Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN
PADA minggu ini kita melihat pula perbuatan para sahabat yang bertawassul dengan makam Nabi SAW. Perbuatan mereka ini boleh dijadikan sandaran bahawa ia bukanlah suatu kesalahan dan menjernihkan lagi kefahaman kita tentang tawassul ini.
Berkata al-Imam al-Hafiz al-Darimi di dalam kitabnya al-Sunan, bab kemuliaan yang dikurniakan oleh Allah kepada Nabi Muhammad SAW selepas kewafatannya: Pada suatu masa, penduduk Madinah ditimpa kemarau yang dahsyat. Maka mereka mengadu kepada Sayyidah Aisyah RA, lalu Sayyidah Aisyah RA berkata, "Perhatikanlah makam Rasulullah SAW. Maka buatlah sebuah tingkap menghadap ke arah langit hingga tiada satu atap yang menghalang di antara maqamnya dengan langit."
Aus ibnu Abdullah berkata: "Maka mereka pun membuat tingkap tersebut. Lalu selepas itu, kami diturunkan hujan hingga rumput-rumput tumbuh dengan subur dan unta-unta menjadi gemuk, (seolah-olah) badannya pecah kerana banyaknya lemak. Maka tahun itu dinamakan Tahun al-Fatq (binatang gemuk dan berlemak) (Sunan al-Darimi Jld 1, H: 43)."
Inilah yang dinamakan bertawassul dengan makam baginda SAW. Bukan kerana ia adalah kubur semata-mata tetapi kerana di dalamnya disemadikan jasad makhluk yang paling mulia dan kekasih Tuhan semesta alam. Maka ia mendapat kemuliaan kerana berhampiran dengan Baginda SAW dan layaklah ia mendapat kedudukan yang mulia.
Jika dikaji sanad hadis ini maka kita dapati ia tidak mengapa (untuk digunakan). Bahkan di sisi saya, sanadnya adalah amat baik. Ia telah diterima baik oleh ulama dan mereka telah menjadikan sanad seperti ini sebagai pendukung kepada hadis yang lain, bahkan dengan sanad yang mempunyai kriteria yang lebih rendah daripada itu.
Sebahagian ulama berkata bahawa athar ini mauquf (terhenti atau disandarkan) kepada Aisyah, dan beliau adalah seorang sahabat, sedangkan perbuatan sahabat tidak boleh dijadikan sebagai hujah.
Jawapannya ialah, sekalipun bertawassul dengan makam Rasulullah SAW hanyalah lahir daripada idea Aisyah, namun beliau adalah seorang yang terkenal dengan keluasan dan kesaratan ilmunya dan beliau melakukan perbuatan tersebut di Madinah, di tengah-tengah ulama yang terdiri daripada sahabat yang hebat.
Kisah ini sudah cukup bagi kami menjadikan dalil bahawa Sayyidah Aisyah, Ummul Mukminin mengetahui bahawa Rasulullah SAW tetap mengasihi dan memberikan pertolongan kepada umatnya selepas kewafatannya. Orang yang menziarahinya dan memohon syafaat dengannya pasti akan diberikan syafaat sebagaimana yang dilakukan oleh Ummul Mukminin.
Perbuatannya ini tidak termasuk di dalam kategori amalan syirik atau salah satu jalan menuju kesyirikan sebagaimana anggapan salah golongan yang mempermudahkan urusan mengkafirkan dan menyesatkan orang lain. Sesungguhnya Aisyah dan orang yang menyaksikannya bukanlah orang yang buta dan jahil tentang kesyirikan.
Kisah ini membatalkan hujah mereka yang suka mengkafirkan dan menyesatkan golongan yang mengharuskan bertawassul dengan Nabi SAW selepas kewafatannya. Kisah ini telah menegaskan bahawa Nabi SAW tetap mengambil berat dan prihatin tentang keadaan umatnya di dalam maqamnya sekalipun telah wafat. Telah diriwayatkan bahawa Sayyidah 'Aisyah RA pernah berkata:
"Pada suatu ketika, aku masuk ke dalam rumahku yang terdapat makam Rasulullah SAW dan ayahandaku di dalamnya dan aku tidak menutup auratku di situ, dan aku berkata tidak mengapa kerana yang ada hanyalah suami dan ayahandaku.
"Setelah Umar ibn al Khattab dikebumikan di samping makam Rasulullah SAW dan ayahandaku, maka demi Allah aku tidak pernah masuk ke dalamnya melainkan dalam keadaan menutup aurat kerana malu dengan Umar RA." (riwayat Ahmad, al-Hakim dalam al-Mustadrak, al-Haithami mengatakan dalam Majma' al-Zawaid bahawa rijalnya sahih).
Aisyah tidak melakukan suatu perkara yang batil. Tetapi dia mengetahui bahawa Nabi SAW dan kedua orang temannya mengetahui siapakah insan yang berada di sisi kubur mereka.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan