isu tawassul, suatu persoalan yang boleh menjadi punca kekeliruan dalam masyarakat.

Penentangan sesetengah pihak terhadap tawassul boleh menjerumuskan mereka kepada sikap merendah-rendah kemuliaan dan kelebihan yang ada pada diri Rasulullah SAW dan para ulama pewaris baginda. Ini bukannya suatu kegelinciran yang kecil.

Oleh itu, wajarlah kita menghabiskan sedutan tentang perbahasan isu ini dari kitab Mafahim karya al-Allamah al-Muhaddith Dr. Sayyid Muhammad bin Sayyid 'Alawi al-Maliki.

Disebut di dalam manaqib (biografi) Fatimah binti Asad, bonda Saidina Ali ibn Abu Talib r.a, bahawa setelah beliau wafat, Rasulullah SAW sendiri menggali lubang lahadnya dan mengeluarkan tanah dengan tangannya.

Apabila telah selesai, Rasulullah SAW masuk ke dalam lubang tersebut dan berbaring di dalamnya. Kemudian Rasulullah SAW berdoa: "Allah Tuhan yang menghidupkan dan mematikan. Dia adalah Maha Hidup dan tidak akan mati. Ampunilah bondaku (bonda saudaraku), Fatimah binti Asad. Ajarilah dia hujah (jawapan pertanyaan malaikat Munkar dan Nakir), luaskanlah untuknya tempat masuknya (kuburnya), dengan kemuliaan nabi-Mu dan para Nabi sebelumku. Sesungguhnya Engkau Maha Pengasih dari segala yang mengasihani."

Lalu Nabi SAW bertakbir sebanyak empat kali dan memasukkan jenazah Fatimah ke dalam lahad bersama al 'Abbas r.a dan Abu Bakar al Siddiq r.a. (riwayat al-Tabrani di dalam al-Kabir dan al-Ausot. Demikianlah seperti yang disebut di dalam Majma' al Zawaid Jld 9, H: 257)

Sebahagian ahli hadis berselisih pandangan tentang Rauh ibn Solah, salah seorang perawi hadis ini. Namun Ibnu Hibban menyebut namanya di dalam rijal-rijal yang thiqah.

Dalam pada itu, al-Hakim berkata, beliau adalah seorang yang thiqah yang dipercayai. Justeru, kedua-dua al-Hafiz ini mensahihkan hadis di atas. Demikian juga al-Haithami di dalam Majma' al Zawaid, beliau berkata: "Dalam perawi hadis ini ada seorang yang bernama Rauh ibn Solah, beliau telah dihukumkan thiqah oleh Ibnu Hibban dan Hakim. Dia mempunyai kelemahan, manakala perawi-perawi yang lain adalah sahih."

Hadis ini juga diriwayatkan oleh Ibnu Abdil Bar daripada Ibni Abbas r.a, dan Ibni Abi Syaibah daripada Jabir r.a. Ia diriwayatkan juga oleh al-Haithami dan Abu Nu'aim.

Maka jalan-jalannya saling menguatkan dan mendukung di antara satu sama lain dengan kuat dan tahqiq sekali.

Sheikh al-Hafiz Abdullah ibn al-Siddiq al-Ghumari berkata: "Rauh ibn Solah ini hanya mempunyai sedikit kelemahan di sisi mereka yang melemahkannya sebagaimana yang dilihat dalam ungkapan mereka."

Oleh yang demikian, al Hafiz al-Haithami pun mengira Rauh ibn Solah mempunyai kelemahan yang ringan, sebagaimana yang biasa didapati pada perawi-perawi yang lain oleh mereka yang berkemahiran tinggi tentang kitab-kitab Fan (ilmu hadis).

Kesimpulannya, hadis ini tidak kurang daripada menempati darjat hasan. Bahkan, mengikut syarat Ibnu Hibban, ia adalah sahih. (Ittihaf al Azkiya' h: 20.)

Dari sini juga, kita mendapat satu kesimpulan, bahawa para nabi yang ditawassulkan oleh Nabi Muhammad SAW dengan hak mereka kepada Allah sebagaimana yang dinyatakan di dalam hadis ini dan hadis lain, telah pun wafat.

Justeru, hadis ini juga mensabitkan hukum harus bertawassul pada Allah dengan kemuliaan dan ahli yang mempunyai kemuliaan; tidak kira sama ada mereka itu masih hidup atau pun telah wafat.

Rabu, 16 Februari 2011

Terlampau memuji Rasulullah SAW?


Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN


SEMPENA menyambut Mawlid al-Rasul SAW, kita tangguhkan sejenak siri perbahasan kita tentang tawassul dan memilih untuk memetik satu tajuk lain iaitu batas pujian terhadap Rasulullah SAW.

Ini adalah kerana dalam keghairahan majoriti umat Islam memuji dan menjunjung Rasulullah SAW dalam menyambut Mawlid Baginda SAW, terdapat juga suara-suara yang menimbulkan salah-faham dengan mendakwa bahawa puji-pujian terhadap Rasulullah SAW adalah suatu yang melampau dan terpesong daripada ajaran Islam. Antara sandaran utama golongan ini ialah sabda Rasulullah SAW: "Janganlah kamu melampau-lampau memujiku sebagaimana kaum Nasrani melampau-lampau memuji Isa ibnu Maryam."

Sebahagian orang memahami sabda Nabi SAW di atas dengan makna melarang daripada memuji Baginda SAW Mereka mengira perbuatan memuji Nabi SAW termasuk dalam perbuatan yang melampau dan sikap berlebihan yang tercela dalam agama, yang boleh mengakibatkan syirik. Mereka juga beranggapan, bahawa orang yang memuji Nabi Muhammad SAW, mengangkat kedudukan Baginda SAW melebihi daripada manusia yang lain, menyanjungnya dan menyifatkan Baginda SAW dengan apa saja yang membezakannya daripada manusia yang lain, bererti telah melakukan bidaah dalam perkara agama dan menyanggahi Sunnah Penghulu segala Rasul SAW.

Ini adalah pemahaman yang salah dan buruk serta menunjukkan kecetekan pandangan orang yang menilai hadis tersebut. Maksud sebenar hadis ialah Nabi Muhammad SAW melarang memujinya secara keterlaluan sebagaimana yang dilakukan oleh kaum Nasrani terhadap Nabi Isa AS yang mengatakan bahawa Nabi Isa AS itu adalah anak Allah.

Adapun orang yang memuji Nabi SAW dan menyifatkannya dengan sifat-sifat yang tidak terkeluar daripada hakikat kemanusiaan, di samping meyakini bahawa Baginda SAW adalah hamba Allah dan utusan-Nya, dan menjauhi keyakinan dan kepercayaan kaum Nasrani, maka sesungguhnya tidak disyaki lagi merupakan orang ini adalah yang paling sempurna tauhidnya.

Tepatlah madah Imam al-Busiri RH dalam qasidah Burdahnya yang menegaskan,

"Tinggalkan cara orang Nasrani (Kristian) dalam menyanjung Nabi mereka (Nabi Isa AS). Ertinya: Jangan katakan Muhammad SAW itu mempunyai sifat-sifat ketuhanan). Selepas itu, terserahlah kepadamu untuk memuji Baginda SAW sesuka hati mu.

Kerana hakikatnya keagungan Rasulullah SAW itu tiada had baginya, sehingga mampu lidah mengungkapkannya secara sempurna.

Kemuncak pengetahuan mereka tentang diri Baginda SAW mereka hanya mampu mengatakan bahawa Baginda SAW itu adalah seorang manusia, yang sebenarnya merupakan semulia-mulia di kalangan makhluk Allah seluruhnya."

Mana mungkin dikatakan bahawa memuji Baginda SAW itu salah sedangkan Allah SWT sendiri memuji Nabi-Nya, melalui beberapa firman-Nya termasuk: Dan sesungguhnya engkau mempunyai akhlak yang sangat mulia. (al-Qalam: 4)

Allah juga memerintahkan supaya umat manusia sentiasa beradab bersama Nabi SAW sama ada ketika berbicara mahupun menjawab panggilannya. Allah berfirman: Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengangkat suaramu melebihi suara Nabi. (al-Hujuraat: 2)

Allah SWT juga melarang kita daripada berurusan dan bergaul dengan Nabi SAW sebagaimana kita berurusan dan bergaul sesama manusia yang lain, atau memanggil Baginda SAW sebagaimana cara kita memanggil sesama kita. Allah SWT berfirman: Janganlah kamu jadikan seruan atau panggilan Rasulullah di antara kamu seperti seruan atau panggilan sesama kamu. (al-Nur:63).

Selasa, 8 Februari 2011

Kekeliruan yang ‘dipasarkan’


Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN


KITA sentiasa menegaskan bahawa antara cabaran utama umat Islam di zaman ini adalah untuk membetulkan kefahaman agama mereka. Ini kerana fikrah-fikrah yang mengelirukan boleh muncul di mana-mana sahaja.

Para penerbit buku agama misalnya, ada yang bersifat terlalu komersial sehingga tidak berhati-hati memilih dan menapis bahan-bahan yang hendak dicetak dan dipasarkan.

Sebab itu ada terjumpa di rak sebuah kedai buku beberapa buku kecil berkaitan isu-isu agama yang bertemakan beramal menurut cara Nabi SAW.

Seperti yang dijangka, buku-buku itu turut mengandungi fikrah ‘beracun’ iaitu membidaahkan sesetengah amalan seperti zikir dan selawat yang sebenarnya menurut sebahagian besar ulama Islam tidak bercanggah, malah selari dengan perlembagaan al-Quran dan al-Sunnah.

Yang menariknya, bersebelahan dengan buku-buku itu, turut ditemui sebuah buku terjemahan karangan al-Marhum Sheikh Dr. Abdul Halim Mahmud, bekas Sheikhul Al-Azhar berkenaan dengan galakan berzikir yang diterbitkan oleh penerbit yang sama.

Dalam buku ini terdapat galakan mengamalkan zikir dan selawat yang dibidaahkan oleh buku-buku yang sebelumnya. Maka apakah nasib yang bakal menimpa orang-orang awam yang dengan jujur mahu menambah sedikit kefahaman agama mereka dengan membeli buku-buku ini?

Jika mereka tersalah pilih, bukankah mereka terdedah kepada kekeliruan dan fahaman yang salah yang akan menjauhkan lagi mereka daripada ajaran Islam yang benar?

Malangnya, buku-buku itu diterbitkan oleh penerbit yang sangat aktif menerbitkan buku-buku agama bagi masyarakat awam. Oleh kerana itu, buku-buku itu akan memasuki pasaran secara meluas dan akan mudah diperoleh.

Sepatutnya, penerbit-penerbit besar buku-buku agama harus lebih berhati-hati dalam menjalankan perniagaan.

Usaha menerbitkan bahan-bahan agama adalah suatu usaha yang mulia tetapi ia turut datang dengan amanah dan tanggungjawab yang besar di hadapan Allah SWT.

Mereka tidak boleh lewa dan cuai dalam memilih bahan-bahan agama yang hendak dilambakkan dalam pasaran.

Sebahagian masyarakat awam Islam pula mengambil jalan mudah dengan hanya mengambil ilmu agama mereka daripada buku-buku dan bahan agama popular yang ada di pasaran tanpa merujuk kepada guru-guru yang boleh dipercayai.

Ini adalah resipi-resipi yang boleh menyebabkan tersebarnya lebih banyak kekeliruan dan salah-faham agama di tengah masyarakat. Semoga Allah SWT menjauhkan dan memelihara kita daripadanya.

Atas kesedaran bahawa masyarakat awam cenderung untuk memilih yang mudah dan ringkas, kami di Yayasan Sofa berusaha dalam ruangan ini untuk mempersembahkan perbahasan dalam buku-buku yang lebih ilmiah dalam bentuk yang lebih ringkas dan mudah.

Begitu juga dalam penerbitan buku-buku dan bahan rujukan agama lain yang kami terbitkan yang belum mampu kami cetak dan pasarkan secara besar-besaran.

Pun begitu, masyarakat Islam sepatutnya disedarkan bahawa mereka tidak boleh terus-menerus bersikap bermudah dan bermalasan dalam menimba kefahaman agama mereka.

Dalam membentuk kefahaman dan penghayatan Islam yang sahih sebenarnya tidak ada jalan pintas dan mudah.

Resipi utamanya adalah dengan menuntut dengan guru-guru yang benar-benar diperakui oleh para ulama dan boleh dipercayai keilmuan dan penghayatan agama mereka.

Cara ini menuntut mujahadah dan pengorbanan yang bukan sedikit tetapi akan lebih menjanjikan pembukaan ilmu dan makrifah yang sebenar selari dengan firman Allah SWT yang bermaksud: Dan mereka yang berjihad pada jalan kami nescaya akan Kami tunjukkan jalan-jalan Kami, dan bahawa sesungguhnya Allah tetap bersama para Muhsinin. (al-Ankabut: 69)

Khamis, 27 Januari 2011

Bertawassul dengan athar Rasulullah


BULAN Rabiulawal yang membawa makna dan rasa tersendiri bagi para pencinta Rasulullah SAW menjelang tiba. Ia datang dengan imbauan ingatan lahirnya insan agung yang membawa cahaya kebenaran dan siraman rahmat kepada seluruh alam.
Seharusnyalah peristiwa agung itu terus-menerus dikenang, disebut, disanjung sebagai tanda syukur kita ke hadrat Allah SWT atas nikmat yang maha besar dan sebagai penyubur ikatan kasih kita pada Rasulullah SAW.

Perlu difahami bahawa perbahasan kita berkaitan isu tawassul selama ini juga tidak terpisah daripada semangat menzahirkan mahabbah dan berkhidmat kepada Rasulullah SAW seperti yang diperintahkan oleh Allah SWT.

Ia tidak harus sekadar menjadi suatu polemik ilmiah yang terpisah daripada makna yang lebih tinggi tersebut. Semoga kita semua sentiasa digolongkan bersama mereka yang diizinkan untuk berkhidmat kepada Baginda SAW dan memasuki naungan kasih Baginda SAW.

Minggu ini, kita ingin memasuki satu pecahan tajuk baru berkaitan dengan tawassul iaitu hukum bertawassul dengan kesan-kesan peninggalan Rasulullah SAW atau juga dipanggil athar. Sebenarnya telah diriwayatkan secara sahih bahawa para Sahabat RA pernah melakukan perbuatan mengambil berkat atau bertabarruk dengan athar Rasulullah SAW.

Perbuatan bertabarruk ini hanya mempunyai makna dan tujuan yang satu iaitu bertawassul kepada Allah dengan kesan-kesan Baginda SAW, kerana bertawassul boleh dilakukan dengan bermacam-macam cara dan tidak terbatas kepada satu cara tertentu sahaja.

Apakah patut jika kita boleh menerima bahawa para sahabat RA hanya sekadar bertawassul dengan kesan-kesan peninggalan Baginda SAW tetapi tidak pula bertawassul dengan Baginda SAW sendiri? Adakah logik jika dikatakan bahawa adalah sah bertawassul dengan furu' (benda-benda yang mempunyai kaitan dengan Baginda SAW iaitu kesan-kesan peninggalan Baginda SAW) tetapi tidak sah pula bertawassul dengan asalnya (diri Baginda SAW sendiri)?

Adakah sah bertawassul dengan kesan Baginda SAW yang tidak akan menjadi mulia dan agung melainkan disebabkan oleh empunya barang peninggalan tersebut iaitu Nabi Muhammad SAW, dan selepas itu pula kita mengatakan tidak sah bertawassul dengan Baginda SAW? "Maha Suci Engkau, ya Allah! Sesungguhnya ini hanyalah suatu pembohongan besar."

Rabu, 19 Januari 2011

Tawassul menurut Imam al-Syaukani


Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA NEGERI SEMBILAN

IMAM al-Syaukani adalah seorang lagi tokoh ulama yang sering menjadi rujukan sebahagian daripada mereka yang mendakwa mahu memperbaharui agama di zaman ini.

Tawassul pula menjadi salah satu amalan yang dituduh sebagai terpesong dan menjadi penghalang kepada pembaharuan agama. Oleh itu wajarlah kita menyorot pandangan tokoh ini tentang tawassul.

Menurut al-Imam Sheikh Muhammad ibn Ali al-Syaukani di dalam risalahnya al-Dur al-Nadhid fi Ikhlas Kalimah al-Tauhid: "Adapun bertawassul kepada Allah dengan perantaraan salah seorang daripada makhluk-Nya bagi suatu permohonan yang dituntut oleh seseorang hamba daripada Tuhannya."

Sheikh 'Izzuddin Ibnu Abdul Salam pula menyatakan: "Sesungguhnya tidak harus bertawassul kepada Allah SWT melainkan dengan kemuliaan Nabi SAW, sekiranya hadis mengenainya adalah sahih."

Berkemungkinan, yang dimaksudkan oleh Sheikh 'Izzuddin Ibnu Abdul Salam adalah hadis yang diriwayatkan oleh al-Nasaei dalam Sunannya dan juga al-Tirmizi dan disahihkannya oleh Ibnu Majah dan lain-lainnya: Bahawa seorang buta datang kepada Nabi SAW, lalu diajarkan dengan doa tawassul, maka beliau menyebut hadis tersebut.

Berkata Imam Syaukani: "Pada pandangan manusia tentang makna ini, terdapat dua pendapat:

Pendapat pertama: Bertawassul adalah apa yang disebut oleh Umar al Khattab r.a, sebagaimana katanya: Kami apabila ditimpa musim kemarau, kami bertawassul dengan nabi kami kepada-Mu, maka Engkau menurunkan hujan kepada kami, dan sekarang kami bertawassul kepada-Mu dengan kemuliaan bapa saudara nabi kami (Abbas r.a). Hadis ini terdapat di dalam Sahih al Bukhari dan lain-lainnya.

Umar r.a telah menyebut, bahawa mereka bertawassul dengan nabi SAW semasa hidupnya supaya diturunkan hujan. Kemudian mereka bertawassul pula dengan bapa saudara baginda SAW, Abbas r.a selepas kewafatan baginda SAW.

Tawassul mereka adalah permohonan supaya diturunkan hujan ketika nabi SAW berdoa dan mereka juga berdoa bersamanya.

Maka jadilah baginda SAW sebagai wasilah mereka kepada Allah SWT dan nabi SAW dalam hal seperti ini sebagai pemberi syafaat dan orang yang mendoakan bagi mereka.

Pendapat kedua: Bertawassul dengan kemuliaan nabi SAW boleh dilakukan tidak kira semasa hidup Baginda SAW dan selepas kewafatannya. Begitu juga ketika keberadaannya dan ketiadaannya.

Tidak tersembunyi lagi, bahawa telah sabit keharusan bertawassul dengan baginda SAW semasa hayatnya. Begitu juga bertawassul dengan selain baginda SAW selepas kewafatannya berdasarkan ijmak sahabat iaitu ijmak sukuti.

Lantaran kerana tiada seorang daripada kalangan mereka yang mengingkari ketika Saidina Umar r.a bertawassul dengan Saidina Abbas r.a.

Pada pendapat saya sendiri,sebenarnya tidak ada jalan untuk membataskan keharusan bertawassul hanya dengan perantaraan nabi SAW sahaja, sebagaimana yang didakwa oleh Sheikh 'Izzuddin Ibnu Abdul Salam. Hal ini disebabkan dua perkara:
1. Hujah ijmak sahabat sebagaimana yang kami kemukakan di atas.
2. Hakikat bahawa bertawassul kepada Allah dengan kemuliaan orang-orang yang mulia dan berilmu, sebenarnya adalah bertawassul dengan amalan soleh dan keistimewaan mereka yang mulia.

Sebabnya, mereka tidak menjadi mulia melainkan dengan amalan-amalan yang telah mereka lakukan. Maka jika seseorang berkata: "Ya Allah! Sesungguhnya aku bertawassul kepada-Mu dengan orang alim fulan." Maka tawassul ini dilakukan kerana keilmuan orang tersebut.

Selasa, 11 Januari 2011

Pensyariatan tawassul


Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN

SHEIKH Ibnu Taimiyyah adalah antara tokoh yang sering menjadi rujukan dan sandaran utama oleh kelompok yang memandang serong terhadap tawassul dan beberapa isu lain seperti bidaah hasanah dan fiqh bermazhab.

Mungkin atas sebab itu, Al-Allamah Dr. Sayyid Muhammad bin Sayyid Alawi al-Maliki turut merujuk khusus kepada pandangan beliau dalam kitabnya Mafahim (Kefahaman Yang Wajib Diperbetulkan).

Berkata Sheikh Ibnu Taimiyyah di dalam kitabnya Qa’idah Jalilah fi al Tawassul wa al Wasilah (H: 5) ketika membicarakan tentang firman Allah SWT: Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kamu kepada Allah dan carilah wasilah (jalan/perantara) untuk mendekatkan diri kepada-Nya. (al-Maaidah: 35),

“Mencari wasilah kepada Allah hanya berlaku bagi orang yang bertawassul kepada Allah dengan keimanan terhadap Nabi Muhammad SAW dan ikutan terhadap Sunnahnya.

“Bertawassul dengan keimanan dan ketaatan kepada Baginda SAW, merupakan kefarduan bagi setiap individu dalam setiap keadaan; zahir dan batin, tidak kira sama ada ketika Rasulullah SAW masih hidup atau selepas kewafatannya, ketika kewujudannya atau ketiadaannya.

“Tidak jatuh kewajipan bertawassul dengan keimanan dan ketaatan kepada Baginda SAW daripada seseorang makhluk dalam apa jua keadaan sekali pun setelah tertegaknya hujah. Bahkan, ia tidak akan gugur dengan apa pun jua alasan.

“Tidak ada jalan untuk menuju kepada kemuliaan dan rahmat Allah, serta terselamat daripada kehinaan dan siksaan-Nya, melainkan dengan bertawassul dengan keimanan dan ketaatan kepada Baginda SAW.

“Rasulullah SAW adalah pemberi syafaat kepada makhluk, pemilik makam yang terpuji yang amat dicemburui oleh manusia yang terdahulu dan terkemudian. Baginda SAW adalah pemberi syafaat yang paling agung kedudukannya dan paling tinggi pangkatnya di sisi Allah.

Allah telah berfirman tentang Musa a,d yang bermaksud: Dan adalah dia seorang yang mempunyai kedudukan yang terhormat di sisi Allah. (al-Ahzaab: 69)

Allah juga telah berfirman tentang al Masih a.s: Dia merupakan seorang yang terkemuka di dunia dan akhirat. (ali-‘Imran: 45)

Adapun, Nabi Muhammad SAW merupakan nabi yang paling tinggi pangkat dan kedudukannya daripada nabi-nabi dan rasul-rasul yang lain, tetapi syafaat dan doa baginda SAW hanya dapat dimanfaatkan oleh orang yang disyafaatkannya dan didoakannya.

Maka sesiapa yang didoakan dan disyafaatkan oleh Rasulullah SAW, barulah dia boleh bertawassul kepada Allah dengan syafaat dan doa baginda SAW tersebut, sebagaimana para sahabat r.a bertawassul kepada Allah dengan doa dan syafaat baginda SAW.

“Begitu juga sebagaimana manusia bertawassul kepada Allah pada hari Kiamat dengan doa dan syafaat baginda SAW”.

Dalam al Fatawa al Kubra (1/140), Sheikh Ibnu Taimiyyah ditanya: Adakah harus bertawassul dengan Nabi SAW ataupun tidak? Maka beliau menjawab: Alhamdulillah, adapun bertawassul dengan keimanan dengan Nabi SAW, kasih dan ketaatan kepada Baginda SAW, bacaan selawat dan salam ke atas Baginda SAW, doa-doa dan syafaatnya dan sebagainya yang merupakan perbuatan Baginda SAW dan hamba-hamba Allah yang sememangnya diperintahkan menunaikan haknya, maka ia adalah disyariatkan dengan persepakatan kaum Muslimin.