Selamat Datang

Usrah Jamadilkubra ialah rangkaian keluarga keturunan SYED JAMALUDDIN AL-AKBAR AL-HUSAINI (Wajo Makasar 1352-1415 M) BIN AHMAD JALALUDDIN SYAH (AHMAD SYAH JALAL) melalui keturunannya SYED ALI NURUDDIN ZAINUL ALAM (Ali Nurul Alam).

Selasa, 23 November 2010

Hakikat yang tidak patut dikaji


OLEH PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN

SEBELUM kita memasuki tajuk minggu ini, pihak kami ada menerima komentar seorang pembaca bahawa bahan yang dikongsikan di ruangan ini terasa terlalu tinggi untuk kefahaman mereka.

Kami berterima kasih atas maklum balas ini dan ingin membuat sedikit penjelasan.

Seperti yang dimaklumi oleh mereka yang mengikuti rapat ruangan ini, buat masa ini, ruangan ini dikhususkan untuk berkongsi dengan para pembaca perbahasan yang bernilai daripada buku karangan seorang tokoh ulama mutakhir berkenaan isu-isu yang disalah-fahami oleh masyarakat.

Jika itulah yang menjadi tumpuan kita tidak hairanlah jika sebahagian pembaca merasakan isi kandungannya tinggi kerana biasanya isu-isu yang menimbulkan kekeliruan ini biasanya bukan isu-isu mudah.

Mereka yang tidak 'terfitnah' dengan isu-isu ini memang tidak begitu mudah mengikuti perbahasannya. Memang sepatutnya adalah lebih baik bagi agama mereka jika ditumpukan tajuk-tajuk asasi Islam, Iman dan Ihsan.

Malangnya, kita masih terpaksa menanganinya kerana tetap ada di sana sekelompok mereka yang sangat gemar menimbulkan isu-isu sebegini sehingga mencemarkan kefahaman umat.

Sepatutnya, seperti tajuk kita minggu ini, tidak semua polemik yang timbul di kalangan ulama mengenai pelbagai masalah agama dan akidah, dibebankan oleh Allah SWT ke atas kita untuk membahaskannya.

Bahkan, kita berpendapat, bahawa polemik ini hanya akan melenyapkan kehebatan dan keagungan perkara tersebut. Misalnya perselisihan ulama mengenai Nabi Muhammad SAW melihat Allah dan caranya.

Perselisihan yang panjang lebar sentiasa berlegar di kalangan mereka mengenai permasalahan ini. Ada ulama berpendapat, Nabi Muhammad SAW melihat Allah SWT dengan hatinya. Sementara ulama lain berpendapat, Nabi Muhammad SAW melihat-Nya dengan kedua-dua belah matanya.

Masing-masing mengemukakan dalil mereka dan menguatkan hujah mereka dengan sesuatu yang tidak mendatangkan faedah. Apa yang saya lihat, semua yang mereka lakukan itu adalah sia-sia dan tidak mendatangkan faedah.

Bahkan, kemudaratannya adalah lebih besar daripada manfaatnya. Apatah lagi jika kandungan polemik itu didengari oleh umat Islam awam. Tidak mustahil, jika mereka mendengar dan mengetahui hal-hal yang diperdebatkan itu, pasti akan timbul keraguan dalam hati mereka.

Seandainya kita meninggalkan perbahasan mengenai perkara ini, dan memadai kita menyebut apa adanya, pasti ia akan kekal menjadi perkara yang mulia dan tidak akan hilang keagungannya dalam jiwa manusia.

Umpamanya, kita mengatakan bahawa Rasulullah SAW melihat Tuhannya. Cukup sekadar itu sahaja, tanpa dilanjutkan perbahasannya dan selebihnya kita serahkan kepada Allah SWT.

Selasa, 16 November 2010

Hakikat Asya'irah


Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN

PERHENTIAN kita yang seterusnya dalam menelaah kitab Mafahim Yajib an Tusohhah (Kefahaman Yang Wajib DiPerbetulkan) karya al-Muhaddith Dr.Sayyid Muhammad bin 'Alawi al-Maliki ialah tentang salah faham terhadap mazhab akidah Asya'irah. Asya'irah adalah gelaran kepada mereka yang mengikut pegangan mazhab akidah yang dirumuskan oleh al-Imam Abu al-Hassan al-Asy'ariy RH. Ia merupakan mazhab akidah majoriti besar umat Islam sepanjang zaman.

Pun begitu, masih ramai umat Islam tidak mengetahui tentang mazhab Asya'irah. Mereka tidak mengenali siapakah yang dimaksudkan dengan al-Asya'irah dan kaedah mereka di dalam bidang akidah. Lantaran itu, sebahagian daripada mereka tidak berhati-hati meletakkan Asya'irah di dalam kesesatan dan melemparkan tuduhan bahawa Asya'irah telah terkeluar daripada agama Islam dan tergolong di dalam golongan mulhid (terpesong daripada kebenaran) di dalam menghuraikan sifat-sifat Allah.

Kejahilan inilah yang menyebabkan berlakunya perpecahan terhadap kesatuan Ahli Sunnah dan merobek kesatuan umat Islam sehingga sebahagian orang-orang jahil menganggap golongan Asya'irah tergolong di dalam golongan yang sesat.

Saya tidak tahu, bagaimana mereka menyamakan di antara golongan yang beriman dengan golongan yang sesat, dan bagaimana mereka boleh menyamakan di antara golongan Ahli Sunnah dengan pelampau Muktazilah yang merupakan golongan Jahmiyyah? (pengikut Jaham ibn Sofwan yang berasal dari Khurasan. Mazhabnya dikenali dengan Jabariah yang berpendapat tidak ada ikhtiar bagi makhluk.)

Firman Allah SWT: Patutkah Kami (berlaku tidak adil dengan) menjadikan orang-orang Islam (yang taat) sama seperti orang-orang yang berdosa (yang kufur dan ingkar)." (Apa sudah jadi dengan akal kamu?) Bagaimana kamu menetapkan hukum (yang terang-terang salahnya itu)? (al-Qalam: 35-36)

Asya'irah ialah pemimpin-pemimpin ulama Islam yang membawa petunjuk dan ulama yang mempunyai ilmu meliputi timur dan barat. Kelebihan, keilmuan dan keagamaan mereka disepakati oleh manusia pada zaman mereka. Mereka merupakan tokoh-tokoh ulama Ahli Sunnah berwibawa tinggi yang berdiri teguh menentang kesesatan fahaman Muktazilah. Dalam mengupas tentang mazhab Asya'irah, Ibnu Taimiyyah berkata: Ulama ialah golongan pembantu ilmu-ilmu agama, manakala Asya'irah ialah golongan pembantu usul agama. (Al-Fatawa: H: 16, Juzu' 4)

Sesungguhnya mereka merupakan tokoh-tokoh hadis, fekah dan tafsir dari kalangan tokoh-tokoh imam yang utama seperti Syeikh al Islam Ahmad Ibnu Hajar al 'Asqalani RH; syeikh dan pakar hadis yang tidak boleh dipertikaikan lagi. Beliau juga merupakan pengarang kitab Fath al Bari 'ala Syarh al Bukhari yang tidak dapat tidak, diperlukan dan dipegang oleh semua ulama. Beliau berpegang dengan mazhab Asy'ari.

Begitu juga syeikh ulama Ahli Sunnah; Imam Nawawi RH, pengarang Syarah Sohih Muslim dan karya-karya lain yang masyhur, bermazhab Asy'ari. Syeikh Ahli Tafsir, Imam al Qurtubi RH pengarang kitab Tafsir al Jami' li Ahkam al Quran, bermazhab Asy'ari. Syeikh al Islam Ibnu Hajar al Haitami RH pengarang kitab al Zawajir 'an Iqtiraf al Kabair, bermazhab Asy'ari. Syeikh Feqah dan Hadith, al Imam al Hujjah al Thabat Zakaria al Ansari RH, bermazhab Asy'ari.

Imam Abu Bakar al Baqilani RH, Imam al Qustallani RH, Imam al Nasafi RH, Imam al Syarbini RH, Abu Hayyan al Nahwi RH pengarang tafsir al Bahr al Muhit, Imam Ibnu Juzaiy RH pengarang kitab al Tashil fi Ulum al Tanzil dan lain-lain lagi, kesemuanya merupakan tokoh-tokoh Asya'irah.

Sekiranya kita hendak mengira bilangan pakar ilmuwan dari kalangan ahli hadis, tafsir dan fekah yang bermazhab Asy'ari, pasti tidak muat untuk ditulis di dalam kitab ini dan tentunya memerlukan beberapa jilid kitab untuk memuatkan kesemua nama ulama ini yang ilmu mereka tersebar luas di timur dan barat dunia. Sesungguhnya menjadi kewajipan ke atas diri kita, menyifatkan mereka dengan sifat-sifat yang baik dan mengenali kelebihan ahli ilmu yang telah menaburkan khidmat mereka kepada syariat Rasulullah SAW.

Selasa, 9 November 2010

Sikap tasauf terhadap syariat


Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN

DI kesempatan yang lepas, kami telah mengemukakan sedutan daripada penjelasan oleh salah seorang tokoh besar ulama tasauf, hadis dan syariat di zaman kita, Al-Muhaddith Dr. Sayyid Muhammad bin 'Alawi al-Maliki tentang isu hubungan antara tasauf dan syariat.

Dalam kitabnya Mafahim Yajib an Tusohhah (Kefahaman Yang Wajib Diperbetulkan), beliau telah memetik kata-kata para pemuka ulama tasauf yang menegaskan keselarian antara ilmu ini dengan syariat atau usul syariat, al-Quran dan al-Sunnah.

Di bawah ini diperturunkan beberapa petikan lain yang mengungkapkan dengan begitu fasih tentang persoalan ini, sekali gus memberikan kepada kita gambaran sebenar tasauf daripada lisan para tokoh-tokohnya yang hakiki.

Adalah jelas daripada kata-kata tokoh-tokoh tasauf daripada generasi awal ini bahawa jalan syariat adalah asas dan landasan bagi perjalanan seseorang sufi. Walau apa pun yang mungkin ditemui seseorang dalam perjalanannya itu semuanya harus tunduk kepada neraca al-Quran dan al-Sunnah.

Maka tasauf yang hakiki, seperti mana yang dipegang oleh para pemukanya adalah manhaj yang harmoni dan selari dengan al-Quran dan al-Sunnah, bahkan bersumberkan dan berdasarkan dua sumber asasi syariat ini.

Cuma, mungkin tetap timbul perbezaan dan perselisihan jika istilah merujuk kepada al-Quran dan al-Sunnah atau istilah syariat itu difahami secara berbeza. Sepatutnya dua sumber asasi agama ini difahami dan didekati mengikut pendekatan yang muktabar dan disepakati oleh para pakar dalam ilmu-ilmu al-Quran dan Hadis. Bukannya pendekatan yang terlalu literal dan sempit.

Syariat juga perlu difahami dalam kerangka yang telah diterima pakai oleh arus perdana Usul al-Fiqh dan Fiqh dan segala kaedah-kaedah yang berkaitan. Jika ini jadi pegangan maka nescaya Tasauf dan Syariat akan berjalan segandingan dan seiringan. Wallahua'lam.

Insya-Allah, pada minggu hadapan kita akan meneliti pula beberapa kefahaman yang perlu dimurnikan berkaitan dengan aliran Akidah al-'Asha'irah.

Rabu, 27 Oktober 2010

Bidaah menurut syarak dan bahasa


Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN

BIDAAH tidak akan menjadi isu yang terlalu rumit dan bermasalah jika kita bersedia menerima pembahagian bidaah kepada bidaah hasanah (yang baik) dan bidaah sayyi'ah (yang buruk).

Malangnya sebahagian umat Islam mengkritik pembahagian bidaah ini. Mereka begitu keras mengingkari setiap orang yang menerima dan memperkatakan tentang pembahagian bidaah ini.

Bahkan, ada di antara mereka yang menuduh fasiq dan sesat terhadap setiap orang yang mempunyai fahaman sedemikian.

Menurut mereka, hal itu bersalahan dengan sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud: "Setiap bidaah adalah sesat".

Lafaz hadis ini adalah jelas merupakan lafaz yang umum maknanya dan jelas menyifatkan bidaah itu sebagai suatu perkara yang sesat. Maka daripada sini, kita melihat mereka berani mengatakan, Apakah boleh dibenarkan atau diterima selepas sabda Rasulullah SAW ini yang menegaskan, "Bahawa setiap bidaah itu sesat" tampilnya mana-mana mujtahid atau faqih yang setinggi manapun kedudukannya, lalu berpendapat, "Tidak! Tidak! Bukan semua bidaah itu sesat, tetapi, sebahagiannya ada yang sesat, sebahagiannya lagi ada yang baik, dan yang buruk."

Dengan kata-kata dan cara seperti inilah, ramai umat Islam yang tertipu. Mereka turut berteriak bersama-sama mereka yang mengingkari adanya bidaah hasanah. Ternyata, kebanyakan mereka itu adalah orang-orang yang tidak memahami tujuan-tujuan atau maksud-maksud ajaran Islam (maqasid syariah) dan belum merasakan rohnya.

Namun, tidak beberapa lama selepas itu pula, mereka terpaksa mencari jalan keluar untuk menyelesaikan pelbagai permasalahan yang dihadapi dan juga suasana kehidupan seharian mereka (yang penuh dengan perkara bidaah pada anggapan mereka).

Mereka terpaksa mencipta suatu penemuan dan pendekatan baru terhadap isu ini dengan menampilkan suatu definisi baru tentang bidaah. Lalu muncullah kata-kata: "Sesungguhnya bidaah itu terbahagi kepada bidaah diniyyah (berkaitan dengan agama) dan bidaah dunyawiyyah (berhubungan dengan urusan-urusan duniawi)".

Maha Suci Allah! Orang yang suka bermain-main ini berani sekali membolehkan dirinya mencipta pembahagian seumpama ini. Atau, paling tidak, mencipta penamaan atau definisi baru mengenai bidaah.

Jika kita menerima bahawa pembahagian ini (secara maknawi) sudah wujud semenjak zaman Nabi Muhammad SAW, sedangkan secara pasti penamaan ini (bidaah diniyyah dan dunyawiyyah) tidak pernah wujud langsung pada zaman tasyri' (pensyariatan), maka daripada manakah klasifikasi seumpama ini lahir? Dan daripada manakah penamaan yang bidaah ini timbul?

Sesiapa yang mengatakan bahawa pembahagian bidaah kepada hasanah dan sayyi'ah itu bukannya datang daripada syariat, maka kami tegaskan kepada mereka: Begitu jugalah pembahagian bidaah kepada bidaah diniyyah yang tidak diterima dan bidaah dunyawiyyah yang diterima.

 Ia juga merupakan satu perbuatan bidaah dan penemuan baru.

Rasulullah SAW menegaskan, "Setiap bidaah itu sesat". Sabda Nabi Muhammad SAW ini begitu mutlak; tidak mempunyai sebarang syarat. Manakala kamu pula berkata: Tidak! Bukanlah semua bidaah itu sesat secara mutlak; tetapi bidaah itu terbahagi kepada dua bahagian; bidaah diniyyah; ia adalah sesat, dan bidaah dunyawiyyah; ia adalah bidaah yang tidak mempunyai apa-apa hukum di dalamnya.

Dipetik daripada utusan online 26/10/2010

Larangan mengada-adakan dalam urusan agama


PERLU diingat, sesungguhnya orang yang berbicara mengenai bidaah ini ialah Nabi Muhammad SAW yang bijaksana. Lidahnya adalah lidah syarak. Maka perlu difahami kalamnya menurut timbangan syarak yang dibawanya.

Inilah perkara yang diperingatkan oleh Rasulullah SAW supaya dihindari sebagaimana sabdanya: "Sesiapa yang mengada-adakan dalam urusan agama kami ini sesuatu yang bukan berasal daripadanya, maka perbuatan itu ditolak".
Jadi, batasan pemisah dalam perkara ini ialah sabda Rasulullah SAW: (dalam urusan agama kami ini).
Atas dasar itu, maka pembahagian bidaah kepada bidaah hasanah dan sayyi'ah menurut pemahaman kami hanyalah pembahagian menurut etimologis atau lughawi (bahasa).

Sebenarnya yang dikategorikan sebagai bidaah hasanah itu bukanlah bidaah hakiki. Ia sekadar suatu ciptaan dan perkara baru yang tidak bercanggah dengan syarak.
Kita semua tidak merasa ragu, bahawa istilah bidaah dengan pengertian syarak adalah sesuatu yang menyesatkan, fitnah yang tercela, ditolak dan dimurkai.

Jika mereka yang mengingkari pendapat kami dapat memahami makna ini, nescaya akan terlihatlah bagi mereka bahawa titik penyatuan semakin hampir, manakala medan pertelingkahan dan pertentangan semakin jauh.

Untuk lebih mendekatkan lagi kefahaman-kefahaman ini, kami berpandangan bahawa orang yang mengingkari pembahagian bidaah ini, hanya mengingkari pembahagian bidaah syariyyah berdalilkan perbuatan mereka membahagikan bidaah kepada bidaah diniyyah dan bidaah dunyawiyyah.

Sementara itu, orang yang membahagikan bidaah kepada bidaah hasanah dan bidaah sayyi'ah pula berpandangan ia ini hanya berdasarkan bidaah lughawi, kerana mereka juga tetap berpendirian: "Sesungguhnya penambahan dalam agama dan syariat Islam itu merupakan suatu kesesatan dan kejahatan yang besar.

Dengan demikian, perbezaan yang terjadi antara umat Islam berkenaan dengan permasalahan bidaah itu hanya dalam permasalahan syak atau bentuk luaran, bukan persoalan asas (dalaman).

Sebenarnya saudara-saudara kita yang mengingkari pembahagian bidaah kepada hasanah dan sayyi'ah, dan mengatakan pembahagiannya kepada diniyyah dan dunyawiyyah, telah tidak cermat dan tidak teliti dalam mengungkapkan apa yang mereka fahami dan yakini.

Ketika mereka menghukum bahawa bidaah diniyyah (dalam urusan agama itu) itu adalah sesat - ini sememangnya benar - dan bidaah dunyawiyyah (dalam urusan dunia) itu tidak apa-apa, sebenarnya mereka telah melakukan kesalahan dalam menetapkan hukum, kerana dengan demikian bererti mereka telah menghukum semua bidaah dalam urusan dunia adalah harus.
Sepatutnya mereka mengatakan: "Sesungguhnya bidaah dunyawiyyah itu ada yang baik dan ada pula yang buruk." Sebagaimana realiti kehidupan yang dapat disaksikan dan tidak akan diingkari oleh sesiapapun, kecuali oleh mereka yang buta dan jahil.

Penambahan ini amat perlu demi maksud yang lebih tepat. Maka selarilah dan cukuplah kita mengikut pendapat yang mengatakan, bidaah itu terbahagi kepada hasanah dan sayyi'ah.

Kita juga telah sedia maklum, bahawa yang dimaksudkan dengan pembahagian ini pun hanya daripada sudut bahasa dan ia juga telah dianggap oleh orang yang mengingkarinya sebagai bidaah dunyawiyyah.

Pendapat ini mengajak kepada sikap berhati-hati dalam memberi tindakbalas terhadap setiap urusan (duniawi) yang baru, juga menyelaraskannya dengan hukum syariat Islam dan kaedah-kaedah agama.

Semoga Allah SWT melimpahkan keredaan-Nya kepada ulama usul fiqh yang telah merumus dan menulis lafaz-lafaz yang sahih, komprehensif dan memenuhi tuntutan makna yang selamat, tanpa ada kekurangan, penyimpangan atau pun takwilan.

Dipetik daripada utusan online 26/10/2010

Rabu, 13 Oktober 2010

Bidaah baik dan buruk

Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN

ALHAMDULILLAH, dengan izin-Nya jua dapat kita menunaikan hasrat seperti yang dinyatakan di minggu lepas untuk kita memulakan perbahasan beberapa isu yang sering dimanipulasikan oleh sesetengah pihak untuk memakaikan imej negatif terhadap Tasawuf.

Berdasarkan kitab rujukan kita, Mafahim karya Dr. Sayyid Muhammad bin Sayyid 'Alawi al-Maliki, isu pertama yang diberi tumpuan adalah isu bidaah. Tasawuf atau aliran Sufi yang sebenarnya merupakan pegangan dan kecenderungan para ulama arus perdana umat, termasuk para ulama hadis dan fiqh sering digambarkan sebagai penuh dengan pegangan dan amalan bidaah.

Untuk mengelakkan kita terjerumus kepada menyalahkan sekian ramai para ulama umat yang terpilih ini, marilah kita meneliti makna dan erti bidaah yang sebenar.

Di akhir perbincangan nanti, kita berharap sekurang-kurangnya mereka yang tidak bersetuju tetap akan mengakui bahawa kita tetap ada asas pijakan ilmiah bagi pendirian kita lantas bersedia untuk lebih berlapang dada dalam berbeza pendapat.

Terdapat di kalangan umat Islam yang mengaku sebagai ulama atau pakar ajaran Islam telah menisbahkan diri mereka kepada salafussoleh.

Malangnya, mereka mengajak umat Islam mengikut jejak langkah atau Sunnah ulama Salafussoleh dengan cara-cara yang primitif, penuh kejahilan, fanatik buta, akal yang senteng, pemahaman yang dangkal dan dada yang sempit.

Bahkan, mereka juga berani memerangi setiap sesuatu yang baru dan mengingkari setiap penemuan baru yang baik dan berfaedah hanya kerana menilai (dengan pemahaman mereka yang sempit) perkara tersebut sebagai bidaah. Pada pemahaman mereka, semua bidaah adalah sesat tanpa membezakan di antara jenis-jenis bidaah yang ada.

Sedangkan, roh dan semangat agama Islam menghendaki supaya kita membezakan di antara pelbagai bidaah yang ada. Sepatutnya umat Islam perlu mengakui bahawa bidaah itu ada yang baik dan ada yang sesat. Inilah perkara yang lebih selari dengan akal yang cerdas dan penelitian yang cemerlang.

Inilah perkara yang telah ditahqiq (diakui kebenarannya setelah dilakukan penelitian) oleh ulama usul daripada kalangan ulama Salaf umat ini seperti Imam al 'Iz Ibnu Abdul Salam, Imam Nawawi, Imam Suyuti, Imam Jalaluddin al Mahalli, dan Ibnu Hajar, semoga Allah merahmati mereka semua.

Inilah perbahasan awal dalam menetapkan bahawa sebenarnya ada hujah yang kuat dan muktabar untuk menerima pembahagian bidaah kepada yang tercela dan terpuji, baik dan buruk. Insya-Allah kita akan menyambung perbincangan ini di minggu hadapan dengan harapan agar Allah SWT sentiasa membuka hati-hati kita untuk mendengar kalam yang baik lalu mengikut yang terbaik. Hanya Dialah yang menunjukkan seseorang ke jalan yang lurus.

Khamis, 7 Oktober 2010

Tasawuf dan isu-isu berbangkit

Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN
PERSOALAN

Tentang wasitoh atau mengambil perantaraan antara kita dengan Tuhan adalah hanya satu daripada pelbagai persoalan yang sering menimbulkan perselisihan di kalangan sesama umat Islam.

Mereka yang dilihat sebagai pendokong tasawuf atau 'orang sufi' sering menjadi sasaran tuduhan sesat dan menyeleweng oleh kerana sikap mereka dalam isu-isu ini.

Menyedari hal ini, kita akan meninjau beberapa isu seumpama ini dalam minggu-minggu yang mendatang dengan bimbingan pandangan kitab Mafahim Yajib an Tusohhah karya Al-Muhaddith Dr. Sayyid Muhammad bin Sayyid 'Alawi al-Maliki.

Pelbagai Kelompok Pendakwa

Dalam menentukan benar atau salah sesuatu perkara, ramai orang yang mengaku atau mendakwa bahawa mereka berada di atas hamparan kebenaran, tetapi kebenaran itu sendiri berlepas diri daripada mereka dan tidak mengiktiraf penisbahan atau pengakuan mereka kepadanya.

Ibarat kata seorang penyair: "Setiap orang mengaku mempunyai hubungan dengan Laila; tetapi Laila sendiri tidak pernah mengaku mempunyai hubungan dengan mereka".

Ini kerana, mereka telah memberikan gambaran dan penjelasan yang buruk dan tidak elok didengar tentang hakikat tasawuf. Mereka inilah orang yang telah melayakkan diri mereka menerima gelaran yang disifatkan oleh Rasulullah SAW di dalam sabdanya: "Orang yang kenyang dengan apa yang tidak diberikan kepadanya, bagaikan orang yang memakai dua helai baju palsu."

Sesungguhnya kita umat Islam, telah ditimpa bala bencana yang banyak akibat perbuatan mereka. Mereka telah mencemari kesucian umat Islam dan memporak-perandakan kesatuan jemaah umat Islam. Bahkan, mereka telah menyumbang kepada berlakunya permusuhan di antara seorang saudara dengan saudaranya, bahkan seorang anak dengan kedua orang tuanya.

Mereka telah masuk memperbaiki fahaman Islam melalui pintu penderhakaan. Mereka berjalan di atas jalan paksaan, kononnya untuk berpegang dengan kesan-kesan dan jejak-jejak ulama salaf.

Mereka telah menukar cara berdakwah yang sepatutnya dilakukan secara berhikmah, memberikan nasihat yang baik melalui sifat belas dan kasih sayang, dengan cara kekerasan, kekasaran, adab yang buruk dan tidak berperasaan.

Satu golongan pendakwa yang lain adalah orang yang mengaku diri mereka sebagai ahli tasawuf. Padahal, merekalah orang yang paling jauh daripada hakikat dan permata tasawuf.

Mereka telah mengotori gambaran tasawuf, menajisi kemuliaannya, merosakkan perjalanannya, mengheret kritikan yang tajam dan pedas terhadap tasawuf dan tuduhan yang tidak berasas kepada imam-imam (tokoh-tokoh) tasawuf yang terdiri daripada kalangan penghulu-penghulu arifin dan guru-guru murabbin.

Sesungguhnya, kita tidak mengenali tasawuf sebagai ilmu yang khurafat, tahyul, batil, dajjal atau pun sihir. Kita juga sama sekali tidak pernah mengenali tasawuf sebagai suatu teori falsafah, pemikiran asing, akidah kesyirikan, hulul atau pun ittihad.

Sesungguhnya kita berlepas diri kepada Allah daripada fahaman-fahaman seperti itu. Kita menganggap bahawa setiap akidah yang bertentangan dengan al-Quran dan sunnah, serta tidak menerima takwil, adalah akidah yang bohong belaka; akidah yang menyusup ke dalam ajaran Islam dan menempel ke dalam wilayah akidah Islam, menerusi tangan-tangan orang-orang yang tidak bertanggungjawab dan angkara jiwa-jiwa yang lemah.