28 September 2009 (Isnin)
Pukul 11.30 pagi, semua ahli rombongan Rehlatul Kubra sudah berada di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP), Pengkalan Chepa untuk ‘check in’ kerana penerbangan kami Air Asia AK 5283 dijadualkan berlepas dari Kota Bharu ke Terminal LCCT, KLIA pada pukul 12.20 tengahari. Saya telah dihantar oleh isteri, Nik Haslini ke lapangan terbang.
Dari KLIA kami akan ke Ujung Pandang , Makassar untuk melawat Makam Syed Jamaluddin al- Akbar al-Husaini di Wajo. Kami dijadualkan berada di sana selama dua hari sebelum bertolak ke Kota Palu, Sulawesi Tengah bagi menghadiri Majlis Haul Habib Idrus bin Salim al- Jufri.
Keadaan di terminal LTSIP agak sibuk sedikit berbanding hari biasa, mungkin ini kerana bersempena cuti Hari Raya Aidilfitri baru sahaja berakhir. Saya agak teruja untuk menyertai rombongan ini apatah lagi apabila diberitahu akan melawat makam moyang kami di Wajo, Makassar .
Rombongan ini diketuai oleh Abu Aswad al- Kubrawiy yang selalu datang ke sini atas urusan dakwah dan agama. Perjalanan rombongan ini juga turut ditaja oleh Abu Aswad sendiri. Turut serta dalam rombongan ini anak saudara saya, Mohd Izzat Dhiaul Haq al- Kubrawiy.
Setelah pengumuman dibuat meminta para penumpang penerbangan AK 5283 menaiki pesawat, saya agak kagum dengan pencapaian Air Asia sebagai sebuah syarikat tambang murah sekarang ini. Pesawatnya lebih baru jika hendak dibandingkan pertama kali saya menaikinya suatu ketika dahulu. Tempat duduknya pula telah ditetapkan tidak seperti dulu yang menggunakan prinsip siapa dulu, dia yang dapat.
Ini adalah kali pertama Mohd Izzat menaiki pesawat udara, jadi tidak hairanlah anak muda itu kelihatan seperti agak risau sewaktu pesawat yang kami naiki ‘take off’ dari landasan serta ketika pesawat tersebut memasuki awan. Namun begitu, keadaan cemas tersebut juga turut dirasai oleh ahli rombongan yang lain walaupun kami sudah biasa menaiki pesawat udara. Mengikut pengumuman oleh ‘senior flight attendant’, penerbangan kami dari Kota Bharu ke KLIA akan memakan masa lebih kurang 55 minit.
Sewaktu kapal terbang sudah stabil di udara, Abu Aswad memesan sandwich, nasi lemak dan hot dog untuk mengisi perut-perut ahli rombongan yang belum sempat bersarapan sebelum bertolak tadi. Saya hanya memilih sandwich sahaja kerana pagi tadi saya sempat bersarapan dengan nasi berlauk.
Pesawat kami mendarat di terminal LCCT, KLIA pada pukul 1.20 tengahari. Dari sana selepas kami mengambil bagasi, kami terus ‘check in’ untuk penerbangan dari KLIA ke Ujung Pandang , Makassar [1]. Bila sebut sahaja Ujung Pandang , Makassar saya tiba-tiba sahaja teringat akan perjuangan Sultan Hasanuddin yang disebut-sebut dalam sejarah Indonesia akan kehebatannya. Bukan sahaja kehebatan perjuangan beliau, malah peribadi dan ketaqwaan beliau juga menjadi sanjungan dan kebanggaan penduduk Makassar sehingga hari ini. Maka tidak hairanlah jika Kerajaan Indonesia menamakan lapangan terbang di Ujung Pandang , Makassar dengan nama Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Hasanuddin.
Kali ini Abu Aswad menyerahkan urusan tiket dan ‘check in’ kepada saya. Ramai sekali para penumpang yang turut beratur menunggu giliran mendapatkan tiket serta mendaftarkan bagasi. Penerbangan ke Ujung Padang, Makassar no: AK 586 dijangkakan berlepas dari KLIA pada pukul 4.05 petang. Sekarang baru sahaja lebih kurang pukul 2.30 petang.
Saya berehat sekejap di kerusi yang disediakan oleh pihak pengurusan lapangan terbang seusai urusan ‘check in’ kerana pinggang terasa sedikit sengal akibat terlalu lama berdiri. Pelbagai gelagat manusia yang saya lihat. Sudah lama saya tidak melihat panorama sebegini setelah meninggalkan kota metropolitan Kuala Lumpur lima tahun yang lalu apabila menamatkan pengajian di sana . Sewaktu saya masih di universiti, saya suka ke Bandar apabila mempunyai masa terluang. Selain daripada untuk mendapatkan barang keperluan, saya juga gemar untuk melihat gelagat dan ragam manusia yang berada di sana . Amat benarlah firman Allah s.w.t :
Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).[2]
Pukul 3.15 petang kami solat jama’ taqdim zohor dan asar disurau yang terdapat dibalai berlepas dengan di imamkan oleh ketua rombongan, Abu Aswad. Kemudiannya kami berehat di Plaza Premium Lounge sementara menunggu waktu berlepas. Saya tidak tahu berapa bayaran yang dikenakan untuk seorang kerana semuanya telah diuruskan oleh Abu Aswad. Tetapi mengikut maklumat Abang Lie, salah seorang ahli rombongan yang biasa mengikuti Abu Aswad bahawa bayaran yang dikenakan bagi setiap orang ialah sebanyak RM60. Di sana juga turut disediakan pelbagai jenis makanan secara ‘buffet’ sebagai hidangan. Saya mengambil kesempatan untuk merasai sup cendawan, bubur nasi serta spegati.
Tepat pukul 4.00 petang, kami menaiki pesawat Air Asia AK 586 untuk ke Ujung Pandang . Walau bagaimanapun berlaku sedikit kelewatan kerana mengikut kapten kapal, terdapat 3 orang penumpang yang mendaftar masuk masih belum menaiki pesawat sedangkan semua bagasi mereka berada dalam ruangan bagasi pesawat. Menurut kapten lagi, peraturan menetapkan bahawa penerbangan tidak boleh diteruskan sehinggalah kesemua bagasi tersebut diturunkan semula.
Pesawat ini rata-ratanya dinaiki oleh warga Indonesia kerana saya hanya mendengar bahawa Indonesia yang dituturkan oleh kebanyakkan penumpang pesawat ini termasuklah kapten, juruterbang dan ‘crew’ penerbangan.
Sebelum saya mematikan handset sebagaimana yang telah ditetapkan oleh peraturan penerbangan, saya sempat menghantar SMS terakhir kepada isteri tersayang memberitahunya bahawa saya kini akan berlepas ke Ujung Pandang , Makassar . Turut mohon doanya agar saya selamat sehingga kembali semula ke tanah air.
Setelah semuanya selesai, pesawat yang sepatutnya berlepas pada pukul 4.05 petang ‘take off’ pada pukul 4.30 petang. Saya berdoa memohon keselamatan sepanjang penerbangan yang dijangkakan mengambi masa selama 3 jam 25 minit sebagaimana yang diumumkan oleh ‘senior flight attendant’, Mei Ling. Bagi mengisi masa penerbangan yang hampir 3 jam setengah itu, saya telah sediakan al- Quran dan sebuah novel ‘ Munajat Cinta 2’ karya Taufiqurrahman al- Azizy.
Semasa dalam penerbangan, kami telah diberikan ‘Arrival/ Departure Card’ dan Customs Declaration oleh crew penerbangan untuk diisi bagi memudahkan urusan Kastam dan Imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Hasanuddin Ujung Pandang, Makassar nanti.
Pembacaan novel ditemani rasa ngantuk dan bosan kerana masa penerbangan yang panjang. Namun begitu, saya menemui satu rangkaian kata yang cukup indah dan bermakna untuk kita renungi bersama sewaktu membaca novel yang berbunyi begini:
Segala puji bagi Allah yang daripada belas kasih-Nya tak ada orang yang kehilangan harapan, yang daripada nikmat- nikmat-Nya tak ada orang yang tak mendapatkan, yang daripada ampunan-Nya tak ada orang yang kecewa, yang daripada cinta dan kasih-Nya tak ada makhluk yang terzalimi, dan yang ibadah kepada-Nya tak ada yang terlalu tinggi.[3]
Tumpuan saya terhadap pembacaan novel tersebut juga turut terganggu oleh crew penerbangan dan para penumpang yang lalu lalang untuk ke tandas atau mendapatkan sesuatu. Saya telah membeli ‘passport holder’ yang berharga RM40 daripada flight crew yang menawarkan cenderhati Air Asia kepada para penumpang.
Abu Aswad kemudiannya mengarahkan kami supaya berniat jama’ ta’khir maghrib kerana kami mungkin kelewatan sewaktu tiba di Makassar nanti. Sebagaimana yang dijangka, pada pukul 7.37 malam, tayar pesawat yang kami naiki selamat mencecah landasan di Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Hasanuddin Ujung Pandang , Makassar . Waktu tersebut, maghrib telah lama berlalu dan telah masuk waktu isyak di sini. Terbit kalimah Alhamdulillah di mulut saya serta rasa syukur di hati ini kerana Allah s.w.t memberikan kami keselamatan sehingga ke saat ini.
Bila sebut sahaja Ujung Pandang , Makassar terbayang difikiran saya beberapa tokoh hebat yang mewarnai sejarah disini. Mereka ialah Sultan Agung Hasanuddin, Syeikh Yusuf Goa dan Pangeran Diponegoro.
Setibanya disini, kami telah diberikan satu borang kesihatan untuk di isi oleh penguasa kesihatan tempatan. Kami dan semua barang turut dikenakan semburan pencegahan penyakit H1N1 menggunakan mesin bagi mengelak penularan virus H1N1. Seterusnya urusan dengan pihak imigresen dan kastam selesai dengan mudah tanpa sebarang kerumitan. Kami dibenarkan memasuki Makassar dengan bebasnya.
Kami telah ditunggu oleh Pak Dani, pemandu yang akan membawa kemana sahaja sepanjang kami berada di Makassar ini. Beliau telah dihubungi oleh Pak Haris, sahabat Abu Aswad untuk memberikan khidmat kepada kami. Beliau seorang pemandu Toyota Avanza yang cekap dan hebat.
Khidmat pertama Pak Dani ialah membawa kami ke rumah penginapan atau hotel yang sederhana tapi selesa untuk kami menginap sepanjang dua hari kami berada di sini. Abu Aswad singgap di wartel[4] untuk membeli kad sim telefon bagi memudahkan beliau berhubung dengan semua sahabat dan kenalan beliau di sini.
Pengamatan saya terhadap warga Makassar yang saya kenali tidak sampai sejam ini ialah mereka merupakan pemandu atau pengguna jalan raya yang terlalu banyak sabar dan tolak ansurnya. Hon-hon kedengaran disepanjang jalan, bukan kerana tanda amaran atau marah terhadap pemandu lain tetapi sebagai tanda memohon ruang untuk bergerak sahaja. Mereka bebas keluar masuk simpang, memotong dan berhenti kerana para pemandu lain akan memberikan ruang kepada mereka untuk berbuat demikian. Saya percaya, kalau keadaan ini berlaku di Malaysia sudah tentu bukan hanya sekadar bunyi hon yang panjang sebagai tanda marah dan amaran kepada pemandu lain. Malah sumpah seranah juga turut terhambur keluar dari mulut mereka. Kadang-kadang, anggota badan juga turut dijadikan bahan melepaskan amarah seperti penumbuk dan sebagainya.
Kami turut singgah di Rumah Makan 17 Propinsi Masakan Padang untuk makan malam. Abu Aswad yang meminta Pak Dani singgah di kedai makan nasi padang untuk memberikan peluang kepada ahli rombongan merasai masakan Padang . Ini adalah pertama kali saya merasai masakan Padang . Mereka sediakan nasi tambah bagi setiap orang tanpa diminta. Cara yang hampir sama dengan hidangan nasi Restauren Hoover di Kota Bharu, Kelantan.
Sewaktu Pak Dani ingin keluar dari parking keretanya, saya kedengaran bunyi wisel dari belakang serta memberikan arahan kepada Pak Dani bagi memudahkan Pak Dani keluar dari parking tersebut. Kenderaan lain juga turut berhenti memberikan laluan kepada kenderaan kami. Setelah itu seorang lelaki yang memakai vest yang tertera ‘juruparkir’ menghampiri tingkap Pak Dani lalu lelaki itu diberikan Rp 1,000[5] oleh Pak Dani sebagai upah khidmat yang diberikannya itu. Timbul pada fikiran saya bahawa kerja tersebut jauh lebih baik dan lebih mulia jika hendak dibandingkan dengan mencuri, meragut, menipu, merompak dan sebagainya kejahatan jalanan.
Sewaktu Pak Dani ingin keluar dari parking keretanya, saya kedengaran bunyi wisel dari belakang serta memberikan arahan kepada Pak Dani bagi memudahkan Pak Dani keluar dari parking tersebut. Kenderaan lain juga turut berhenti memberikan laluan kepada kenderaan kami. Setelah itu seorang lelaki yang memakai vest yang tertera ‘juruparkir’ menghampiri tingkap Pak Dani lalu lelaki itu diberikan Rp 1,000[5] oleh Pak Dani sebagai upah khidmat yang diberikannya itu. Timbul pada fikiran saya bahawa kerja tersebut jauh lebih baik dan lebih mulia jika hendak dibandingkan dengan mencuri, meragut, menipu, merompak dan sebagainya kejahatan jalanan.
Lebih kurang pukul 10.30 malam, Pak Dani menghantar kami ke Hotel Bumi Asih yang terletak di Jalan Dr. Sam Ratulangi No. 17 Makassar sebagai tempat penginapan kami sepanjang kami berada disini. Saya berkongsi bilik dengan Izzat. Biliknya agak selesa cuma tempat letak aircond yang tidak sesuai menyebabkan bilik kami tidak sejuk sepenuhnya. Plug elektriknya juga memberikan masalah kerana di sini hanya mempunyai dua pin sahaja sedangkan kebanyakkan barang elektrik yang saya bawa ada tiga pin terutamanya plug laptop saya. Jadi saya perlu mendapatkan plug converter bagi memudahkan saya untuk menggunakan peralatan elektrik tersebut.
Selepas menunaikan solat jama’ ta’khir maghrib dan isyak yang diimamkan oleh Izzat, saya mengambil kesempatan yang terluang ini untuk memulakan penulisan Rehlatul Kubra ini sementara segala-galanya masih hangat dan terbayang dalam fikiran saya ini. Walaupun kepenatan, saya membuka laptop dan memulakan catatan perjalalanan ini. Izzat pula sudah lena dibuai mimpi di katil bersebelahan dengan iringan dengkuran kecil.
Beteri laptop sudah menunjukkan amaran merah dan saya juga sudah kepenatan. Tambahan pula, pagi esok selepas solat subuh kami akan bertolak ke Desa Tosora Kabupaten Wajo, Makassar untuk menziarahi makam moyang kami, Syed Hussin Jamaluddin al- Akbar atau Syeikh al-Habib Jamaluddin al- Akbar al- Hasani[6] yang akan mengambil masa 5 jam perjalanan dari Kota Makassar ke Desa Tosora tersebut.
Oleh yang demikian, saya mengambil keputusan untuk berehat dan tidur sahaja tatkala tepat jam 12.06 pagi.
Ya Allah, aku berlindung kepadaMu dari mengisyaratkan dengan hati,lisan atau tangan kepada selainMu. Tidak ada tuhan selain Engkau, Allah Yang Maha Esa, Maha Tunggal dan Maha Kekal. Dan kepadaMulah aku berserah diri.
Wahai Tuhanku, sebagaimana Engkau telah menjaga wajahku dari sujud kepada salainMu, maka jagalah wajahku daripada meminta selain dariMu. Wahai Tuhanku, cukuplah bagiku kebanggaan bahawasanya Engkau menjadi Tuhan bagiku dan cukuplah kemuliaan bagiku bahawa aku menjadi hamba bagiMu. Sesungguhnya Engkau seperti yang kuinginkan, maka jadikanlah aku seperti yang Engkau inginkan.[7]
[1] Ujungpandang adalah nama lain untuk Makassar dan dipakai dari kira-kira tahun 1950-an sampai tahun 2000.
Alasan untuk mengganti nama Makassar menjadi Ujungpandang adalah alasan politik. Antara lain karena Makassar adalah nama sebuah suku bangsa padahal tidak semua penduduk kota Makassar adalah anggota dari etnik Makassar .
Alasan lainnya yang sering diajukan tetapi dirasa kurang masuk akal ialah konon kerana kata Makassar mengandung kata "kasar" sehingga orang Makassar sering diejek. Padahal nama Makasar berasal dari bahasa Makassar "MANGKASARA" yang berarti yang menampakkan diri atau yang bersifat terbuka. (http://id.wikipedia.org/wiki/Ujungpandang)
Kota Makassar (dahulu daerah tingkat II berstatus kotamadya; dari 1971 hingga 1999 secara resmi dikenal sebagai Ujungpandang atau Ujung Pandang) adalah sebuah kotamadya dan sekaligus ibu kota provinsi Sulawesi Selatan. Kotamadya ini adalah kota terbesar di pada 5°8′S 119°25′E / 5.133°S 119.417°E / -5.133; 119.417Koordinat: 5°8′S 119°25′E / 5.133°S 119.417°E / -5.133; 119.417, di pesisir barat daya pulau Sulawesi, menghadap Selat Makassar. Makassar dikenal mempunyai Pantai Losari yang indah.
Makassar berbatasan Selat Makassar di sebelah barat, Kabupaten Kepulauan Pangkajene di sebelah utara, Kabupaten Maros di sebelah timur dan Kabupaten Gowa di sebelah selatan.
[3] Taufiqurrahman al- Azizy, Munajat Cinta 2. PTS Litera Utama, Kuala Lumpur . 2009. Muka surat : 153
[6] Nasab beliau ialah Syed Jamaluddin Hussin al-Akbar @ Syed Jamaluddin al-Hussin @ Syed Hussin Jumadil Kubra Bin Ahmad Jalaluddin Syah @ Ahmad Syah Jalal Bin Abdullah Amir Azamat Khan @ Abdullah al-Amir @ Abdullah Azamat Khan @ Abdullah Khan Bin al-Muhajir Ilal Hindi Abdul Malik Bin Alwi Aamul Faqih Bin Muhammad Sahibul Mirbath Bin Ali Khali’ Qassam Bin Alwi Bin Muhammad Bin Alwi Bin Ubaidillah Bin Ahmad al-Muhajir Bin Isa as-Syakir Bin Muhammad Bin Ali Uraidhi Bin Jaafar Shodiq Bin Muhammad al-Baqir Bin Ali Zainul Abidin Bin Syaidina Hussin Syahid Karbala Sibtu Fatimah Az Zahra’ al-Batul Bin Syaidul Mursalin Muhammad Khatamun Nabiyyin.
Terhadap tarikh kelahiran beliau ini terdapat banyak perselisihan diantara para pengkaji sejarah dan ahli nasab. Tetapi mengikut Syekh Waliyuddin Khan ( Tarikh Aghrariah: 1923), beliau dilahirkan pada tahun 1336 di Kota Agra India . Beliau dilahirkan bersama limpahan harta dan kemewahan kerana Ayahanda beliau, Syed Ahmad Jalaluddin Syah adalah Gabenor Agra di bawah pemerintahan Kesultanan Mughal yang berpusat di New Delhi pada masa itu. Walaupun kehidupan beliau dilimpahi kemewahan dunia, tetapi hal itu tidaklah melalaikan beliau dari istiqamah pada landasan Aslaf beliau yang terdahulu. Dari umur belasan tahun, beliau banyak mengembara ke pelusuk India khasnya di Syaharanfur, Karachi dan Nizamuddin untuk mendalami ilmu khususnya dalam bidang Hadith dan Tasauf. Beliau juga sering mendapat ru’yah bertemu dengan Syaidul Makhluq dan di anugerahkan ALLAH ilmu laduni.
Sewaktu beliau berumur 25 tahun, beliau di tunjukkan untuk menjadi gabenor di Haidrabad. Beliau dengan sedaya- upaya berusaha untuk menolak jawatan tersebut dan akhirnya terpaksa beliau terima dengan berat dan kecewa. Sewaktu beliau menjadi gabenor Haidrabat itulah, beliau telah menerapkan Prinsip Islam dalam pemerintahan beliau dan mencontohi para Khalifah ar-Rasyidun. Hasil dari itulah, dalam masa beberapa tahun sahaja, Haidrabad telah termasyhur sebagai pusat perdagangan. Sewaktu beliau menjawat jawatan gabenor ini juga, telah beberapa kali beliau di amanahkan untuk menjadi panglima perang dalam menentang pemberontakan dari Kerajaan Hindu India.
Ketika umur beliau 30 tahun, beliau telah melaksanakan Ibadah Haji di Makkah dan melangsungkan ziarah ke Madinah. Sewaktu beliau berziarah Datuk beliau di Madinah inilah, beliau telah bertemu dengan Baginda secara sedar ( Yakazoh) dan di tunjukkan supaya meninggalkan jawatan yang beliau duduki sekarang dan dianjurkan supaya membawa dakwah ke timur.
Lalu sewaktu pulang dari haji dan ziarah itu, beliau tidak langsung pulang ke Hadrabad, tetapi ke Mughal untuk berziarah kakek beliau Syed Abdullah Amir Azamat Khan. Semasa berada di Mughal inilah, beliau telah bertemu dengan beberapa orang saudara sepupu beliau dan mereka telah diajak untuk bersama-sama melaksanakan dakwah ke timur. Semasa berbincang tentang hala tuju mereka ke timur ini, mereka telah bersepakat untuk menjadikan Kepulauan Nusantara ini sebagai daerah dan lembangan dakwah mereka.
Setelah persetujuan di ikat, berangkatlah beliau ke Nusantara ini bersama 6 saudaranya yang lain. Perjalanan mereka ini telah di kenali sebagai “ Wali Tujuh Dengan Perancangan Islam Di Timur”. Semasa dalam pelayaran ke Nusantara ini, mereka telah di uji oleh Sang Yang Maha Mencipta dengan beberapa ujian yang berat dan hal itu tidak mematahkan hasrat mereka.
Setelah tiba di Nusantara ini, mereka telah berpecah untuk mendirikan lembangan dakwah kepada beberapa kepulauan dan Syed Jamaluddin Hussin al-Akbar bersama beberapa saudaranya telah memilih daerah dakwahnya yang pertama di Empayar Langkasuka iaitu yang meliputi Champa (Indo China/ Kemboja sekarang) sehingga ke Kepulauan Mindanao di Filipina, manakala ibukotanya pula adalah Tanah Serendah Sekebun Bunga (Kelantan Tua). Semasa berdakwah di sini, beliau tidak sahaja mendekati para rakyat dan marhain, tetapi turut berdakwah kepada golongan pembesar dan istana. Berhasil dari sinilah, beliau telah diminta oleh Raja Sang Tawal (Sultan Baqi Syah/ Sultan Baqiuddin Syah), Sultan yang memerintah Tanah Serendah Sekebun Bunga pada masa itu untuk tinggal di istana dan menjadi penasihat Sultan.
Semasa beliau berdakwah dan menjadi Penasihat Sultan di Kerajaan Langkasuka, beliau telah dikahwinkan dengan dua orang puteri dari Tanah Serendah Sekebun Bunga iaitu Puteri Linang Cahaya yang merupakan Putri Raja Sang Tawal dan Puteri Selindung Bulan (Putri Saadong II) serta seorang Putri Diraja Champa yang bernama Putri Ramawati dan seorang Putri Diraja Johor. Puteri Ramawati (Champa) isteri kedua beliau dan Putri Selindung bulan (Kelantan Tua) isteri ketiga ini adalah saudara sebapa yang dikahwini oleh beliau setelah kematian isterinya yang kedua.
Dari perkahwinan dengan Putri Diraja Kelantan Tua ini beliau mendapat dua orang putra yang bernama Abdul Malik (Gerisik) dan Ali Nurul Alam (Fathoni) serta seorang putri yang bernama Putri Siti Aisyah (Putri Ratna Kesuma). Dari perkahwinan beliau dengan Putri Ramawati yang merupakan Putri Sultan Zainol Abidin Syah (Che Bong Nga), beliau mendapat seorang putra yang bernama Ibrahim Zainol Akbar (Ibrahim Asmaro @ Ibrahim As Samarqandi). Adapun perkahwinan beliau dengan Putri Diraja Johor telah memberikan dua orang putra, iaitu Syarif Muhammad Kebungsuan(Mindanao Filipina) dan Sultan Berkat(Zainol Alam Barakat).
Dari keturunan beliaulah lahirnya para pejuang dan pendakwah di seluruh pelusuk Nusantara kita ini. Contohnya, dari Abdul Malik, lahirnya para Wali Sembilan (Wali Songo) di Indonesia dan dari Ali Nurul Alam, lahirnya para pemerintah, ulama dan pendakwah di Fathoni. Di setiap tempat dan negeri yang mereka kunjungi, mereka langsung membaur dengan rakyat setempat dan menggunakan nama dan gelaran yang dipakai oleh masyarakat secara umum. Mereka mengorbankan gelaran Syed, Syarif dan Habib demi melihat bersatunya jiwa masyarakat dalam dakwah Islami. Dari hal itulah, mereka kini lebih dikenali sebagai Tengku, Tuan, Nik dan Wan. Mereka membaur bersama masyarakat dengan keluhuran akhlak dan kehidupan bersahaja serta ketaatan pada agama seperti yang diwarisi dari leluhur mereka telah memikat hati masyarakat peribumi sehingga Islam tersebar dalam masa yang reletif singkat.
Dari hasil dakwah beliau bersama saudaranya beserta perancangan yang berhikmah, Islam tersebar dengan meluas sehingga Empayar Langkasuka lebih dikenali sebagai Empayar Chermin Jeddah, manakala ibu negerinya (Tanah Serendah Sekebun Bunga/ Kelantan Tua) dikenali sebagai Negeri Serambi Mekah. Ini jelas pada masa itu, yang mana penyebaran ilmu agama amat pesat serta terbinanya Madrasah Diniah ( pondok pasentren ) bagaikan cendawan selepas hujan serta mereka yang datang belajar agama di sini disamakan tarafnya dengan mereka yang belajar agama di Mekah. Perkembangan Islam di bawah pimpinan beliau tidak terhenti setakat itu sahaja, bahkan beliau berjaya melatih para kader dakwah dan menghantarnya ke seluruh pelusuk Asia Nusantara ini.
Dikalangan keturunan beliau yang masyhur sebagai pendakwah diantaranya dari keturunan Ibrahim Zain al-Akbar (Champa) ialah Maulana Ishak, Muhammad Ainul Yakin (Sunan Giri), Ahmad Rahmatullah (Sunan Ampel), Ibrahim (Sunan Bonang), Hasyim (Sunan Derajat), Jaafar Shadiq(Sunan Kudus) . Manakala dari keturunan Ali Nurul Alam (Fatoni) lahirnya Wan Hussin (Tok Masjid Telok Manok/ Tok Syed Quran), Wan Abdullah (Wan Bo/ Tok Raja Wali), Wan Demali, Syarif Hidayatullah (Sunan Gunung Jati) dan Wan Demali (Temenggung Laut). Dari keturunan Abdullah (Wan Bo/ Tok Raja Wali) inilah yang telah melahirkan keturunan Abd Malik @ Muluk (Tok Ku Hitam/ Pakcu Keling).
Setelah beberapa lama beliau melaksanakan jihad dan dakwahnya di utara Nusantara maka beliaupun belayar kembali dan memilih kawasan selatan yang meliputi Kepulauan Jawa pula. Semasa berada di Pulau Jawa inilah, beliau sempat melihat kejayaan dakwah yang dilaksanakan oleh adakanda dan cucunda beliau. Setelah beberapa lama berada di Pulau Jawa akhirnya beliau merantau dan berdakwah ke daerah Bugis(Makasar/ Ujung Pandang ) di Sulawesi Selatan. Semasa melaksanakan dakwahnya disini, beliau telah dipanggil oleh Qadhi Haqiqi Rabbul Jalil menghadapNya. Maka kembalilah insan yang telah banyak berjasa untuk Agama ALLAH ini dalam keadaan redha lagi diredhai pada tahun 1415 m dan dimakamkan di hadapan masjid beliau di Jalan Masjid Tua, Desa Tosora, Kacamatan Manjeuleng, Kabupaten Wajo, Propensi Sulawesi Selatan. Semoga ALLAH tetap mencurahkan Rahmat dan berkahNya kepada beliau serta menerima semua hasanah beliau dan memaafkan segala khilaf beliau juga mengangkat beliau ke darjah yang selayaknya bersama datuk beliau Syaidul Mursalin Wakhatamun Nabiyyin. (http://usrah-jamadilkubra.blogspot.com/search/label/Sejarah)
[7] Imam Ali: al- Mukhtar min Bayanihi wa Hikamihi. Pustaka Hidayah, Bandung . Cetakan Ke VII, Mac 2009. Muka surat : 15.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan