30 September 2009 (Rabu)
أََللَّهُمَّ بِكَ أَصْبَحْناَ وَبِكَ أَمْسَيْناَ وَبِكَ نَحْياَ وَبِكَ نَمُوْتُ وَإِلَيْكَ النُّشُوْرُ.
Ya Allah dengan Engkau aku berada diwaktu pagi, dengan Engkau pula aku berada diwaktu petang, dengan Engkau aku hidup, dengan Engkau aku mati dan kepadaMu aku akan kembali.[1]
أَللَّهُمَّ فاَطِرَ السَّمَوَاتِ وَالأَرْضِ عاَلِمَ الْغَيْبِ وَالشَّهاَدَةِ رَبَّ كُلِّ شَيْئٍ وَمَلِيْكَه
أَشْهَدُ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ أَنْتَ أَعُوْذُبِكَ مِنْ شَرِّ نَفْسِى وَشَرِّ الشَّيْطَانِ وَشِرْكِهِ.
Wahai Tuhan pencipta langit dan bumi, yang mengetahui semua yang ghaib dan yang terang, Tuhan dari segala sesuatu dan pemiliknya, aku bersaksi bahawa tiada Tuhan kecuali Engkau, aku berlindung dengan Engkau dari kejahatan diriku sendiri dan kejahatan syaitan dan syiriknya.[2]
Saya memanjatkan kesyukuran yang amat sangat kepada Allah s.w.t yang telah menghidupkan kembali selepas saya terlena sepanjang malam. Malam tadi saya dapat tidur dengan lena jika hendak dibandingkan dengan malam semalam.
Saya terjaga dari tidur sewaktu azan subuh berkumandang dari menara masjid berdekatan hotel tempat kami menginap tatkala jam menunjukkan pukul 4.48 pagi. Saya bangun untuk membersihkan diri serta berwudhuk sebelum mengejutkan Izzat untuk solat subuh berjemaah. Sementara menunggu Izzat berwudhuk, saya sempat membaca al-Quran yang saya bermohon kepada Allah s.w.t untuk sentiasa beristiqamah dengannya setiap kali selepas solat fardu lima waktu.
Mengikut perancangan, pagi ini kami akan melawat makam Syeikh Yusuf Tajul Khalwati di Goa, makam Diponegoro dan makam Sultan Hasanuddin. Jadi kami tidak perlu tergesa-gesa seperti semalam kerana tempat-tempat tersebut hanya terletak di sekitar Kota Makassar ini sahaja. Manakala sebelah petang pula kami akan menaiki pesawat ke Kota Palu untuk menghadiri majlis Hol Ke 41 Habib Idrus bin Salim al-Jufri[3].
Jadi dikesempatan masa yang masih berbaki, saya mengambil peluang untuk berehat sekejap bagi menghilangkan kepenatan semalam yang masih ada. Setelah itu saya dan Izzat bersiap-siap untuk turun bersarapan di lobi hotel pada pukul 7.30 pagi sebelum kami bertolak ke lokasi-lokasi makam yang telah saya sebutkan tadi. Saya bersarapan dengan meehon goreng dan ayam goreng celup tepung, roti bakar dan kopi. Berlaku sedikit perkara lucu apabila Abang Lie terkial-kial untuk memesan telus rebus separuh masak kepada pelayan di situ kerana dia tidak tahu macam mana untuk membuat pesanan dalam bahasa Indonesia Makassar. Jadi terpaksalah Abu Aswad membantunya membuat pesanan tersebut.
Pukul 8.00 pagi, kami bertolak ke Goa untuk menziarahi makam Syeikh Yusuf Tajul Khalwati al- Makasari, seorang ulama yang terkenal diserata dunia. Menurut Pak Dani, ramai orang yang berkunjung ke makam Syeikh Yusuf untuk bernazar dan membayar niat mereka. Ramai orang yang dimakbulkan hajat apabila berdoa di situ. Tapi saya percaya bahawa semua perkara tersebut berlaku sama ada hajat atau doa seseorang itu dimakbul atau tidak adalah semata-mata kehendak Allah s.w.t.
Menurut Prof. Dr. Hamka, Syeikh Yusuf ini dilahirkan pada 8 Syawal 1036 hijrah/ 3 Julai 1626 dan meninggal pada 23 Mei 1699. Beliau dikenali di Makassar, Banten, Sri Langka dan Tanjung Harapan (Cape Town ). Beliau juga turut dikenali sebagai Tuang Leota Syeikh Yusuf Tajul Khalwati al- Makasari. Tajul Khalwati diberikan kepada beliau kerana beliau telah belajar Tarekat Khalwatiyyah dari gurunya Syeikh Abul Barakat Ayyub bin Ahmad bin Ayyub al- Khalwati al- Quraishy di Syam.
Syeikh Yusuf mempunyai ramai murid walau dimana sahaja dia berada. Semasa berlakunya pemberontakan melawan Kompeni Belanda, ramai murid beliau tertangkap termasuklah dirinya sendiri. Pihak Belanda telah bertindak membuang Syeikh Yusuf ke Sri Langka dan ada setengah pendapat mengatakan bahawa dia sebenarnya dibuang negeri ke Tanjung Pengharapan (Cape Town ) di Afrika Selatan.
Setelah beliau meninggal, Raja Gowa Sultan Abd. Jalil telah menulis surat kepada Belanda pada tahun 1793 memohon supaya tulang-tulang almarhum Syeikh Yusuf, keluarganya dan pengikut-pengikutnya dikembalikan ke Gowa. Persetujuan telah diberikan oleh pihak Belanda pada tahun 1794. Maka tanggal 5 April 1795, sisa-sisa jasad almarhum Syeikh Yusuf, keluarganya serta pengikutnya dibawa ke Gowa dan di makamkan di Lakiung.[4]
Kunjungan kami ini pula bukan untuk bernazar atau berniat di makam tersebut, cuma sekadar menziarahi makam seorang ulama yang hebat serta mendapat kurniaan Allah s.w.t dengan pelbagai hikmat dan makrifat.
Untuk sampai ke Goa , kami melalui kawasan pasar Kota Makassar yang agak sibuk dengan para pengunjung dan kenderaan yang bertali arus serta bunyi hon yang tidak henti-henti. Menurut Pak Dani lagi, Makassar merupakan sebuah Bandar pelabuhan yang besar bagi Indonesia Timur serta pusat kontena sebelum diagih-agihkan ke tempat-tempat lain.
Apabila kami sampai di kawasan Makam Syeikh Yusuf di Goa, betapa terkejutnya melihat keadaan makam tersebut kerana kelihatannya ia seolah-olah dipuja oleh penduduk tempatan. MasyaAllah…
Sedih dan geram kami melihat tindakan khurafat mereka terhadap makam ulama yang dimuliakan Allah s.w.t itu. Menziarahi makam ulama itu tidak salah, tetapi perbuatan mereka itu yang salah. Rasulullah s.a.w telah bersabda:
عن بُرَيْدَةَ رضي الله عنه قاَلَ، قاَلَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّم: كُنْتُ نَهَيْتُكُمْ عَنْ زِياَرَةِ الْقُبُوْرِ فَزُوْرَهاَ. (رواه مسلم)
Dari Buraidah r.a berkata, Rasulullah s.a.w bersabda: Dahulu aku mencegah kamu berziarah ke kubur, namun kini berziarahlah kamu.[5]
Buat seketika kami bertafakur dan berdoa serta menghadiahkan al-Fatihah kepada roh al-Marhum Syeikh Yusuf Tajul Khalwati semoga Allah s.w.t menerima segala amalan beliau serta menempatkan roh beliau disamping roh para nabi, auliya’ serta hambaNya yang dimuliakan.
Setelah itu kami bergerak meninggalkan Makam Syeikh Yusuf untuk menuju pula ke kompleks Makam Sultan Hasanuddin yang terletak di Makam Pahlawan Nasional. Semasa kami meninggalkan makam tersebut, sekumpulan kanak-kanak mengetuk-ngetuk tingkap kenderaan kami yang sedang bergerak untuk meminta sedekah dari kami. Pak Dani memberitahu bahawa sudah menjadi kebiasaan kanak-kanak di sini untuk meminta-minta begitu. Ketika itu saya teringatkan satu sabda Rasulullah s.a.w:-
عن عبد الله بن عمر قال، قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: ماَ يَزَالُ الرَّجُلُ يَسْأَلُ النَّاسَ حَتَّى يَأْتِيَ يَوْمَ الْقِياَمَةِ لَيْسَ فِيْ وَجْهِهِ مُزْعَةُ لَحْمٍ.
Daripada Abdullah bin Umar berkata, bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: Sentiasa seorang lelaki itu meminta-minta kepada manusia hingga datanglah ia pada hari kiamat tiada pada mukanya sepotong daging.[6]
Sejarah telah tercatat bahawa Sultan Hasanuddin merupakan seorang pejuang yang berani melawan penjajahan Belanda. Namun begitu, ada pendapat pakar sejarah yang mengatakan bahawa Sultan Hasanuddin adalah seorang yang zalim terhadap rakyatnya dan juga dikatakan pengkhianat bangsa kerana telah menandatangani satu perjanjian dengan Belanda. Namun begitu hanya Allah s.w.t sahaja yang tahu akan hakikatnya yang sebenar.
Dimakam Pahlawan Nasional tersebut merupakan sebuah kompleks makam yang mengandungi beberapa makam yang lain terdiri daripada Raja-Raja yang mempunyai hubungan dengan Sultan Hasanuddin sendiri. Nama sebenarnya ialah I Mallombasi Muhammad Bakir Daeng Mattawang Karaeng Bontomangepe Sultan Hasanuddin Tumenanga ri Balla’ Pangkana yang lahir di Makassar pada 12 Januari 1631 dan mangkat pada 12 Jun 1670 setelah menderita sakit setelah memerintah Gowa selama 17 tahun serta dimakamkan di Katangka, Makassar. Beliau merupakan Raja Gowa ke XVI. Sultan Hasanuddin telah bangkit menentang Belanda sehingga beliau dikalahkan oleh Belanda dengan bantuan Aru Palaka. Aru Palaka atau gelarannya La Tenritata Petta To-appatunru’ Daeng Serang Datu Mario- riwawo Aru Palaka Petta To-risompee Matinrowe ri Bontoala adalah salah seorang pemimpin Bone yang juga anak Raja dari Daerah Soppeng. Ibu Aru Palaka sendiri merupakan puteri Raja Bone ke XI. Aru Palaka juga terkenal dengan gelaran Petta Malampe Gemme’na yang bermaksud ‘Raja kita yang panjang rambutnya’.
Namun begitu ada ahli sejarah yang menyebut bahawa Sultan Hasanuddin telah menindas dan menganiaya rakyat dan bangsawan Bone. Kerajaan Bone adalah salah satu kerajaan yang berada di bawah kekuasaan dan takluk Kerajaan Gowa. Ketika wakil dari Kerajaan Gowa, Karaeng Popo berunding dengan Belanda dalam rangka gencatan senjata di Betawi (Batavia) melalui Perjanjian Garassi, orang-orang Makassar di bawah pimpinan Sultan Hasanuddin dan Mangkubumi Kerajaan Gowa yang bernama Karaeng Karunrung membina kubu pertahanan di Mariso. Mereka membina benteng pertahanan dari Binanga Baru dan parti yang besar dari Benteng Sombaopu sampai ke Ujung Tanah. Atas arahan Karaeng Karunrung dikerah beribu-ribu tenaga orang Bugis terutamanya dari Bone ke Gowa untuk membina benteng pertahanan dan parit besar yang memisahkan Benteng Pannakulang dengan daratan. Dalam kerahan tenaga inilah bangsawan Bone banyak mengalami penderitaan. Ramai orang-orang Bone lari kerana tidak tahan menderita. Tetapi mereka telah ditangkap dan diberikan hukuman yang lebih berat bahkan ramai juga yang telah dibunuh.
Oleh itu Aru Palaka sebagai salah seorang pemimpin Bone tidak bisa menerima perlakuan para bangsawan Gowa yang menindas rakyatnya. Perlakuan kerja paksa tersebut membuat harga dirinya bagaikan dikoyak-koyak apalagi setelah para bangsawan Bone juga turut dipaksa kerja.[7]
Setelah beberapa ketika berada di makam tersebut, kami kemudiannya bertolak ke Makam Pangeran Diponegoro. Nama kecilnya ialah Bandoro Raden Mas Ontowiryo dan setelah dewasa bergelar Kanjeng Pangeran Diponegoro atau Sultan Ngabdulkamid ErucakraKabirul Mukmin Sayidin Panatagamaning Jawa Kalifat Rasulullah kerana niatnya untuk mengIslamkan Tanah Jawa. Dilahirkan dari keluarga Kesultanan Yogyakarta pada 11 November 1785. Beliau telah menolak keinginan Sultan Hamengku Bowono III yang ingin menabalnya menjadi raja.
Beliau mempunyai 3 orang isteri iaitu Bendara Raden Ayu Antawirya, Raden Ayu Ratnasingsih dan Raden Ayu Ratnaningrum. Dalam kehidupan seharian, Pangeran Diponegoro lebih tertarik dengan kehidupan beragama dan kerakyatan sehingga dia lebih suka tinggal di Desa Tegalrejo daripada istana.
Beliau merupakan pencetus Perang Jawa iaitu penentangan rakyat Jawa terhadap Belanda apabila bangkit melawan Belanda kerana tindakan Belanda menguasai tanah miliknya. Jadi timbul kontroversi dikalangan ahli sejarah sama ada Pangeran Diponegoro sebenarnya bangkit menentang Belanda demi untuk mempertahankan harga diri dan kehormatan keluarganya sahaja dan bukannya untuk mempertahankan Tanah Jawa dari penjajahan Belanda.
Perjuangan Pangeran Diponegoro yang dibantu oleh Kyai Maja, seorang tokoh agama dari Surakarta dan anaknya sendiri iaitu Bagus Singlon atau Ki Sodewo yang kemudiannya turut memakai gelaran Pangeran Diponegoro. Adik beliau sendiri, Pangeran Adinegoro juga turut membantu serta telah mendapat sokongan rakyat dari seluruh Tanah Jawa.
Pelbagai cara dan helah digunakan oleh Belanda untuk menangkap Pangeran Diponegoro namun tetap gagal. Sehinggalah pihak Belanda menangkapnya dalam rundingan damai pada 28 Mac 1830 di Magelang yang dianjurkan oleh Kolonel Cleerens. Jeneral De Kock secara rahsia telah mengarahkan askarnya untuk menangkap Pangeran Diponegoro ketika rundingan tersebut gagal.
Pangeran Diponegoro telah diasingkan ke Ungaran, lalu ke Gedung Karesdenan Semarang dan terus di bawa ke Batavia (Betawi) menggunakan kapal Pollux pada 5 April 1830. Sampai di Betawi pada 11 April 1830, Pangeran Diponegoro ditawan di Stadhius yang sekarang ini dikenali sebagai Museum Fatahillah sementara menungguh keputusan pengadilan dari Gabenor Jeneral Van den Bosch. Tanggal 30 April 1830, keputusan pengadilan telah memutuskan bahawa Pangeran Diponegoro dan beberapa ahli keluarga serta pengikutnya akan dibuang negeri ke Manado .
Pada 3 Mei 1830 rombongan Pangeran Diponegoro berangkat ke Manado dengan kapal Pollux yang dikawal oleh Kapten Roeps dan Letnan de Stuers untuk ditawan di Kota Amsterdam. Oleh kerana pihak Belanda merasakan kawalan disana agak kurang ketat, maka Pangeran Diponegoro sekali lagi dipindahkan ke Kota Rotterdam di Makassar, Sulawesi Selatan pada tahun 1834. Akhirnya Pangeran Diponegoro wafat pada 8 Januari 1855 dan dimakamkan di Kampung Jawa, Makassar .[8]
Ketika itu jam menunjukkan pukul 9.30 pagi, dan kawasan makam tersebut masih lagi berkunci. Mengikut penduduk tempatan yang berada di situ, makam tersebut akan dibuka pada pukul 12.00 tengahari. Nampaknya kami tidak berpeluang untuk menziarahi makam tersebut sebab kami tidak mempunyai waktu untuk menunggu sehingga pukul 12.00 tengahari.
Jadi kami mengambil keputusan untuk singgah di kedai buku terbesar yang ada di kota tersebut. Pak Dani berpusing-pusing beberapa kali sehinggalah kami berhenti disebuah kedai buku Promedia Toko Alat Tulis dan Buku yang terletak di Jalan Tentara Pelajar, 136A Makassar yang agak besar mempunyai tiga tingkat.
Saya mengambil kesempatan ini untuk melihat bermacam-macam jenis buku. Begitu teruja sekali kerana kedai tersebut mempunyai koleksi buku yang cukup banyak sehinggakan saya membeli beberapa buah novel dan buku agama. Kami telah berbelanja untuk membeli buku-buku dan kitab melebihi Rp1,000,000 Itupun saya masih belum puas lagi kerana Abu Aswad sudah mengajak kami balik ke hotel untuk berkemas kerana kami akan menaiki penerbangan ke Kota Palu pada petang ini.
Dipertengahan jalan yang secara tepatnya dihadapan Pelabuhan Makassar, kami berhenti untuk minum air kelapa. Inilah pertama kali saya minum air kelapa yang dicampur dengan manisan. Sebelum ini saya hanya pernah minum air kelapa yang dicampur gula sahaja. Boleh tahan juga rasa air kelapa tersebut.
Kami tiba di hotel pada pukul 11.00 pagi. Kami mengambil peluang untuk berehat serta berkemas untuk ‘check out’. Setelah masuk waktu zohor, saya solat jama’ taqdim asar bersama Izzat. Setelah itu kami ‘check out’ untuk ke Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Hasanuddin, Ujung Pandang kerana flight kami ke Kota Palu dijadualkan berlepas pada pukul 3.00 petang.
Sebelum meneruskan perjalanan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Hasanuddin, Ujung Pandang , kami singgah untuk makan tengahari terlebih dahulu. Pak Dani membawa kami ke sebuah restauran makanan laut sebagaimana yang diminta oleh Abu Aswad.
Direstauran tersebut terdapat beberapa kotak sejuk beku yang agak besar mengandungi pelbagai makanan laut termasuklah ketam, ikan dan udang. Kami terkejut apabila melihat seekor ketam yang agak besar melebihi pinggan nasi. Saya sendiri tidak pernah melihat ketam sebesar itu. Abu Aswad memesan Ikan Merah, loabster dan ketam untuk hidangan makan tengahari kami kali ini. Saya telah mengambil beberapa keping gambar ketam tersebut untuk dijadingan kenangan.
Dalam masa menunggu hidangan kami siap, saya telah menghantar sms kepada isteri saya di tanah air untuk memberitahu kondisi serta perjalanan kami seterusnya. Inilah kali pertama saya meninggalkan isteri sejauh ini sejak kami berkahwin. Sebelum ini saya hanya ‘out station’ dalam negara sahaja. Jadi terbersit rasa rindu dihati ini.
Setelah kami menikmati hidangan tengahari yang hebat, terbit rasa syukur dihati dengan nikmat Allah s.w.t tersebut yang diberikan kepada kami, lalu kami meneruskan perjalanan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Hasanuddin Ujung Pandang. Ketika itu jam telah menunjukkan pukul 1.20 tengahari.
Jalan raya agak sibuk dengan kenderaan kerana pada masa tersebut merupakan waktu tamat persekolahan. Kami melalui Pelabuhan Makassar. Pada pukul 1.50 petang, kami tiba di lapangan terbang. Abu Aswad terus ke kaunter tiket Merpati untuk mendapat tiket yang telah ditempah oleh Pak Haris untuk ke Kota Palu, Sulawesi Tengah. Seterusnya kami ‘check in’ dan masuk ke ruang berlepas kerana pesawat kami Merpati no: MZ 718 dari Makassar ke Palu dijadualkan berlepas pada pukul 3.00 petang.
Disaat menunggu pesawat diruangan berlepas, saya melihat pelbagai ragam manusia serta banyak perkara yang saya fikirkan. Maka tatkala itu teringat akan satu firman Allah s.w.t yang bermaksud:
Katakanlah: "Berjalanlah di (muka) bumi, Maka perhatikanlah bagaimana Allah menciptakan (manusia) dari permulaannya, Kemudian Allah menjadikannya sekali lagi. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu.[9]
Sepanjang kembara saya disini serta ditempat-tempat lain, banyak perkara yang dapat saya pelajari terutamanya mengenai sejarah, keimanan, akhlak, ibadah yang kadang-kadang amat nyata perbezaannya dari segi fahaman, konsep dan amalannya mengikut adat, situasi dan tempat.
Setelah hampir setengah jam kami menunggu di ruang berlepas pintu 4, satu pengumuman telah dibuat meminta supaya semua penumpang pesawat ke Palu supaya menunggu di ruang berlepas pintu 5. Perkara seperti ini membuatkan kami kepenatan kerana jarak antara Gate 4 dan Gate 5 agak jauh juga. Perkara yang paling meremehkan pula ialah setiap kali kami hendak melepasi Gate, kami terpaksa mengosongkan poket, kalau tidak alarm akan berbunyi.
Saya mengambil kesempatan ini untuk meneruskan pembacaan yang masih lagi berbaki. Namun begitu, tumpuan saya turut terganggu dengan pengumuman-pengumuman yang bertalu-talu dan para pekerja atau ajen syarikat penerbangan yang melaung-laung penerbangan mereka yang ingin berlepas seperti apa yang berlaku di stesen teksi atau kereta sewa di Kota Bharu tatkala para pemandu cuba menarik perhatian penumpang untuk menaiki teksi mereka.
Salah satu kelemahan diri yang terpaksa saya akui ialah tahap kesabaran untuk menunggu. Saya gagal untuk bersabar sekiranya terpaksa menunggu untuk satu jangka waktuu yang agak lama. Sehingga sekarang jam menunjukkan pukul 4.49 petang, masih tiada sebarang pengumuman yang dibuat meminta penumpang pesawat untuk ke Palu menaiki pesawat. Padahal pesawat tersebut sebenarnya dijadualkan berlepas pada pukul 3.00 petang.
Akhirnya tepat pukul 5.00 petang, pengumuman dibuat kepada semua penumpang pesawat Merpati yang akan ke Palu supaya menaiki pesawat dengan segera. Kami terus menuju ke pintu masuk untuk menaiki pesawat. Tepat jam 5.30 petang, pesawat yang kami naiki berlepas meninggakan landasan terbang Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Hasanuddin, Ujung Pandang menuju ke Kota Palu, Sulawesi Tengah.
Dengan bacaan doa dan bergantung harap kepada Allah s.w.t agar penerbangan kami ini selamat mendarat di Kota Palu tanpa sebarang masalah. Saat ini, hati saya bertambah meyakini dengan qatai’ bahawa hanya Allah s.w.t sahaja yang berkuasa menentukan segala-galanya. Manusia tidak mempunyai sebarang kuasa atau keupayaan untuk melawan atau mengubah takdir Tuhan.
Allahu Akbar...Maha suci Tuhan yang Maha Hebat lagi gagah perkasa. Aku mohon kepadaMu suatu anugerah berupa rahmat yang
Saya kemudiannya meneruskan lagi pembacaan novel yang asyik tertangguh. Bukan kerana kemalasan tetapi masa yang sentiasa menghambat membuatkan novel tersebut terbiar sahaja di bilik hotel. Sebentar kemudian, kami diberikan makanan ringan oleh crew penerbangan yang berupa sebiji donut berintikan sosej dan sebotol air mineral secara percuma.
Saya berasa penat dan mengantuk oleh kerana waktu rehat yang tidak mencukupi bagi membekalkan tenaga baru kepada badan oleh kerana jadual yang agak tersusun. Tapi mujurlah penerbangan dari Ujung Pandang , Sulawesi Selatan ini ke Kota Palu, Sulawesi Tengah hanya mengambil masa lebih kurang satu jam.
Secara tiba-tiba pesawat yang kami naiki bergegar beberapa ketika disebabkan perubahan cuaca secara mendadak. Hanya Allah s.w.t sahaja yang tahu perasaan kami ketika itu, hati saya bagaikan luruh dari tangkainya. Manakala Izzat kelihatan cemas sekali kerana ini adalah antara pengalaman pertamanya menaiki pesawat udara.
Allahu Akbar Walillahilhamd...itulah ucapan pertama yang keluar dari mulut saya tatkala tayar Pesawat Merpati yang kami naiki ini mencecah landasan Lapangan Terbang Kota Palu. Lapangan tersebut dikelilingi deretan bukit yang menghijau menjadikan pandangan cukup indah sekali. Cuaca ketika itu elok dan cerah disertai hembusan angin perbukitan yang menyengarkan.
Setelah mendapatkan bagasi, kami bergerak keluar dari lapangan terbang tersebut dan Pak Haris, kenalan Abu Aswad telah sedia menunggu kami untuk membawa kami ke rumah penginapan yang telah disediakan. Ketika itu kedengaran alunan ayat-ayat suci al-Quran dari menara-menara masjid sekitar kawasan tersebut kerana waktu maghrib sudah hampir.
Pada mulanya Pak Haris ingin terus membawa kami ke Masjid Yayasan al-Khairaat bagi menghadiri majlis bacaan qasidah dan ratib sempena Haul Habib Idrus bin Salim al-Jufri. Namun Abu Aswad minta untuk dihantarkan ke rumah penginapan terlebih dahulu untuk kami bersiap-siap. Kami ingin mandi serta melakukan apa yang patut bagi menselesakan diri kami. Apatah lagi untuk menghadiri satu majlis yang akan dihadiri oleh ramai orang, sudah tentu kondisi kami itu tidak menyelesakan.
Pak Haris menghantar kami ke rumah musafir milik Ketua Pemuda al-Khairat, Abdul Haq atau lebih dikenali sebagai Pak Ako. Pak Haris memberikan kami masa 40 minit untuk bersiap sebelum beliau datang menjemput kami ke Masjid Yayasan al-Khairaat.
Seusai solat maghrib, kami bersiap-siap menantikan kedatangan Pak Haris untuk menjemput kami ke Masjid Yayasan al-Khairaat. Sewaktu kami tiba disana, majlis telah dimulakan dengan bacaan Maulid Dibaei. Saya dimaklumkan bahawa dalam majlis ini juga penduduk tempatan mengambil kesempatan untuk mengadakan majlis akad nikah dan bercukur bayi. Terdapat tiga pasangan pengantin telah dinikahkan dalam majlis ini serta dua orang bayi telah diakikahkan serta bercukur.
Majlis ini telah diserikan dengan alunan zikir-zikir, selawat pujian kepada Baginda Rasulullah serta ahli keluarga Baginda dan akhir sekali taushiyah diberikan kepada para jemaah.
Sebagai penutup majlis, kami dijamu dengan nasi kambing. Berkebetulan perut saya sudah kosong dan minta di isi, jadi ini merupakan rezeki yang dinanti-nantikan. Hidangan tersebut begitu enak sekali berkebetulan dengan perut saya yang sudah kelaparan.
Selepas majlis tersebut tamat, para jemaah berebut-rebut untuk brtemu dan bersalaman dengan Habib Saggaf al-Jufri, Pengerusi Yayasan al-Khairaat. Kami juga tidak melepaskan peluang ini, apatah lagi kami merupakan tetamu istimewa dari Malaysia .
Pada mulanya kami ingin menziarahi makam Habib Idrus bin Salim al-Jufri yang terletak di dalam kawasan masjid, tetapi para jemaah masih terlalu ramai yang datang untuk menziarahi makam tersebut. Jadi Abu Aswad mengambil keputusan untuk menziarahnya kemudian sahaja kerana kami masih mempunyai masa sehingga hari Jumaat.
Kami telah dihantar Pak Haris ke rumah penginapan seusai majlis tersebut. Di rumah penginapan, saya menyambung kembali penulisan Rehlatul Kubra yang masih banyak terbengkalai. Manakala Izzat pula asyik dibuai rasa. Sehinggalah Pak Haris datang kembali menjemput kami untuk menemui Habib Ali, ketika itu jam telah menunjukkan pukul 10.55 malam.
Dalam perjalanan untuk menemui Habib Ali, kami singgah sebentar di rumah Ustaz Yahya, seorang kenalan Abu Aswad yang juga merupakan sahabat Habib Ali al-Jufri. Ketika itu Ustaz Yahya dikunjungi oleh ramai sahabat-sahabatya. Kami mendengar pelbagai-bagai cerita lucu yang diceritakan oleh sahabat Ustaz Yahya dalam pelat Arab.
Sedang kami asyik mendengar cerita, kami telah dihidangkan satu makanan khas masyarakat Donggala, Sulawesi Tengah berupa ubi kayu rebus yang dimakan bersama sup kaki lembu. Pada mulanya saya agak keliru bagaimana cara untuk makan hidangan tersebut. Walaupun dijemput berkali-kali oleh sahabat Ustaz Yahya, namun saya hanya mengangguk sahaja. Bukannya saya tidak mahu, cuma saya hendak lihat bagaimana hidangan tersebut dimakan. Saya lihat para sahabat Ustaz Yahya itu mengambil seketul ubi kayu rebus diletakkan ke dalam pinggan dan kemudiannya mereka memasukkan sup kaki lembu sebagai kuah kedalam pinggan tersebut. Seolah-olah mereka sedang menikmati sup kaki ubi kayu rebus. Setelah itu barulah saya dan Izzat turut sama menikmati hidangan yang tidak akan kita jumpai di Malaysia.
Kami kemudiannya diberitahu bahawa Habib Ali al-Jufri terpaksa menghadiri satu program dan tidak dapat berjumpa dengan kami. Sebagai ganti, Pak Haris telah membawa kami menikmati keindahan malam di Kota Palu, Sulawesi Tengah. Beliau membawa kami melintasi jambatan kebanggaan masyarakat Palu yang menyerupai Jambatan San Francisco di Amerika.
Kami sampai di rumah penginapan jam 12.30 malam. Pak Haris berjanji dengan Abu Aswad bahawa dia akan datang menjemput kami ke Majlis Haul Habib Salim bin Idrus al-Jufri pada pukul 7.30 pagi esok. Saya kemudiannya meneruskan penulisan Rehlatul Kubra, sedang Izzat pula asyik dibuai mimpi.
Ketika saya asyik menaip, kami dikunjungi Habib Ali dan Habib Alwi. Dikesempatan yang terbatas ini, kami mengambil peluang untuk bertukar pandangan. Inilah nikmatnya apabila bertemu dengan ulama. Pasti ada buah tangan yang berupa ilmu untuk kita pegang. Antara kata-kata Habib Ali yang saya masih ingat ialah “Biarlah manusia tidak dapat faham dengan lidah, tapi biarlah manusia dapat faham dengan hati.”
Mereka tinggalkan kami untuk beristirehat ketika jam sudah menunjukkan pukul 1.30. Walaupun begitu saya masih mahu meneruskan penulisan Rehlatul Kubra, namun akhirnya saya tewas oleh keletihan mata tatkala jam pukul 1.40 pagi.
Dengan namaMu Ya Allah aku hidup dan mati. Dengan namaMu aku meletakkan pinggangku, dengan pertolonganMu aku akan mengangkatnya kembali. Jika Kau menahan jiwaku maka kasihanilah ia dan jika Kau melepaskannya kembali maka peliharalah ia sebagaimana Kau memelihara hamba-hambaMu yang Soleh.[10]
Ya Allah, aku serahkan diriku kepadaMu dan aku hadapkan wajahku kepadaMu dan aku serahkan urusanku kepadaMu, aku sandarkan punggungku kepadaMu kerana mengharap dan takut kepadaMu, tiada perlindungan atau tempat selamat dari seksaMu kecuali dengan pertolonganMu, aku percaya padak kita yang Engkau turunkan dan Nabi yang Engkau utuskan.[11]
Segala puji bagi Allah yang telah memberi makan dan minum kami dan mencukupi dan menempatkan kami, sedang banyak orang yang tidak ada yang mencukupi atau memberi tempat. Ya Allah hindarkan kami dari seksaMu pada hari Engkau bangkitkan semua hambaMu.[12]
[3] Nasab beliau ialah Habib Idrus bin Salim bin Alwi bin Segaf bin Alwi bin Abdullah bin Hussein bin Salim bin Idrus bin Muhammad bin Abdullah bin Alwi bin Abu Bakar al–Jufri bin Muhammad bin Ali bin Muhammad bin Ahmad bin Alwi bin Muhammad bin Alwi bin Ali bin Muhammad Faqih al-Muqaddam bin Alwi bin Abdullah bin Ahmad al-Muhajir bin Isa an-Naqib bin Ali al-Uraidhi bin Jaafar as-Sadiq bin Muhammad al-Baqir bin Ali Zainal Abdidin bin Hussein bin Ali bin Abi Thalib.
Habib Idrus lahir di Kota Taris, 4 KM dari ibu Kota Seiwun, Hadralmaut pada 14 Syaban 1309 Hijrah bersamaan 15 Mac 1881 Masihi. Beliau meninggal pada hari Isnin 12 Syawal 1389 Hijrah bersamaan 22 Disember 1969 Masihi. (Abdul Qadir Umar Mauladawilah, 17 Habaib Berpengaruh di Indonesia . Pustaka Bayan , Indonesia . Januari 2009. Muka surat : 125)
Beliau tidak meninggalkan sebarang kitab tetapi beliau telah banyak menghasilkan generasi ulama yang hebat melalui Yayasan al-Khairaat yang telah diasaskan beliau. Yayasan al-Khairaat mempunyai 700 cawangan di Kalimantan, Sulawesi dan Irian Jaya. Pada tahun 1964 M, ia membangun Universiti Islamiyah yang mempunyai tiga Fakultas; Adab, Tarbiyah dan Syariah. (http://groups.yahoo.com/group/ppiindia/message/84567?var=0)
Semasa saya melawat Yayasan al-Khairaat baru-baru ini, Universitas al-Khairaat baru sahaja membuka fakulti kedoktoran dan telah menerima kemasukan para pelajarnya.
[6] Mustafa Abdul Rahman, Mukhtasar Ibnu Abi Jamrah. Dewan Pustaka Fajar, Kuala Lumpur . 2004, muka surat : 162.
bagi teman2 yang suka sejarah Syekh Yusuf Tuanta Salamaka dan mau Ngedownload Sinrilik Mp3nya silahkan di http://rasyajustice.blogspot.com/search/label/SEJARAH
BalasPadam