Selamat Datang

Usrah Jamadilkubra ialah rangkaian keluarga keturunan SYED JAMALUDDIN AL-AKBAR AL-HUSAINI (Wajo Makasar 1352-1415 M) BIN AHMAD JALALUDDIN SYAH (AHMAD SYAH JALAL) melalui keturunannya SYED ALI NURUDDIN ZAINUL ALAM (Ali Nurul Alam).

Ahad, 8 Mac 2009

HUKUM MERAIKAN UPACARA PERAYAAN MAULID RASULULLAH S.A.W

Sahibus Samahah Dr. ‘Ali Jumaah, Mufti Negara Mesir

Perayaan menyambut Maulidur Rasul dianggap satu amalan yang mulia dan sebesar-besar amalan yang mendekatkan diri kepada Allah. Ianya dianggap sebagai satu cara melahirkan kegembiraan dan kecintaan kepada Nabi Muhammad s.a.w. Mencintai Nabi adalah salah satu cabang keimanan, demikian sebagaimana sabda nabi s.a.w :
“Demi jiwaku yang berada pada penguasaanNya, tidak sempurna iman seseorang daripada kamu sehinggalah menjadikan aku lebih dicintai olehnya daripada ibu bapanya dan anak pinaknya”. (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Sabda nabi lagi:
“Tidak sempurna iman seseorang daripada kamu sehinggalah aku menjadi lebih dicintai daripada anaknya, ibu bapanya dan manusia sekalian”. (Riwayat Bukhari)

Ibn Rejab mengatakan : “Kecintaan kepada Nabi s.a.w adalah salah satu cabang iman, ianya penghubung kecintaan kepada Allah s.w.t . Penghubung ini menjadi hubungan kepada kecintaan kepada Nabi Allah. Allah s.w.t mengingatkan kita agar meletakkan kecintaan kepada Allah s.w.t dan Rasulnya terlebih utama daripada segalanya sama ada kecintaan itu kepada kaum kerabat,harta benda, negara dan sebagainya.

Allah berfirman :
“Katakanlah (wahai Muhammad): Jika bapabapa kamu dan anak-anak kamu dan saudara-saudara kamu dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu dan kaum keluarga kamu dan harta benda yang kamu usahakan dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan RasulNya dan (daripada) berjihad untuk agamaNya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusanNya (azab seksaNya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik (derhaka).” (Surah At Taubah : 24)

Saidina Umar pernah mengatakan kepada Nabi s.a.w : Demi Allah! Kamu lebih aku kasihi daripada segala-galanya melainkan jiwaku yang berada di dalam jasadku. Maka Nabi s.a.w bersabda kepadanya, “Tidak beriman seseorang kamu sehingga aku lebih dikasihi daripada dirinya. Maka Umar r.a berkata,” Demi Allah yang menurunkan Kitab ke atasmu! Kamu lebih aku kasihi daripada diriku yang berada di dalam jasadku:. Rasulullah S.A.W bersabda,” Sekarang (kamu telah mengetahui hakikatnya dan kamu telah mengucapkan apa yang wajib ke atas dirimu) wahai Umar! (Riwayat Bukhari)

Ulama’ Salafus Saleh sejak kurun ke empat dan kelima menyambut perayaan maulid dengan pelbagai cara untuk mendekatkan diri mereka kepada Allah. Ada di kalangan mereka yang menghidupkan malam maulid dengan memberi makanan kepada orang ramai, bertilawah Al-Quran, berzikir, membacakan puisi syair dan madah puji-pujian kepada Rasulullah. Ini menjadi nas yang dicatatkan oleh para muarikhin (ahli sejarah) antaranya ibn Jauzi, ibn Kathir, al Hafiz ibn Hajar dan al Hafiz Jalaluddin as Suyuti.

Al Hafiz Jalaluddin As Suyuti menulis di dalam kitabnya “Husnul Maqsid Fi Amal il Maulid” setelah diajukan kepada beliau pertanyaan berkaitan amalan maulid nabawi pada bulan Rabi’ulawal: apakah hukum meraikannya dari sudut syarak? Adakah ianya amalan terpuji atau tercela dan adakah diberi pahala kepada orang yang meraikannya? Lalu jawab beliau : “Tujuan asal perayaan maulid ini adalah menghimpunkan orang ramai, membacakan bacaan ayat-ayat suci Al Quran, pengisahan tentang suruhan nabi s.a.w dan apa yang berkaitan dengan maulid. Kemudian mereka mengadakan upacara makan dan minum. Ini dianggap sebagai bid’ah hasanah dan pengamalnya mendapat ganjaran pahala. Ini juga salah satu amalan untuk menta’zimkan (membesarkan) kedudukan nabi dan menzahirkan kegembiraan dengan cara
bermaulid.”

Kata Imam As Suyuti lagi: “Amalan maulid bukannya amalan yang menyalahi dengan Al-Quran, as Sunnah, al Athar (riwayat-riwayat sahabat) dan ijmak ulama’. Amalan ini tidak dicela sepertimana yang dinyatakan oleh Al-Imam As Syafie bahawa ianya daripada perbuatan-perbuatan yang baik dan merupakan bid’ah mandubah (bidaah yang harus) seperti yang ditegaskan juga oleh Sultanul Ulama’, Al ‘Iz ibn Abd Salam.
Kita merayakan maulid kerana kita menyayangi Nabi s.a.w. Kenapa kita tidak boleh menzahirkan rasa kasih ini sedangkan seluruh makhluk ciptaan Allah s.w.t menyayangi Nabi s.a.w sebagaimana yang dikisahkan di dalam Sahih Bukhari bahawa pokok yang menjadi tunjangan minbar khutbah nabi pada satu ketika dahulu menangis kerana rindu yang bersangatan terhadap Rasulullah s.a.w. Akhirnya pokok tersebut mendapat jaminan daripada nabi bahawa ianya akan tumbuh di dalam syurga.

Namun meraikan dengan cara yang ghuluw dan ekstrim amatlah dilarang kerana ianya menyalahi dengan prinsip wasatiyyah (kesederhanaan) Islam.

Kesimpulannya, sambutan Maulid Ar Rasul tidaklah menjadi kesalahan seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak. Bahkan ianya tergolong dalam perkara-perkara baru (bidaah) yang tidak
lari dari usul (prinsip asas) Islam.



Prof. Dr. Said Ramadhan Al Bouty, Ulama’ besar Syria.

Terdapat di dalam hadis yang sahih riwayat Bukhari mengisahkan tentang nabi berpuasa pada hari Isnin, lalu perkara ini ditanya oleh para sahabat kenapa Rasulullah melakukan sedemikian. Rasulullah berpuasa kerana bersempena hari kelahiran baginda jatuh pada hari Isnin. Dengan demikian ianya menjadi dalil bahawa Rasulullah meraikan hari kelahiran baginda.

Adakah kita masih lagi ragu dengan hukum sambutan maulid ini. Sambutan ataupun meraikan hari kelahiran ini di anggap sebagai satu tanda ingatan kita terhadap baginda s.a.w dan cara untuk mendekatkan diri kepada Allah s.w.t.


Prof. Dr.Wahbah Az Zuhaili Jabatan Shariah dan Undang-Undang, Universiti Damaskus, Syria

Sambutan maulid adalah satu perayaan yang diadakan dengan tujuan perhimpunan yang di dalamnya diisi dengan bacaan Al Quran, berselawat ke atas junjungan Nabi Muhammad s.a.w dan membicarakan tentang akhlak Rasulullah serta jauh dari segala nyanyian yang melekakan. Sedang mana jika sambutan maulid itu dengan tujuan pengajaran tentang akhlak Rasulullah dan dengan tujuan menyebarkan dakwah kepada Islam juga diharuskan.


Dipetik dari Risalah Abim, Edisi Khas Sempena Sambutan Maulidur Rasul • Rabiul Awwal 1428 Hijrah.


1 ulasan: