Selamat Datang

Usrah Jamadilkubra ialah rangkaian keluarga keturunan SYED JAMALUDDIN AL-AKBAR AL-HUSAINI (Wajo Makasar 1352-1415 M) BIN AHMAD JALALUDDIN SYAH (AHMAD SYAH JALAL) melalui keturunannya SYED ALI NURUDDIN ZAINUL ALAM (Ali Nurul Alam).

Rabu, 27 Oktober 2010

Bidaah menurut syarak dan bahasa


Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN

BIDAAH tidak akan menjadi isu yang terlalu rumit dan bermasalah jika kita bersedia menerima pembahagian bidaah kepada bidaah hasanah (yang baik) dan bidaah sayyi'ah (yang buruk).

Malangnya sebahagian umat Islam mengkritik pembahagian bidaah ini. Mereka begitu keras mengingkari setiap orang yang menerima dan memperkatakan tentang pembahagian bidaah ini.

Bahkan, ada di antara mereka yang menuduh fasiq dan sesat terhadap setiap orang yang mempunyai fahaman sedemikian.

Menurut mereka, hal itu bersalahan dengan sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud: "Setiap bidaah adalah sesat".

Lafaz hadis ini adalah jelas merupakan lafaz yang umum maknanya dan jelas menyifatkan bidaah itu sebagai suatu perkara yang sesat. Maka daripada sini, kita melihat mereka berani mengatakan, Apakah boleh dibenarkan atau diterima selepas sabda Rasulullah SAW ini yang menegaskan, "Bahawa setiap bidaah itu sesat" tampilnya mana-mana mujtahid atau faqih yang setinggi manapun kedudukannya, lalu berpendapat, "Tidak! Tidak! Bukan semua bidaah itu sesat, tetapi, sebahagiannya ada yang sesat, sebahagiannya lagi ada yang baik, dan yang buruk."

Dengan kata-kata dan cara seperti inilah, ramai umat Islam yang tertipu. Mereka turut berteriak bersama-sama mereka yang mengingkari adanya bidaah hasanah. Ternyata, kebanyakan mereka itu adalah orang-orang yang tidak memahami tujuan-tujuan atau maksud-maksud ajaran Islam (maqasid syariah) dan belum merasakan rohnya.

Namun, tidak beberapa lama selepas itu pula, mereka terpaksa mencari jalan keluar untuk menyelesaikan pelbagai permasalahan yang dihadapi dan juga suasana kehidupan seharian mereka (yang penuh dengan perkara bidaah pada anggapan mereka).

Mereka terpaksa mencipta suatu penemuan dan pendekatan baru terhadap isu ini dengan menampilkan suatu definisi baru tentang bidaah. Lalu muncullah kata-kata: "Sesungguhnya bidaah itu terbahagi kepada bidaah diniyyah (berkaitan dengan agama) dan bidaah dunyawiyyah (berhubungan dengan urusan-urusan duniawi)".

Maha Suci Allah! Orang yang suka bermain-main ini berani sekali membolehkan dirinya mencipta pembahagian seumpama ini. Atau, paling tidak, mencipta penamaan atau definisi baru mengenai bidaah.

Jika kita menerima bahawa pembahagian ini (secara maknawi) sudah wujud semenjak zaman Nabi Muhammad SAW, sedangkan secara pasti penamaan ini (bidaah diniyyah dan dunyawiyyah) tidak pernah wujud langsung pada zaman tasyri' (pensyariatan), maka daripada manakah klasifikasi seumpama ini lahir? Dan daripada manakah penamaan yang bidaah ini timbul?

Sesiapa yang mengatakan bahawa pembahagian bidaah kepada hasanah dan sayyi'ah itu bukannya datang daripada syariat, maka kami tegaskan kepada mereka: Begitu jugalah pembahagian bidaah kepada bidaah diniyyah yang tidak diterima dan bidaah dunyawiyyah yang diterima.

 Ia juga merupakan satu perbuatan bidaah dan penemuan baru.

Rasulullah SAW menegaskan, "Setiap bidaah itu sesat". Sabda Nabi Muhammad SAW ini begitu mutlak; tidak mempunyai sebarang syarat. Manakala kamu pula berkata: Tidak! Bukanlah semua bidaah itu sesat secara mutlak; tetapi bidaah itu terbahagi kepada dua bahagian; bidaah diniyyah; ia adalah sesat, dan bidaah dunyawiyyah; ia adalah bidaah yang tidak mempunyai apa-apa hukum di dalamnya.

Dipetik daripada utusan online 26/10/2010

Larangan mengada-adakan dalam urusan agama


PERLU diingat, sesungguhnya orang yang berbicara mengenai bidaah ini ialah Nabi Muhammad SAW yang bijaksana. Lidahnya adalah lidah syarak. Maka perlu difahami kalamnya menurut timbangan syarak yang dibawanya.

Inilah perkara yang diperingatkan oleh Rasulullah SAW supaya dihindari sebagaimana sabdanya: "Sesiapa yang mengada-adakan dalam urusan agama kami ini sesuatu yang bukan berasal daripadanya, maka perbuatan itu ditolak".
Jadi, batasan pemisah dalam perkara ini ialah sabda Rasulullah SAW: (dalam urusan agama kami ini).
Atas dasar itu, maka pembahagian bidaah kepada bidaah hasanah dan sayyi'ah menurut pemahaman kami hanyalah pembahagian menurut etimologis atau lughawi (bahasa).

Sebenarnya yang dikategorikan sebagai bidaah hasanah itu bukanlah bidaah hakiki. Ia sekadar suatu ciptaan dan perkara baru yang tidak bercanggah dengan syarak.
Kita semua tidak merasa ragu, bahawa istilah bidaah dengan pengertian syarak adalah sesuatu yang menyesatkan, fitnah yang tercela, ditolak dan dimurkai.

Jika mereka yang mengingkari pendapat kami dapat memahami makna ini, nescaya akan terlihatlah bagi mereka bahawa titik penyatuan semakin hampir, manakala medan pertelingkahan dan pertentangan semakin jauh.

Untuk lebih mendekatkan lagi kefahaman-kefahaman ini, kami berpandangan bahawa orang yang mengingkari pembahagian bidaah ini, hanya mengingkari pembahagian bidaah syariyyah berdalilkan perbuatan mereka membahagikan bidaah kepada bidaah diniyyah dan bidaah dunyawiyyah.

Sementara itu, orang yang membahagikan bidaah kepada bidaah hasanah dan bidaah sayyi'ah pula berpandangan ia ini hanya berdasarkan bidaah lughawi, kerana mereka juga tetap berpendirian: "Sesungguhnya penambahan dalam agama dan syariat Islam itu merupakan suatu kesesatan dan kejahatan yang besar.

Dengan demikian, perbezaan yang terjadi antara umat Islam berkenaan dengan permasalahan bidaah itu hanya dalam permasalahan syak atau bentuk luaran, bukan persoalan asas (dalaman).

Sebenarnya saudara-saudara kita yang mengingkari pembahagian bidaah kepada hasanah dan sayyi'ah, dan mengatakan pembahagiannya kepada diniyyah dan dunyawiyyah, telah tidak cermat dan tidak teliti dalam mengungkapkan apa yang mereka fahami dan yakini.

Ketika mereka menghukum bahawa bidaah diniyyah (dalam urusan agama itu) itu adalah sesat - ini sememangnya benar - dan bidaah dunyawiyyah (dalam urusan dunia) itu tidak apa-apa, sebenarnya mereka telah melakukan kesalahan dalam menetapkan hukum, kerana dengan demikian bererti mereka telah menghukum semua bidaah dalam urusan dunia adalah harus.
Sepatutnya mereka mengatakan: "Sesungguhnya bidaah dunyawiyyah itu ada yang baik dan ada pula yang buruk." Sebagaimana realiti kehidupan yang dapat disaksikan dan tidak akan diingkari oleh sesiapapun, kecuali oleh mereka yang buta dan jahil.

Penambahan ini amat perlu demi maksud yang lebih tepat. Maka selarilah dan cukuplah kita mengikut pendapat yang mengatakan, bidaah itu terbahagi kepada hasanah dan sayyi'ah.

Kita juga telah sedia maklum, bahawa yang dimaksudkan dengan pembahagian ini pun hanya daripada sudut bahasa dan ia juga telah dianggap oleh orang yang mengingkarinya sebagai bidaah dunyawiyyah.

Pendapat ini mengajak kepada sikap berhati-hati dalam memberi tindakbalas terhadap setiap urusan (duniawi) yang baru, juga menyelaraskannya dengan hukum syariat Islam dan kaedah-kaedah agama.

Semoga Allah SWT melimpahkan keredaan-Nya kepada ulama usul fiqh yang telah merumus dan menulis lafaz-lafaz yang sahih, komprehensif dan memenuhi tuntutan makna yang selamat, tanpa ada kekurangan, penyimpangan atau pun takwilan.

Dipetik daripada utusan online 26/10/2010

Rabu, 13 Oktober 2010

Bidaah baik dan buruk

Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN

ALHAMDULILLAH, dengan izin-Nya jua dapat kita menunaikan hasrat seperti yang dinyatakan di minggu lepas untuk kita memulakan perbahasan beberapa isu yang sering dimanipulasikan oleh sesetengah pihak untuk memakaikan imej negatif terhadap Tasawuf.

Berdasarkan kitab rujukan kita, Mafahim karya Dr. Sayyid Muhammad bin Sayyid 'Alawi al-Maliki, isu pertama yang diberi tumpuan adalah isu bidaah. Tasawuf atau aliran Sufi yang sebenarnya merupakan pegangan dan kecenderungan para ulama arus perdana umat, termasuk para ulama hadis dan fiqh sering digambarkan sebagai penuh dengan pegangan dan amalan bidaah.

Untuk mengelakkan kita terjerumus kepada menyalahkan sekian ramai para ulama umat yang terpilih ini, marilah kita meneliti makna dan erti bidaah yang sebenar.

Di akhir perbincangan nanti, kita berharap sekurang-kurangnya mereka yang tidak bersetuju tetap akan mengakui bahawa kita tetap ada asas pijakan ilmiah bagi pendirian kita lantas bersedia untuk lebih berlapang dada dalam berbeza pendapat.

Terdapat di kalangan umat Islam yang mengaku sebagai ulama atau pakar ajaran Islam telah menisbahkan diri mereka kepada salafussoleh.

Malangnya, mereka mengajak umat Islam mengikut jejak langkah atau Sunnah ulama Salafussoleh dengan cara-cara yang primitif, penuh kejahilan, fanatik buta, akal yang senteng, pemahaman yang dangkal dan dada yang sempit.

Bahkan, mereka juga berani memerangi setiap sesuatu yang baru dan mengingkari setiap penemuan baru yang baik dan berfaedah hanya kerana menilai (dengan pemahaman mereka yang sempit) perkara tersebut sebagai bidaah. Pada pemahaman mereka, semua bidaah adalah sesat tanpa membezakan di antara jenis-jenis bidaah yang ada.

Sedangkan, roh dan semangat agama Islam menghendaki supaya kita membezakan di antara pelbagai bidaah yang ada. Sepatutnya umat Islam perlu mengakui bahawa bidaah itu ada yang baik dan ada yang sesat. Inilah perkara yang lebih selari dengan akal yang cerdas dan penelitian yang cemerlang.

Inilah perkara yang telah ditahqiq (diakui kebenarannya setelah dilakukan penelitian) oleh ulama usul daripada kalangan ulama Salaf umat ini seperti Imam al 'Iz Ibnu Abdul Salam, Imam Nawawi, Imam Suyuti, Imam Jalaluddin al Mahalli, dan Ibnu Hajar, semoga Allah merahmati mereka semua.

Inilah perbahasan awal dalam menetapkan bahawa sebenarnya ada hujah yang kuat dan muktabar untuk menerima pembahagian bidaah kepada yang tercela dan terpuji, baik dan buruk. Insya-Allah kita akan menyambung perbincangan ini di minggu hadapan dengan harapan agar Allah SWT sentiasa membuka hati-hati kita untuk mendengar kalam yang baik lalu mengikut yang terbaik. Hanya Dialah yang menunjukkan seseorang ke jalan yang lurus.

Khamis, 7 Oktober 2010

Tasawuf dan isu-isu berbangkit

Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN
PERSOALAN

Tentang wasitoh atau mengambil perantaraan antara kita dengan Tuhan adalah hanya satu daripada pelbagai persoalan yang sering menimbulkan perselisihan di kalangan sesama umat Islam.

Mereka yang dilihat sebagai pendokong tasawuf atau 'orang sufi' sering menjadi sasaran tuduhan sesat dan menyeleweng oleh kerana sikap mereka dalam isu-isu ini.

Menyedari hal ini, kita akan meninjau beberapa isu seumpama ini dalam minggu-minggu yang mendatang dengan bimbingan pandangan kitab Mafahim Yajib an Tusohhah karya Al-Muhaddith Dr. Sayyid Muhammad bin Sayyid 'Alawi al-Maliki.

Pelbagai Kelompok Pendakwa

Dalam menentukan benar atau salah sesuatu perkara, ramai orang yang mengaku atau mendakwa bahawa mereka berada di atas hamparan kebenaran, tetapi kebenaran itu sendiri berlepas diri daripada mereka dan tidak mengiktiraf penisbahan atau pengakuan mereka kepadanya.

Ibarat kata seorang penyair: "Setiap orang mengaku mempunyai hubungan dengan Laila; tetapi Laila sendiri tidak pernah mengaku mempunyai hubungan dengan mereka".

Ini kerana, mereka telah memberikan gambaran dan penjelasan yang buruk dan tidak elok didengar tentang hakikat tasawuf. Mereka inilah orang yang telah melayakkan diri mereka menerima gelaran yang disifatkan oleh Rasulullah SAW di dalam sabdanya: "Orang yang kenyang dengan apa yang tidak diberikan kepadanya, bagaikan orang yang memakai dua helai baju palsu."

Sesungguhnya kita umat Islam, telah ditimpa bala bencana yang banyak akibat perbuatan mereka. Mereka telah mencemari kesucian umat Islam dan memporak-perandakan kesatuan jemaah umat Islam. Bahkan, mereka telah menyumbang kepada berlakunya permusuhan di antara seorang saudara dengan saudaranya, bahkan seorang anak dengan kedua orang tuanya.

Mereka telah masuk memperbaiki fahaman Islam melalui pintu penderhakaan. Mereka berjalan di atas jalan paksaan, kononnya untuk berpegang dengan kesan-kesan dan jejak-jejak ulama salaf.

Mereka telah menukar cara berdakwah yang sepatutnya dilakukan secara berhikmah, memberikan nasihat yang baik melalui sifat belas dan kasih sayang, dengan cara kekerasan, kekasaran, adab yang buruk dan tidak berperasaan.

Satu golongan pendakwa yang lain adalah orang yang mengaku diri mereka sebagai ahli tasawuf. Padahal, merekalah orang yang paling jauh daripada hakikat dan permata tasawuf.

Mereka telah mengotori gambaran tasawuf, menajisi kemuliaannya, merosakkan perjalanannya, mengheret kritikan yang tajam dan pedas terhadap tasawuf dan tuduhan yang tidak berasas kepada imam-imam (tokoh-tokoh) tasawuf yang terdiri daripada kalangan penghulu-penghulu arifin dan guru-guru murabbin.

Sesungguhnya, kita tidak mengenali tasawuf sebagai ilmu yang khurafat, tahyul, batil, dajjal atau pun sihir. Kita juga sama sekali tidak pernah mengenali tasawuf sebagai suatu teori falsafah, pemikiran asing, akidah kesyirikan, hulul atau pun ittihad.

Sesungguhnya kita berlepas diri kepada Allah daripada fahaman-fahaman seperti itu. Kita menganggap bahawa setiap akidah yang bertentangan dengan al-Quran dan sunnah, serta tidak menerima takwil, adalah akidah yang bohong belaka; akidah yang menyusup ke dalam ajaran Islam dan menempel ke dalam wilayah akidah Islam, menerusi tangan-tangan orang-orang yang tidak bertanggungjawab dan angkara jiwa-jiwa yang lemah.

Selasa, 28 September 2010

Wasitoh yang benar

Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN

KITA masih menumpang teduhan perbahasan kitab Mafahim Yajib an Tusohhah karya Al-Muhaddith Dr. Sayyid Muhammad bin Alawi al-Maliki tentang kedudukan wasitoh atau perantaraan dalam hubungan kita dengan Allah SWT.

Kali ini kita melihat pula wasitoh yang benar dan dibolehkan dalam Islam. Ini perlu diberi perhatian dengan sebenar-benarnya kerana ramai umat Islam yang tidak memahaminya dengan baik.

Pertamanya, perhatikanlah bahawa ketika Allah SWT menyuruh umat Islam menghadap ke Kaabah ketika solat, maka mereka pun menghadap ke arah Kaabah ketika beribadah dan menjadikan kaabah sebagai kiblat.

Ini bukanlah penyembahan kepada kaabah. Begitu juga mencium Hajar al-aswad. Perbuatan tersebut dilakukan semata-mata ubudiah (bentuk penghambaan) kepada Allah SWT dan mengikut perbuatan Nabi Muhammad SAW.

Seandainya ada umat Islam yang berniat menyembah Kaabah dan Hajar al-aswad, sudah pasti mereka menjadi orang yang mensyirikkan Allah seperti para penyembah berhala.

Tidak dapat tidak, wasitoh itu perlu dalam ibadat dan ia tidak termasuk dalam perbuatan syirik. Tidaklah setiap orang yang menggunakan wasitoh di antara dia dan Allah menjadi musyrik.

Jika setiap orang yang menggunakan wasitoh dianggap musyrik, pasti seluruh manusia akan menjadi musyrik, kerana segala urusan umat Islam itu terbina di atas jalan wasitoh.

Bukankah Nabi Muhammad SAW menerima al-Quran melalui wasitoh (perantaraan) Jibril a.s? Maka, Jibril menjadi wasitoh bagi Nabi Muhammad SAW dan baginda pula menjadi wasitoh terbesar bagi para sahabatnya r.a.

Para sahabat sering menemui Rasulullah SAW ketika menghadapi pelbagai kesulitan untuk mengadu keadaan mereka.

Mereka juga sering bertawassul dengan baginda SAW kepada Allah dan memohon doa daripadanya.

Namun, Rasulullah SAW tidak pernah berkata kepada mereka: "Kalian telah melakukan perbuatan syirik dan menjadi kafir, kerana tidak boleh seorang itu mengadu kepadaku dan tidak boleh memohon doa daripadaku. Kamu sendiri yang harus pergi menghadap Allah, berdoa dan memohon kepadaNya secara langsung akan segala keperluanmu, kerana sesungguhnya Allah SWT lebih dekat kepadamu daripadaku! Tidak sama sekali!"

Rasulullah tidak pernah berkata begitu. Malahan, baginda menunaikan permintaan mereka dan memohon kepada Allah dalam keadaan para sahabat r.a mengetahui bahawa pemberi (al-Mu'ti) sebenarnya adalah Allah SWT, pencegah daripada memberi (al-Maani'), yang melapangkan rezeki (al-Baasit) dan pemberi rezeki (al-Razzaq) hanyalah Allah SWT.

Mereka juga yakin, bahawa Rasulullah memberi hanyalah dengan izin dan kurniaan Allah. Bahkan, Rasulullah sendiri pernah menegaskan: "Aku hanyalah pembahagi (yang mengagih-agihkan), sedangkan Allahlah yang mengurniakannya."

Maka dengan ini jelaslah, bahawa adalah harus mana-mana manusia biasa itu disifatkan atau dikatakan bahawa 'Dia yang telah melepaskan kesusahan', 'Dia yang telah menunaikan hajat' dan lain-lainnya.

Maksudnya, dia menjadi perantara dalam menyelesaikan masalah-masalah tersebut. Apatah lagi penghulu yang mulia, nabi yang paling utama, penghulu dua alam kejadian dan penghulu bagi golongan jin dan manusia.

Selasa, 21 September 2010

Wasitoh berunsur syirik

Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN

PADA minggu ini kita akan membincangkan tentang perbuatan mengambil perantara ataupun orang tengah dalam hubungan dengan Allah. Perkataan yang sering digunakan untuk isu ini ialah wasitoh (juga dieja wasitah). Ramai orang salah faham dalam memahami maksud sebenar wasitoh.

Mereka menjatuhkan hukum secara sembarangan bahawa semua wasitoh itu membawa kesyirikan dan sesiapa yang menggunakan wasitoh dengan apa jua cara sekalipun, maka dia telah melakukan kesyirikan terhadap Allah.

Mereka meletakkan kedudukan orang yang berwasitoh sama seperti kaum musyrikin yang mengatakan: Kami tidak menyembah atau memujanya (berhala) melainkan supaya mereka mendampingkan kami kepada Allah dengan sedamping-dampingnya. (al-Zumar: 3)

Inilah ayat yang sering digunakan oleh para penentang terhadap wasitoh dan konsep yang seumpamanya seperti tawassul (mengambil wasilah) dan tasyaffu' (memohon syafaat).

Perkataan ini sebenarnya tertolak dan kerana mereka memahami ayat tersebut bukan pada tempatnya. Ini kerana ayat di atas dengan jelas menolak perbuatan kaum musyrikin yang menyembah berhala dan menjadikannya sebagai tuhan sembahan mereka selain Allah SWT.

Bahkan, mereka juga menyekutukan Allah dari aspek rububiyyah (kuasa mentadbir dan mencipta) seraya mengaku bahawa penyembahan yang mereka lakukan bertujuan untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT dengan sedekat-dekatnya.

Maka, kekufuran dan kemusyrikan mereka dilihat dari sudut penyembahan mereka terhadap berhala-berhala itu dan turut disertai dengan i'tiqad mereka bahawa berhala tersebut adalah tuhan Arbab (Pentadbir-pentadbir alam) selain Allah SWT.

Dari sini terdapat suatu masalah penting yang perlu dijelaskan. Ayat tersebut membuktikan orang-orang musyrik tersebut tidak bersungguh-sungguh pada dakwaan mereka menyembah Allah SWT, sebagaimana yang dikisahkan di dalam al-Quran berkenaan dengan penyembahan mereka terhadap berhala: Kami tidak menyembah atau memujanya (berhala) melainkan supaya mereka mendampingkan kami kepada Allah dengan sedamping-dampingnya. (al-Zumar: 3)

Jika kenyataan mereka adalah benar dan jujur, pasti mereka akan menganggap bahawa Allah lebih agung di sisi mereka daripada berhala-berhala dan mereka tidak akan menyembah selain Allah. Tetapi, mengapa mereka menyembah selain Allah? Allah SWT juga melarang kaum Muslimin daripada menghina berhala-berhala yang mereka sembah itu melalui firman-Nya: Dan janganlah kamu memaki sembahan-sembahan yang mereka sembah selain Allah, kerana mereka nanti akan memaki Allah dengan melampaui batas tanpa pengetahuan. Demikianlah Kami jadikan setiap umat menganggap baik pekerjaan mereka. Kemudian kepada Tuhan mereka kembali, lalu Dia memberitakan kepada mereka apa yang dahulu mereka kerjakan. (al-An' aam: 108)

Diriwayatkan oleh Abdur Razzaq, Abd ibnu Humaid, Ibnu Jarir, Ibnu Munzir, Ibnu Abi Hatim dan Abu al Syeikh, daripada Qatadah RA, berkata: "Dahulu, umat Islam pernah memaki berhala-berhala milik orang-orang kafir, maka orang-orang kafir itu pun mencela Allah SWT. Maka Allah menurunkan ayat di atas.

Inilah sebabnya ayat tersebut diturunkan. Dengan tegas, orang-orang Mukmin dilarang mencela dan merendah-rendahkan batu-batu yang disembah oleh kaum penyembah berhala di Mekah. Perbuatan tersebut hanya akan menimbulkan kemarahan mereka dan mereka pasti akan membela tuhan-tuhan yang mereka yakini melalui hati yang tuli bahawa tuhan-tuhan itulah yang berkuasa memberikan manfaat dan menolak kemudaratan.

Apabila mereka marah, mereka akan membalas sebagaimana yang dilakukan oleh kaum Muslimin. Maka mereka akan mencela Tuhan umat Islam, iaitu Tuhan Semesta Alam dan akan melemparkan bermacam-macam perkataan yang merendah-rendahkan Allah SWT, sedangkan Allah itu suci daripada segala kekurangan.

Jika mereka benar-benar jujur bahawa penyembahan mereka terhadap berhala-berhala itu hanya untuk mendekatkan diri mereka kepada Allah, sudah pasti mereka tidak akan berani memaki Allah sebagai membalas dendam terhadap orang yang memaki sembahan-sembahan mereka.

Maka dengan ini, amat jelas, bahawa Allah dianggap lebih kecil dan lebih rendah pada diri kaum musyrikin daripada batu-batu yang mereka sembah itu!

Daripada sikap yang sedemikian, Abu Sufyan pernah mengatakan sebelum memeluk agama Islam: Tinggikan tuhan Hubal. (riwayat Bukhari) Abu Sufyan menyeru tuhannya yang bernama Hubal supaya ia ditinggikan dan dapat menguasai Tuhan Pentadbir langit dan bumi (Allah) agar dia dan juga tenteranya dapat mengalahkan tentera Islam yang mahu mengalahkan dan menghancurkan tuhan-tuhan mereka. Beginilah keyakinan dan pendirian mereka yang sebenar terhadap berhala-berhala mereka dan terhadap Allah, Tuhan Yang Mentadbir semesta alam.

Kesimpulannya, jika kita ingin bersikap secara adil, ilmiah dan objektif terhadap isu ini, kita harus memahami benar-benar bezanya wasitoh yang berbentuk syirik seperti yang dilakukan oleh para kafir musyrik penyembah berhala dan wasitoh yang tidak berunsur syirik yang ada tempatnya dalam kerangka Islam.

Insya-Allah, dalam minggu hadapan kita akan menghuraikan pula tentang wasitoh jenis kedua ini.

Isnin, 20 September 2010

Keberangkatan II Putera Jamadilkubra


Pada 18/09/2010 (Sabtu), sebahagian besar keluarga Zakaria bin Yusuf al-Kubrawiy al-Husaini memenuhi ruangan legar Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa bagi menghantar seorang lagi putera Usrah Jamadilkubra Habib Mohd Izzat Dhiaul Haq Bin Azman al-Kubrawiy al-Husaini yang akan berangkat ke Yaman bagi menyambung pengajian di Universiti al-Ahqaf.  

Para pelajar Madrasah Islamiah Ahbabul Mustafa (MIAH) juga turut sama mengambil peluang ini bagi mengiringi salah seorang teman mereka ini. Walaupun suasana agak ceria di pagi itu, namun bagi ahli Usrah Jamadilkubra, bahang perpisahan cukup mencengkam jiwa. Apatah lagi Mohd Izzat ini merupakan salah seorang anak yang cukup baik, cintakan ilmu, serta banyak membantu dalam perjalanan Usrah Jamadilkubra.

Kejauhan yang dibatasi dengan ruangan lautan dan sempadan antarabangsa tidak mungkin akan dapat menjauhkan hati dan perasaan yang telah terikat dekat kasih dan sayang terhadap anak muda yang mulia ini. Beliau bukan saya permata yang disayangi oleh keluarga, namun turut dikasihi para guru dan disayangi oleh para teman.

Dari Kota Bharu, beliau diringi oleh gurunya sendiri Habib Abu Aswad, bapanya Habib Azman, nendanya Hajah Halijah Awang al-Yahya serta ibu saudaranya Syarifah Zalina ke KLIA. Beliau dijadualkan berangkat ke Yaman pada 20/09/2010 (Ahad).

Ya Allah… rahmatilah pemuda ini. Kurniakanlah dia ketetapan iman, kejituan jiwa dan ketenangan hati dikejauhan yang tidak pernah dapat memisahkan pertautan antara hati-hati yang disimpulkan dengan mahabbah dan mawaddah.

Ya Allah… permudahkanlah perjalanan pemuda ini, jauhkan dia dari kesusahan dan maqbulkanlah segala cita-citanya.

Ya Allah… dari kejauhan ini kami titipkan pemuda ini kepadaMu dibawah jagaanMu dan dibawah perhatianMu bersama kasih kami yang sentiasa hangat seumpama hembusan angin Kota Yaman.