Pada 25/02/2010 hingga 01/03/2010 sekali lagi saya menyertai kembara ke Palembang Sumatera Selatan , Indonesia bersama 7 orang ahli rombongan yang lain diketuai Abu Aswad al-Kubrawiy.
Tujuan utama kembara kali ini adalah untuk menghantar anak buah kami Dzul Wahyu bersama 2 orang sahabatnya Faris dan Afiq untuk menuntut di Pondok Pesantren Rubath al-Mubbieen di bawah asuhan al-Alim al-‘Allamah Abuya al-Habib Umar Abdul Aziz bin Abdul Rahman bin Shihab.
Kali ini perjalanan kembara kami agak mencabar setelah syarikat tambang murah AirAsia menamatkan penerbangan terus dari LCCT Kuala Lumpur ke Lapangan Terbang Sultan Mahmud Badaruddin II Palembang menyebabkan kami terpaksa transit terlebih dahulu di Jakarta. Dari sana sepatutnya kami menaiki pesawat Lion Air ke Palembang , namun oleh kerana kesesakan jalan raya dari terminal antarabangsa ke terminal dalam negeri menyebabkan kami terlepas pesawat.
Abu Aswad berusaha untuk mendapatkan tiket penerbangan seterusnya tetapi gagal kerana semuanya telah penuh. Tiket pesawat hanya ada untuk penerbangan pada hari Sabtu sahaja. Lalu kami meutuskan untuk ke Palembang melalui jalan darat sahaja. Maka disinilah bermulanya kembara yang mencabar apabila kami terpaksa berkereta dari Kota Jakarta ke Pelabuhan Merak yang terletak di Kota Cilagon, Banten untuk menaiki feri merentasi Selat Sunda ke Pelabuhan Bakauheni di Lampung Kepulauan Sumatera. Dari Lampung pula kami berkereta ke Kota Palembang. Keseluruhan perjalanan dari Kota Bharu ke KLIA ke Jakarta ke Palembang memakan masa lebih kurang 38 jam.
Banyak dugaan yang telah kami tempuhi sepanjang perjalanan tersebut yang akan saya ceritakan dengan lebih terperinci dalam blog al-Kubrawiyyah nanti. Semoga semua pengunjung sabar menantinya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan