Selamat Datang

Usrah Jamadilkubra ialah rangkaian keluarga keturunan SYED JAMALUDDIN AL-AKBAR AL-HUSAINI (Wajo Makasar 1352-1415 M) BIN AHMAD JALALUDDIN SYAH (AHMAD SYAH JALAL) melalui keturunannya SYED ALI NURUDDIN ZAINUL ALAM (Ali Nurul Alam).

Selasa, 23 Mac 2010

Rasulullah SAW Di Mata Sahabat



PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN

PADA minggu sebelum ini, kami membicarakan serba ringkas mengenai tuntutan memuliakan Rasulullah SAW dan perbezaan di antara maksud menyembah dan membesarkan Rasulullah SAW.

Menyambung tajuk tersebut, pada kali ini kami tidak berhasrat untuk mengemukakan dalil-dalil selanjutnya. Melihat kepada ruangan yang agak terhad kami ingin mengajak pembaca melihat bagaimana kuat dan tingginya kecenderungan para sahabat memuliakan dan mengagungkan Rasulullah SAW.

Ini adalah jalan yang paling mudah untuk kita melihat dan mengetahui cara yang sepatutnya kita menyanjung Rasulullah SAW dan bagaimana seharusnya kita meletakkan pandangan dan ikatan hati kita terhadap Baginda SAW.

Kelebihan para sahabat

Al-Quran dan hadis telah mencatatkan para sahabat ialah insan-insan agung dan jaguh-jaguh yang menjuarai keseluruhan gelaran terhebat dalam segenap aspek kehidupan duniawi dan ukhrawi.

Mereka adalah para penghulu yang mempunyai pencapaian tertinggi dalam ibadah dan pendekatan diri kepada Allah. Mereka juga adalah sahabat-sahabat yang menjuarai gelaran tertinggi dalam persahabatan dan menjaga etika persahabatan dengan Rasulullah SAW.

Sehingga mereka merangkul gelaran pejuang terhandal dan terkuat mempertahankan Rasulullah SAW dan agama yang dibawa oleh Baginda SAW.

Apa yang jelas, sehebat mana pun manusia yang datang selepas para sahabat, tiada seorang pun yang dapat menandingi ketinggian dan ganjaran pahala yang dikurniakan kepada mereka.

Rasulullah SAW bersabda: "Sekiranya seseorang kamu membelanjakan emas setinggi gunung Uhud pun, nescaya tidak akan mencapai satu gantang seseorang daripada mereka, apatah lagi setengah daripadanya".

Keghairahan para sahabat memuji Nabi SAW

Mereka juga adalah insan yang paling kuat memuji dan mengagungkan Rasulullah SAW sehinggakan dilihat Nabi SAW sentiasa menjadi keutamaan mereka yang lebih utama daripada diri dan nyawa mereka sendiri.

Nama Rasulullah SAW sentiasa meniti di bibir mereka, wajah Nabi SAW sentiasa bertakhta di hati mereka dan keindahan Rasulullah SAW sentiasa menambat hati mereka.

Tidak ada dalam Islam tegahan daripada memuji baginda SAW. Yang ada hanya tegahan menyamatarafkan baginda SAW dengan manusia yang lain dan tegahan daripada menyamatarafkan baginda SAW dengan Allah atau menyatakan baginda SAW adalah anak tuhan seperti yang dipercayai oleh penganut ajaran Kristian.

Sirah para sahabat dipenuhi dengan kata-kata pujian dan sanjungan mereka terhadap Rasulullah SAW. Bagaimana mungkin seorang insan yang dimuliakan oleh Allah dengan sifat-sifat keistimewaan dan dinobatkan dengan ketinggian kesempurnaannya tidak menarik hati manusia untuk menyayangi dan melantunkan kata-kata pujian memujinya.

Jika Heraclius seorang raja dari bangsa Eropah yang duduk di singgahsana yang indah dan memiliki kedudukan di sisi rakyatnya terlontar di lidahnya kata pujian terhadap baginda SAW apabila mengetahui sifat-sifat Nabi SAW, bagaimana pula hati seorang Muslim yang disuluhi cahaya kebenaran dan keimanan?

Abu Sufyan pernah mengaku secara jujur rasa kagumnya melihat kecintaan para sahabat terhadap Nabi SAW dengan berkata: "Aku tidak pernah melihat dari kalangan manusia seseorang yang mencintai seseorang seperti kecintaan sahabat-sahabat Muhammad terhadap Muhammad".

Amru ibn al 'As r.a pernah berkata: Tidak ada seorang pun yang lebih aku cintai daripada Rasulullah SAW. Tidak ada seorang pun yang lebih agung pada pandanganku daripadanya. Aku tidak mampu memenuhi pandangan mataku dengan sifat-sifatnya, kerana terlalu mengagungkannya. Seandainya aku diminta untuk menggambarkan peribadi Baginda SAW, pasti aku tidak akan mampu kerana aku tidak mampu memenuhi pandangan mataku dengan kehebatannya. (riwayat Muslim)

Mereka terlalu mengagungkan Rasulullah SAW dan menjaga peradaban dan tingkah laku terhadap baginda SAW sama ada ketika Rasulullah berada di hadapan mereka atau tidak.

Imam Tirmizi r.a meriwayatkan hadis daripada Anas r.a: Bahawa Rasulullah SAW pernah menemui para sahabatnya daripada golongan Ansar dan Muhajirin ketika mereka sedang duduk. Di antara mereka terdapat Abu Bakar dan Umar ibn al Khattab. Tidak seorang pun di antara mereka yang mengangkat pandangan kepada Rasulullah SAW kecuali Abu Bakar dan Umar al Khattab. Kedua-duanya memandang baginda SAW dan Nabi SAW memandang mereka berdua. Mereka berdua tersenyum kepada baginda SAW, dan baginda juga tersenyum kepada mereka berdua".

Usamah ibn Syarik r.a berkata: "Aku mendatangi Rasulullah SAW ketika para sahabat berada di sekeliling baginda SAW. Aku lihat seakan-akan terdapat burung di atas kepala mereka".

Apabila Nabi Muhammad SAW berbicara, maka mereka yang duduk bersamanya akan menundukkan kepala mereka, seakan-akan terdapat burung di atas kepala mereka.

'Urwah ibn Mas'ud pernah menyaksikan betapa besar penghormatan dan pengagungan para sahabat r.a terhadap Rasulullah SAW ketika dia diutuskan oleh kaum Quraisy kepada Rasulullah SAW pada Tahun Perjanjian Hudaibiah.

Menurut Urwah, jika Nabi SAW berwuduk, air wuduknya menjadi rebutan para sahabat hingga mereka hampir berbunuh-bunuhan kerananya. Tidaklah baginda SAW berludah dan berkahak, melainkan mereka menadahnya dengan telapak tangan mereka, lalu menggosok-gosokkannya ke muka dan badan mereka.

Tiada sehelai rambut baginda SAW yang jatuh ke tanah, kecuali mereka berebut-rebut mengambilnya. Apabila baginda mengeluarkan suatu perintah, mereka segera melakukannya.

Apabila baginda berbicara, mereka merendahkan suara di hadapannya. Mereka tidak menajamkan pandangan mereka kepada baginda SAW kerana membesarkannya.

Ketika kembali kepada kaum Quraisy yang mengutusnya, 'Urwah ibn Mas'ud berkata: "Wahai bangsa Quraisy! Sesungguhnya aku pernah menemui Kisra (Raja Farsi) dalam kerajaannya dan aku juga pernah menemui Qaisar (Raja Rom) di dalam kerajaannya. Aku juga pernah melihat Najasyi (Raja Habsyah) di dalam kerajaannya. Demi Allah! Sesungguhnya aku tidak pernah melihat seorang raja pada suatu kaum seperti Muhammad SAW dengan para sahabatnya".

Dalam riwayat yang lain, dia berkata: "Tidak pernah sekali pun aku melihat seorang raja yang diagungkan oleh rakyatnya, sebagaimana Nabi Muhammad SAW diagungkan oleh para sahabatnya. Sesungguhnya, aku telah melihat suatu kaum yang tidak akan menyerahkannya (Muhammad SAW) kepada musuh-musuhnya untuk selama-lamanya".

Lihatlah bagaimana para sahabat begitu mengagungkan Nabi Muhammad SAW dengan pelbagai kebesaran. Mereka tidak pernah dikatakan musyrik atau kafir kerana menyanjung baginda SAW. Mereka telah menjaga hak ketuhanan dan kerasulan dengan sempurna.

Bagaimana pula dengan kita? Adakah sirah para sahabat yang menjadi ikutan atau amalan jahiliah yang kita amalkan?

Menyempitkan perbicaraan mengenai perkara yang luas ini hanya akan menjauhkan umat manusia daripada Nabi SAW dan dari menghayati keindahan Islam itu sendiri.

Ini secara tidak langsung akan menjauhkan umat Islam dari roh Islam yang sebenar kerana Rasulullah SAW adalah lambang dan simbol kepada roh Islam yang sejati.

Ketandusan roh Islam dalam jiwa umat Islam akan melahirkan umat Islam yang lemah, lesu dan mudah diperkotak-katikkan oleh agenda musuh-musuh Islam.

Jangan Abai Hak Rasulullah

Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN


SENARIO begini lumrah kelihatan acap kali tiba hari keputeraan junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

SUDAH menjadi agenda terpenting dalam setiap majlis Maulid Nabi SAW, ucapan selawat dan memuji Baginda dialunkan dan dikumandangkan. Selain mendapatkan pahala dan keberkatan, majlis ini juga berperanan mendekatkan umat Islam kepada nabi mereka dalam rangka mengingatkan umat Islam tentang ketinggian dan keluhuran agama Islam yang dibawa Baginda SAW.

Namun, dalam kerancakan penganjuran maulid, dalam keindahan suasana keistimewaan dan ketinggian Rasulullah SAW dihayati dan dimartabatkan, ada terdengar suara-suara sumbang yang menempelak majlis seperti ini kerana dikatakan mengandungi unsur ghuluw (pelampauan) dalam memuji Baginda SAW.

Setakat manakah kebenaran dakwaan mereka ini? Jika memuji Nabi SAW dikatakan boleh membawa kepada perbuatan menyamatarafkan kedudukan Baginda SAW dengan Allah SWT, bagaimanakah pula dengan pujian dan sanjungan tinggi menjulang yang diberikan kepada manusia-manusia lain yang jauh lebih rendah kedudukannya daripada Nabi Muhammad?

Pada minggu lepas, kita telah membicarakan bahawa Baginda SAW juga adalah seorang insan ciptaan Allah, tetapi berbeza daripada manusia lain dengan dikurniakan pelbagai keistimewaan tertentu oleh Allah.

Justeru, memandang Baginda sebagai seorang manusia semestinya disertai dengan pandangan istimewa sesuai dengan kedudukan Baginda yang telah dimartabat dan dijulang oleh Allah dan bukannya menurut pandangan mereka yang terkesan dengan fahaman Jahiliah.

Jika kita tidak menyingkap ayat-ayat al-Quran dan hadis yang sarat membicarakan perkara ini pun, akal yang sejahtera sudah boleh menerima dan mudah untuk memahaminya.

Seseorang yang ditugaskan membawa suatu risalah yang agung daripada Tuhan Yang Maha Agung sudah tentu mempunyai ciri-ciri istimewa dan khusus bagi memastikan risalah agung itu dapat disampaikan dengan sempurna.

Salah faham makna ta'zhim dan ibadah

Masalah ini hanya terjadi apabila seseorang itu tidak dapat memahami dengan jelas tentang hakikat ta'zhim (mengagungkan atau membesarkan) dan hakikat ibadah (penyembahan).

Mereka juga tidak dapat membezakan antara dua kedudukan iaitu kedudukan Allah dan makhluk di mana setiap kedudukan mempunyai hak-haknya yang khusus.

Oleh itu, mereka mencampuradukkan di antara kedua-duanya dan menganggap apa jua bentuk ta'zhim yang dilakukan merupakan suatu penyembahan kepada yang diagungkan. Rentetan itu, perbuatan berdiri bagi menghormati orang yang mulia, mencium tangan, membesarkan Nabi Muhammad SAW dengan menyematkan gelaran Sayyid dan Maulana, berdiri di hadapan Nabi SAW ketika menziarahinya dengan adab-adab yang baik, penuh hormat dan merendah diri; semuanya dianggap ghuluw (berlebih-lebihan dan melampau) di sisi mereka, hingga membawa kepada penyembahan kepada selain Allah SWT.

Hakikatnya, anggapan seperti ini merupakan suatu kejahilan dan kesilapan, bahkan Allah dan Rasul-Nya tidak reda terhadapnya dan ia tidak sejalan dengan roh syariat Islam.

Sujud para malaikat kepada Nabi Adam

Kita sedia maklum, Nabi Adam as merupakan insan dan hamba Allah yang soleh dan pertama daripada jenis manusia. Allah SWT telah memerintahkan para malaikat supaya sujud kepadanya sebagai memuliakan dan membesarkan ilmunya dan sebagai pemberitahuan kepada mereka, bahawa Allah telah memilih Adam as menjadi Nabi daripada sekalian makhluk-Nya. Ini dijelaskan dalam surah al-Isra' ayat 61 hingga 62. Begitu juga dalam surah (Saad ayat 76 dan surah al-Hijr ayat 30 hingga 31.

Dari ayat-ayat ini kita melihat, para malaikat turut mengagungkan insan yang diagungkan oleh Allah SWT, cuma Iblis bersikap takbur dan enggan sujud kepada makhluk yang diciptakan daripada tanah. Alasan yang dikemukakan, ia diciptakan daripada api, sedangkan Nabi Adam diciptakan daripada tanah, sehingga ia enggan memuliakan Adam a.s dan tidak mahu sujud kepadanya.

Iblis adalah makhluk pertama yang bersikap takbur dan tidak mahu mengagungkan insan yang diagungkan oleh Allah SWT. Lantaran itu, ia diusir dan dihalau jauh daripada rahmat Allah kerana sikap sombong dan takbur terhadap hamba yang soleh.

Pada hakikatnya, sikap takbur iblis itu merupakan suatu kesombongan terhadap Allah kerana sujud itu sebenarnya kepada Allah; sebagai menurut perintah-Nya. Ini menjelaskan kepada kita perintah sujud tersebut adalah sebagai suatu penghormatan kepada Nabi Adam dan bukannya suatu penyembahan.

Hak-hak Rasulullah

Adapun hak Nabi SAW supaya diagungkan dan dimuliakan adalah sebagaimana perintah Allah SWT dalam al-Quran:

Sesungguhnya Kami telah mengutusmu (wahai Muhammad) sebagai Rasul yang menjadi saksi (yang diterima keterangannya), dan sebagai pembawa berita gembira (kepada orang-orang yang beriman), serta pemberi amaran (kepada orang-orang yang ingkar). (Kami mengutusmu wahai Muhammad) supaya engkau dan umatmu beriman kepada Allah dan Rasul-Nya, dan supaya kamu kuatkan agamanya dan memuliakannya. (al Fath: 8-9)

Dalam ayat lain, disebutkan:

Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu memandai-mandai (melakukan sesuatu perkara) sebelum (mendapat hukum atau kebenaran) Allah dan Rasul-Nya. (al-Hujurat: 1)

Allah juga berfirman:

Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengangkat suara cakap kamu melebihi suara cakap Nabi SAW. (al Hujurat: 2)

Dalam ayat yang lain pula disebut: 

Janganlah kamu jadikan seruan atau panggilan Rasulullah di antara kamu sama seperti seruan atau panggilan sesama kamu. (al-Nur: 63)

Umat Islam dilarang mendahului Nabi Muhammad SAW dalam berkata-kata ketika berada di hadapan Baginda. Bahkan, mendahului percakapan Nabi SAW dianggap sebagai akhlak atau adab yang buruk.

Kita juga dilarang mendahului Baginda atau tergesa-gesa menghukum suatu perkara sebelum Baginda menentukan hukumannya, ataupun berfatwa tentang apa sahaja perkara; baik berkaitan dengan peperangan, mahupun hal-hal lain yang berkaitan dengan urusan agama kecuali dengan perintahnya. Kemudian Allah menasihatkan dan memperingatkan umat Islam agar tidak menyalahi perintah tersebut, sebagaimana menurut surah al-Hujurat ayat 1 tadi.

Al Sulami ra. berkata tentang maksud ayat ini, "Maksudnya adalah bertakwalah kamu kepada Allah dengan tidak meremehkan atau mengabaikan hak-hak Nabi Muhammad SAW dan mensia-siakan kehormatannya, kerana sesungguhnya Allah Maha Mendengar segala perkataan kamu dan Maha Mengetahui segala perbuatan kamu".

Dalam ayat seterusnya, Allah SWT melarang umat Islam daripada meninggikan suara melebihi suara Nabi SAW dan mengeraskan suara kepada Baginda SAW seperti percakapan sesama rakan biasa. Menurut pendapat yang lain, maksudnya Allah SWT melarang umat Islam memanggil Baginda SAW seperti panggilan sesama mereka dengan menyebut namanya sahaja. Tetapi hendaklah mengagungkan, menghormati dan memanggil Baginda SAW dengan semulia-mulia panggilan; yang disukainya, seperti panggilan, "Wahai Rasulullah!" dan "Wahai Nabi Allah!"

Allah juga memperingatkan orang yang bersikap biadap terhadap Rasulullah SAW dengan ancaman akan dihapuskan amalan mereka jika mereka melakukan perbuatan yang tidak sopan terhadap Rasulullah SAW. Bahkan, Allah mencela mereka dengan menganggap mereka sebagai orang yang bodoh dan menyifatkan mereka sebagai orang yang tidak berakal.

Perintah dan peringatan Allah di atas ini jelas menunjukkan ketinggian Baginda SAW di sisi-Nya yang wajib kita muliakan dan besarkan sepanjang masa.

Tidak timbul dalam menyempurnakan hak dan adab terhadap Baginda SAW, soal penyembahan Nabi Muhammad SAW selagi seseorang itu mengetahui yang mana menjadi hak Allah dan yang mana menjadi hak Rasulullah SAW. Perbincangan selanjutnya akan menyusul minggu hadapan.

Jumaat, 19 Mac 2010

Maulid Nabawi s.a.w


18/03/2010 Usrah Jamadilkubra telah mengadakan majlis Maulid Nabawi bertempat di rumah Bonda, Kg. Tanjung Kuala. Majlis bermula selepas solat isyak secara berjemaah dengan pembacaan Maulid Dibaei serta qasidah-qasidah memuji junjungan mulia Nabi Muhammad s.a.w.

Walaupun ada golongan-golongan tertentu yang mengatakan bahawa merayakan mauled ini adalah satu perbuatan bidaah serta membaca mauled berzanji dan maulid dibaei merupakan perbuatan mungkar, kami mempunyai hujah-hujah yang mengatakan sebaliknya bersumberkan ulama-ulama yang muktabar seperti al-Hafiz Imam Jalaluddin as-Suyuti.

Malah Ibn Taimiyyah sendiri telah menyebut dalam himpunan fatwanya juzuk 23 muka surat 134 yang menyebut:

Maka membesarkan Mawlid dan menjadikannya sebagai waktu atau musim yang dirayakan telah dilakukan oleh sebahagian manusia dan bagi mereka baginya (yakni pada menyambut Mawlid tersebut) ganjaran pahala yang besar kerana baiknya niat mereka dan kerana mereka membesarkan Junjungan Nabi s.a.w.   


Rabu, 3 Mac 2010

Rehlatul Muridin


Pada 25/02/2010 hingga 01/03/2010 sekali lagi saya menyertai kembara ke Palembang Sumatera Selatan, Indonesia bersama 7 orang ahli rombongan yang lain diketuai Abu Aswad al-Kubrawiy.

Tujuan utama kembara kali ini adalah untuk menghantar anak buah kami Dzul Wahyu bersama 2 orang sahabatnya Faris dan Afiq untuk menuntut di Pondok Pesantren Rubath al-Mubbieen di bawah asuhan al-Alim al-‘Allamah Abuya al-Habib Umar Abdul Aziz bin Abdul Rahman bin Shihab.

Kali ini perjalanan kembara kami agak mencabar setelah syarikat tambang murah AirAsia menamatkan penerbangan terus dari LCCT Kuala Lumpur ke Lapangan Terbang Sultan Mahmud Badaruddin II Palembang menyebabkan kami terpaksa transit terlebih dahulu di Jakarta.  Dari sana sepatutnya kami menaiki pesawat Lion Air ke Palembang, namun oleh kerana kesesakan jalan raya dari terminal antarabangsa ke terminal dalam negeri menyebabkan kami terlepas pesawat.  

Abu Aswad berusaha untuk mendapatkan tiket penerbangan seterusnya tetapi gagal kerana semuanya telah penuh. Tiket pesawat hanya ada untuk penerbangan pada hari Sabtu sahaja. Lalu kami meutuskan untuk ke Palembang melalui jalan darat sahaja. Maka disinilah bermulanya kembara yang mencabar apabila kami terpaksa berkereta dari Kota Jakarta ke Pelabuhan Merak yang terletak di Kota Cilagon, Banten untuk menaiki feri merentasi Selat Sunda ke Pelabuhan Bakauheni di Lampung Kepulauan Sumatera. Dari Lampung pula kami berkereta ke Kota Palembang. Keseluruhan perjalanan dari Kota Bharu ke KLIA ke Jakarta ke Palembang memakan masa lebih kurang 38 jam.

Banyak dugaan yang telah kami tempuhi sepanjang perjalanan tersebut yang akan saya ceritakan dengan lebih terperinci dalam blog al-Kubrawiyyah nanti. Semoga semua pengunjung sabar menantinya.