Selamat Datang

Usrah Jamadilkubra ialah rangkaian keluarga keturunan SYED JAMALUDDIN AL-AKBAR AL-HUSAINI (Wajo Makasar 1352-1415 M) BIN AHMAD JALALUDDIN SYAH (AHMAD SYAH JALAL) melalui keturunannya SYED ALI NURUDDIN ZAINUL ALAM (Ali Nurul Alam).

Ahad, 23 Ogos 2009

Wahdatul Wujud : Antara Kebenaran dan Kesesatan


Pengenalan:

Perkataan "Wahdatul-Wujud" ini sering diperbincangkan oleh ramai para cendikiawan Islam. Ianya sering dikaitkan dengan golongan sufi dan tasawwuf malah golongan tawassuf turut disesatkan oleh sebahagian orang dengan masalah "Wahdatul-wujud" ini.


Ada golongan yang menyesatkan kaum sufi secara keseluruhan kerana Wahdatul-wujud ini dan ada juga yang tersesat dengan kefahaman yang salah terhadap Wahdatul-wujud ini juga. Namun, di antara kedua-dua golongan tersebut, golongan yang benar adalah golongan yang menghayati Wahdatul-wujud dengan makna yang sebenarnya.


Adapun orang yang jahil tentang maksud kaum sufi yang benar dan para wali yang arif tentang wahdatul-wujud, bersikap menolak wahdatul-wujud secara mutlak, dengan memukul sama rata, antara kefahaman yang benar tentang wahdatul-wujud yang dimaksudkan oleh para sufi yang benar dengan kefahaman yang salah tentang wahdatul-wujud yang diketengahkan oleh orang-orang yang sesat, namun masih menggunakan nama sufi dan tasawwuf, padahal kaum sufi yang benar dan ahli tasawwuf yang sejati, berlepas tangan daripada mereka.


Penulis -dengan bantuan Allah s.w.t.- rasa terpanggil untuk menulis tentang hal ini, kerana penulis terbaca sebuah buku yang dikarang oleh seorang penulis bernama (Dr.) Abdulfatah Haron Ibrahim, berjudul "Sanggahan Ke Atas Kitab Kasyf Al-Asrar" yang diterbitkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pada tahun 2000 (walaupun penulis baru mendapat buku ini) dan diedarkan secara percuma.


Penulis (alfaqir) yang serba kekurangan ini, takkala meneliti buku ini, seraya mendapati bahawa, penulis buku sanggahan ini, telah salah faham tentang banyak perkara yang cuba dimaksudkan oleh penulis asal buku Kasyf Al-Asrar itu sendiri. Penulis pun agak hairan dengan JAKIM sendiri, kerana sanggup menerbitkan buku tersebut, sedangkan penulis buku itu sendiri tidak faham isi buku kasyf Al-Asrar dengan makna yang sebenar. Adakah para panel penyelidikan JAKIM tidak dapat mengesan kecelaruan dan salah faham penulis buku ini dalam memahami buku kasyf Al-Asrar ini, atau mereka sendiri tidak memahami apa yang mereka sanggahi?


Penulis (alfaqir) bukanlah ingin membela keseluruhan isi buku ini tetapi setakat yang penulis baca buku kasyf Al-Asrar tersebut, seperti yang dinukilkan sendiri dalam buku Sanggahan tersebut, penulis (alfaqir) dapati, jika seseorang memahami buku kasyf Al-Asrar tersebut dengan maknanya yang sebenar, lalu mengukur isi-isi utama dalam buku tersebut dengan neraca Al-Qur'an dan As-Sunnah, nescaya dia tidak akan dapati sebarang percanggahan yang melibatkan masalah aqidah.


Cuma, apabila seseorang memahami buku kasyf Al-Asrar dengan kefahaman penyanggah buku tersebut, pasti mereka akan memahami buku tersebut sebagai sesat, tetapi bukan kerana buku itu sesat, cuma kerana memahami makna buku kasyf Al-Asrar dengan makna sesat mengikut kaca mata penyanggah buku itu. Sedangkan, jika seseorang baca satu persatu isi-isi buku kasyf Al-Asrar itu dengan adil, dan mengukurnya dengan neraca Al-Qur'an dan As-Sunnah, tanpa taqlid, maka pasti dia dapati hampir tiada yang bercanggah dengan Al-Qur'an dan As-Sunnah.


Penulis yang serba jahil ini dapati sendiri, setelah mengukur isi-isi kandungan dalam buku kasyf Al-Asrar seperti yang dilampirkan dalam buku Sanggahan tersebut, dengan neraca wahyu samawi, penulis dapati, kebanyakkan isi-isi tersebut ada sandarannya yang jelas daripada Al-Qur'an dan As-Sunnah itu sendiri. Penulis katakan: "kebanyakkan isi-isi buku tersebut ada sandarannya", bukan kerana menolak sebahagian lain isi kandungan buku tersebut, tetapi setakat dengan kejahilan penulis ini, penulis tidak mendapati sandaran yang jelas, mengenainya, dan tetap yakin, ada sandarannya yang jelas cuma belum penulis jumpai.


Namun, kesemua isi kandungan buku ini secara umumnya tidak bercanggah langsung dengan aqidah Islam yang murni. Cuma ada daripada isi-isinya yang tidak dijumpai sandarannya yang kukuh dalam ilmu-ilmu rusum (seperti dalam buku-buku himpunan hadith dan sebagainya), namun tidak pun membawa kepada bercanggah dengan aqidah Islam.


Antara sanggahan-sanggahan yang disanggah oleh penyanggah ke atas buku kasyf Al-Asrar adalah seperti fahaman Wahdatul-wujud, nur muhammad, ilmu tasawwuf, kesyirikan menurut ahli tasawwuf, mencela dunia, dan sebagainya. Namun, semua sanggahan tersebut ada jawapannya untuk menyanggah kembali sanggahan tersebut (namun bukan di sini kesempatan untuk menyanggahnya).


Berkenaan dengan kefardhuan ilmu tasawwuf ini sendiri, ramai ulama' besar yang berkata tentangnya termasuklah Imam Malik itu sendiri (sila rujuk jawapan siri pengenalan tasawwuf). Begitu juga dengan masalah mencela dunia, masalah beribadah bukan kerana syurga dan sebagainya, bukanlah suatu yang perlu disanggah kerana terlalu banyak sandarannya daripada nas-nas Islami. Bahkan, ianya tiada kaitan dengan masalah aqidah itu sendiri.


Namun, fokus paling utama dalam perbahasan di sini hanyalah berkenaan dengan kefahaman sebenar tentang Wahdatul-wujud, agar orang-orang awam tidak terkeliru dengan dakwaan kononnya golongan sufi sesat atas dasar Wahdatul-wujud ini.


Penulis hairan dengan JAKIM sendiri kerana sanggup menerbitkan buku ini yang mana, perbahasannya terlalu rapuh dan mengandungi banyak kecelaruan serta salah faham. Bagaimana mungkin seseorang mampu membetulkan "salah faham" dengan salah faham juga? Ia tidak pernah memberi sebarang penyelesaian sama sekali.


Persoalan-persoalan seperti NUR MUHAMMAD itu sendiri bukanlah suatu persoalan yang berkaitan dengan aqidah. Bahkan, konsep NUR MUHAMMAD ini dipegang oleh ramai ulama' besar yang menjadi sumber rujukan dunia sehingga hari ini, dengan maknanya (makna NUR MUHAMMAD) yang sebenar.


Antara para ulama' yang membincangkan tentang masalah NUR MUHAMMAD ini sendiri adalah seperti Imam Al-Hafiz As-Suyuti yang menjadi antara rujukan utama dalam bidang hadith, Imam Izzuddin Abdul Salam (Sultan Ulama') dan ramai lagi. Begitu juga dengan ulama'-ulama' masa kini khususnya ulama'-ulama' besar di Al-Azhar, Mesir sendiri. Antara mereka adalah seperti Sheikh Muhamad Zaki Ibrahim, Sheikh Dr. Umar Abu Hasyim (bekas raktor Azhar), Sheikh Dr. Ali Jum'ah (mufti Mesir) dan sebagainya.


Tidak adakah seorang pun daripada ustaz-ustaz di penyelidikan JAKIM yang pernah belajar di Al-Azhar atau belajar daripada Dr. Ali Jum'ah, atau Dr. Umar Abu Hasyim, dan bertanyakan kepada mereka tentang makna yang sebenar mengenai Nur Muhammad itu sendiri, sehingga sanggup membiarkan buku sanggahan ini diterbitkan, sedangkan penulis buku ini sendiri tidak faham maksud sebenar daripada perkataan Nur Muhammad itu sendiri (bahkan maksud-maksud perkataan lain yang dibahaskan dalam buku tersebut)?


Kalaulah masalah Nur Muhammad itu suatu kesesatan, bagaimana JAKIM sendiri boleh menjemput Dr. Ali Jum'ah (mufti Mesir) ke Malaysia sebagai tetamu dalam membincangkan tentang Islam, sedangkan beliau sendiri menyokong masalah Nur Muhammad ini? Bagaimana JAKIM mengiktiraf Universiti Al-Azhar itu sendiri sedangkan ramai ulama' mereka menyokong masalah Nur Muhammad ini termasuklah bekas Raktor Al-Azhar sendiri, sehingga menulis satu risalah mengenainya, seperti yang diterbitkan oleh Jabatan Mufti Negeri Sembilan?

Siapakah yang perlu disanggah atau yang pelu diperbetulkan sebenarnya?


Penulis bukanlah seorang yang berilmu, tetapi penulis pernah belajar dengan mereka yang mendalami dalam perkara-perkara seperti ini. Jadi, ini merupakan amanah ilmu untuk membetulkan salah faham tentang perkara yang ingin dibincangkan di sini (iaitu tentang wahdatul-wujud).


Berhati-hatilah Dalam Menghukum

Penulis meyeru agar pihak-pihak yang diberi tanggungjawab untuk memberi kefahaman yang benar tentang Islam kepada masyarakat, supaya berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan apatah lagi menerbitkan buku-buku rujukan agama, kerana ia sebenarnya merupakan amanah dari Allah s.w.t.. Ilmu itu amanah. Allah s.w.t. akan bertanya tentangnya. Kalau tidak faham atau tidak teliti dengan mendalam tentang sesuatu masalah, maka bertanyalah kepada mereka yang ahli sebelum menghukum.


Allah s.w.t. berfirman:

Dan janganlah kamu mengikuti (membahaskan) apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, semuanya itu akan diminta pertanggung jawab ke atasnya. (Surah Al-Isra': 36)


Imam Al-Baidhowi r.a. ketika mentafsirkan ayat ini berkata:

"Jangan kamu cuba mengikuti (iaitu membahaskan, apatah lagi menyalahkan) sesuatu yang kamu tidak memiliki ilmu tentangnya, semata-mata kerana taqlid kepada seseorang atau mengikut prasangka kamu sendiri tanpa usul periksa"


Wahai para pengkaji ilmu Islam, inilah saranan Allah s.w.t. terhadap orang yang tidak mengetahui tentang sesuatu perkara, dengan kefahamannya yang sebenar, agar menjauhi daripada sikap terlalu ghairah dalam menyalahkan dan mengkritik, khususnya dalam masalah yang dia sendiri tidak memahaminya.


Malang bagi seseorang yang kononnya memperjuangkan kebenaran, dan menolak kebatilan, dalam masa yang sama menolak kebenaran kerana menyangka ianya suatu kebatilan. Hati-hatilah wahai pengkaji ilmu. Allah s.w.t. tidak mempersoalkan kamu jika kamu baik sangka terhadap sesama muslim, tapi Dia mempersoalkan kamu terhadap buruk sangka kamu terhadap sesama muslim.


Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:

"Janganlah kamu berprasangka (buruk). Sesungguhnya prasangka itu seburuk-buruk perkataan…" (Hadith riwayat Al-Bukhari dan Muslim)


Bagaimana seseorang sanggup melemparkan tohmahan dan menuduh sesat para sufi dengan perkara-perkara atau istilah-istilah yang mereka sendiri tidak memahaminya menurut kefahaman para sufi itu sendiri? Maka, tohmahan dan tuduhan tersebut hanyalah berdasarkan buruk sangka mereka terhadap para sufi yang benar itu sendiri.


Penulis bukan bertujuan mengkritik mana-mana pihak, tetapi sekadar prihatin dengan masyarakat awam Islam itu sendiri, malah lebih penting lagi, ianya melibatkan masalah amanah ilmu itu sendiri.


Fenomena Mengkritik Kaum Sufi yang Benar: Natijah Kejahilan Seseorang Tentang Mereka (Kaum Sufi)

Orang-orang yang mengkritik para sufi secara umum, samada dari kalangan awam mahupun dari kalangan ulama', sebenarnya tidak mengkritik mereka melainkan hanya kerana kejahilan mereka terhadap maksud-maksud yang cuba disampaikan oleh para sufi yang benar tersebut. Mereka menuduh kaum sufi dengan pelbagai tuduhan kerana mereka tidak pernah berinteraksi dengan para sufi dan meminta penjelasan daripada para sufi, terhadap perkataan mereka (para sufi tersebut).


Namun, terlalu ramai dalam kalangan ulama' yang mana, pada awalnya mengkritik para sufi, namun setelah bersahabat dengan para sufi yang benar, maka mereka kembali mengakui kebenaran yang disampaikan oleh golongan sufi.


Imam Ahmad bin Hanbal r.a., sebelum bersahabat dengan golongan sufi, melarang anaknya dari bersahabat mereka. Namun, setelah beliau bersahabat dengan Abu Hamzah Al-Baghdadi r.a., seorang sufi, dan mengenali mereka, beliau berkata kepada anaknya: “Wahai anakku. Hendaklah kamu duduk bersama-sama dengan kaum tersebut (sufi). Sesungguhnya ilmu mereka, muroqobah mereka, ketakutan mereka kepada Allah s.w.t., zuhud mereka dan semangat mereka, lebih banyak dari kita.” (Tanwir Al-Qulub M/S: 405).


Begitu juga dengan Sultanul-Ulama' Imam Izzuddin bin Abdul Salam r.a., sebelum bertemu dengan Sheikh Abil Hasan As-Syazuli r.a., beliau antara orang yang lantang mengkritik kaum sufi dengan berkata:

"Adakah jalan lain selain daripada Al-Qur'an dan As-Sunnah?"


Namun, setelah peristiwa yang berlaku di Mansurah, Mesir, di mana Sheikh Izzuddin bin Abdul Salam r.a., Sheikh Makinuddin Al-Asmar r.a. dan Sheikh Taqiyuddin ibn Daqiq Al-'Id r.a. bertemu dengan Sheikh Abul Hasan As-Syazuli r.a., maka mereka (termasuklah Imam Izzuddin bin Abdul Salam) mengakui kebenaran kaum sufi. Peristiwa ini diceritakan sendiri oleh Sheikh Makinuddin Al-Asmar yang kemudiannya menjadi pendokong manhaj tarbiah Imam As-Syazuli r.a..


Kisahnya, di mana sewaktu mereka berhimpun di Mansurah, lalu mereka membaca buku Ar-Risalah Al-Qusyairiyah. Setiap daripada mereka mensyarahkan buku tersebut dalam majlis tersebut. Lalu, tiba-tiba, Imam Abul Hasan As-Syazuli r.a. melalui khemah mereka, lalu mereka memanggil Imam Abul Hasan As-Syazuli r.a. agar mensyarahkan kitab tersebut kepada mereka.


Imam Abul Hasan As-Syazuli r.a. lalu berkata:

"Kamu semua adalah pembesar-pembesar dari kalangan ulama'. Kamu semua adalah penghulu-penghulu ilmu zaman ini. Bukankah kamu semua sudah mensyarahkannya? Maka, apakah lagi yang layak untuk orang seperti saya ini mensyarahkannya kepada kamu semua setelah syarah kamu semua?"


Namun, mereka memujuk Imam As-Syazuli r.a. untuk mensyarahkannya, lalu Imam As-Syazuli r.a. mensyarahkannya dengan syarah sufi yang mendalam. Akhirnya, Imam Izzuddin Abdus Salam berlari keluar khemah lalu menyeru:

"Wahai sekalian manusia. Marilah bersama-sama kami. Marilah mendengar ulasan-ulasan yang memberi penawar bagi hati." (rujuk Muqoddimah buku Anwar An-Nabi m/s 47 oleh Sheikh Ahmad Farid Al-Mazidi)


Begitu juga hal yang berlaku dengan Imam Ibn 'Atho'illah As-Sakandari r.a., yang merupakan ulama' Al-Azhar di zaman beliau, yang pada awalnya menolak kaum sufi. Namun, setelah bertemu dengan Sheikh Abul Abas Al-Mursi r.a. (anak murid Imam Abul Hasan As-Syazuli r.a.), beliau akhirnya menjadi orang yang paling banyak berkhidmat dalam menyebarkan ilmu kaum sufi yang benar. (rujuk buku Lato'if Al-Minan oleh Imam As-Sakandari r.a.)


Imam As-Sya'rani juga mengingkari kaum sufi secara umum, sebelum bertemu dengan Sheikh Ali Al-Khawwas r.a.. Setelah berguru dengan Sheikh Al-Khawwas r.a., Imam As-Sya'rani r.a. juga menjadi orang yang banyak berkhidmat dalam menyebarkan dan mempertahankan kaum sufi yang benar.


Ramai para ulama' melalui hal sedemikian, yang mana pada awalnya mengingkari para sufi secara umum, akhirnya memperjuangkan kaum sufi yang benar, kerana bertemu dengan kebenaran yang disampaikan oleh kaum sufi yang benar tersebut.


Oleh yang demikian, jika seseorang tidak memahami istilah-istilah yang digunakan oleh para sufi yang benar, maka janganlah cepat melatah dan terlalu ghairah menyalahkan dan menghukum sesat sesuatu perkara. Ini kerana, ianya boleh membawa kepada buruk sangka.


Sekurang-kurangnya, kembalilah kepada kaedah yang dijelaskan oleh Imam An-Nawawi r.a. dalam berhadapan dengan perkara-perkara yang melibatkan kaum sufi dan para wali Allah s.w.t.. Imam An-Nawawi r.a. berkata tentang masalah yang sering dipersalahkan oleh sesetengah pihak terhadap para sufi:

"Jika kamu berhadapan dengan perkataan-perkataan mereka (yang kesamaran maknanya), maka ta'wilkanlah ia dengan tujuh puluh ta'wilan (untuk baik sangka kepada mereka)" (Syarh Al-Muhazzab)


Imam Al-Mujtahid Tajuddin As-Subki r.a. berkata dalam buku Ma'id An-Ni'am:

"Ada dari kalangan fuqoha' yang walaupun bersikap menjaga zahir syariat, mengamalkan perintah dan meninggalkan laranganNya, namun malangnya, mereka bersikap memperkecilkan fuqoro' (kaum sufi) dan ahli tasawwuf dengan menafikan kebaikan pada mereka. Mereka mencela mereka (kaum sufi) kerana mendengar banyak perkara yang disebutkan tentang mereka (kaum sufi), padahal khabar dari pendengaran berbeza dalam kalangan manusia. Orang yang memperkecilkan mereka sebenarnya tidak mengetahui tentang mereka. Wajib bagi kita untuk menyerahkan keadaan mereka kepada mereka sendiri. Kita tidak boleh menyalahkan mereka semata-mata dengan zahir perkataan mereka. Jika boleh mentakwil perkataan mereka, maka lakukanlah. Takwilkanlah dengan takwilan yang baik, terutamanya perkataan mereka yang diakui kepercayaan mereka…Sesungguhnya, saya (Imam As-Subki r.a.) tidak menjumpai seorang faqih pun yang mengingkari kaum sufi dan mencela mereka, melainkan Allah s.w.t. membinasakannya…Merekalah ahli Allah s.w.t…"


Inilah perkataan Imam As-Subki r.a., (seperti yang dinaqalkan oleh Imam As-Suyuti dalam ta'yiiad al-haqiqah al-aliyah) seorang ulama' fiqh mazhab As-Syafi'e, yang mana beliau bukanlah dari kalangan ahli sufi, tetapi tetap mengakui kebenaran dan kemuliaan kaum sufi, kerana adil dalam menilai kaum sufi secara menyeluruh.


Kefahaman Yang Benar Tentang Wahdatul-Wujud Menurut Kaum Sufi

Di sini, penulis cuba menyentuh secara khusus berkenaan dengan masalah Wahdatul-wujud ini, secara adil dengan merujuk buku-buku ulama' yang mendalam ilmu mereka, dalam membetulkan salah faham tentang masalah ini.

Perbahasan berkenaan "Wahdatul-wujud" ini ada dua golongan yang memahaminya secara berbeza iaitu:


Pertama: Kefahaman yang Salah Tentang Wahdatul-Wujud:

Golongan yang memahami "Wahdatul-wujud" dengan bermaksud: Allah dan makhluk adalah satu. Iaitu, makhluk bersatu dengan Allah. Mereka memahami Wahdatul-wujud sebagai fahaman hulul (Allah bergabung dalam makhluk) dan ittihad (Allah dan makhluk adalah satu pada zat).


Hasil daripada kefahaman yang salah berkenaan Wahdatul wujud ini, melahirkan dua golongan:

Golongan yang menolak Wahdatul-wujud ini lalu menghukum sesat orang-orang yang berpegang dengan Wahdatul-wujud ini. Golongan ini benar dari satu sudut, tetapi salah dari satu sudut yang lain. Mereka benar dari satu sudut kerana menolak Wahdatul-wujud dengan makna hulul dan ittihad ini kerana hulul dan ittihad adalah kesesatan yang nyata.


Namun, mereka salah dari sudut menyesatkan seluruh golongan yang berpegang dengan Wahdatul-wujud ini kerana majoriti para sufi dan ahli tasawwuf yang benar, yang bercakap tentang Wahdatul-wujud ini, tidak memahami Wahdatul-wujud ini dengan fahaman yang salah, iaitu dengan maksud hulul dan ittihad.


Kedua: golongan yang berpegang dengan Wahdatul-wujud yang bermakna hulul dan ittihad ini, lalu mereka ini memperjuangkan ketuhanan diri mereka sendiri dengan mengaku tuhan dan sebagainya. Mereka adalah golongan yang sesat lagi menyesatkan. Mereka lebih mendakwa diri mereka sebagai golongan hakikat. Namun, golongan sufi dan ahli tasawwuf yang benar, yang bersuluhkan Al-Qur'an dan As-Sunnah, berlepas tangan daripada golongan ini.


Kedua: Kefahaman yang Benar Tentang Wahdatul-Wujud

Iaitu: Seluruh makhluk yang wujud, pada asalnya tidak wujud (adam). Mereka (seluruh makhluk tersebut) akhirnya wujud apabila Allah s.w.t. mewujudkan mereka. Maka, seluruh makhluk pada hakikatnya wujud dengan sebab kewujudan Allah s.w.t., kerana kalau tanpa kewujudan Allah s.w.t., tanpa izin dan bantuan Allah s.w.t., nascaya tiada makhluk pun yang wujud ataupun meneruskan kewujudannya.


Inilah maksud sebenar Wahdatul-wujud yang dihayati oleh orang-orang arif dari kalangan para sufi. Mereka menghayati dan merasai, kewujudan mereka, bahkan seluruh kewujudan makhluk Allah s.w.t., adalah daripada Allah s.w.t., yang telah menciptakan mereka daripada tiada. Jadi, mereka tidak merasakan wujud mereka tersendiri (mustaqil), tetapi kewujudan mereka denganNya (dengan bantuan dan izinNya).


Dengan kefahaman ini, tiada seorang pun yang beraqidah yang murni, mampu menafikannya. Kalau ada orang yang menafikan Wahdatul-wujud dengan makna ini, maka dialah pada hakikatnya seorang yang sesat, kerana tiada yang wujud secara mustaqil (tersendiri), kecuali Allah s.w.t. kerana hanya Allah s.w.t. sahaja yang bersifat dengan qiyamuhu binafsihi (berdiri dengan diriNya sendiri) sedangkan seluruh makhluk berdiri dengan Allah s.w.t. (dengan bantuan dan izin Allah s.w.t.).


Orang-orang yang mengingkari bahkan menyesatkan golongan arif billah (seperti Sheikh Ibn 'Arabi, Sheikh Al-Jili dan sebagainya) dan para sufi yang mengetengahkan Wahdatul-wujud ini, hanya mengingkari mereka kerana jahil dengan maksud Wahdatul-wujud di sisi para sufi itu sendiri, lalu salah faham dengan memahami Wahdatul-wujud sebagai hulul dan ittihad. Maka, mereka sebenarnya mengingkari khalayan mereka sendiri tentang kaum sufi itu sendiri, padahal kaum sufi yang benar berlepas tangan daripada pengingkaran mereka dan khayalan orang-orang yang mengingkari itu sendiri.


Hakikatnya, Wahdatul-wujud ialah, apabila seseorang sudah menghayati rasa kewujudan dirinya dan seluruh perbuatan dirinya serta yang berlaku dalam alam ini adalah daripada Allah s.w.t.. Maka, seluruh pergerakan makhluk, termasuklah perbuatan manusia, sebenarnya dengan Allah s.w.t., iaitu, dengan kewujudan, kekuasaan, bantuan dan izin Allah s.w.t.. Kalau ini bukan aqidah Islam, bagaimana pula aqidah Islam itu? Adakah setiap makhluk ada kuasa dirinya sendiri yang mutlak? Tidak sama sekali!


Maka, siapakah yang sesat wahai orang-orang yang menuduh sesat? Atau anda tidak faham apa yang anda sesatkan itu sendiri? Na'uzubillah!


Wahdatul-wujud ialah suatu peringkat penyaksian dengan mata hati, dalam diri seseorang, yang merasakan diri mereka dan seluruh alam ini sebenarnya ditadbir oleh Allah s.w.t.. Manusia terutamanya diri mereka sendiri, bergerak dan beramal dengan izin daripada Allah s.w.t., yang memberikan mereka kuasa untuk memilih, tetapi bukan dengan kuasa mutlak, cuma dengan kuasa majazi, yang pada hakikatnya daripada keizinan Allah s.w.t.. Kalau tanpa izin Allah s.w.t., bagaimana manusia itu sendiri mampu memilih dan berkehendak? Maka, kehendak dalam diri manusia juga dari kehendak Allah s.w.t. dan dengan izin Allah s.w.t..


Apa yang salah dengan penyaksian ini? Inilah tauhid, demi Allah, Tuhan yang menurunkan Al-Qur'an sebagai bukti yang nyata.


Seseorang yang lalai dengan dunia, dan dengan nafsu diri mereka sendiri, pasti tidak merasai perkara ini, kerana merasakan dirinya sendirilah yang berkuasa dan berkehendak secara mutlak, dalam kehidupannya. Ini natijah kelalain mereka dengan diri mereka sendiri dan natijah hijab mereka daripada Allah s.w.t. takkala sibuk dengan mengikut hawa nafsu dan dunia. Namun, dari sudut akal sendiri, Wahdatul-wujud suatu perkara yang berpandukan asas aqidah Islam yang kukuh.


Wahdatul-Wujud : Proses Penghayatan Tauhid-Afal

Jika kita singgap buku-buku ahlus sunnah wal jamaah, sudah pasti kita akan dapati, mereka berbincang tentang sifat-sifat yang wajib bagi Allah s.w.t., sifat-sifat yang mustahil bagi Allah s.w.t. dan yang harus bagi Allah s.w.t.. Dalam perbahasan mereka, seseorang pasti mendapati perbahasan tentang tauhid af'aal, iaitu setiap perbuatan yang berlaku, dalam makhluk itu, hakikatnya kembali kepada Allah s.w.t..


Seluruh alam ini bergerak di bawah kekuasaan Allah s.w.t. Bahkan, seluruh makhluk wujud dengan penciptaan Allah s.w.t.. Semua makhluk meneruskan kewujudan mereka dengan penjagaan Allah s.w.t. melalui nikmat imdaad (bantuan Allah s.w.t.). Inilah hakikat yang tidak dapat dinafikan oleh setiap orang Islam. Maka, seluruh makhluk adalah daripada perbuatan Allah s.w.t. yang mana perbuatan tersebut daripada sifat qudrah Allah s.w.t.. Ia (penciptaan dan penjagaan Allah s.w.t.) dikenali dengan sifat af'al Allah s.w.t. (sifat perbuatan-perbuatan Allah s.w.t.).


Tiada yang bergerak di dalam kerajaan Allah s.w.t., tanpa kehendak daripadaNya. Inilah hakikat sifat iradah dan qudrah Allah s.w.t.. Dari sinilah timbulnya tauhid af'al, di mana segala yang berlaku dalam alam ini daripada kehendak Allah s.w.t. dan dengan kekuasaanNya.


Wahdatul-wujud pula ialah, suatu penyaksian dalam lubuk hati terdalam manusia (sirr) terhadap tauhid af'al ini pada permulaannya (seterusnya kepada tauhid sifat dan tauhid zat), dan penghayatan kepada makna tersebut dalam seluruh kehidupannya. Hal ini hanya dapat dicapai oleh orang-orang yang sudah meleburkan hawa nafsunya yang sentiasa mengajak kepada kejahatan, sehingga nafsu itu tenang dalam ketaatan kepadaNya, dan tenang dengan merasai kebersamaanNya dalam ketaatan tersebut (mutma'innah).


Adapun secara teori, seseorang yang lalai daripada Allah s.w.t. pun boleh menghafal sifat dua puluh yang wajib bagi Allah s.w.t. tersebut seperti qudrah (kekuasaan), iradah (kehendak) dan sifat-sifat lain bagi Allah s.w.t., namun tidak mampu merasainya dalam bentuk penghayatan dalam segenap kehidupannya. Oleh kerana itulah, kita dapati, betapa ramai dari kalangan orang-orang Islam itu sendiri, yang menghafal sifat-sifat bagi Allah s.w.t., lalu mengetahui bahawasanya Allah s.w.t. itu wujud, Maha Berkuasa dan sebagainya, namun masih sanggup menderhakaiNya? Bagaimanakah seseorang yang mengetahui Allah s.w.t. itu wujud dan Maha Berkuasa, dalam masa yang sama sanggup menderhakai Allah s.w.t.? Bagaimana seseorang masih sanggup menderhakai Allah s.w.t. sedangkan dia tauhu bahawa seluruh kehidupan dan tenaganya daripada Allah s.w.t.? Bagaimana seseorang sanggup mengunakan tenaga dan keupayaannya untuk menderhakai Allah s.w.t. sedangkan dia tahu bahawa semua tenaganya, nyawanya dan segalanya adalah daripada Allah s.w.t.?


Hal ini kembali kepada penghayatan seseorang itu sendiri, terhadap sifat-sifat Allah s.w.t. itu sendiri. Hal ini (ketaatan mutlak kepadaNya) tidak akan berlaku dengan cara menghafal sifat-sifat Allah s.w.t. semata-mata, tetapi perlu kepada proses melawan hawa nafsu juga (mujahadah An-Nafs).


Proses menuju penghayatan terhadap kewujudan Allah s.w.t. dalam kehidupan seseorang manusia, dimulai dengan proses mujahadah an-nafs (melawan hawa nafsu) dengan melakukan ketaatan kepadaNya dan meninggalkan maksiat terhadapNya, seterusnya diiringi dengan proses zikir yang berpanjangan sehingga nama-nama Allah s.w.t. tersebut diterjemahkan ke dalam bentuk penghayatan dalam hati hamba tersebut.


Proses mengukir nama Allah s.w.t. dalam hati seseorang melalui zikir yang diambil secara talqin daripada seseorang mursyid yang kamil, yang bersambung sanad zikir tersebut sehingga kepada Rasulullah s.a.w., merupakan suatu proses perjalanan kerohanian ke arah menghayati kewujudan Allah s.w.t. di sebalik kehidupan hamba tersebut.


Dengan zikir hati yang berpanjangan-dengan izin Allah s.w.t.-, seseorang akan lebur daripada merasai kewujudan dirinya sendiri. Hal ini dikenali sebagai fana' (lebur), iaitu penyaksian hatinya tenggelam dalam menyaksikan kewujudan Allah s.w.t. sehingga tidak menyedari lagi kewujudan dirinya sendiri. Ini suatu keadaan di mana seseorang sibuk dalam menyaksikan kewujudan Allah s.w.t. sehingga tidak menyedari lagi kewujudan dirinya. Dia tenggelam dalam musyahadah Allah s.w.t. dan tidak lagi diselaputi kekotoran selain daripada Allah s.w.t.. Hatinya sentiasa fokus kepada Allah s.w.t..


Ada dari kalangan mereka yang fana' ini terus dikekalkan dalam keadaan fana' oleh Allah s.w.t. dan ada dari kalangan mereka yang dikembalikan kesedaran diri mereka sehingga dia menyedari semula kewujudan dirinya dalam masa yang sama menyaksikan kewujudan Allah s.w.t. yang Maha Esa dalam bentuk penghayatan yang berkekalan.


Namun, mereka yang dikembalikan kesedaran diri dalam masa yang sama menyaksikan kewujudan Allah s.w.t. di sebalik kewujudan alam ini, lalu menghayati bahawa seluruh alam ini, termasuklah kewujudan dirinya sendiri, merupakan kewujudan dengan Allah s.w.t.. Iaitu, dia menghayati dan menyaksikan dengan mata hatinya, secara tahqiq, bahawa seluruh makhluk wujud dengan pentadbiran, kekuasaan dan izin Allah s.w.t.. Pada ketika ini, hamba tersebut baqo' (kekal) dengan keabadian Allah s.w.t. kerana sentiasa menyaksikan kewujudan Allah s.w.t. yang Maha Kekal dalam mata hatinya.


Hatinya kekal dalam penyaksian kepada Allah s.w.t. dan jasadnya bersama dengan makhluk. Hatinya bersama dengan Allah s.w.t. dan menyaksikan ketuhanan Allah s.w.t., dalam masa yang sama, jasadnya dalam kehambaan kepadaNya, dengan melaksanakan seluruh syariatNya.


Penyaksian terhadap hakikat bahawa segala makhluk wujud dengan bantuan Allah s.w.t. dan terus wujud dalam kekuasaanNya inilah, yang dikenali di sisi kaum sufi sebagai Wahdatul-wujud (kesatuan-wujud), bukan seperti prasangka orang-orang yang mengingkarinya. Hakikatnya, Wahdatul-wujud dalam erti kata sebenar adalah wihdatus-syuhud, iaitu menyaksikan hanya Allah s.w.t. sahaja yang wujud secara mustaqil (terasing) dan hakiki, adalpun selain daripadaNya, wujud dengan Allah s.w.t., bukan dengan diri mereka sendiri!


Dalil Wahdatul-Wujud Dalam Al-Qur'an:

Firman Allah s.w.t.:

"Kepunyaan siapakah kerajaan pada hari ini?" kepunyaan Allah yang Maha Esa lagi Maha Mengalahkan. (Surah Ghafir/Mu'min: 16)


Maksudnya, seluruh yang wujud di bawah kekuasaanNya. Segala yang wujud tidak akan wujud tanpa bantuan daripadaNya. Maka, wujud yang hakiki, yang berdiri dengan sendiri hanyalah Allah s.w.t.. Adapun selain daripada Allah s.w.t., pada hakikatnya tidak wujud ('adam). Mereka hanya wujud setelah Allah s.w.t. menciptakan mereka. Maka, kewujudan mereka sebenarnya dengan Allah s.w.t..


Kesatuan penyaksian ini juga sepertimana dalam firman Allah s.w.t.:

Dan kepunyaan Allah-lah timur dan barat, Maka kemanapun kamu menghadap di situlah wajh (zat) Allah. Sesungguhnya Allah Maha luas (rahmat-Nya) lagi Maha Mengetahui. (Surah Al-Baqarah :115)


Dalil Wahdatul-Wujud dalam hadith:

Rasulullah s.a.w. bersabda:

"Sesungguhnya Allah s.w.t. itu wujud, dan tiada yang wujud bersamaNya. Allah s.w.t. itu wujud dalam keesaan, tanpa bersama dengan selainNya" (Hadith riwayat Al-Bukhari).


Sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud:

"Sebenar-benar perkataan yang pernah diucapkan oleh sya'ir Arab adalah perkataan Labid iaitu:

Ketahuilah sesungguhnya semua benda selain daripada Allah ialah batil" (Hadith riwayat Al-Bukhari dan Muslim).


Maksudnya, setiap sesuatu selain daripada Allah s.w.t. pada hakikatnya tiada kewujudannya. Semua makhluk wujud dengan kekuasaan dan bantuan Allah s.w.t..


Penjelasan Ulama'-ulama' Sufi tentang Wahdatul-Wujud:

Imam Abdul Ghani An-Nablusi r.a. (1143 H) berkata dalam buku beliau Idhoul Maqsud, min ma'na wihdatil-wujud:

"Sesungguhnya, maksud Wahdatul-wujud bukanlah sesuatu yang bercanggah dengan perkataan para ulama' Islam, bahkan maksud sebenar Wahdatul-wujud yang sebenar, pada hakikatnya disepakati oleh seluruh orang-orang khawas dan awam. Ia juga sesuatu yang perlu dimaklumi oleh setiap muslim, dan tidak boleh diingkari oleh setiap orang yang beriman. Tiada dapat digambarkan bahawa, ada orang yang berakal sanggup mengingkari Wahdatul-wujud dengan makna ini.


"Sesungguhnya, seluruh alam ini, walaupun berbeza jenis, sifat, bentuk dan rupanya, sebenarnya wujud daripada ketiadaannya ('adam) dengan kewujudan Allah s.w.t., bukan dengan diri mereka sendiri. Bahkan, seluruh makhluk yang wujud, terus terpelihara wujud mereka dengan kewujudan Allah s.w.t., bukan dengen diri mereka."

Imam Mustofa Al-Bakri berkata dalam buku beliau Al-Maurid Al-Azb:

"(Wahdatul-wujud ialah:) dengan wujud Allah s.w.t. itulah, seluruh yang wujud terus wujud. Dengan sentiasa menyaksikanNyalah, ahli syuhud terus meningkat. Bahawasanya Dialah yang mendirikan langit dan bumi, sedangkan seluruh makhluk berdiri denganNya (dengan kekuasaanNya) secara realitinya."


Jelaslah bahawasanya, Wahdatul-wujud di sisi kaum sufi dan arif biLlah, merupakan suatu penghayatan dan penyaksian terhadap kewujudan Allah s.w.t. yang wajibul-wujud (wajib wujudNya), dan seluruh makhluk yang wuju, tidak wujud melainkan denganNya.


Allah s.w.t.lah yang menciptakan segala makhluk daripada tiada, yang mana kewujudan makhluk yang mana mereka wujud dengan kewujudan tersebut, tidak datang daripada diri mereka sendiri, pada hakikatnya merupakan dari kewujudan Allah s.w.t. jua. Penyaksian hati terhadap hal sedemikianlah yang dikenlai dengan Wahdatul-wujud atau wahdatus-syuhud.


Seluruh para sufi yang kamil memahami Wahdatul-wujud dengan makna wahdatus-syuhud ini, bukan dengan makna yang difahami oleh orang-orang yang sesat seperti hulul dan ittihad, lalu diingkari juga oleh orang-orang yang jahil dengan makna sebenar Wahdatul-wujud ini, ke atas seluruh kaum sufi.


Sheikh Ahmad Farid Al-Mazidi dalam muqoddimah Anwar An-Nabi menegaskan:

"Maknanya (makna wahdatul-wujud): Bahawasanya, wujud pada hakikatnya satu sahaja, iaitu bagi Allah s.w.t. semata-mata dan tiada yang bersekutu denganNya dalam hakikat wujud (qadim) tersebut. Maka, Dialah yang wujud secara mutlak (wajibul-wujud). Adapun kewujudan sekalian makhluk adalah kerana bersandarkan kepadaNya (kepada kekuasaanNya) dan kelangsungan kewujudan makhluk tersebut daripada pemeliharaanNya…Maka, kewujudan makhluk itu bersandarkan kepada kewujudan yang hanya milik Allah s.w.t., bukan kewujudan lain, kerana tiada yang wujud dengan dirinya (qiyamuhu binafsihi) melainkan Allah s.w.t… Sesungguhnya, wujud makhluk bukan daripada zat mereka sendiri, dan tidak dapat digambarkan bahawa seluruh makhluk berdiri dengan diri mereka sendiri…"


Hujjatul Islam, Imam Al-Ghazali r.a. sendiri berbicara tentang maksud wahdatul-wujud ini walaupun tanpa menggunakan lafaz tersebut, takkala mensyarahkan perkataan Labid dalam hadith tadi dengan berkata (Al-Ihya' di bawah tajuk At-Tauhid):

"Iaitu, setiap makhluk tiada berdiri dengan dirinya sendiri. Ia berdiri dengan selainnya (iaitu berdiri dengan kekuasaan Allah s.w.t.). Ia (makhluk) tersebut dari sudut dirinya sendiri adalah batil. Ini kerana, hakikatnya (hakikat makhluk) itu, dengan selainnya (iaitu dengan hakikat Allah s.w.t.),bukan dengan dirinya sendiri. Oleh yang demikian, tiada yang hak (benar) pada hakikatnya melainkan Allah s.w.t. yang Maha Hidup lagi Maha Mentadbir, yang tiada menyerupai sesuatu. Dialah yang berdiri dengan diriNya sendiri, sedangkan selain daripadaNya, berdiri dengan kekuasaanNya. Maka, Dialah Al-Haq dan selain daripadaNya adalah batil (pada hakikatnya)."


Imam Al-Ghazali r.a. berkata lagi tentang penyaksian wahdatul-wujud dalam pandangan para sufi (Al-Ihya' tajuk As-Syauq):

"Sesiapa yang kuat pandangan mata hatinya, maka keadaannya akan menjadi seimbang, di mana dia tidak lagi melihat selain daripada Allah s.w.t.. Dia tidak lagi mengenal selain daripada Allah s.w.t. (tidak fokus kepada yang lain-ini hal fana'). Maka, ketika itu dia mengetahui (bukan dengan pengetahuan akal semata-mata, tapi dengan penghayatan) bahawa tiada yang wujud kecuali Allah s.w.t.. (Dia mengetahui) perbuatan dirinya merupakan kesan daripada kekuasanNya, yang mana ianya wujud daripadaNya. Maka, tiada wujud bagi perbuatan-perbuatannya kalau tanpaNya. Sesungguhnya wujud itu milik Allah s.w.t. semata-mata, yang mana denganNyalah, sekalian makhluk itu wujud. Sesiapa yang dalam keadaan ini, tidak akan melihat satupun perbuatan, melainkan dia melihat Pembuatnya yang hakiki (iaitu Allah s.w.t.)…"


Inilah kefahaman para penghulu sufi dan ahli tasawwuf yang benar, berkenaan dengan wahdatul-wujud. Siapakah yang merasa dirinya lebih berilmu daripada Hujjatul-Islam Imam Al-Ghazali r.a. takkala berani menyesatkan kaum sufi hanya kerana tidak memahami maknanya dengan makna yang benar?


Golongan Sufi yang Menetapkan Wahdatul-Wujud Juga Menolak Hulul dan Ittihad

Tidak dapat dnafikan bahawa, ada dari kalangan manusia yang memahahmi makna Wahdatul-wujud ini dengan makna yang sesat, iaitu dengan makna hulul (Tuhan menempati makhluk) dan Ittihad (Tuhan bergabung dengan makhluk).


Akhirnya, mereka mendakwa sudah sampai kepada Allah s.w.t. dan mencapai darjat makrifat, lalu mendakwa bahawa dirinya sebagai tuhan, kerana tuhan wujud dalam setiap makhluk. Hasil daripada dakwaan itu, mereka mendakwa diri mereka tidak perlu melakukan syariat dan ketaatan kerana mereka adalah tuhan, atau tuhan wujud dalam diri mereka. Ini suatu kesesatan yang nyata, yang diingkari sendiri oleh para sufi yang benar.

Para ulama' sufi seperti Imam Ibn 'Arabi r.a., Imam Abdul Karim Al-Jili r.a., Sheikh Ibn Al-Faridhi r.a., Sheikh Ali ibn Wafa dan sebagainya, berlepas tangan daripada fahaman sesat ini, bahkan turut membantah kesesatan ini secara keras.


Imam Ibn 'Arabi berkata dalam Al-Futuhat pada bab Al-Isra':

"Sesiapa yang mendakwa akan hulul, bererti dia telah sesat. Ini kerana, orang yang berkata tentang hulul itu berpenyakit yang tidak dapat diubati. Sesiapa yang membezakan antara di antara diri kamu dengan diriNya, maka kamu telah menetapkan dirimu dan diriNya. Tidakkah kamu mendengar sabda Nabi s.a.w. yang berbunyi: "Maka Aku jadi pendengarannya yang Dia mendengar dengannya". Dia menetapkan dirimu dengan menunjukkan dirimu dalam hadith tersebut. Sesiapa yang mendakwa ittihad merupakan orang yang athies, seperti yang mendakwa hulul juga, merupakan orang yang jahil dan melampau. Ini kerana dia menisbahkan hal yang mustahil. Sesiapa yang membezakan dirinya dengan Allah s.w.t., maka dialah yang benar."


Imam Ibn 'Arabi r.a. juga berkata lagi dalam buku Aqidah Al-Wusto:

"Maha Suci Allah s.w.t. daripada menempati sesuatu yang baharu, atau sesuatu yang baharu tersebut menempatiNya"


Imam Al-Ghazali r.a. juga menolak keras fahaman Hulul dan Ittihad ini dengan berkata:

"Hukuman bunuh seorang daripada mereka (mendakwa hulul dan ittihad) lebih baik daripada membunuh seratus orang kafir kerana kemudaratannya lebih merbahaya kepada agama. "


Imam An-Nablusi r.a. berkata dalam buku Idhohul Maqsud:

"Adapun orang-orang jahil, zindiq dan mulhid (athies) yang memahami wahdatul-wujud dengan maksud, bahawa wujud mereka yang baharu pada hakikatnya merupakan wujud Allah s.w.t., dan zat mereka adalah pada hakikatnya zat Allah s.w.t., sehingga mendakwa gugurlah hukum-hukum syariat daripada mereka, maka menyesatkan mereka adalah suatu tindakan yang benar.


"Para ulama' zahir mendapat pahala daripada Allah s.w.t. dalam menesatkan golongan tersebut, dan para arif biLLah dan kaum sufi juga bersama mereka dalam menghukum sesat golongan tersebut, tanpa perselisihan lagi."


Imam As-Suyuti r.a. sendiri menulis dua fasal dalam menolak kesesatan hulul dan ittihad dalam buku beliau, Ta'yiid Al-Haqiqah Al-'Aliyah.Beliau berkata dalam bab fil Ittihad:

"Seseorang makhluk pun tidak dapat bergabung atau bersatu dengan zat makhluk yang lain, bagaimana pula dia mampu bersatu dengan zat Allah s.w.t.? Ini suatu kemustahilan dan kesesatan yang nyata!"


Sheikh Mustafa Al-Bakri pula berkata dalam risalah beliau Al-Maurid Al-Azb:

"Ketahuilah bahawa telah terzahir suatu golongan yang mendakwa diri mereka sebagai ahli makrifat, namun mereka adalah golongan yang sesat, takkala mereka mendakwa, wujud mereka yang baharu, berkadar dan berbatas itu, merupakan hakikat wujud Allah s.w.t. itu sendiri yang qadim. Mereka juga mendakwa bahawa, zat mereka yang baharu pada hakikatnya adalah zat Allah s.w.t. yang qadim. Tujuan mereka menetapkan sedemikian adalah untuk menggugurkan ketetapan hukum ke atas mereka, dan menolak taklif daripada diri mereka, maka merekalah yang wajib dihukum keluar daripada agama, ke atas mereka. Merekalah golongan athies yang durjana. Mereka sesat lagi menyesatkan, kerana mengingkari penciptaan Allah s.w.t. ke atas diri mereka yang baharu, yang jelas menurut syarak, dan menolak syariat Islam itu sendiri.


"Ini suatu perkataan yang tidak pernah diucapkan oleh sebarang orang jahil, apatah lagi diucapkan oleh orang alim mahupun orang arif….Demi Allah, hendaklah kamu jauhi mereka…"


Wahdatul-Wujud Tidak Menafikan Syariat

Penghayatan wahdatul-wujud dengan makna sebenar oleh orang-orang sufi tidak membawa kepada sebarang pengakuan bahawa, syariat tidak lagi perlu dilaksanakan. Ini suatu kesesatan yang nyata.


Wahdatul-wujud justeru dihayati dalam melaksanakan tanggungjawab yang murni, sebagai seorang hamba kepada Allah s.w.t., dengan merasai dan mengakui kewujudan diri sebagai hamba Allah s.w.t, dalam masa yang sama menyaksikan bahawa, kewujudan dirinya yang baharu daripada kekuasaan Allah s.w.t., sehingga zahir rasa kesyukuran kepada Allah s.w.t. yang telah menciptakannya dan telah menggerakkannya ke arah ketaatan kepadaNya.


Imam An-Nablusi r.a. berkata dalam Khamratul Khan:

"Orang yang sempurna adalah orang yang menyedari dua bahagian kewujudan. Dia menyaksikan secara berkekalan, akan kewujudan Allah s.w.t. yang azali dan abadi, yang berdiri dengan diriNya sendiri, lalu mengagungkan ketuhananNya, dalam masa yang sama menyaksikan kewujudan diri yang baharu, yang berdiri dengan (kekuasaan) Allah s.w.t. lalu menunaikan tanggungjawab kehambaan kepadaNya."


Jadi, jika seseorang memahami wahdatul-wujud dengan makna wahdatus-syuhud, iaitu seseorang menyaksikan bahawa dirinya wujud dengan kekuasaan Allah s.w.t., past tidak akan meninggalkan syariat, sebaliknya melaksanakan syariat dalam masa yang sama, bersyukur kepada Allah s.w.t. kerana mengizinkannya untuk mengamalkan syariatNya. Hal ini seterusnya mengelakkan rasa ujub dalam diri seseorang hamba tersebut.

Seseorang yang mendakwa menghayati wahdatul-wujud tetapi meninggalkan syariat, ketahuilah bahawa dia telahpun tersesat dalam memahami wahdatul-wujud tersebut dengan kefahaman yang sebenar, dan telahpun berdusta dalam dakwaannya.


Inilah juga yang gagal difahami oleh (Dr.) Abdulfatah Haron ketika menyanggah buku Kasyf Al-Asrar (semoga Allah s.w.t. memberi kefahaman yang benar kepada beliau dan kepada kita semua, amin).


Wahdatul-Wujud Tidak Menafikan Wujud Makhluk yang Baharu

Ramai orang yang menuduh sesat fahaman wahdatul-wujud ini kerana kejahilan mereka (termasuklah Dr. Abdulfatah Haron dalam buku sanggahan tersebut), menyatakan bahawa, wahdatul-wujud menafikan ithnaniyat al-wujud (dua jenis kewujudan iaitu kewujudan Allah s.w.t. yang qadim dan kewujudan makhluk yang baharu).


Sebenarnya, wahdatul-wujud menurut kaum sufi tidak pernah menafikan dua jenis kewujudan, iaitu: wujud qadim (kewujudan Allah s.w.t.) dan wujud baharu, iaitu kewujudan makhluk. Namun, wahdatul-wujud menegaskan bahawa, kewujudan makhluk yang baru tersebut merupakan kesan yang terzahir daripada kewujudan Allah s.w.t. juga kerana wujud makhluk tersebut bukanlah dengan diri mereka sendiri dan bukan juga dari diri mereka sendiri. Namun, wujud makhluk yang terbatas dan baharu bukanlah wujud Allah s.w.t. yang qadim, cuma kewujudan mereka daripada kewujudan dan penciptaanNya. Kewujudan makhluk tidak mutlak, tidak mustaqil (terasing) dan makhluk tidak berdiri dengan diri mereka sendiri, sebaliknya bersandar kepada kekuasaan Allah s.w.t..


Hal ini samalah seperti kekuasaan makhluk, di mana, kekuasaan makhluk yang terbatas daripada kekuasaan Allah s.w.t. juga, tetapi kekuasaan makhluk bukanlah seperti kekuasaan Allah s.w.t.. Begitulah sifat-sifat yang lain.


Dua jenis kewujudan tidak pernah menafikan bahawa, wujud yang baharu itu pada hakikatnya daripada wujud Allah s.w.t. yang qadim, tetapi bukanlah wujud yang baharu itu, adalah wujud yang qadim secara zatnya. Kalau bukan daripada Allah s.w.t., maka daripada siapa pula wujud yang baharu itu? Mustahil daripada zat-zat makhluk itu sendiri kerana makhluk-makhluk tidak berdiri dengan diri mereka sendiri.


Wahdatul-Wujud Tidak Membawa Kepada Fahaman Jabbariah

Jabbariah adalah suatu kefahaman yang menafikan secara mutlak, usaha bagi makhluk, sehingga akhirnya membawa kepada meninggalkan amalan ketaatan. Ada orang yang mendakwa bahawa, wahdatul-wujud membawa kepada fahaman Jabbariah (seperti yang didakwa juga oleh Abdulfatah Haron -hadahuLLah- dalam buku sanggahan beliau tersebut), padahal tidak sedemikian.


Dalam aqidah ahlus-sunnah wal-jamaah, manusia juga diberi peluang untuk berusaha, sesuai dengan izin Allah s.w.t., bukan seperti fahaman jabbariah yang menafikan usaha secara mutlak. Golongan sufi yang berkata tentang wahdatul-wujud juga menetapkan usaha kepada makhluk, seperti aqidah ahlus-sunnah wal-jamaah.


Begitu juga dalam penghayatan wahdatul-wujud, di mana seseorang hamba masih lagi melihat dirinya ada ruang untuk berusaha, namun dalam masa yang sama, melihat ruang untuk berusaha tersebut merupakan anugerah daripada Allah s.w.t.. Lalu, mereka sibuk melihat bantuan Allah s.w.t. dalam ketaatan mereka, tanpa menisbahkan ketaatan tersebut kepada diri mereka, dalam rangka menjauhi ujub dan takabbur, dalam masa yang sama, menunaikan makna kesyukuran kepadaNya.


Imam Al-Qunawi r.a. berkata (seperti yang dinukilkan oleh Imam As-Suyuti dalam ta'yiid al-haqiqah al-'aliyah:

"Maksud sufi daripada tidak melihat amalan diri, iaitu, tidak memerhatikan bahawa usaha ketaatan tersebut daripada diri mereka, kerana lemas dalam menyaksikan bahawa ketaatan tersebut merupakan anugerah daripada Allah s.w.t. kepada mereka."


Mereka menisbahkan seluruh kebaikan kepada Allah s.w.t. dalam ruang lingkup penghayatan wahdatus-syuhud dan menisbahkan keburukan kepada diri mereka melalui penghayatan ubudiyyah dalam diri mereka. Inilah aqidah ahlus-sunnah wal jamaah.


Kesimpulan:

Maka, jelaslah bahawa, kefahaman yang sebenar tentang wahdatul-wujud menurut kaum sufi yang benar adalah suatu kefahaman yang murni dan bertepatan dengan aqidah Islam iaitu, melihat seluruh wujud makhluk tidak wujud dengan diri mereka sendiri, tetapi wujud dengan Allah s.w.t. (dengan bantuan dan kekuasaanNya).


Adapun orang-orang yang jahil yang cuba menyesatkan kaum sufi dalam masalah ini, sebenarnya tidak memahami wahdatul-wujud dengan maknanya yang sebenar menurut kaum sufi itu sendiri.


Begitu juga, golongan orang yang sesat dalam fahaman wahdatul-wujud dengan mendakwa ketuhanan diri, mendakwa hulul dan ittihad, merupakan golongan yang tertolak di sisi kaum sufi itu sendiri. Kefahaman mereka bukanlah kefahaman kaum sufi terhadap wahdatul-wujud itu sendiri kerana kaum sufi memahami wahdatul-wujud dengan maksud wahdatus-syuhud, bukan dengan maksud hulul dan ittihad.


Rujukan:

·Al-Qur'an Al-Karim

·Tafsir Al-Baidhowi

·Tafsir Ar-Razi

·Tafsir Pimpinan Ar-Rahman

·Kitab-kitab Hadith (terutamanya Sahih Al-Bukhari dan Sahih Muslim)

·Al-Washoya oleh Imam Ibn 'Arabi r.a.

·Al-Futuhat oleh Imam Ibn 'Arabi r.a.

·Ihya' Ulumiddin oleh Imam Al-Ghazali r.a.

·Lafo'iful Minan oleh Imam As-Sakandari r.a.

·Ta'yiid Al-Haqiqah Al-'Aliyah oleh Imam As-Suyuti r.a.

·Syarah Hikam Ibn Roslan oleh Imam Zakaria Al-Ansari r.a.

·Syarah Al-Muhazzab oleh Imam An-Nawawi r.a.

·Idhohul Maqsud fi ma'na wahdatul-wujud oleh Imam An-Nablusi r.a.

·Khomrotul Khan oleh Imam An-Nablusi r.a.

·Al-Maurid Al-Azb oleh Sheikh Mustofa Al-Bakri r.a.

·Muqoddimah buku Anwar An-Nabi s.a.w. oleh Sheikh Ahmad Farid Al-Mazidi

·Tahzib Syarah Al-Aqidah At-Tohawiyah oleh Dr. Umar Abdullah Kamil

·Tahzib Syarah As-Sanusiyah oleh Sheikh Sa'id Fudah

·Sanggahan Ke Atas Kitab Kashf Al-Asrar oleh (Dr.) Abdulfatah Haron Ibrahim

Dipetik dari Raja Ahmad Mukhlis

Hukum Membawa HP / PDA Yang Mengandungi Software al-Quran Ke Tandas


Adakah Alat Yang Mengandungi Perisian Al-Qur’an Itu
Dihukumkan Sebagai Al-Qur’an?

Para ulama berpendapat bahawa ayat yang ditulis pada sesuatu dengan tujuan untuk mengaji atau mempelajari ayat al-Qur’an adalah haram untuk disentuh atau ditanggung oleh orang yang berhadas. Sementara ayat-ayat yang ditulis bukan kerana tujuan mengaji atau belajar membaca ayat tersebut, umpamanya ayat al-Qur’an yang ditulis sebagai tangkal dan azimat maka harus ia disentuh atau ditanggung oleh orang yang berhadas. (Fatwa 31/1972).

Adapun alat-alat seperti telefon bimbit atau PDA (Personal Digital Assistant) yang terdapat padanya perisian al-Qur’an, tidaklah dihukumkan sebagai al-Qur’an sungguhpun ianya diniatkan untuk mengaji atau mempelajari ayat-ayat al-Qur’an tersebut. Ini kerana pancaran tulisan al-Qur’an pada skrinnya adalah berbentuk elektronik dan tidak kekal. Begitu juga bacaan al-Qur’an yang berbunyi dari alat tersebut adalah berbentuk rakaman. Ia akan terpadam dan hilang jika alat tersebut dimatikan atau dialihkan ke program yang lain. (Fatwa 22/2006).

Maka tidaklah menjadi kesalahan untuk menanggung atau menyentuhnya dalam keadaan berhadas kerana sebagaimana yang telah disebutkan tadi bahawa alat-alat tersebut tidak dihukumkan sebagai al-Qur’an.

Hukum Membawa Masuk Alat Perisian Al-Qur’an Ke Tandas Dalam kitab Nihayah al-Muhtaj karangan Imam ar-Ramli Rahimahullah, beliau berpendapat bahawa benda-benda yang tidak dihukumkan sebagai al-Qur’an atau nama-nama yang tidak dimuliakan adalah harus untuk dibawa masuk ke tandas. Begitu juga jumhur ulama tidak menegah untuk membawa benda-benda selain zikir Allah ke tandas.

Maka dapatlah diambil kesimpulan di sini bahawa adalah harus hukumnya membawa masuk alat-alat seperti telefon bimbit atau PDA (Personal Digital Assistant) yang mengandungi perisian al- Qur’an atau tafsirnya ke tandas dengan syarat unsur tulisan dan bacaan ayat al-Qur’an itu tidak muncul daripada alat-alat tersebut
ketika berada di tandas.

Dalam erti kata lain, alat-alat seperti telefon bimbit atau PDA (Personal Digital Assistant) yang mengandungi perisian al-Qur’an atau tafsirnya itu hendaklah dimatikan ataupun dialihkan program al-Qur’an itu ke program yang lain sebelum masuk ke tempattempat kotor seperti tandas supaya unsur tulisan dan bacaan ayat al-Qur’an tidak muncul daripada alat-alat tersebut ketika berada dalam tandas.

Ini berdasarkan pendapat Imam Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullah dalam kitabnya Tuhfah al-Muhtaj, beliau berkata:
“Sekiranya seseorang masuk ke tandas dengan membawanya (cincin yang tertulis padanya al-Qur’an); walaupun dengan senghaja, maka sunat untuk menyembunyikannya seperti menggenggamnya dalam tapak tangan.”


Dengan mematikan alat-alat seperti telefon bimbit atau PDA (Personal Digital Assistant) yang mengandungi perisian al-Qur’an atau tafsirnya itu, ataupun mengalihkannya kepada program lain sebelum memasuki tandas, maka terpeliharalah kesucian ayat al-Qur’an atau tafsirnya yang terdapat dalam alat-alat tersebut kerana ianya tidak akan muncul ketika berada dalam tandas.

Imam Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullah turut menjelaskan bahawa selain tandas, semua tempat-tempat kotor atau tempattempat maksiat dihukumkan sebagai tempat-tempat yang menjijikkan. Maka menurut pendapat ini, tempat-tempat tari menari, kawasan perzinaan, kedai judi, tempat yang mengamalkan riba dan yang seumpamanya, dan termasuk juga dalam hal ini tanah perkuburan orang-orang kafir adalah sama keadaannya sepertimana hukum membawa ayat-ayat al-Qur’an ke tandas.


Dipetik dari Tahu, Faham & Amal

Marhaban Ya Ramadhan

Rabu, 12 Ogos 2009

Puasa Selepas Nishfu Syaa'ban

Masih ramai kalangan awam yang keliru dengan hukum berpuasa selepas hari Nishfu Sya'baan (hari 15 Sya'baan). Ramai yang tidak tahu bahawa menurut qawl yang mu'tamad dalam Mazhab Syafi`i hukum berpuasa selepas Nishfu Sya'baan adalah HARAM DAN TIDAK SAH dengan beberapa pengecualian yang akan datang penjelasannya. Kekeliruan mungkin disebabkan mazhab-mazhab lain mempunyai pendapat yang berbeza dengan Mazhab Syafi`i berdasarkan kepada ijtihad mereka. Ulama Syafi`i mengistinbathkan pengharaman berpuasa tersebut berdasarkan beberapa dalil termasuklah hadits-hadits Junjungan Nabi SAW. Antaranya apa yang diriwayatkan dalam "Sunan at-Tirmidzi", juzuk 2, halaman 183, bahawa Junjungan Nabi SAW bersabda sebagai berikut:-
"Telah diberitakan kepada kami oleh Qutaibah, telah diberitakan kepada kami oleh 'Abdul 'Aziiz bin Muhammad, daripada al-'Alaa` bin 'Abdur Rahman, daripada ayahnya, daripada Sayyidina Abu Hurairah r.a. yang telah berkata: Telah bersabda Junjungan Rasulullah SAW: "Apabila tinggal baki separuh dari bulan Sya'baan, maka janganlah kamu berpuasa". Dan telah berkata Abu `Isa (yakni Imam at-Tirmidzi): "Hadits Abu Hurairah ini adalah hadits hasan shohih dan tiada kami ketahui akan dia melainkan dengan wajah (riwayat) ini atas lafaz ini.
Selain daripada hadits di atas, Imam Abu Daud turut meriwayatkan dalam sunannya sebagai berikut:-
Daripada Sayyidina Abu Hurairah r.a. bahawasanya Junjungan Rasulullah SAW bersabda: "Apabila masuk separuh bulan Sya'baan, maka janganlah kamu berpuasa."
Imam ash-Shan`ani dalam "Subulus Salam" juzuk 2, halaman 345 menyatakan bahawa hadits ini adalah hasan shohih di sisi para muhadditsin selain Imam Ahmad. Imam Ahmad mendhoifkannya kerana bagi Imam Ahmad perawi yang bernama al-'Alaa` bin `Abdur Rahman adalah perawi yang dhoif. Menurut kajian Imam ash-Shan`aani, pendapat Imam Ahmad tersebut adalah tidak tepat kerana al-'Alaa` bin 'Abdur Rahman adalah seorang perawi yang hadits-hadits yang diriwayatkannya diambil oleh Imam Muslim dan selanjutnya Imam Ibnu Hajar al-`Asqalani dalam "at-Taqrib" menghukumkan al-'Alaa` bin 'Abdur Rahman ini sebagai seorang perawi yang shaduuq (benar atau kepercayaan).

Sungguhpun dihukumkan haram, tetapi pengharaman berpuasa pada nishfu kedua bulan Sya'baan ini tidaklah mutlak seperti pengharaman berpuasa pada 5 hari yang diharamkan secara mutlak berpuasa, iaitu 2 hari raya dan 3 hari tasyriq. Pengharaman berpuasa pada hari-hari nishfu kedua Sya'baan dan hari Syak tidaklah mutlak kerana ianya mempunyai pengecualian. Maka hukum HARAM DAN TIDAK SAH puasa yang dilakukan selepas nishfu Sya'baan (iaitu selepas tanggal 15 Sya'baan) mempunyai PENGECUALIAN seperti berikut:-
  1. puasa sunnat tersebut disambungkan atau dihubungkan dengan hari-hari yang berada di nishfu pertama (separuh pertama) bulan Sya'baan walaupun dengan hanya satu hari sahaja (yakni dihubungkan dengan berpuasa pada hari 15 Sya'baan) dengan syarat ianya hendaklah berterusan sehingga Ramadhan, jika terputus walaupun dengan uzur maka tidaklah boleh disambung lagi puasa tersebut. Contohnya, jika seseorang berpuasa sunnat pada 15 Sya'baan, maka bolehlah dia berpuasa pada 16 Sya'baan dan hari-hari berikutnya. Tetapi katakanlah setelah berpuasa pada 15, 16, 17 dan 18 Sya'baan, dia tidak berpuasa pada 19 Sya'baan, dengan atau tanpa uzur, maka tidaklah boleh lagi dia berpuasa sunnat pada 20 Sya'baan dan hari-hari yang berikutnya sehinggalah Ramadhan.
  2. puasa sunnat tersebut telah menjadi amalan biasa seseorang (yakni yang telah dijadikan wirid kebiasaannya). Contohnya, seseorang yang telah mewiridkan puasa pada setiap Isnin, maka tidaklah jadi halangan untuk dia meneruskan wiridnya itu.
  3. puasa qadha` samada qadha puasa fardhu atau qadha puasa sunnat yang berwaktu
  4. puasa kaffarah atau puasa nazar dengan syarat ianya tidak dilakukan dengan sengaja dan dengan tahu yang hari yang dinazarkan itu adalah hari-hari nishfu kedua bulan Sya'baan. Misalnya, seseorang bernazar hendak berpuasa pada hari Khamis minggu hadapan tanpa menyedari bahawa Khamis hadapannya sudah masuk dalam nishfu kedua Sya'baan, maka bolehlah dia berpuasa pada Khamis tersebut. Maka jika sekiranya dia tahu yang Khamis tersebut adalah dalam nishfu kedua bulan Sya'baan, maka tidaklah boleh dia berpuasa dan tidaklah sah nazarnya itu.
Inilah perincian hukum bagi puasa yang dilaksanakan setelah nishfu Sya'baan menurut Mazhab Syafi`i yang menjadi pegangan kita, sebagaimana yang tersebut dalam kitab-kitab fiqhnya. Antaranya dalam "Anwarul Masaalik syarah 'Umdatis Saalik wa 'Uddatin Naasik" karya Syaikh Muhammad az-Zuhri al-Ghumrawi rahimahUllah yang menyatakan pada halaman 125 seperti berikut:-
(Dan haram berpuasa [sunnat] pada hari-hari selepas nishfu Sya'baan, jika sekiranya puasa tersebut tidak berbetulan dengan adat kebiasaan seseorang) sebagaimana yang telah disebut terdahulu ketika perbincangan tentang hari Syak, (dan [puasa tersebut] tidak berhubung / bersambung dengan hari yang sebelumnya) iaitu tidak bersambung puasa pada nishfu yang kedua [bulan Sya'baan] dengan berpuasa pada separuh yang pertama bulan tersebut. Maka jika sekiranya puasa tersebut berbetulan dengan adat kebiasaan baginya atau dihubungkan [dengan hari-hari separuh pertama Sya'baan], sahlah puasa tersebut dan hilanglah keharamannya.
Imam Ibnu Hajar al-Haitami rahimahUllah menulis dalam "al-Fatawa al-Kubra al-Fiqhiyyah", jilid 2 halaman 82, sebagai berikut:-
Dan daripadanya [yakni daripada hadits-hadits berkaitan dengan] puasa dalam bulan Sya'baan, ialah hadits Sayyidatina 'Aisyah r.`anha yang menyatakan: "Tidak aku melihat Rasulullah SAW menyempurnakan puasa sebulan penuh, melainkan bulan Ramadhan dan tiada aku melihat baginda berpuasa lebih banyak daripada bulan Sya'baan", hadits diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Imam Muslim, dan keduanya meriwayatkan juga hadits lain dengan kata-kata: "Tiada baginda berpuasa dalam suatu bulan yang lebih banyak daripada bulan Sya'baan, bahawasanya baginda berpuasa pada keseluruhan bulan Sya'baan", dan bagi Imam Muslim terdapat satu lagi riwayat dengan kata-kata:- "Adalah baginda berpuasa pada bulan Sya'baan keseluruhannya kecuali sedikit.".......... Kemudian hadits-hadits tersebut tidaklah menafikan hadits yang mengharamkan puasa pada hari-hari selepas nishfu bulan Sya'baan, kerana berlakunya pengharaman tersebut ialah kepada sesiapa yang hanya berpuasa selepas nishfu tersebut dan tidak menghubungkan puasanya [dengan berpuasa pada hari Nishfu Sya'baan (yakni hari 15 Sya'baan)]. Manakala berlakunya keharusan (baca: boleh / jaiz) berpuasa, bahkan sunnat berpuasa, ialah kepada sesiapa yang berpuasa sebelum nishfu lagi dan meninggalkan berpuasa selepasnya [yakni dia berpuasa sunnat pada nishfu pertama bulan Sya'baan dan berhenti setelah nishfunya tersebut]; ATAU dia meneruskan puasanya dengan menghubungkan puasanya itu dengan berpuasa pada hari Nishfu Sya'baan [yakni hari 15 Sya'baan]; ATAU dia tidak menghubungkan puasanya, akan tetapi puasanya pada hari-hari nishfu kedua bulan Sya'baan tersebut ialah puasa kerana qadha` atau puasa nazar atau puasa yang menjadi wiridnya (kebiasaannya). Dan hadits yang telah diriwayatkan oleh Imam Ahmad, Imam Abu Daud, Imam at-Tirmidzi, Imam an-Nasai dan Imam Ibnu Majah, iaitu: "Apabila berbaki separuh daripada bulan Sya'baan, maka janganlah kamu berpuasa sehingga menjelang Ramadhan", adalah jelas pada yang demikan (yakni pada menyatakan haramnya berpuasa pada hari-hari selepas Nishfu Sya'baan).
Murid Imam Ibnu Hajar rahimahUllah, iaitu Syaikh Zainuddin bin 'Abdul 'Aziz al-Malibari, rahimahUllah, menulis dalam karya beliau "Fathul Mu`in"pada halaman 60:-
(Tatimmah) Haram puasa pada hari-hari tasyriq ......., dan demikian pula haram puasa selepas Nishfu Sya'baan, selagi mana ianya tidak berhubung / bersambung dengan hari sebelumnya [yakni hari sebelum 16 Sya'baan iaitu hari 15 Sya'baan] atau jika puasa tersebut tidak muwafaqah dengan adatnya (yakni tidak berbetulan dengan kebiasaannya atau wiridnya); atau jika puasa tersebut bukan puasa nazar atau puasa qadha` walaupun hanya qadha` puasa sunnat.
Penjelasan 'Allaamah Sayyid Muhammad 'Abdullah al-Jurdani dalam "Fathul 'Allam" juzuk 4, halaman 152- 153, pula adalah seperti berikut:-
Dan haram puasa pada nishfu kedua bulan Sya'baan, melainkan jika ianya disambung / dihubungkan dengan hari yang sebelumnya [yakni hari sebelum 16 Sya'baan iaitu hari 15 Sya'baan], walaupun hanya satu hari [yakni walaupun dengan hanya berpuasa pada 15 Sya'baan sahaja] dan hendaklah berkekalan puasa tersebut sehingga ke akhirnya. Maka jika tidak berkekalan, bahkan jika berbuka (yakni tidak berpuasa) dengan uzur sekalipun, tertegahlah atasnya untuk berpuasa lagi dengan tanpa sebab.
Inilah khulasah hukum berpuasa pada nishfu kedua bulan Sya'baan. Harap kita sebagai pengamal Mazhab Syafi`i dapat beri perhatian sewajarnya. Allahlah yang Maha Mengetahui.

Dipetik dari Bahrussofa

Selasa, 11 Ogos 2009

Jejak Hadits Dalam Kitab IHYA’


Mendengar nama Al-Ghazali, yang muncul dalam benak kita bukanlah sosok seorang laki-laki, melainkan kumpulan tokoh-tokoh yang mumpuni dan kredibel dalam berbagai bidang yang berbeda. Al-Ghazali adalah ulama ushul; seorang faqih, imam dan pejuang ahlussunnah dalam bidang teologi, seorang budayawan yang berpengalaman dalam menghadapi problematika lingkungan, rahasia-rahasia yang terpendam dalam sanubari dan problematika hati nurani dan seorang filosof.

Al-Ghazali adalah poros ilmu pengetahuan pada zamannya. Ia selalu merasa haus untuk menyelami berbagai disiplin ilmu dan tidak akan merasa puas sebelum ia menguasai cabang-cabang ilmu tersebut.

Di samping golongan yang mengaguminya -sejak dulu hingga sekarang- ternyata banyak juga tokoh yang mengkritiknya. Mereka menuduh Al-Ghazali kurang memberikan perhatian terhadap ilmu hadits, sehingga karya-karyanya dipenuhi hadits-hadits palsu. Mereka beranggapan, kebanyakan riwayat yang ada dalam kitab Ihya’ Ulumiddin dinukil dari kitab-kitab tasawwuf dan kitab-kitab fiqih terdahulu, sehingga validitasnya pun patut diragukan.

Pendapat para pengkritik di atas, disetujui oleh sebagian orang tanpa terlebih dahulu melakukan peninjauan ulang karena mereka menganggap pendapat tersebut sudah cukup valid. Sebenarnya, kalau kita lakukan penelitian terhadap karya-karya Al-Ghazali terutama kitab Ihya’, akan kita temukan bukti-bukti dan realitas yang bertolak belakang dengan pendapat tersebut. Al-Ghazali menaruh perhatian yang besar terhadap studi ilmu hadits sebelum menulis beberapa karyanya. Ia banyak mengkaji kitab hadits-hadits shahih, terutama Shahih Imam Bukhori dan Imam Muslim. Hadits-hadits yang termuat dalam kitab Ihya’, banyak yang ia nukil dari kitab tersebut.

Ada beberapa hal yang membuktikan bahwa kredibilitas beliau dalam ilmu hadits tak perlu diragukan lagi.

Banyaknya hadits-hadits yang termaktub dalam kitab Ihya (4848) adalah bukti bahwa Al-Ghazali benar-benar mendalami ilmu hadits dan banyak membaca kitab-kitab hadits. Pengumpulan hadits dalam jumlah sebanyak itu dalam satu kitab tidak mungkin dilakukan kecuali oleh seorang yang benar-benar melakukan kajian yang mendalam dalam bidang tersebut. Sebagai catatan, Imam Ibnu Majah dalam musnadnya mengumpulkan 4341 hadits. Sedangkan Imam Abu Dawud meriwayatkan 5274 hadits.

Al-Ghazali menuangkan hasil penelitiannya terhadap ilmu hadits dalam kitab Al Manqul min Ta’liqatil Ushul. Dalam kitab tersebut Imam Ghazali membagi ilmu hadits dalam tiga bagian :
1. Ilmu riwayah (ilmu tentang penyampaian hadits)
2. Ilmu dirayah (ilmu penelitian hadits)
3. Ilmu dirasat ma’ani hadits (ilmu tentang pemahaman makna-makna hadits) tentang hadits-hadits yang berhubungan dengan akhlaq, akidah dan hukum.

Pembahasan Al-Ghazali tentang ilmu dirayah hadits yang tertuang dalam kitab Al Mustashfa. Dalam kitab tersebut Al-Ghazali menerangkan tentang ungkapan-ungkapan yang digunakan para sahabat dalam meriwayatkan hadits, tentang hadits mutawatir, hadits ahad, dan sebagainya.

Beberapa metode sebenarnya telah dilakukan Al-Ghazali dalam meriwayatkan hadits. Pada saat memberikan penjelasan dalam studi ilmu hadits, Al-Ghazali mengatakan bahwa dalam ilmu hadits terdapat beberapa istilah yang perlu dipahami terlebih dahulu, antara lain :
1. Iqtishar, langkah-langkah untuk menyusun ilmu hadits seperti yang terdapat dalam dua kitab hadits shahih (Bukhari-Muslim)
2. Iqtishad, langkah yang dapat ditempuh oleh seseorang yang mengkaji ilmu hadits dengan cara menambahkan kategori lain yang tidak terdapat dalam kategori-kategori kedua kitab shahih di atas.
Sedangkan metode yang digunakan Al-Ghazali dalam mempelajari matan (isi, kandungan hadits) dalam kedua kitab shahih, agaknya mengikuti metodologi wijaadah (pembuktian yang kuat). Ia selalu berupaya untuk mengkonfirmasikan secara intensif dengan para ahli hadits (muhadditsin) yang hidup pada masa itu. Misalnya, ia mempelajari dua kitab hadits shahih dengan teliti, kemudian berupaya mengkonfirmasikan analisa teksnya terhadap hadits tertentu kepada seorang yang ahli dalam matan hadits. Hal ini menguatkan kesimpulan di atas bahwa Al-Ghazali sangat mungkin berusaha untuk berhubungan (confirmed) dan mengambil manfaat dari keberadaan para ulama hadits yang masih ada pada saat itu.

Al-Ghazali mempelajari ilmu hadits dan mengetahui pentingnya metode pengambilan sanad (isnad al hadits) dan metode mendengar (sama’ al hadits) dari para ahli hadits. Dan hadits yang ia buktikan kebenarannya dengan cara wijadah (penguatan) dan mungkin pula dengan ijazah dapat terwujud disebabkan oleh intensitas pertemuannya dengan para ahli hadits dalam sebuah pengembaraan intelektual yang sangat panjang sebelum ia mulai menulis kitab Ihya’ Ulumiddin.
Seringkali setelah menyebutkan satu hadits muttafaq alaih, beliau menambahkan beberapa riwayat yang lain. Ini menunjukkan bahwa ia banyak menelaah berbagai riwayat hadits. Dengan kata lain beliau banyak membaca kitab Bukhari Muslim, sama seperti ia juga membaca hadits-hadits lain, sehingga ia sering mengatakan, ‘dalam sebuah hadits lain’, ‘dalam Riwayat lain’, ‘dalam lafadh yang lain’, ‘tertulis dalam banyak lafadh yang berbeda’, itulah yang tertulis dalam banyak khabar’, serta berbagai kalimat yang menunjukkan beliau banyak menelaah kitab-kitab hadits.

Beliau memang menukil hadits dari kitab tasawuf dan fiqh tapi jumlahnya sangatlah sedikit bila dibandingkan dengan hadits yang dinukilnya dari kitab-kitab hadits. Itu pun dilakukanyya setelah mengkaji ulang secara mendalam, sehingga membuahkan keyakinan bahwa tak satupun hadits yang disebutkannya termasuk dalam kategori maudlu’ (palsu). Kajian al Iraqi dan al Murtadha sudah membuktikan kenyataan ini

Perbedaan di kalangan para cendekiawan pun dalam mengomentari hadits-hadits dalam Ihya’, adalah satu bukti, bahwa pemahaman mereka dalam ilmu hadits sangatlah berbeda. Dengan demikian, memvonis bahwa dalam kitab Ihya’ banyak terdapat hadits-hadits palsu serta dipenuhi oleh kebohongan adalah sikap yang terlalu tergesa-gesa dalam mengambil kesimpulan.
Abu Dawud mengatakan, mengutip dari Abu Zar’ah Ar Razy : ”Ada dua puluh ribu pasang mata yang bersama-sama dengan Rasulullah. Tiap pasang meriwayatkan darinya walau hanya satu kata, atau sebuah kalimat tentang beliau SAW. Dan hadits beliau jauh lebih banyak dari itu.” (Al Murtadha, juz I hal 50).

Karenanya, ketika Al-Iraqi mentakhrij hadits-hadits Ihya‘ dan merasa asing atas satu riwayat hadits beliau berkata, “Aku belum menemukan dasar pengambilan hadits ini.” Beliau tidak mengatakan “Hadits ini tidak berdasar sama sekali.” Ini cukup memberikan bukti bagi kita, bahwa al Iraqi sendiri sangat berhati-hati dalam mengambil keputusan atas apa yang belum diketahuinya, mengingat banyaknya hadits-hadits Nabi yang mungkin saja periwatannya tidak sampai pada sebagian ahli hadits. Dengan demikian tidak selayaknya kita mengatakan sebuah hadits adalah palsu tanpa bukti-bukti yang memadai.

Al-Ghazali menuliskan hadits-hadits dalam kitab Ihya’ yang ia kutip dari berbagai kitab hadits dan kitab-kitab lainnya, seperti kitab tasawwuf dan fiqih, dengan keyakinan bahwa derajat hadits-hadits tersebut tidaklah sama, ada shahih, hasan ataupun dha’if. Tentu saja keyakinan itu ia dapatkan setelah melihat berbagai pendapat para ulama’ hadits dan para ulama’ lainnya yang juga mengetahui banyak hal dalam ilmu-hadits, seperti Syaikh Abu Thalib Al-Makki. Ia mengkaji pendapat-pendapat mereka dan mempertimbangkannya ketika akan menukil berbagai hadits ke dalam karya-karyanya, termasuk Ihya’ Ulumiddin.

Al-Ghazali juga sangat tahu bahwa semua hadits yang ia nukil dalam kitab Ihya’ tidak keluar dari kategori shahih, hasan, dha’if dan tidak satupun yang bisa dikategorikan sebagai hadits palsu (maudlu’). Karena itu, ia tidak melakukan sebuah revisi apa pun dalam kitab Ihya’, setelah ia merampungkan penulisannya dan mengajarkannya kepada murid-muridnya di kota Thus.

Lebih dari itu, Al-Ghazali juga sangat yakin bahwa mengarang hadits palsu dalam hal-hal yang berhubungan dengan keutamaan ibadah adalah perbuatan maksiat. Beliau berkata, ”Ada sebagian orang berasumsi bahwa boleh saja mengarang-ngarang sebuah hadits, bila itu digunakan dalam pembahasan keutamaan amal, ibadah, dan ancaman terhadap kemaksiatan. Mereka beralasan dengan tujuan yang baik, akan tetapi ini adalah asumsi yang salah karena Nabi SAW bersabda, ”Barangsiapa dengan sengaja berbohong atas namaku, maka kelak ia akan mendapatkan tempatnya di neraka” (Ihya’, juz 3 hal. 136). Al Iraqi berkata bahwa hadits ini diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim dari berbagai jalur periwayatan.

Jika kenyataannya memang seperti itu, maka tidaklah masuk akal, bila Al-Ghazali dengan sengaja menyebut hadits palsu atau meragukan dalam karyanya, karena ia akan termasuk kelompok yang dimaksud oleh Rasulullah dalam hadits di atas. Hal ini sangat dijauhi oleh Al-Ghazali

Sikap yang cenderung tergesa-gesa dari para pengritik Al-Ghazali di atas sebetulnya bisa dipahami sebagai akibat dari sikap antipati berlebihan dan tidak menerima secara lapang ketika sedang melakukan riset dan kajian dengan tujuan mencari kebenaran terhadap karya-karya Al-Ghazali, terutama Ihya’. Oleh karena itulah, mereka tidak bisa melakukan studi kritis yang benar, ilmiah dan objektif. Sehingga tanpa mereka sadari, mereka sudah terjebak sejak awal dalam kesalahan yang tidak semestinya terjadi ketika memberikan penilaian.

Sedangkan para ulama dan ahli hadis yang bersikap arif dalam menilai hadits-hadits dalam kitab Ihya’ bisa dikatakan sikap tersebut merupakan hasil dari sebuah niat yang memang benar-benar tulus untuk mencari kebenaran semata, bukan sekedar subjektivitas, karena itu pula mereka berkenan mengkaji Ihya’ dengan hadits-hadits di dalamnya, melalui kajian yang benar, jujur dan objektif. Sehingga mereka mampu menuliskannya dalam karya-karya ilmiah mereka yang bermutu. Di antara mereka yang bersikap seperti ini adalah Al-Iraqi dan Al-Murtadla. Keduanya telah bekerja keras dan serius ketika melakukan riset ilmiah dan studi kritis untuk mengetahui dan membuktikan hakekat hadits-hadits dalam Ihya’, sehingga mereka tidak terjerembab dalam kesalahan yang fatal. Masun Said Alwy


dipetik dari Forsan Salaf

Khamis, 6 Ogos 2009

Manaqib Syed Jamaluddin al-Akbar al-Husaini



Dengan nama ALLAH yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Segala puja dan puji dipersembahkan kepada Allah, tuhan yang mentadbir sekalian alam. Selawat dan salam buat rasul junjungan, ahli keluarga dan para sahabatnya yang di kasihi.

Dan orang-orang yang beriman, dan yang anak cucu mereka mengikuti mereka dalam keimanan, kami hubungkan anak cucu mereka dengan mereka[1426], dan kami tiada mengurangi sedikitpun dari pahala amal mereka. tiap-tiap manusia terikat dengan apa yang dikerjakannya. (At Thur- 21)

Di sini adalah Manaqib bagi ad-Daa’I IlaLLAH, as-Syekhul Kabir, al-Qutub al-Habib as-Syed Jamaluddin  al-Akbar al-Husaini atau yang lebih masyhur namanya di Nusantara ini dengan nama Syed Hussin Jumadil Kubra atau Jamaluddin Agung atau Sunan Agung. Manaqib ini telah diambil data dan maklumatnya dari beberapa kitab ahli sirah dan nasab yang masyhur. Sesungguhnya telah berlaku banyak ikhtilaf dikalangan para sejarawan tentang beberapa hal yang berkaitan Syed Jamuluddin Hussin al-Akbar ini. Hal ini adalah kerana, kehadiran beliau itu pada abad yang ke 13 masihi, yang sewaktu itu nasab belum tercatit pada dustur yang teratur. Walau bagaimanapun kami telah mengambil jalan yang aslam serta meninggalkan ikhtilaf yang gharib dari perbahasan sejarawan itu dan mencatitkan apa yang semampu kami sahaja pada manaqib Ulama dan Mujahid yang berjasa ini.

Nasab beliau ialah Syed Jamaluddin Hussin al-Akbar @ Syed Jamaluddin al-Hussin @ Syed Hussin Jumadil Kubra Bin Ahmad Jalaluddin Syah @ Ahmad Syah Jalal Bin Abdullah Amir Azamat Khan @ Abdullah al-Amir @ Abdullah Azamat Khan @ Abdullah Khan Bin al-Muhajir Ilal Hindi Abdul Malik Bin Alwi Aamul Faqih Bin Muhammad Sahibul Mirbath Bin Ali Khali’ Qassam Bin Alwi Bin Muhammad Bin Alwi Bin Ubaidillah Bin Ahmad al-Muhajir Bin Isa as-Syakir Bin Muhammad Bin Ali Uraidhi Bin Jaafar Shodiq Bin Muhammad al-Baqir Bin Ali Zainul Abidin Bin Syaidina Hussin Syahid Karbala Sibtu Fatimah Az Zahra’ al-Batul Bin Syaidul Mursalin Muhammad Khatamun Nabiyyin.

Terhadap tarikh kelahiran beliau ini terdapat banyak perselisihan diantara para pengkaji sejarah dan ahli nasab. Tetapi mengikut Syekh Waliyuddin Khan ( Tarikh Aghrariah: 1923), beliau dilahirkan pada tahun 1336 di Kota Agra India. Beliau dilahirkan bersama limpahan harta dan kemewahan kerana Ayahanda beliau, Syed Ahmad Jalaluddin Syah adalah Gabenor Agra di bawah pemerintahan Kesultanan Mughal yang berpusat di New Delhi pada masa itu. Walaupun kehidupan beliau dilimpahi kemewahan dunia, tetapi hal itu tidaklah melalaikan beliau dari istiqamah pada landasan Aslaf beliau yang terdahulu. Dari umur belasan tahun, beliau banyak mengembara ke pelusuk India khasnya di Syaharanfur, Karachi dan Nizamuddin untuk mendalami ilmu khususnya dalam bidang Hadith dan Tasauf. Beliau juga sering mendapat ru’yah bertemu dengan Syaidul Makhluq dan di anugerahkan ALLAH ilmu laduni[1].

Sewaktu beliau berumur 25 tahun, beliau di tunjukkan untuk menjadi gabenor di Haidrabad. Beliau dengan sedaya- upaya berusha untuk menolak jawatan tersebut dan akhirnya terpaksa beliau terima dengan berat dan kecewa[2]. Sewaktu beliau menjadi gabenor Haidrabat itulah, beliau telah menerapkan Prinsip Islam dalam pemerintahan beliau dan mencontohi para Khalifah ar-Rasyidun. Hasil dari itulah, dalam masa beberapa tahun sahaja, Haidrabad telah termasyhur sebagai pusat perdagangan. Sewaktu beliau menjawat jawatan gabenor ini juga, telah beberapa kali beliau di amanahkan untuk menjadi panglima perang dalam menentang pemberontakan dari Kerajaan Hindu India[3].

Ketika umur beliau 30 tahun, beliau telah melaksanakan Ibadah Haji di Makkah dan melangsungkan ziarah ke Madinah. Sewaktu beliau berziarah Datuk beliau di Madinah inilah, beliau telah bertemu dengan Baginda secara sedar ( Yakazoh) dan di tunjukkan supaya meninggalkan jawatan yang beliau duduki sekarang dan dianjurkan supaya membawa dakwah ke timur. Hal ini adalah bertepatan dengan satu sabda Baginda RasulaLLAH SAW dalam satu hadith yang masyhur:

Dari Abi Masu'd r.a bahawa Rasulullah s.a.w telah bersabda:
Akan datang pada akhir zaman pembawa-pembawa panji hitam dari timur.[4]

Lalu sewaktu pulang dari haji dan ziarah itu, beliau tidak langsung pulang ke Hadrabad, tetapi ke Mughal untuk berziarah kakek beliau Syed Abdullah Amir Azamat Khan. Semasa berada di Mughal inilah, beliau telah bertemu dengan beberapa orang saudara sepupu beliau dan mereka telah diajak untuk bersama-sama melaksanakan dakwah ke timur. Semasa berbincang tentang hala tuju mereka ke timur ini, mereka telah bersepakat untuk menjadikan Kepulauan Nusantara ini sebagai daerah dan lembangan dakwah mereka.

Setelah persetujuan di ikat, berangkatlah beliau ke Nusantara ini bersama 6 saudaranya yang lain. Perjalanan mereka ini telah di kenali sebagai “ Wali Tujuh Dengan Perancangan Islam Di Timur”.[5] Semasa dalam pelayaran ke Nusantara ini, mereka telah di uji oleh Sang Yang Maha Mencipta dengan beberapa ujian yang berat dan hal itu tidak mematahkan hasrat mereka.

Setelah tiba di Nusantara ini, mereka telah berpecah untuk mendirikan lembangan dakwah kepada beberapa kepulauan dan Syed Jamaluddin Hussin al-Akbar bersama beberapa saudaranya telah memilih daerah dakwahnya yang pertama di Empayar Langkasuka iaitu yang meliputi Champa (Indo China/ Kemboja sekarang) sehingga ke Kepulauan Mindanao di Filipina, manakala ibukotanya pula adalah Tanah Serendah Sekebun Bunga (Kelantan Tua). Semasa berdakwah di sini, beliau tidak sahaja mendekati para rakyat dan marhain, tetapi turut berdakwah kepada golongan pembesar dan istana. Berhasil dari sinilah, beliau telah diminta oleh Raja Sang Tawal (Sultan Baqi Syah/ Sultan Baqiuddin Syah), Sultan yang memerintah Tanah Serendah Sekebun Bunga pada masa itu untuk tinggal di istana dan menjadi penasihat Sultan.

Semasa beliau berdakwah dan menjadi Penasihat Sultan di Kerajaan Langkasuka, beliau telah dikahwinkan dengan dua orang puteri dari Tanah Serendah Sekebun Bunga iaitu Puteri Linang Cahaya yang merupakan Putri Raja Sang Tawal dan Puteri Selindung Bulan (Putri Saadong II) serta seorang Putri Diraja Champa yang bernama Putri Ramawati dan seorang Putri Diraja Johor. Puteri Ramawati (Champa) isteri kedua beliau dan Putri Selindung bulan (Kelantan Tua) isteri ketiga ini adalah saudara sebapa yang dikahwini oleh beliau setelah kematian isterinya yang kedua.

Dari perkahwinan dengan Putri Diraja Kelantan Tua ini beliau mendapat dua orang putra yang bernama Abdul Malik (Gerisik) dan Ali Nurul Alam (Fathoni) serta seorang putri yang bernama Putri Siti Aisyah (Putri Ratna Kesuma)[6] . Dari perkahwinan beliau dengan Putri Ramawati yang merupakan Putri Sultan Zainol Abidin Syah (Che Bong Nga), beliau mendapat seorang putra yang bernama Ibrahim Zainol Akbar[7] (Ibrahim Asmaro @ Ibrahim As Samarqandi)[8]. Adapun perkahwinan beliau dengan Putri Diraja Johor telah memberikan dua orang putra, iaitu Syarif Muhammad Kebungsuan(Mindanao Filipina) dan Sultan Berkat(Zainol Alam Barakat).[9]

Dari keturunan beliaulah lahirnya para pejuang dan pendakwah di seluruh pelusuk Nusantara kita ini. Contohnya, dari Abdul Malik, lahirnya para Wali Sembilan (Wali Songo) di Indonesia dan dari Ali Nurul Alam, lahirnya para pemerintah, ulama dan pendakwah di Fathoni. Di setiap tempat dan negeri yang mereka kunjungi, mereka langsung membaur dengan rakyat setempat dan menggunakan nama dan gelaran yang dipakai oleh masyarakat secara umum.[10] Mereka mengorbankan gelaran Syed, Syarif dan Habib demi melihat bersatunya jiwa masyarakat dalam dakwah Islami. Dari hal itulah, mereka kini lebih dikenali sebagai Tengku, Tuan, Nik dan Wan. Mereka membaur bersama masyarakat dengan keluhuran akhlak dan kehidupan bersahaja serta ketaatan pada agama seperti yang diwarisi dari leluhur mereka telah memikat hati masyarakat peribumi sehingga Islam tersebar dalam masa yang reletif singkat.[11]

Dari hasil dakwah beliau bersama saudaranya beserta perancangan yang berhikmah, Islam tersebar dengan meluas sehingga Empayar Langkasuka lebih dikenali sebagai Empayar Chermin Jeddah, manakala ibu negerinya (Tanah Serendah Sekebun Bunga/ Kelantan Tua) dikenali sebagai Negeri Serambi Mekah. Ini jelas pada masa itu, yang mana penyebaran ilmu agama amat pesat serta terbinanya Madrasah Diniah ( pondok pasenteren ) bagaikan cendawan selepas hujan serta mereka yang datang belajar agama di sini disamakan tarafnya dengan mereka yang belajar agama di Mekah[12]. Perkembangan Islam di bawah pimpinan beliau tidak terhenti setakat itu sahaja, bahkan beliau berjaya melatih para kader dakwah dan menghantarnya ke seluruh pelusuk Asia Nusantara ini.

Dikalangan keturunan beliau yang masyhur sebagai pendakwah diantaranya dari keturunan Ibrahim Zain al-Akbar (Champa) ialah Maulana Ishak, Muhammad Ainul Yakin (Sunan Giri), Ahmad Rahmatullah (Sunan Ampel), Ibrahim (Sunan Bonang), Hasyim (Sunan Derajat), Jaafar Shadiq(Sunan Kudus) . Manakala dari keturunan Ali Nurul Alam (Fatoni) lahirnya Wan Hussin (Tok Masjid Telok Manok/ Tok Syed Quran), Wan Abdullah (Wan Bo/ Tok Raja Wali), Wan Demali, Syarif Hidayatullah (Sunan Gunung Jati) dan Wan Demali (Temenggung Laut). Dari keturunan Abdullah (Wan Bo/ Tok Raja Wali) inilah yang telah melahirkan keturunan Abd Malik @ Muluk (Tok Ku Hitam/ Pakcu Keling).

Setelah beberapa lama beliau melaksanakan jihad dan dakwahnya di utara Nusantara maka beliaupun belayar kembali dan memilih kawasan selatan yang meliputi Kepulauan Jawa pula. Semasa berada di Pulau Jawa inilah, beliau sempat melihat kejayaan dakwah yang dilaksanakan oleh adakanda dan cucunda beliau. Setelah beberapa lama berada di Pulau Jawa akhirnya beliau merantau dan berdakwah ke daerah Bugis(Makasar/ Ujung Padang) di Sulawesi Selatan. Semasa melaksanakan dakwahnya disini, beliau telah dipanggil oleh Qadhi Haqiqi Rabbul Jalil menghadapNya. Maka kembalilah insan yang telah banyak berjasa untuk Agama ALLAH ini dalam keadaan redha lagi diredhai pada tahun 1415 m dan dimakamkan di hadapan masjid beliau di Jalan Masjid Tua, Desa Tosora, Kacamatan Manjeuleng, Kabupaten Wajo, Propensi Sulawesi Selatan. Semoga ALLAH tetap mencurahkan Rahmat dan berkahNya kepada beliau serta menerima semua hasanah beliau dan memaafkan segala khilaf beliau juga mengangkat beliau ke darjah yang selayaknya bersama datuk beliau Syaidul Mursalin Wakhatamun Nabiyyin.

Aduhai para keturunan yang mulia ini. Apakah kita mengerti betapa menggunungnya tanggungjawab yang terpikul dibahu kita. Betapa leluhur dan sesepuh kita dahulu telah membina empayar dakwah dan penghambaan ke Hadirat Rabbul Jalil. Tersebarnya Islam yang tercinta dibumi Nusantara ini adalah dari keringat, darah dan air mata mereka ini. Apakah cukup kita pada hari ini berbangga dengan nasab al-akbar atau al-Kubra yang kita miliki atau dengan galaran bangsawan Syed, Habib, Tengku, Tuan, Nik, Wan atau Che yang tersemat di pangkal nama kita dan membiarkan apa yang telah dibina oleh Aslaf kita terdahulu terlekang dek panas, tereput dek hujan, terkakis dek udara. Apakah tugas dan tanggungjawab ini tidak akan disoal ke atas kita di Yaumul Hisab nanti. Apakah memadai untuk kita hari ini berbangga dengan harta, pangkat, gelaran, sijil-sijil akademik dan gelaran akademik yang kita miliki. Apakah untuk itu moyang kita dahulu meninggalkan pangkat, darjat, kekayaan dan tanah tumpah darahnya berlayar ke bumi melayu ini??????????. Tidak sekali-kali!!!!!!!!!!!!!! Tidak sekali-kali wahai anak cucu Syed Jamuluddin Hussin al-Akbar @ Syed Hussin Jumadil Kubra. Beliau meninggalkan segalanya itu adalah demi cinta beliau kepada ALLAH dan RasulALLAH yang merupakan Datuknya dan Datuk kita.

Sedari dan insafilah duhai ansab Jamuluddin Hussin al-Akbar. Tanggungjawab adalah amanah dan amanah akan ditanya di akhirat nanti. Di mana pun kita, pada posisi apa pun kita, dengan seragam apa pun kita, wadah dan jalan kita adalah satu. Melihat Islam tetap mekar mewangi di Asia Nusantara, Bumi Melayu kita ini.


[1] )Ad Dahlawi, Syekh Waliyullah : Fatawa Alhindi
[2] ) Waliyuddin Khan,Syekh: Tarikh Agrariah-1923. Matbaah Beirut
[3] ) Al Malbari, Nazimul Hakim: Sirajul Muluk Lil Hindi-1980, Matbaah Darul Hikam Deoband
[4] ) Turmuzi,Al Muhaddith Mahyuddin: Soheh Turmuzi.
[5] ) Haji Ibrahim (IBHAR), Hj Abd Halim Bashah Bin: Wali Songo Dengan Perkembangan Islam Di Nusantara. Pustaka Al Hijaz Malaysia.
[6] ) Ibid
[7] ) Al Haddad, Syed Alawi Bin Tohir: Al Madkhal Ila Tarikhil Islam Bissyarqil Aqsha.(edisi Indonesia,sejarah perkembangan islam di timur jauh. Alih bahasa Dziya Syahab. Maktab Ad Daimi Jakarta.
[8] ) Al Gadri,Mr Hamid: C Snouck Hurgronje. Politik Belanda Terhadap Islam Dan Keturunan Arab. Sinar Harapan Jakarta 1984.
[9] )Al Khaf, Syed Zain Bin Abdullah: Khidmatul Asyirah
[10] )Al Baqir, Muhammad: Pengantar Thariqah Menuju Kebahagiaan diterjemah dari Risalah Al Muawanah Wal Muzhaharah Wal Muawazarah Lir Raghibin Minal Mu’minin Fi suluki Ala Tariqah Al Akhirah.Syed Abdullah Bin Alawi Al Haddad.
[11] )Ibid
[12] ) Haji Ibrahim (IBHAR), Hj Abd Halim Bashah Bin: Wali Songo Dengan Perkembngan Islam Di Nusantara. Pustaka Al Hijaz Malaysia.

Rabu, 5 Ogos 2009

Malam Nisfu Sya'ban


Soal Jawab Perkara Khilafiyyah, Jawapan dari Ustaz Abdul Kadir Al Jofree :

Sebagai menjawab persoalan yang diajukan, Nisfu Sya'ban biasanya dimaksudkan 15 Sya'ban. Malam nisfu Sya'ban pula adalah malam 15 Sya'ban (14hb siangnya, malamnya, dipanggil malam 15 ya).Di negara Arab dan Nusantara, biasanya dibacakan Yasin sebanyak tiga kali pada malam Nisfu Sya'ban setiap satu dengan niat tersendiri, yang akan diajarkan oleh para guru.

Perkara ini hampir berlaku ijmak padanya, memandangkan dilakukan oleh para Fuqaha' zaman berzaman dari dahulu lagi.Perkara ini tidak dinisbahkan kepada Rasulullah sendiri. Akan tetapi ia boleh dilakukan selagi mana ibadah tersebut tidak bertentang dengan syara' (samaada dilakukan bersendirian mahupun beramai-ramai itu sekadar satu teknik dakwah). Contohnya, zikir, doa, membaca Al-Quran, membuat kelas ilmu dan sebagainya.

Para ulamak kita di tempat lain (di Mesir, beberapa tempat di Saudi, Yaman, Siria, Nusantara, dan lain-lain) kebanyakannya tidak bersetuju dengan fatwa tersebut (Fatwa Dr Yusof Al Qardhawi yang menolak amalan Yasin 3 kali dan mengatakan ia adalah bid'ah yang diada-adakan). Oleh kerana itulah amalan beramai-ramai pada malam Nisfu Sya'ban ini dilakukan oleh para ULAMA' zaman berzaman di merata tempat sejak zaman salaf lagi.

Di bawah ana nukilkan tulisan Sidi Abu Muhammad pada menceritakan Nisfu Sya'ban dengan jelas dan adil:-

Adapun kelebihan Malam Nishfu Sya'baan itu telah disebutkan di dalam hadis shahih daripada Mu`az bin Jabal radhiallahu `anhu, bersabda Rasulullah Shallallahu `alaihi wa sallam yang maksudnya :"Allah memandang kepada semua makhlukNya di Malam Nishfu Sya'baan, maka diampunkan dosa sekalian makhlukNya kecuali orang yang menyekutukan Allah atau orang yang bermusuhan." (Hadis riwayat Ibnu Majah, at-Thabrani dan Ibnu Hibban)

Di Malam Nishfu Sya'baan juga, adalah di antara malam-malam yang dikabulkan doa. Berkata Imam asy-Syafi`ie dalam kitabnya al-Umm: "Telah sampai pada kami bahawa dikatakan: sesungguhnya doa dikabulkan pada lima malam iaitu: pada malam Jumaat, malam Hari Raya Adha, malam Hari Raya `Aidil Fitri, malam pertama di bulan Rejab dan malam nishfu Sya'baan."

Malam Nishfu Sya'baan merupakan malam yang penuh rahmat dan pengampunan daripada Allah Subhanahu wa Ta`ala. Kenyataan ini dapat direnung kepada hadis yang diriwayatkan oleh Mu`az bin Jabal radhiallahu `anhu di atas.

Adapun cara menghidupkan Malam Nishfu Sya'baan sebagaimana yang dilakukan sekarang ini tidak berlaku pada zaman Nabi shallallahu `alaihi wasallam dan zaman para sahabat. Akan tetapi ia berlaku pada zaman tabi`in dari penduduk Syam. Menyebut al-Qasthalani dalam kitabnya al-Mawahib al-Ladunniyah, bahawa para tabi`in daripada penduduk Syam seperti Khalid bin Ma'dan dan Makhul, mereka beribadat dengan bersungguh-sungguh pada Malam Nishfu Sya'baan. Maka dengan perbuatan mereka itu, mengikutlah orang ramai pada membesarkan malam tersebut.

Para tabi`in tersebut menghidupkan Malam Nishfu Sya`baan dengan dua cara:* Sebahagian mereka hadir beramai-ramai ke masjid dan berjaga di waktu malam (qiamullail) untuk bersembahyang sunat dengan memakai harum-haruman, bercelak mata dan berpakaian yang terbaik.* Sebahagiannya lagi melakukannya dengan cara bersendirian. Mereka menghidupkan malam tersebut dengan beribadat seperti sembahyang sunat dan berdoa dengan cara bersendirian.

Ada pun cara kita sekarang ini menghidupkan Malam Nishfu Sya'baan dengan membaca Al-Quran seperti membaca surah Yaasiin, berzikir dan berdoa dengan berhimpun di masjid-masjid atau rumah-rumah persendirian sama ada secara berjemaah atau perseorangan adalah tidak jauh berbeza dengan apa yang dilakukan oleh para tabi`in itu.

Berhubung dengan persoalan sholat khas Nishfu Sya'baan, maka berlaku khilaf antara ulama kita, ada yang mensabitkannya seperti Hujjatul Islam al-Ghazali dan ada yang memandangnya sebagai bid`ah yang keji. Khilaf berlaku pada pengkhususan sholat yakni memandang adanya satu sholat khusus malam tersebut seperti tarawih atau sholat hari raya. Untuk keluar dari khilaf bagi sesiapa yang hendak bersholat, maka lakukanlah sholat-sholat sunnat seperti sunat Awwabin (di antara waktu Maghrib dan Isya`), sembahyang tahajjud, akhirnya sembahyang witir atau sembahyang sunat muthlaq . Sembahyang sunat muthlaq ini boleh dikerjakan pada bila-bila masa sahaja sama ada pada Malam Nishfu Sya'baan atau pada malam-malam yang lain.

Sedikit tambahan lagi:

Amalan-amalan ini merupakan teknik yang pelbagai dalam menyampaikan dakwah oleh para ulama silam yang amat pakar dalam menyampaikan dakwah mereka ke seluruh pelusuk dunia. Adapun teknik-teknik amalan yang dilakukan oleh sesetengah pihak bergantung kepada para ulamak yang mengajarkan dan kepada siapa diajarkan. Semuanya adalah dibenarkan selagi mana tidak melanggar syara'. Samaada hendak solat sunnah, berzikir atau membaca Al-Quran bergantung kepada kemampuan individu.

Perkara-perkara ini tidak patut sama sekali diperselisihkan atau ditentang. Biarlah manusia lain ingin beramal sedanyanya tanpa kita sibuk menutup jalan-jalan kebajikan ini. Apapun perkara ini adalah dalam batasan perselisihan yang dibenarkan oleh syara'. Berlapang dadalah jika pihak lain tidak bersetuju dengan kita, selagi mana menjaga akhlak Islam.

Malang sekali jika perkara-perkara besar dalam masyarakat tidak dihiraukan, tetapi kita lebih suka membicarakan adakah boleh melakukan amalan pada malam nisfu Sya'ban atau tidak. Tetapi, kita lebih risau jika digolongkan di kalangan mereka yang menentang apabila perbuatan makruf dilakukan, manakala apabila perbuatan mungkar dilakukan, duduk diam sahaja tidak endah. Na'udzubillah min zalik.

Inilah akibatnya jika tidak mempunyai kefahaman jitu dalam ikhtilaf serta ujub dengan diri sendiri dalam ilmu yang dimiliki.Semoga kita sama-sama dapat menggarap kemuliaan malam Nisfu Sya'ban yang menjelang. Semoga Allah menggolongkan kita di kalangan mereka yang mendapat pengampunan dan rahmat-Nya pada malam tersebut. Amiin.Wallahu A'lam