Selamat Datang

Usrah Jamadilkubra ialah rangkaian keluarga keturunan SYED JAMALUDDIN AL-AKBAR AL-HUSAINI (Wajo Makasar 1352-1415 M) BIN AHMAD JALALUDDIN SYAH (AHMAD SYAH JALAL) melalui keturunannya SYED ALI NURUDDIN ZAINUL ALAM (Ali Nurul Alam).

Isnin, 2 Februari 2009

Gejala Bid'ah-Membid'ahkan dalam Perkara Khilafiyah: Natijah Kejahilan

Fenomena terburu-buru dalam sesuatu sememangnya merupakan salah satu sifat yang amat dicela dalam Islam, kecuali dalam beberapa perkara yang disarankan oleh Rasulullah s.a.w. dalam hadis-hadis Baginda s.a.w.. Hakikatnya, selain dari perkara-perkara tersebut, terburu-buru dalam urusan merupakan suatu bentuk tipu daya syaitan terhadap manusia.

Fokus utama di sini ialah mengenai gejala sebahagian penuntut ilmu dewasa ini, yang masih lagi dalam proses pembelajaran dalam bidang ilmu agama Islam, namun sudah pandai mengkritik, menyalahkan dan berdebat dalam perkara-perkara yang diperselisihkan ulama’ mengenainya. Barangkali, mereka merasakan, setelah membaca beberapa buku sebahagian para ulama’ yang mengkritik dan membuat ulasan ilmiah terhadap sesuatu perkara ilmiah tersebut, mereka sudah rasa cukup untuk terlibat sama dalam menyuarakan pandangan mereka, sekaligus meletakkan diri mereka setaraf dengan para ulama’.

Golongan penuntut ilmu yang bersikap sedemikian sememangnya tidak dapat menjadi seorang ulama’ masa hadapan yang berkualiti. Ini kerana, mereka tergesa-gesa dalam melibatkan diri terutamanya dalam mempersalahkan sesetengah golongan yang mengamalkan sesuatu perkara yang diperselisihkan ulama’ mengenainya.

Gejala membid’ahkan amalan baca yasiin malam Jumaat, membid’ahkan amalan menghidupkan malam Nisfu Sya’ban, membid’ahkan golongan yang berzikir secara kuat dalam keadaan berjamaah, dan sebagainya, merupakan antara ciri-ciri utama golongan penuntut ilmu yang dangkal asasnya dalam bidang ilmu agama itu sendiri.

Mereka berlagak bagai ulama’ dengan tanjak “nas-nas” yang mereka sangka, sudah cukup untuk menuduh sesuatu golongan yang lain itu salah atau sebagai pelaku bid’ah.

Hasilnya, ramai di kalangan golongan penuntut ilmu ini lantang membid’ahkan perkara-perkara tersebut, dengan alasan, tidak menjumpai dalil atau sandarannya dalam Islam. Kalaulah Al-Qur’an dalam kepala, Kutub Sittah (buku hadis yang enam) pernah dikhatamnya, dan buku-buku fiqh Islam yang utama sudah selesai dipelajarinya, tidak mengapalah kalau berani menyatakan sesuatu itu bid’ah kerana tidak menjumpai dalilnya dari nas-nas Islam.

Ini tidak. Baru setakat pernah baca buku Sifat Solat An-Nabi karangan Sheikh Al-Albani (itu pun baca terjemahan buku tersebut) dan sebagainya, sudah berani menuduh sesuatu amalan itu bid’ah. Memanglah, tidak dapat dinafikan, ada yang membaca jenis buku-buku yang “suka bid’ah membid’ahkan” ini, lalu terpengaruh dengan uslub dan pemikiran penulis buku tersebut lantas terlibat sama dalam membid’ahkan sesama Islam.

Kami tidak layak untuk membincangkan tentang ulama’ yang melibatkan diri mereka dalam kencah “bid’ah membid’ahkan amalan khilafiyah” tersebut, kerana para ulama’ yang lebih muktabar sudahpun menjawab pertuduhan-pertuduhan mereka. Skop perbincangan di sini tidak lebih dari mengajak diri sendiri dan saudara seperjuangan yang masih lagi dalam peringkat “penuntut ilmu”, supaya tidak terfitnah dan terkeliru dengan “gejala bid’ah-membid’ahkan” ini, kerana sekurang-kurangnya, untuk menyatakan sesuatu itu bid’ah, mestilah pernah khatam Al-Qur’an, Sahih Al-Bukhari, Sahih Muslim dan kitab-kitab sunan yang lain, untuk membuat kesimpulan bahawa sesuatu itu merupakan perkara yang bid’ah.

Bahaya Membid’ahkan Sesuatu Tanpa Asas Ilmu yang Kuat

Dewasa ini, ramai dari kalangan golongan penuntut ilmu yang ghairah membid’ahkan sesuatu amalan khilafiyah kerana terpengaruh dengan karangan-karangan beberapa kerat ahli agama yang menimbulkan perkara-perkara tersebut. Namun, tanpa mencermin diri mereka sendiri, mereka turut berlagak seperti ahli-ahli agama tersebut dengan turut membid’ahkan sesuatu amalan khilafiyah tersebut.

Padahal, para penuntut ilmu terbabit tidaklah mempunyai latar belakang ilmu seperti golongan ulama’ yang membincangkan mengenainya.

Contohnya, Sheikh Al-Albani yang terjerumus dalam lembah “bid’ah-membid’ahkan sesuatu amalan khilafiyah” dan berpendapat bahawa, hanya pendapatnya sahajalah yang benar dalam setiap masalah yang diutarakannya (rujuk buku Sifat Solat An-Nabi s.a.w.), sekurang-kurangnya mempunyai sedikit latar belakang ilmu dalam bidang hadis, walaupun ramai ulama’ mempertikaikan beliau kerana tidak mempunyai latar belakang ilmu usul fiqh yang mantap. Sekurang-kurangnya, beliau sudah pernah mengkhatamkan buku-buku hadis.

Kalau kita renung balik diri masing-masing sebagai ahli penuntut ilmu, kita masih belum pernah lagi mengkhatamkan buku hadis Sahih Al-Bukhari pun, namun sudah bersuara seperti suara-suara ulama’ yang terlibat dalam gejala bid’ah-membid’ahkan tersebut.

Oleh yang demikian, penuntut ilmu tidak selayaknya menjerumuskan diri dalam pertellingkahan para ulama’, apatah lagi menjadi pihak yang menyalahkan golongan yang mengamalkan sesuatu amalan khilafiyah tersebut.

Ingatlah, ramai dari kalangan golongan tersebut (penuntut ilmu yang terlibat dalam bidang bid’ah-membid’ahkan sesuatu amalan khilafiyah), berpegang kepada konsep: “tiada bid’ah hasanah”. Oleh yang demikian, dalam pandangan mereka, apabila mereka membid’ahkan sesuatu amalan dan pengamal amalan tersebut, secara tidak langsung, mereka telahpun menuduh pengamal-pengamal amalan tersebut sebagai golongan yang sesat.

Hal ini secara tidak langsung menunjukkan, golongan penuntut ilmu tersebut sudah sampai berani menuduh sesama Islam sebagai golongan sesat kerana menuduh amalan yang meraka lakukan sebagai Bid’ah Dholalah (kerana tiada bid’ah hasanah di sisi mereka).

Ingatlah, Rasulullah s.a.w. sering mengingatkan bahawa, jika seorang muslim menuduh muslim yang lain sebagai kafir, maka salah seorang darinya akan jatuh kafir. Hal ini menunjukkan, kalaulah orang yang dituduh sesat tersebut, tidak sesat di sisi Allah s.w.t., maka hukum sesat tersebut akan menimpa kembali ke atas orang yang menuduh tersebut.

Jangan ingat, memperkatakan sesuatu itu bid’ah, merupakan suatu perkara yang remeh. Kalau bid’ah dari sudut syarak itu sendiri, menurut majoriti ahli usul fiqh, merupakan suatu perkara yang boleh mendatangkan kesesatan, dan pengamalnya akan dijatuhkan hukuman yang berat dalam Islam.

Kalaulah kita masih lagi tidak mampu menilai, yang mana dinamakan bid’ah dari sudut bahasa, dan yang mana dinamakan bid’ah dari sudut istilah syarak, maka lebih baik kita menjauhkan diri kita dari menuduh sesuatu itu bid’ah apatah lagi menuduh pelakunya sebagai pengamal bid’ah.

Perkara-perkara Khilafiyah Bukan Bererti Bid’ah

Khilafiyah (perselisihan) pendapat dalam institusi fiqh Islam memang merupakan suatu yang realistik. Ianya wujud sejak dari zaman Rasulullah s.a.w. lagi, seperti yang dinukilkan dalam hadis: “Solat Asar di Bani Quraizhah”.

Oleh yang demikian, perkara-perkara khilafiyah tidak pernah dijadikan isu untuk membid’ahkan sesuatu golongan, walaupun ianya telahpun muncul sejak bermulanya penyebaran agama Islam ke serata dunia di zaman para sahabat itu sendiri.

Kalau kita lihat secara jelas, apabila timbul perbezaan pendapat antara ulama’-ulama’ mazhab tertentu, maka tidak timbul pula golongan ulama’ yang menuduh golongan ulama’ yang lain sebagai pembuat bid’ah kerana perbezaan pendapat tersebut.

Contohnya, mazhab As-Syafi’e yang menjelaskan bahawa, sentuh lingkaran dubur membatalkan wuduk, berdasarkan kaedah qiyas terhadap hukum batal wuduk apabila seseorang menyentuh kemaluan. (Al-Mughni Al-Muhtaj: 1/36)

Para ulama’ mazhab lain tidak pernah menuduh ijtihad ulama’ mazhab As-Syafi’e tersebut sebagai bid’ah, walaupun sememangnya tiada nas yang dapat disandarkan tentang hukum batal wuduk apabila menyentuh lingkaran dubur tersebut.

Begitu juga pendapat mazhab Imam Hanafi yang membolehkan seseorang membayar zakat fitrah dengan selain dari beras dan gandum (seperti dibayar dengan duit), sedangkan ianya tidak terdapat dalam mana-mana nas Sahih. Namun, tidak ada pun ulama’-ulama’ muktabar mazhab yang lain menuduh ijtihad Imam Abu Hanifah tersebut sebagai sesuatu yang bid’ah, bahkan di Malaysia umumnya, ijtihad beliaulah yang diamalkan dalam amalan membayar zakat fitrah.

Jadi, perkara-perkara khilafiyah sememangnya tidak boleh dijadikan pintu untuk menuduh seseorang itu pelaku bid’ah, kerana perselisihan pendapat dalam memahami nas, tidak sama seperti melakukan sesuatu bid’ah yang sememangnya tidak ada sandaran langsung dari kaedah-kaedah penggalian hukum dalam Islam.

Kalaulah kita tidak pandai membezakan yang mana satu dikatakan bid’ah dholalah, dengan yang mana satu dinamakan masa’il khilafiyah, janganlah pandai-pandai membid’ahkan sesuatu perkara tersebut.

Kayu pengukur dalam mengukur sesuatu itu, samada ianya merupakan khilafiyah atau bid’ah adalah, nas-nas Al-Qur’an dan As-Sunnah, serta sumber-sumber dan kaedah-kaedah penggalian hukum Islam yang lain seperti Ijmak, Qiyas dan sebagainya.

Kalaulah sesuatu perkara itu tidak bercanggah dengan nas-nas Al-Qur’an dan As-Sunnah, serta bersesuaian dengan kaedah-kaedah menggali hukum dalam Islam yang lain, maka ianya tidak dinamakan bid’ah, walaupun kadang-kala merupakan suatu perkara yang khilafiyah.

Adapun sesuatu perkara yang bercanggah dengan nas-nas dari Al-Qur’an dan As-Sunnah dan kaedah-kaedah menggali hukum Islam yang lain, maka barulah ianya dinamakan bid’ah.

Inilah yang gagal difahami oleh kebanyakkan ahli penuntut ilmu yang terjebak dalam kencah “bid’ah-membid’ahkan” ini. Mereka gagal memahami perbezaan antara perkara-perkara khilafiyah dengan perkara-perkara bid’ah dholalah.

Contoh perkara-perkara yang yang tidak dinamakan bid’ah, walaupun ada perselisihan pendapat ulama’ mengenainya, ialah masalah tawassul dengan orang mati. Perkara tersebut sudah jelas di dalam hadis-hadis Sahih terutamanya dalam meriwayatkan kisah tentang Uthman bin Hanif yang mengajarkan mengenai tawassul kepada Rasulullah s.a.w. setelah kewafatan Baginda s.a.w. dan pelbagai hadis-hadis yang lain.

Hal tersebut juga tidak bercanggah dengan kaedah-kaedah menggali hukum Islam seperti qiyas, dan sebagainya, kerana tiada bezanya bertawassul kepada yang hidup ataupun kepada yang mati, kalaulah sekiranya yang kita berdoa kepadanya itu tetaplah Allah s.w.t. semata-mata, bukan berdoa meminta daripada orang yang ditawassulkan denganya tersebut.

Jadi, berdasarkan contoh tersebut, dapatlah difahami bahawa, masalah tawassul dengan menggunakan kedudukan orang mati di sisi Allah s.w.t., bukanlah suatu perkara bid’ah, walaupun ada khilaf (perbezaan pendapat) mengenainya (walaupun sebelum kewujudan Sheikh Ibn Taimiyah, perselisihan mengenai perkara tersebut tidak wujud menurut kebanyakkan para ulama’).

Adapun contoh perkara bid’ah ialah seperti: menambah jumlah rakaat solat fardhu, mengerjakan ibadah haji bukan di Tanah Haram Mekkah dan sebagainya.

Hal ini jelas bercanggah dengan nas-nas Al-Qur’an dan As-Sunnah, kerana bilangan rakaat dalam solat fardhu sememangnya merupakan suatu yang qat’ie dari pelbagai hadis-hadis yang sahih. Begitu juga dengan ibadah haji, yang mana tempatnya sudahpun diputuskan secara jelas dalam Islam, bahawa ianya perlu dikerjakan di tanah suci Mekkah.

Hal ini juga bercanggah dengan kaedah-kaedah penggalian hukum kerana dalam perkara-perkara yang jelas hukumnya secara qat’ie (dari sudut dalalah mahupun thubut), maka tidak boleh lagi seseorang untuk berijtihad, apatah lagi mengeluarkan sesuatu bentuk baru bagi perkara tersebut, samada adalam bentuk penambahan, pengurangan, bertukar tempat dan sebagainya.

Inilah antara perkara yang gagal difahami oleh kebanyakkan orang-orang awam dan para penuntut ilmu yang terjerumus ke dalam lembah “bid’ah-membid’ahkan” ini.

Bentuk-bentuk Ibadah yang Diajarkan Oleh Rasulullah s.a.w.

Perbahasan mengenai tajuk ini amat penting dalam memahami masalah-masalah yang dibincangkan sebelum ini dan yang akan dibincangkan selepas ini.

Dr. Abdul Malik Abdul Rahman As-Sa’adi dalam buku beliau yang diterjemahkan dengan tajuk “Salah Faham Terhadap Bid’ah” berkata:

Ibadah yang jelas dibawa oleh Rasulullah s.a.w. terbahagi kepada dua bentuk iaitu:

Pertama: Ibadah yang datang dari Rasulullah s.a.w. tetapi terikat dengan waktu, tempat, bilangan tertentu, cara tertentu atau keadaan tertentu. Maka, ibadah berbentuk sedemikian wajib ditunaikan sepertimana yang dilakukan olehRasulullah s.a.w. tanpa penambahan, perubahan atau pengurangan. Sesiapa yang melakukannya bukan dalam bentuk yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w., maka dia dianggap sebagai pencetus bid’ah.

Contohnya seperti: Solat fardhu, ibadah haji dan sebagainya.

Kedua: Ibadah yang diriwayatkan daripada Rasulullah s.a.w., samada dalam bentuk suruhan, panduan, galakan atau pesanan yang tidak terikat dengan bentuk, masa, tempat atau bilangan tertentu dan tidak pula diriwayatkan mengenai larangan melakukannya di waktu-waktu yang tertentu. Jadi, terpulanglah kepada umat Islam untuk memilih masa dan tempat yang sesuai dengan amalan tersebut dan bentuknya, asalkan tidak disandarkan perkara tersebut kepada Rasulullah s.a.w.. Bukuplah sekadar mengamalkannya, bersandarkan keizinan yang diperolehi dari syariat secara am.

Contohnya seperti: solat sunat mutlak, puasa sunat mutlak, membaca Al-Qur’an, membuat jamuan makan dan sebagainya.

Kalaulah ada seseorang yang beristiqomah dalam melakukan sesuatu perkara tersebut, pada waktu-waktu tertentu, maka tidaklah dianggap bid’ah. Begitu juga kalau dia membiasakan dirinya dengan membaca mana-mana surah dari Al-Qur’an, pada hari yang tertentu, juga tidak dikira sebagai bid’ah.

-Tamat Nukilan-

Oleh yang demikian, ramai yang terjebak ke dalam lembah “bid’ah-membid’ahkan” sesama Islam dalam masalah-masalah khilafiyah, natijah dari kejahilan mereka terhadap kaedah-kaedah dan perkara-perkara tersebut.

Mengamalkan Hadis-Hadis Dha’if Bukan Bererti Pengamal Bid’ah

Di sini suatu lagi masalah kebanyakan penuntut ilmu yang terlibat dalam kencah “bid’ah-membid’ahkan dalam perkara khilaf tersebut”. Ramai dari kalangan para penuntut ilmu yang berlagak seperti wira dalam kencah ilmu agama sering berkata: “amalan ini suatu bid’ah, kerana hadis dalam masalah tersebut merupakan suatu hadis yang dho’if”.

Kalaulah orang-orang awam mendengar perkataan tersebut, sudah tentu mereka menyangka si penuntut ilmu tersebut seorang yang alim, tetapi seandainya perkataan sedemikian didengari oleh ahli ilmu, sudah tentu mereka mengetahui bahawa, orang yang berbicara tersebut masih lagi tidak cukup ilmu.

Ini kerana, melemparkan tuduhan bid’ah terhadap amalan yang diambil dari hadis yang dho’if seperti melemparkan tuduhan ke atas para salaf yang meriwayatkan hadis tersebut sebagai pembawa bid’ah. Hal tersebut tidak pernah berlaku dalam etika para ulama’ salaf.

Hal ini kerana, dalil yang lemah tidaklah menunjukkan seseorang itu telahpun melakukan bid’ah, kerana hadis-hadis dho’if, jika cukup syarat-syaratnya di sisi ulama’ hadis, maka boleh juga diamalkan.

Majoriti ulama’ berpendapat bahawa, dibolehkan beramal dengan hadis dho’if dalam fadhail ‘amal (kelebihan dalam beramal), samada berbentuk galakan mahupun larangan, kerana ditakuti hadis itu sahih pada realitinya, sehingga tidak tertegah seseorang muslim mendapat fadhilat (kelebihan) dari amalan tersebut.

Ramai yang tidak memahami apa itu hadis dho’if, sehingga menyebabkan mereka seolah-olah alergik dengan istilah “hadis dho’if” ini. Kebanyakkan hadis dho’if sebenarnya hanyalah berdasarkan penilaian ulama’ hadis terhadap keadilan dan kelayakkan perawi hadis tersebut dalam meriwayatkan hadis tersebut. Ia juga merupakan hasil dari ijtihad para ulama’ juga, dalam menentukan samada seseorang perawi itu boleh diterima hadis yang diriwayatkannya atau tidak, dan sebagainya.

Tidak mustahil, hadis yang dho’if dari sudut penilaian para ulama’ hadis terhadap perawi hadis tersebut, dari sudut realitinya merupakan hadis yang sahih dari Rasulullah s.a.w..

Syarat-syarat hadis dho’if yang sesuai untuk diamalkan:

Hadis tersebut tidaklah terlalu dho’if di mana tidak terdapat di kalangan perawinya seorang yang pernah ditohmah sebagai pendusta dan sebagainya.

Hadis tersebut masih termasuk dalam salah satu kaedah atau usul am yang diamalkan di dalam Islam.

Tidak beriktiqad bahawa, hadis tersebut thabit (secara jelas) daripada Rasulullah s.a.w., tetapi diamalkan atas dasar berwaspada.

(Lihat: Tadrib Ar-Rawi)

Semoga kita yang masih lagi tidak cukup ilmu ini, tidak tergopoh-gapah menuduh sesuatu amalan itu bid’ah, kerana bagaimana kita tahu sesuatu amalan itu bid’ah, kalau kita sendiri tidak pernah khatam membaca Sahih Al-Bukhari, Sahih Muslim dan kutub Sunan yang lain.

Menuduh sesuatu itu bid’ah, tanpa ilmu yang cukup, merupakan suatu bid’ah yang lebih besar, maka hati-hatilah.

Semoga Allah s.w.t. memeberi hidayah kepada kita semua…Amin…
Dipetik dari Raja Ahmad Mukhlis

Tiada ulasan:

Catat Ulasan