Selamat Datang

Usrah Jamadilkubra ialah rangkaian keluarga keturunan SYED JAMALUDDIN AL-AKBAR AL-HUSAINI (Wajo Makasar 1352-1415 M) BIN AHMAD JALALUDDIN SYAH (AHMAD SYAH JALAL) melalui keturunannya SYED ALI NURUDDIN ZAINUL ALAM (Ali Nurul Alam).

Selasa, 12 April 2011

Salah faham terhadap syafaat


Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN

ALHAMDULILLAH, sesudah kita menamatkan perbahasan mengenai isu tawassul, pada minggu ini, dengan memohon taufik dan inayah Ilahi, kita akan usaha memurnikan salah faham terhadap isu-isu agama dengan beralih kepada isu syafaat.

Seperti sebelumnya, pendekatan yang kita ambil adalah dengan merujuk kepada huraian pandangan Al-'Allamah al-Muhaddith Prof. Dr. Sayyid Muhammad bin Sayyid 'Alawi al-Maliki dalam bukunya Mafahim Yajib an Tusohhah (Kefahaman Yang Wajib diPerbetulkan).

Usaha kami sangat sederhana dalam menyumbang kepada tugas yang berat dan besar iaitu mempertahankan agar aliran kefahaman agama Islam di negara ini dapat dikekalkan atas fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ).

Sedangkan pihak-pihak yang mahu menukarkannya kepada aliran-aliran fahaman lain terus berusaha dengan menggunakan pelbagai ruang media arus perdana dan alternatif, menganjurkan seminar kecil dan besar, didokong dengan dana luar dan dalam, demi menghakis keutuhan fahaman Islam di Malaysia yang sangat dicemburui.
Kita hanya mampu berdoa bahawa usaha kita yang tidak setanding dengan cabaran yang ada akan ditampung dan ditimbal dengan rahmat dan inayah ilahi kepada kita semua.

Syafaat bermaksud pertolongan atau bantuan. Dalam konteks perbincangan kita, isu syafaat merujuk kepada perbahasan yang timbul berkenaan seseorang yang memohon pertolongan dan bantuan kepada selain Allah khususnya memohon syafaat daripada Rasulullah SAW.

Sebahagian orang berpendapat bahawa tidak boleh memohon syafaat daripada Nabi Muhammad di dunia. Bahkan, menurut sebahagian orang yang gemar menimbulkan kekeliruan, bahawa memohon syafaat adalah perbuatan syirik dan sesat.


Dalil yang mereka gunakan untuk mempertahankan pendapat mereka yang salah itu adalah firman Allah yang bermaksud: Katakanlah (wahai Muhammad) hanya milik Allahlah semua syafaat. (al-Zumar: 44)

Kita menegaskan bahawa kaedah penggunaan dalil mereka ini adalah batil. Ternyata menunjukkan kepada kefahaman mereka yang rosak. Kesalahan mereka ini boleh dibuktikan daripada dua aspek.
 

Pertama, hakikatnya, tidak terdapat di sana mana-mana nas; sama ada dari al-Quran, mahupun sunnah yang melarang memohon syafaat daripada Nabi Muhammad di dunia.

Kedua, ayat itu sama sekali tidak menunjukkan kepada larangan memohon syafaat daripada Nabi Muhammad di dunia (dan di akhirat). Sebaliknya, seperti ayat-ayat lain yang seumpamanya, ayat ini diturunkan bagi menjelaskan pengkhususan Allah dengan apa yang dimiliki-Nya dan tidak dimiliki oleh orang lain (makhluk).

Maknanya, Allah adalah Pengurus urusan syafaat yang hanya khusus bagi-Nya. Namun, ini tidak menafikan bahawa Dia juga berhak memberikannya kepada sesiapa sahaja yang dikehendaki-Nya, apabila Dia menghendakinya.

Dia adalah pemilik kerajaan, yang berhak memberikan kerajaan itu kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya dan menarik kekuasaan atau kerajaan itu daripada sesiapa sahaja yang dikehendaki-Nya.

Selasa, 5 April 2011

Tawassul dan kesimpulan


Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN

SETELAH membahaskan isu tawassul dalam 14 siri yang lepas, tiba masa untuk menyimpulkan perbahasan. Apa yang boleh disimpulkan ialah tidak syak lagi Nabi SAW mempunyai kedudukan yang tinggi, martabat yang mulia dan pangkat yang besar di sisi Allah SWT.

Maka syariat dan logik akal manakah yang menegah bertawassul dengan baginda. Terutamanya apabila terdapat dalil-dalil yang telah menetapkannya di dunia dan akhirat.

Ditegaskan, dalam bertawassul, kita tidak sekali-kali memohon kepada selain Allah dan tidak berdoa melainkan hanya kepada-Nya.

Kita hanya berdoa kepada-Nya dengan atau melalui apa yang dikasihi-Nya. Kadang kala kita memohon kepada-Nya dengan amalan-amalan soleh kita kerana Dia menyukai dan meredainya. Kadang kala kita memohon kepada-Nya dengan perantaraan makhluk yang dikasihi-Nya, sebagaimana disebut di dalam hadis Nabi Adam a.s yang lepas dan hadis Fatimah binti Asad yang dan hadis Uthman ibn Hunaif.

Kadang kala kita memohon kepada-Nya dengan perantaraan nama-nama Allah yang indah sebagaimana doa Nabi SAW: "Aku memohon kepada-Mu dengan sesungguhnya Engkau adalah Allah." Atau, kadang kala kita memohon kepada-Nya dengan sifat atau perbuatan-Nya, sebagaimana sabda nabi SAW di dalam hadis yang lain: "Aku berlindung dengan keredaan-Mu daripada kemurkaan-Mu dan aku berlindung dengan kemaafan-Mu daripada balasan azab-Mu."

Justeru, tawassul itu tidak terbatas pada ruang yang sempit sebagaimana sangkaan golongan yang menolaknya. Rahsianya, adalah sah kita bertawassul dengan semua yang dikasihi Allah.

Begitu jugalah halnya dengan sesiapa sahaja yang dikasihi oleh Allah sama ada kalangan nabi atau wali. Ini adalah jelas di sisi setiap insan yang mempunyai fitrah yang sejahtera. Ia tidak ditegah atau ditolak oleh akal dan naqal, bahkan akal dan naqal saling menyokong atas keharusannya.

Jelasnya, yang diminta dalam bertawassul ialah Allah yang Esa tanpa ada yang menyekutui-Nya. Bukan kepada nabi, wali, kepada yang hidup atau yang mati.

Firman Allah SWT: Katakanlah wahai Muhammad, "Semuanya itu (kebaikan dan bencana) adalah (berpunca) dari Allah". Maka apakah yang menyebabkan kaum itu hampir-hampir tidak memahami perkataan (nasihat dan pengajaran)? (an-Nisaa': 78)

Jika diterima bahawa harus bertawassul dengan amalan, sudah tentu bertawassul dengan Nabi lebih utama. Sebabnya, baginda adalah paling mulia antara sekelian makhluk dan segala amalan berpunca daripada amalan baginda.

Allah juga lebih besar kasih-Nya terhadap baginda daripada segala amalan dan lain-lainnya. Justeru, tidak ada sebarang penghalang daripada bertawassul dengan Nabi.

Tidak lebih daripada itu, bahawa seseorang itu bertawassul kerana berkeyakinan nabi mempunyai kedudukan di sisi Allah dan orang yang bertawassul tidak bertujuan selain itu.

Sesiapa yang mengingkari atau menafikan kadar kedudukan Nabi di sisi Allah, maka dia adalah kafir sebagaimana yang telah kita katakan.

Tidak diragui lagi, bahawa orang yang bertawassul dengan perantaraan orang soleh, bertawassul dengannya hanya kerana mereka adalah orang yang melakukan amalan soleh.

Maka ia kembali kepada asalnya, iaitu amalan soleh yang sememangnya disepakati keharusan bertawassul dengannya, sebagaimana yang telah kita katakan pada awal perbicaraan.

Semua hadis dan athar yang telah disebutkan, menetapkan dan mendukung keharusan bertawassul. Sekiranya dikatakan, ia hanya khusus semasa hayat baginda, maka jawapannya: "Pengkhususan yang dikatakan ini tidak langsung mempunyai dalil yang menunjukkan ke atasnya. Sesungguhnya roh itu adalah kekal dan mempunyai perasaan, pengetahuan dan pemahaman."

Mazhab Ahli Sunnah wal Jamaah berpegang bahawa mayat boleh mendengar, merasa dengan pancaindera dan merasa dengan perasaan. Mayat juga boleh mendapat manfaat dengan suatu kebaikan, boleh bergembira, merasa sakit dengan suatu keburukan dan berdukacita. Keadaan ini dinisbahkan kepada manusia kebanyakan secara umum.

Atas dasar ini, nabi pernah menyeru penghuni (perkuburan) al-Qalib yang terdiri daripada kafir Quraisy dalam peperangan Badar, "Wahai Utbah! Wahai Syaibah! Wahai Rabi'ah!" Maka Rasulullah ditanya: "Kenapa tuan memanggil mereka? Sedangkan mereka telah menjadi bangkai? Maka sabda baginda: "Kalian tidaklah lebih mendengar daripada mereka, cumanya mereka tidak mampu menjawab."

Jika begini keadaannya bagi manusia kebanyakan, maka bagaimana pula keadaannya dengan seafdal-afdal dan seagung-agung manusia?

Hanya orang yang telah mati (hatinya) itu tidak percaya bahawa Nabi tidak mampu mendengar, melihat dan mengetahui keadaan kita. Bahkan, Nabi juga tidak mampu berdoa kepada Allah untuk kita.

Apakah jenayah yang lebih besar daripada kesesatan ini? Apakah kejahilan yang lebih teruk daripada kedunguan ini? Mereka benar-benar kurang ajar dan memperkecil-kecilkan kedudukan Nabi.

Berkata Ibnu al Qayyim dalam kitab al-Ruh: Ahli Salaf berijmak dalam perkara ini, bahkan telah mutawatir athar-athar berkaitan dengannya. Begitu juga Ibnu Taimiyyah telah dipersoalkan tentang perkara ini. Maka beliau mengeluarkan fatwa yang menyokong perkara tersebut. (Al-Fatawa, Jilid 24, ms. 331, 362)

Jika demikian halnya bagi kebanyakan manusia, apakah fikiran kamu tentang orang Mukmin umumnya, hamba-hamba Allah yang soleh khasnya dan juga penghulu kita Muhammad SAW?

Selasa, 29 Mac 2011

Tawassul, ziarah dan kisah al-'Utbi


Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN

JIKA minggu lepas kita telah merenung peristiwa sejarah Saidina Umar dan umat Islam dizamannya bertawassul dengan al-'Abbas, pada kali ini mari kita melihat pula satu lagi peristiwa sejarah yang lebih masyhur sebagai kisah 'Utbi.

Al-Imam al-Hafiz Sheikh 'Imaduddin Ibnu Kathir Telah menyebut suatu jemaah di antara mereka ialah Sheikh Abu Mansur al-Sobbagh di dalam kitabnya al-Syamil tentang hikayat yang masyhur mengenai 'Utbi, yang menceritakan: "Ketika aku sedang duduk di sisi makam Nabi, datang seorang Arab Dusun lalu mengucapkan salam sejahtera ke atasmu, wahai Rasulullah. Aku telah mendengar Allah SWT berfirman: Seandainya mereka telah menganiaya diri mereka (membuat dosa), lalu mereka datang kepadamu (Nabi Muhammad SAW) dan memohon keampunan kepada Allah dan Rasul juga memohon keampunan bagi mereka, nescaya mereka akan mendapati Allah Yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani. (al-Nisaa': 64)

"Sesungguhnya aku datang kepadamu kerana memohon keampunan daripada segala dosaku, dan mengharapkan syafaatmu kepada Tuhanku."

Setelah itu, Arab Dusun tersebut mendendangkan beberapa bait syair: "Wahai penghuni kuburan yang tulang-belulangnya di tanah yang suci ini, kerana kandungannya yang baik, tanah dan bukitnya juga dipuji.

"Jiwaku sedia berkorban terhadap orang yang mendiami kuburan ini, yang bersifat bersih diri, murah hati lagi dihormati".

Kemudian orang Arab Dusun itu beredar dari situ. Peristiwa tersebut terbawa-bawa dalam tidurku. Lalu aku bermimpi melihat Nabi SAW bersabda kepadaku: "Wahai 'Utbi! Pergi dapatkan lelaki itu dan sampaikan berita gembira kepadanya, bahawa Allah telah mengampunkan dosanya."

Kisah ini telah diriwayatkan oleh Imam Nawawi di dalam kitabnya yang dikenali dengan al-Idhah (ms. 498). Ia juga diriwayatkan oleh al Hafiz 'Imaduddin Ibnu Kathir di dalam tafsirnya yang begitu masyhur ketika mentafsirkan ayat di atas.

Kisah ini turut diriwayatkan oleh Sheikh Abu Muhammad Ibnu Qudamah di dalam kitabnya al-Mughni (jilid 3, ms.556). Ia juga dinaqalkan oleh Sheikh Abu al Farj Ibnu Qudamah di dalam kitabnya al-Syarh al-Kabir (Jilid 3, ms. 495).

Selain itu, ia juga dinaqalkan oleh Sheikh Mansur ibn Yunus al-Buhuti di dalam kitabnya yang dikenali dengan Kasyshaf al-Qina'; salah sebuah kitab termasyhur dalam mazhab Hambali (Jilid 5, ms. 30).

Imam al Qurtubi, seorang ulama besar yang menjadi sandaran ahli tafsir, menyebut kisah yang hampir sama di dalam tafsirnya yang terkenal, al-Jami' li Ahkam al-Quran.

Beliau berkata: Telah meriwayatkan Abu Sodiq daripada Ali berkata: "Telah datang kepada kami seorang Arab Dusun selepas tiga hari kami mengkebumikan jenazah Rasulullah. Dia melemparkan dirinya di sisi makam Rasulullah SAW dan melumurkan debu-debunya di atas kepalanya. Lalu dia berkata, "Engkau telah bersabda, wahai Rasulullah! Dan Aku telah mendengar sabdamu itu. Aku telah mengingatinya daripada Allah dan daripadamu (ayat tersebut).

Antara yang diturunkan oleh Allah kepadamu: "Seandainya mereka telah menganiaya diri mereka (membuat dosa), lalu mereka datang kepadamu (Nabi Muhammad SAW) dan memohon keampunan kepada Allah dan Rasul juga memohon keampunan bagi mereka, nescaya mereka akan mendapati Allah Yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.

"Sesungguhnya aku telah menzalimi diriku dan aku datang kepadamu untuk meminta agar engkau memohon keampunan untukku".

Lalu berseru suatu suara dari makam, "Sesungguhnya kamu telah diampunkan". (Al-Jami' li al-Ahkam al-Quran, Jilid 5, ms. 265)

Inilah kisah al 'Utbi, dan mereka yang telah disebutkan di atas adalah ulama yang telah menaqalkan kisah ini; sama ada dengan sanad yang sahih atau pun daif; yang boleh menjadi sandaran para ahli hadis di dalam menentukan suatu khabar. Maka kita ingin bertanya, adakah para tokoh ulama ini menaqalkan sesuatu yang menimbulkan kekufuran dan kesyirikan?

Atau, apakah mereka menaqalkan sesuatu yang membawa kepada penyembahan berhala dan peribadatan kepada kubur? Jika perkara tersebut sedemikian, maka apakah wajar diletakkan kepercayaan kepada mereka atau kepada kitab-kitab mereka?

Sedangkan kita semua maklum kedudukan mereka dan kitab-kitab mereka ini di sisi umat Islam. "Maha Suci Engkau, ya Allah! Ini adalah satu pembohongan yang besar."

Selasa, 22 Mac 2011

Tawassul Umar dengan Al-Abbas

Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN

KISAH masyhur ini penting untuk kita renungi secara khusus kerana ada di sana mereka yang mendakwa bahawa ia hanya dalil membolehkan tawassul dengan seorang yang masih hidup.

Manakala bertawassul dengan seorang yang telah mati dikatakan salah dan membawa kepada syirik.

Diriwayatkan oleh al-Bukhari di dalam Sohihnya, daripada Anas RA berkata: Bahawa Umar ibnu al Khattab RA apabila mereka ditimpa kemarau, beliau meminta diturunkan hujan dengan kemuliaan Abbas ibnu Abdul Muttalib RA, dengan doanya: Ya Allah! Sesungguhnya kami dahulu sering bertawassul dengan kemuliaan Nabi-Mu, maka Engkau menurunkan hujan kepada kami. Sekarang, kami bertawassul pula dengan bapa saudara nabi kami, maka turunkanlah hujan kepada kami.

Al-Zubair ibnu Bikar telah meriwayatkan kisah ini di dalam al-Ansab dari beberapa jalan dan jalan perawi yang lain; yang meriwayatkan kisah ini dengan lebih ringkas. Daripada Abdullah ibnu Umar RA berkata: Umar ibnu al Khattab telah meminta diturunkan hujan pada tahun al-Ramadah dengan kemuliaan Abbas ibnu Abdul Muttalib RA. Dinamakan Ramadah kerana banyaknya debu-debu yang berterbangan akibat terlalu lama tidak turun hujan. Lalu Umar RA berucap kepada orang ramai:
"Wahai sekalian manusia! Sesungguhnya Rasulullah SAW memandang (menghormati) Abbas RA sebagaimana seorang anak memandang (menghormati) bapanya. Maka ikutlah wahai sekalian manusia cara Rasulullah SAW menghormati bapa saudaranya, Abbas dan jadikanlah dia sebagai wasilah kepada Allah. Berdoalah, wahai Abbas!"

Di antara doa Abbas RA ialah: "Ya Allah! Sesungguhnya bala tidak akan turun melainkan kerana dosa dan ia tidak akan lenyap melainkan dengan taubat. Sesungguhnya umat ini telah bertawajjuh denganku kepada-Mu kerana kedudukanku di sisi Nabi-Mu SAW, dan ini adalah tangan-tangan kami yang melakukan dosa-dosa meminta kepada-Mu, sedang ubun-ubun kami tunduk kepada-Mu dengan taubat. Maka siramilah kami dengan hujan dan peliharalah, ya Allah! Nabi kami SAW pada bapa saudaranya."

Maka langit menjadi mendung seperti bukit dan menurunkan hujan hingga tanah menjadi subur dan manusia dapat meneruskan kehidupan mereka. Maka ramailah orang menemui Abbas RA menyapu jasadnya yang mulia (sebagai tanda terima kasih). Mereka berkata kepadanya, "Berbahagialah kamu, wahai penyiram al Haramain." Umar RA berkata berikutan hal tersebut, "Demi Allah! Dia (Abbas RA) adalah wasilah kami kepada Allah dan orang yang mempunyai kedudukan di sisi Nabi SAW.

Sebenarnya, Umar RA berhak mengimamkan orang ramai untuk memohon diturunkan hujan kepada mereka. Namun, Umar RA mendahulukan Abbas RA untuk meminta hujan kerana membesarkan dan memuliakan Rasulullah SAW dan memuliakan keluarganya.

Beliau mendahulukan bapa saudara Nabi SAW daripada dirinya sendiri untuk mencapai sebaik-baik tawassul dengan Rasulullah SAW mengikut apa yang termampu. Beliau juga menggalakkan orang ramai menjadikan Abbas RA sebagai wasilah mereka kepada Allah.
Maka beliau meminta diturunkan hujan bagi mereka di tempat solat Nabi SAW untuk mencapai cara yang terbaik dalam mengagungkan Rasulullah SAW dan menguatkan kelebihan ahli baitnya.

Sikap Umar RA ini jelas dalam doanya yang bermaksud, dahulu kami bertawassul kepada-Mu dengan cara Rasulullah SAW keluar bersama orang ramai ke tempat solat, doa Baginda SAW untuk mereka dan solat yang Baginda SAW lakukan bersama mereka.

Tetapi sekarang, oleh kerana cara itu tidak dapat dilakukan lagi disebabkan Baginda SAW telah wafat, maka saya mendahulukan insan yang terdiri daripada kalangan ahli baitnya (mengimamkan solat kami) agar doa kami lebih diharapkan mendapat penerimaan dan mustajab daripada Allah.

Abbas RA juga ketika berdoa, dia bertawassul dengan Rasulullah SAW sebagaimana doanya: "Umat ini telah mendekati-Mu dengan bertawassul denganku kerana kedudukanku di sisi Nabi-Mu SAW (sebagai bapa saudaranya). Maka peliharalah, ya Allah! Nabi-Mu pada bapa saudaranya." Maksudnya, terimalah doaku kerana Nabi-Mu SAW.
.

Selasa, 15 Mac 2011

Tawassul dalam bentuk seruan

Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN

KE arah kesimpulan bicara kita ke arah memurnikan kefahaman tentang tawassul, kita akan meninjau pula beberapa catatan sejarah bertawassul secara menyeru Nabi SAW atau orang-orang yang mulia di sisi Allah SWT.

Sebahagiannya merupakan perbuatan para sahabat r.a. Sebagai anak buah didikan Rasulullah SAW, sudah tentu mereka ini boleh dijadikan ikutan kita dalam memahami persoalan agama seumpama ini.

Suatu contoh yang menarik adalah tawassulnya tentera muslimin dengan menyeru nama Nabi SAW dalam peperangan Yamamah, iaitu peperangan dengan tentera nabi palsu, Musailamah al-Kazzab.

Ibnu Kathir menyebut bahawa syiar atau slogan orang-orang Islam dalam peperangan Yamamah adalah: "Ya Muhammadaah!" (Wahai Nabi Muhammad! Tolonglah!).

Beliau berkata sebagaimana nasnya: Khalid ibn al-Walid r.a membawa bendera hingga berjaya melintasi kawasan musuh. Setelah itu, beliau melalui bukit, dan memerhatikan bagaimana caranya beliau dapat sampai dekat dengan Musailamah al-Kazzab dan membunuhnya.

Kemudian beliau kembali semula kepada barisan tentera. Lalu beliau berhenti di antara dua saf tentera dan berseru untuk berlawan seorang dengan seorang dari kalangan tentera musuh, "Aku adalah putera al Walid yang datang semula, aku adalah putera 'Aamir dan Zaid".

Kemudian dia melaungkan syiar kaum Muslimin iaitu, Ya Muhammadaah! (Al-Bidayah wa al-Nihayah: 6/324). Jelas daripada peristiwa ini bahawa para sahabat tidak merasa kekok menggunakan seruan ini walaupun ia seolah-olah merupakan suatu permohonan langsung kepada Nabi SAW untuk membantu mereka dalam peperangan tersebut.

Pada hakikatnya mereka tidaklah mengharap selain bantuan Allah SWT dengan keberkatan atau perantaraan Rasulullah SAW. Seruan itu juga sebagai himbauan inspirasi dan semangat jihad yang pernah mereka lalui bersama Rasulullah SAW.