Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN
JIKA minggu lepas kita telah merenung peristiwa sejarah Saidina Umar dan umat Islam dizamannya bertawassul dengan al-'Abbas, pada kali ini mari kita melihat pula satu lagi peristiwa sejarah yang lebih masyhur sebagai kisah 'Utbi.
Al-Imam al-Hafiz Sheikh 'Imaduddin Ibnu Kathir Telah menyebut suatu jemaah di antara mereka ialah Sheikh Abu Mansur al-Sobbagh di dalam kitabnya al-Syamil tentang hikayat yang masyhur mengenai 'Utbi, yang menceritakan: "Ketika aku sedang duduk di sisi makam Nabi, datang seorang Arab Dusun lalu mengucapkan salam sejahtera ke atasmu, wahai Rasulullah. Aku telah mendengar Allah SWT berfirman: Seandainya mereka telah menganiaya diri mereka (membuat dosa), lalu mereka datang kepadamu (Nabi Muhammad SAW) dan memohon keampunan kepada Allah dan Rasul juga memohon keampunan bagi mereka, nescaya mereka akan mendapati Allah Yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani. (al-Nisaa': 64)
"Sesungguhnya aku datang kepadamu kerana memohon keampunan daripada segala dosaku, dan mengharapkan syafaatmu kepada Tuhanku."
Setelah itu, Arab Dusun tersebut mendendangkan beberapa bait syair: "Wahai penghuni kuburan yang tulang-belulangnya di tanah yang suci ini, kerana kandungannya yang baik, tanah dan bukitnya juga dipuji.
"Jiwaku sedia berkorban terhadap orang yang mendiami kuburan ini, yang bersifat bersih diri, murah hati lagi dihormati".
Kemudian orang Arab Dusun itu beredar dari situ. Peristiwa tersebut terbawa-bawa dalam tidurku. Lalu aku bermimpi melihat Nabi SAW bersabda kepadaku: "Wahai 'Utbi! Pergi dapatkan lelaki itu dan sampaikan berita gembira kepadanya, bahawa Allah telah mengampunkan dosanya."
Kisah ini telah diriwayatkan oleh Imam Nawawi di dalam kitabnya yang dikenali dengan al-Idhah (ms. 498). Ia juga diriwayatkan oleh al Hafiz 'Imaduddin Ibnu Kathir di dalam tafsirnya yang begitu masyhur ketika mentafsirkan ayat di atas.
Kisah ini turut diriwayatkan oleh Sheikh Abu Muhammad Ibnu Qudamah di dalam kitabnya al-Mughni (jilid 3, ms.556). Ia juga dinaqalkan oleh Sheikh Abu al Farj Ibnu Qudamah di dalam kitabnya al-Syarh al-Kabir (Jilid 3, ms. 495).
Selain itu, ia juga dinaqalkan oleh Sheikh Mansur ibn Yunus al-Buhuti di dalam kitabnya yang dikenali dengan Kasyshaf al-Qina'; salah sebuah kitab termasyhur dalam mazhab Hambali (Jilid 5, ms. 30).
Imam al Qurtubi, seorang ulama besar yang menjadi sandaran ahli tafsir, menyebut kisah yang hampir sama di dalam tafsirnya yang terkenal, al-Jami' li Ahkam al-Quran.
Beliau berkata: Telah meriwayatkan Abu Sodiq daripada Ali berkata: "Telah datang kepada kami seorang Arab Dusun selepas tiga hari kami mengkebumikan jenazah Rasulullah. Dia melemparkan dirinya di sisi makam Rasulullah SAW dan melumurkan debu-debunya di atas kepalanya. Lalu dia berkata, "Engkau telah bersabda, wahai Rasulullah! Dan Aku telah mendengar sabdamu itu. Aku telah mengingatinya daripada Allah dan daripadamu (ayat tersebut).
Antara yang diturunkan oleh Allah kepadamu: "Seandainya mereka telah menganiaya diri mereka (membuat dosa), lalu mereka datang kepadamu (Nabi Muhammad SAW) dan memohon keampunan kepada Allah dan Rasul juga memohon keampunan bagi mereka, nescaya mereka akan mendapati Allah Yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.
"Sesungguhnya aku telah menzalimi diriku dan aku datang kepadamu untuk meminta agar engkau memohon keampunan untukku".
Lalu berseru suatu suara dari makam, "Sesungguhnya kamu telah diampunkan". (Al-Jami' li al-Ahkam al-Quran, Jilid 5, ms. 265)
Inilah kisah al 'Utbi, dan mereka yang telah disebutkan di atas adalah ulama yang telah menaqalkan kisah ini; sama ada dengan sanad yang sahih atau pun daif; yang boleh menjadi sandaran para ahli hadis di dalam menentukan suatu khabar. Maka kita ingin bertanya, adakah para tokoh ulama ini menaqalkan sesuatu yang menimbulkan kekufuran dan kesyirikan?
Atau, apakah mereka menaqalkan sesuatu yang membawa kepada penyembahan berhala dan peribadatan kepada kubur? Jika perkara tersebut sedemikian, maka apakah wajar diletakkan kepercayaan kepada mereka atau kepada kitab-kitab mereka?
Sedangkan kita semua maklum kedudukan mereka dan kitab-kitab mereka ini di sisi umat Islam. "Maha Suci Engkau, ya Allah! Ini adalah satu pembohongan yang besar."