Selamat Datang

Usrah Jamadilkubra ialah rangkaian keluarga keturunan SYED JAMALUDDIN AL-AKBAR AL-HUSAINI (Wajo Makasar 1352-1415 M) BIN AHMAD JALALUDDIN SYAH (AHMAD SYAH JALAL) melalui keturunannya SYED ALI NURUDDIN ZAINUL ALAM (Ali Nurul Alam).

Rabu, 21 Julai 2010

Jangan mudah mengkafirkan


DI dalam kitab Mafahim (Kefahaman-kefahaman Yang Wajib Diperbetulkan) Al-Allamah Dr. Sayyid Muhammad ibn Alawi al-Maliki telah memperjelaskan fahaman tentang pelbagai isu agama yang menjadi pertikaian oleh sebahagian orang seperti tabarruk, tawassul, ziarah kubur dan seumpamanya.
Ada yang sampai ke tahap menuduh syirik dan mengkafirkan sesama Islam kerana isu-isu ini. Oleh itu pengarang kitab ini memulakan tulisannya dengan memperbetulkan semula kefahaman dalam hal menghukum kafir sesama Islam.
Beliau menegaskan bahawa, ramai orang telah salah faham - semoga Allah SWT memperbaiki dan menunjukkan mereka jalan yang benar - tentang sebab-sebab sebenar yang mengakibatkan seseorang itu terkeluar daripada Islam dan wajib dihukum sebagai kafir.
Mereka kelihatan begitu mudah dan terburu-buru menghukum kafir ke atas saudara seagama hanya kerana wujudnya percanggahan pendapat dengan mereka, hinggakan hanya sedikit sahaja kaum Muslimin yang berbaki di muka bumi ini.
Walau bagaimanapun, kita memandang sikap keterlaluan mereka dengan baik sangka. Kemungkinan, niat mereka baik - demi menjaga kemurnian ajaran Islam daripada perbuatan syirik melalui konsep amar makruf dan nahi mungkar.
Namun, mereka lupa, amar makruf dan nahi mungkar perlu kepada sikap berhikmah (bijaksana) dan peringatan yang baik. Jika ada yang perlu didebatkan sekalipun, haruslah dilakukan dengan cara terbaik, sebagaimana firman Allah SWT: Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad!) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik. (al-Nahl: 125)
Cara ini lebih mudah diterima dan menghasilkan apa yang diharapkan. Adapun menyanggahi cara ini, merupakan suatu kesilapan dan kebodohan.
Oleh itu, apabila kamu mengajak seseorang Muslim yang mendirikan solat, melaksanakan apa yang difardukan oleh Allah SWT, menjauhi segala yang diharamkan-Nya, menyebarluaskan dakwah Islam dan aktif memakmurkan masjid kepada perkara-perkara yang pada pandangan kamu adalah benar, tetapi pandangannya berbeza dengan pandangan kamu, dan pandangan ulama mengenainya masih belum disepakati sejak dahulu hingga sekarang.
Maka dia enggan menurut pandangan kamu, lalu kamu melemparkan tuduhan "kafir" kepadanya hanya kerana beberapa perbezaan pendapat, maka sebenarnya kamu telah melakukan sebesar-besar kemungkaran dan perbuatan yang dilarang keras oleh Allah SWT dan Rasul-Nya. Maka kamu diseru supaya melaksanakannya dengan jalan yang berhikmah dan baik.
Al-Allamah al-Imam Sayyid Ahmad Masyhur al-Haddad RA mengatakan, "Sesungguhnya telah ditetapkan oleh ijmak ulama larangan mengkafirkan seseorang ahli Kiblat; kecuali jika dia mengingkari Allah Yang Maha Pencipta dan Maha Berkuasa, atau melakukan perbuatan syirik secara terang-terangan yang tidak perlu lagi diandaikan takwilannya, atau mengingkari kenabian Nabi Muhammad SAW, atau mengingkari sesuatu yang telah pasti kebenarannya dalam agama, atau mengingkari suatu masalah atau hadis mutawatir (yang telah pasti kesahihannya), atau pun sesuatu yang telah disepakati oleh ulama."
Dalam ajaran Islam, ilmu agama yang diketahui secara pasti (kebenarannya) itu; seperti masalah tauhid, kenabian, sempurnanya risalah dengan perutusan Nabi Muhammad SAW, kebangkitan semula pada hari Kiamat, hisab, pembalasan pada hari Kiamat, syurga dan neraka. Jika seorang Muslim mengingkari hal-hal seperti itu, maka dia dinilai sebagai kafir. Tiada keuzuran bagi setiap Muslim untuk tidak mengetahui perkara-perkara asas seperti itu, melainkan bagi orang-orang yang baru memeluk agama Islam. Mereka dimaafkan sehinggalah mereka mempelajarinya, dan selepas itu mereka tidak boleh dimaafkan lagi jika mengingkarinya.
Manakala hadis mutawatir ialah khabar atau hadis yang diriwayatkan oleh sejumlah perawi yang dipercayai dan tidak mungkin melakukan pembohongan, yang (diterima) daripada sejumlah perawi seperti mereka; baik dari aspek isnad (rangkaian orang yang meriwayatkannya) mahu pun tabaqat (ramainya bilangan perawi).
Adapun isnad, seperti hadis: "Sesiapa yang melakukan pembohongan ke atasku, maka dia menyiapkan tempat duduknya di dalam neraka."
Manakala dari aspek tabaqat (mutawatir pada setiap peringkat) seperti mutawatir-nya al-Quran. Al-Quran itu mutawatir tanpa ada had; baik di timur mahupun di barat; dalam mempelajari, membaca, mahupun menghafaznya, yang diterima dan diriwayatkan daripada sekelompok yang banyak kepada kelompok yang banyak, daripada satu generasi kepada generasi yang lain. (Oleh kerana terlalu ramai perawinya sehingga tidak terkira), maka al-Quran tidak memerlukan kepada isnad.
Kadang kala, mutawatir itu berlaku pada amalan dan pewarisan; seperti amalan sesuatu semenjak zaman Nabi Muhammad SAW sampai sekarang, diamalkan dan dipraktikkan, serta tiada sesiapa yang mengingkarinya (khususnya ulama).
Kadang kala, terjadi mutawatir dari segi ilmu seperti mutawatirnya mukjizat Nabi Muhammad SAW. Meskipun sebahagiannya ada yang diriwayatkan secara ahad (individu), tetapi secara umumnya ia dapat dinilai mutawatir dengan ilmu pengetahuan setiap Muslim.
Sesungguhnya menghukum seseorang Muslim itu kafir bukan pada perkara-perkara yang telah kami terangkan di atas, adalah suatu yang amat bahaya. Dalam hadis, Rasulullah SAW menegaskan: Jika seseorang berkata kepada saudaranya, "Wahai kafir!" Maka kekafiran itu akan kembali (menimpa) kepada salah seorang di antara keduanya. (riwayat Imam al Bukhari daripada Abu Hurairah RA)
Kesimpulannya, pengarang kitab ini benar-benar mengingatkan kita, supaya berhati-hati daripada sembarangan melabel orang lain sebagai kafir bukan pada tempat-tempat atau perkara-perkara yang telah dijelaskan sebelum ini, kerana perbuatan seperti itu mengandungi bahaya yang amat besar. Hanya Allah SAW sahajalah yang dapat menunjukkan jalan yang lurus, dan hanya kepada-Nya kita semua akan dikembalikan.

Selasa, 13 Julai 2010

Memahami Israk dan Mikraj


SEPERTI yang telah kita mukadimahkan pada minggu lepas, untuk beberapa waktu kita akan memanfaatkan ruangan ini untuk menggali mutiara-mutiara hikmah daripada kitab Mafahim Yajib an Tusohhah (Kefahaman-kefahaman Yang Wajib Diperbetulkan) tulisan al-Allamah al-Muhaddith Prof. Dr. Sayyid Muhammad bin Alawi al-Maliki.

Oleh kerana kita sedang melalui bulan-bulan dan hari-hari yang istimewa dalam Islam, eloklah kita meneliti beberapa isi buku ini yang bertujuan memperbetulkan kefahaman kita tentang perbuatan menyambut hari-hari kebesaran dalam Islam.

Kita sedang berada dalam 'musim' Israk dan Mikraj. Kefahaman dan sikap masyarakat dalam melalui hari-hari ini memang berbeza malah mungkin juga bercanggah. Ada yang langsung tidak menyedari datang dan perginya 27 Rejab kerana terlampau sibuk dan kurang peka pula pada perjalanan kalendar Islam.

Tidak kurang yang menyambut kedatangannya dengan penuh gembira dan bersemangat dengan mengadakan pelbagai majlis sambutan. Ada pula yang mempertikaikan kewajaran menyambutnya, seperti mana mereka menolak sambutan hari-hari kebesaran Islam yang lain.

Di akhir-akhir kitab Mafahim ini, pengarangnya ada menyentuh isu sambutan hari-hari kebesaran Islam. Di situ beliau berkongsi keyakinannya tentang kesepakatan ulama bahawa perbuatan ini jika dianggap sebagai suatu adat dan tradisi untuk menghimpunkan orang ramai bagi mendekatkan diri dengan agama tanpa dianggap sebagai suatu pensyariatan khusus adalah suatu amalan yang terpuji dan tidak bercanggah dengan mana-mana usul agama.

Beliau menghuraikan lagi, "Bagi saya, memanfaatkan peluang berkumpul bersama umat Islam dengan berdoa, bertawajjuh kepada Allah SWT, menagih limpahan anugerah, kebaikan dan keberkatan daripada-Nya adalah lebih besar daripada faedah hanya mengingati atau mengenang peristiwa tersebut.

Menggunakan kesempatan berkumpul bersama orang ramai dengan memberikan peringatan, petunjuk, nasihat dan dorongan kepada mereka ke arah kebaikan, adalah lebih utama daripada menegah, menolak dan mengingkari perkumpulan mereka dengan alasan yang tidak mendatangkan sebarang faedah.

Apa yang dapat disaksikan, penolakan dan pengingkaran mereka itu tidak memberikan apa-apa faedah dan manfaat. Setiap kali bertambah kuat pengingkaran dan penolakan terhadap perbuatan mereka, semakin bertambah kuat pula penerimaan mereka dan semakin tegas pegangan mereka terhadapnya hinggakan seolah-olah orang yang melarang perbuatan mereka merupakan pendorong dan penggalak untuk mereka melakukannya tanpa disedari.

Para cendekiawan dari kalangan ahli fikir dan pendakwah sangat berkeinginan untuk mendapatkan sebuah tempat mengumpulkan orang ramai bagi menyebarkan pandangan-pandangan mereka dan mengajak untuk menyertai barisan mereka.

Oleh kerana itulah, kamu dapat lihat, mereka selalu datang ke taman, kelab dan tempat-tempat umum yang biasa terdapat banyak perkumpulan orang untuk melakukan apa yang mereka ingin lakukan. Kami lihat, umat Islam sering berkumpul di dalam majlis-majlis bersempena hari kebesaran Islam dengan penuh minat, keazaman dan kesungguhan. Justeru, apakah yang wajib kita lakukan terhadap mereka?

Sesungguhnya menyibukkan diri dengan kerja-kerja mengingkari dan menolak hukum perkumpulan mereka dan sebagainya adalah sia-sia sahaja, bahkan merupakan suatu kebodohan dan kejahilan. Ini kerana, kita hanya mensia-siakan peluang besar dan melenyapkan kesempatan yang tidak mungkin menjadi baik sesuatu masa dengannya, kecuali dalam kesempatan seperti ini. Justeru, manfaatkanlah perhimpunan besar ini." (H. 961-963, edisi terjemahan Yayasan Sofa)

Sikap yang disarankan oleh pengarang kitab ini adalah lebih selamat dan selari dengan sangka baik terhadap Islam dan umatnya berbanding sikap menentang atau membidaahkannya. Beliau turut menulis khusus tentang keistimewaan Israk dan Mikraj bertajuk al-Anwar al-Bahiyyah min Isra' wa Mi'raj Khayr al-Bariyyah (edisi terjemahannya ada dikeluarkan oleh murid kanannya di Malaysia, Syeikh Muhammad Fuad bin Kamaludin al-Maliki, Penasihat Yayasan Sofa Negeri Sembilan).

Buku ini menyarankan agar menggunakan semaksima mungkin peringatan terhadap Israk dan Mikraj itu untuk meningkatkan makrifah dan kasih terhadap Allah SWT dan Rasul-Nya. Apakah ada perkara yang lebih baik bagi kita selain daripada itu? Dan betapa banyakkah rahsia-rahsia agung dalam peristiwa Israk dan Mikraj yang berpotensi membantu kita menggapainya.

Berkongsi keriangan dan kenangan manis Israk dan Miraj dengan insan yang paling kita kasihi ini terlebih wajar kita amalkan apabila mengenang bahawa anugerah Allah SWT kepada Baginda SAW juga adalah kurniaan bagi kita sebagai umatnya. Kefarduan solat yang dianugerahkan kepada Nabi pada malam tersebut juga adalah bagi kita dan merupakan keizinan untuk kita umat Muhammad SAW untuk turut berhubung dan berbicara dengan Allah SWT pada setiap hari.

Kemuliaan dan keutamaan Nabi SAW di sisi Allah SWT yang terzahir di malam itu tidaklah terbatas kepada diri Baginda SAW malah melimpah kepada kita umatnya sehingga kita dinobatkan sebagai umat yang paling mulia dan akan lebih dahulu memasuki pintu Syurga berbanding umat Nabi-nabi yang lain. Allahu akbar wa lillahil hamd!

Menginsafi betapa banyaknya faedah, rahsia, cahaya dan hikmah di sebalik sambutan hari-hari kebesaran Islam seumpama Israk dan Mikraj ini, tidak hairanlah jika Allah SWT sendiri telah menyenaraikannya sebagai antara tugas utama pengutusan para Rasul seperti yang tergambar dalam firman-Nya dalam surah Ibrahim ayat 5.

Semoga kita semua tersenarai di kalangan mereka yang benar-benar menunaikan hak peristiwa yang agung ini.