Selamat Datang

Usrah Jamadilkubra ialah rangkaian keluarga keturunan SYED JAMALUDDIN AL-AKBAR AL-HUSAINI (Wajo Makasar 1352-1415 M) BIN AHMAD JALALUDDIN SYAH (AHMAD SYAH JALAL) melalui keturunannya SYED ALI NURUDDIN ZAINUL ALAM (Ali Nurul Alam).

Selasa, 24 Mei 2011

Syafaat nabi sesudah wafat

Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN

ADA dakwaan sesetengah orang bahawa meminta syafaat atau istighozah (memohon pertolongan) daripada nabi SAW hanya dibolehkan ketika baginda hidup maka kita menjawab: Sesungguhnya beristighozah dan bertawassul; jika keharusannya dikaitkan dengan hidupnya pihak yang diminta pertolongan, maka ketahuilah, bahawa para nabi dan hamba-hamba Allah yang diredai itu tetap hidup di alam kubur mereka.

Jika tiada dalil lain untuk membenarkan keharusan bertawassul dan beristighozah dengan Rasulullah SAW setelah wafat, kecuali dengan menggunakan qias atau analogi terhadap tawassul dan istighozah dengan Baginda SAW ketika masih hidup, maka itupun sudah cukup, kerana kita meyakini bahawa Rasulullah SAW tetap hidup di alam barzakh.

Baginda SAW selalu memerhatikan umatnya. Dengan izin Allah SWT, nabi SAW menguruskan keadaan mereka dan mengetahui apa yang mereka lakukan. Selawat yang mereka ucapkan diperlihatkan kepada baginda SAW. Salam yang mereka berikan juga sampai kepada baginda SAW, meskipun mereka sangat ramai.

Orang yang mempunyai pengetahuan yang luas tentang keadaan roh dan keistimewaan yang diberikan oleh Allah kepada mereka. Terutamanya terhadap roh yang mempunyai kedudukan yang tinggi, iaitu roh para rasul dan nabi, hatinya akan terbuka untuk mempercayai dan mengimani perihal kehidupan para roh.

Lebih-lebih lagi, terhadap induk segala roh, dan cahaya yang menyinari segala cahaya, iaitu Nabi Muhammad SAW.

Jika memohon syafaat, istighozah atau bertawassul dengan Rasulullah SAW itu dinilai sebagai syirik dan kufur sebagaimana yang disangkakan, adalah tidak wajar ia diharuskan pada satu keadaan sahaja, semasa hayat Baginda SAW tidak pada keadaan yang lain. Sebabnya, perbuatan syirik itu menjadi kemurkaan Allah dalam semua keadaan.

Dakwaan bahawa orang yang sudah mati tidak mampu melakukan apa-apa, adalah dakwaan yang batil. Jika dakwaan tersebut didasarkan kepada kepercayaan mereka bahawa mayat itu menjadi tanah, jelas itu merupakan suatu kebodohan dan kejahilan. Mereka jahil tentang hadis-hadis yang disabdakan oleh Nabi Muhammad SAW.

Bahkan, mereka juga jahil tentang firman Allah SWT yang menegaskan bahawa roh-roh itu tetap hidup dan kekal setelah terpisah daripada jasad. Mereka juga jahil tentang kisah Nabi Muhammad SAW yang pernah menyeru mayat yang ada di dalam kubur ketika Perang Badar.

Rasulullah SAW juga pernah mengucapkan salam kepada ahli kubur, dan menyeru mereka dengan sabdanya: "Semoga kesejahteraan dilimpahkan ke atas kalian, wahai penghuni perkampungan (kubur) ini!"

Dalil yang lain adalah tentang azab dan nikmat kubur bagi penghuni kubur, nas-nas yang menceritakan tentang roh-roh yang selalu datang dan pergi kepada roh-roh yang lain. Banyak lagi dalil yang ditetapkan oleh Islam dan diakui oleh para ilmuwan, dulu dan kini.

Bagaimanapun, kami membataskan perbicaraan hanya mengikut soalan berikut: Apakah mereka percaya atau tidak bahawa orang yang mati syahid itu hidup di sisi Tuhannya, sebagaimana yang diungkapkan oleh al-Quran?

Jika mereka tidak mempercayainya, kami tidak berminat berbincang dengan mereka, kerana mereka telah membohongi al-Quran yang mengatakan: Dan janganlah kamu mengatakan (bahawa) sesiapa yang terbunuh dalam perjuangan membela agama Allah itu orang-orang yang mati; bahkan mereka itu orang-orang yang hidup (dengan keadaan hidup yang istimewa) tetapi kamu tidak dapat menyedarinya. (al-Baqarah: 154)

Jika mereka mempercayainya, maka kami katakan pula kepada mereka: Sesungguhnya para nabi dan kebanyakan orang soleh lain; yang tidak mati syahid; seperti sesetengah para sahabat besar r.a, adalah lebih mulia daripada orang-orang yang mati syahid tanpa diragui lagi.

Jika jelas diakui bahawa para syuhada itu hidup di dalam kuburnya, maka menetapkan bahawa hidupnya orang yang lebih mulia daripada golongan syuhada adalah lebih patut dan lebih layak. Lebih-lebih lagi, hidupnya para nabi itu disebut secara jelas dalam hadis-hadis sahih.

Jika telah thabit kehidupan yang khusus dan istimewa selepas mati bagi golongan yang mulia ini, maka apakah lagi penghalang menurut pandangan akal yang menyekat daripada beristighozah dan meminta pertolongan kepada Allah melalui roh mereka ini?

Khamis, 19 Mei 2011

Syafaat di sisi para sahabat


Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN

DALAM menimbang sesuatu persoalan agama seperti syafaat, seharusnyalah kita turut merujuk kepada sikap dan amalan para Sahabat Nabi RA. Merekalah generasi muslim terbaik yang pernah terhasil dan amalan mereka menjadi salah satu sumber agama ini. Jika ini kita lakukan, kita akan mendapati banyak peristiwa dimana para Sahabat RA memohon bantuan dan pertolongan Nabi SAW tanpa merasakan bahawa itu adalah salah.

Daripada Mukhallad ibn 'Uqbah ibn Abdur Rahman ibn Syarhabil, daripada datuknya, Abdur Rahman, daripada ayahnya, berkata: "Aku pernah menemui Rasulullah SAW ketika telapak tanganku terkena bisul. Aku berkata, "Wahai Nabi Allah! Bisul ini semakin membengkak dan menggangguku semasa aku hendak memegang pedang dan mengendalikan haiwan tunggangan." Rasulullah SAW bersabda, "Dekatlah kepadaku!" Aku pun menghampiri Baginda SAW, kemudian Baginda SAW bersabda, "Bukalah telapak tanganmu itu." Maka aku pun membukanya, kemudian Baginda SAW bersabda, "Genggamlah telapak tanganmu." Maka akupun menggenggamnya. Rasulullah SAW bersabda, "Dekatlah kepadaku!" Aku pun menghampiri Baginda SAW. Maka Rasulullah SAW membukakan telapak tanganku, lalu meniupnya. Kemudian Baginda S meletakkan telapak tangannya pada bisul itu. Baginda SAW mengusap-usapnya dengan telapak tangannya sehinggalah Baginda SAW mengangkat tangannya, dan aku langsung tidak lagi melihat kesan bisul itu di tanganku." (diriwayatkan oleh Imam Tabrani. Al Hafiz al Haithami menyebutnya di dalam Majma' al Zawa'id (Jld 8 H: 298).

Ketika Peperangan Badar sedang meletus, 'Ikrimah ibn Abu Jahal telah menetak bahu Mu'az ibn 'Amru ibn al Jamuh. Mu'az RA berkata: "Dia telah menetak tanganku hingga tanganku terkulai pada kulit lambungku. Aku berasa begitu letih, berperang dalam keadaan sedemikian. Padahal, aku telah seharian berperang dalam keadaan aku meletakkan tanganku di belakangku. Apabila aku merasa sakit, aku meletakkannya ke kakiku, kemudian aku mencabutnya sehingga aku melemparkannya." Di dalam kitab al-Mawahib disebutkan:

Mu'az ibn 'Amru membawa tangannya yang ditetak oleh 'Ikrimah ibn Abu Jahal itu ke hadapan Rasulullah SAW, sebagaimana yang disebutkan oleh al Qadhi 'Iyadh daripada Ibnu Wahhab. Lalu Rasulullah SAW meludah ke atas tangan itu. Tiba-tiba tangan yang terputus itu bersambung kembali. (Kisah di atas disebut juga oleh al Zurqani yang menyandarkannya kepada Ibnu Ishaq. Di antara yang terdapat pada sanadnya ialah Imam al Hakim.)
Sesungguhnya terlalu banyak nas-nas yang sohih menuturkan bahawa apabila sahaja mereka ditimpa musim kemarau dan tidak dituruni hujan beberapa lama, maka para Sahabat RA akan menemui Rasulullah SAW untuk memohon syafaat, bertawassul, dan meminta bantuan dengan perantaraan Baginda SAw kepada Allah SWT. Maka mereka akan menceritakan keadaan mereka dan mengadu kepada Baginda SAW bala bencana yang menimpa mereka.

Sebagai contoh, seorang Arab Badwi pernah datang kepada Rasulullah SAW ketika sedang menyampaikan khutbah Jumaat. Dia berkata, Wahai Rasulullah! Harta benda kita telah musnah dan jalan-jalan kehidupan pula telah terputus. Pohonlah kepada Allah agar Dia menurunkan hujan kepada kita!" Maka Rasulullah SAW pun berdoa kepada Allah. Lalu hujan pun turun hingga Jumaat berikutnya. (Setelah hujan turun tanpa henti) Orang Arab Badwi itu datang lagi dan berkata, "Wahai Rasulullah! Rumah-rumah kita telah musnah, jalan-jalan telah terputus, dan haiwan banyak yang telah mati kerana hujan yang terlalu lebat menyebabkan banjir. Maka Rasulullah SAW pun berdoa kepada Allah SWT. Lalu, awan pun berkurangan; dan hujan hanya turun di sekeliling Madinah sahaja. (Riwayat Bukhari dalam bab al-Istisqa')
Hassan ibn Thabit RA pernah menyeru Rasulullah SAW dan menyifatkan Baginda SAW sebagai tiang untuk bersandar dan tempat berlindung yang diharapkan perlindungannya. Beliau berkata:

"Wahai tiang tempat bersandar orang yang bersandar, tempat berlindung orang yang berlindung kepadanya, tempat meminta tolong orang yang kesusahan, dan penyelamat orang yang memohon penjagaan! Wahai makhluk pilihan Allah bagi makhlukNya! Maka Allah menganugerahkan kepadanya akhlak yang suci bersih; Engkau adalah Nabi dan sebaik-baik keturunan Adam. Wahai Nabi yang pemurah bagaikan limpahan lautan yang luas! Mikail dan Jibril selalu menyertaimu. Kedua-duanya bersedia untuk menolongmu, sebagai bantuan daripada Tuhan Yang Maha Mulia lagi Maha Perkasa." (Al-Isti'ab: 1/264).

Kesimpulannya, para Sahabat RA sering memohon Syafaat Nabi SAW. Ini menunjukkan bahawa ia adalah suatu perkara yang baik dan dibenarkan.

Selasa, 3 Mei 2011

Istighozah satukan umat


Oleh MOHD. RADZI MOHD. ZIN


PERSIS berada di Padang Mahsyar. Begitulah suasana Istighozah kubra di Masjid Agung An-Nur, Pekanbaru, Riau, Indonesia, Jumaat lalu. Ia apabila lautan manusia yang majoritinya berjubah putih berkumpul di pekarangan masjid tersebut.

Sejak subuh lagi, umat Islam di situ berkumpul beramai-ramai untuk bermunajat kepada Allah SWT supaya dipelihara daripada segala mara bahaya dan dikurniakan keselamatan dan kesejahteraan.

Majlis dimulakan dengan bacaan ayat suci al-Quran oleh tiga qari terkenal Indonesia diketuai oleh Kiai Prof. Dr. Said Aqil Hussein Munawwar yang juga bekas Menteri Agama Indonesia.

Turut hadir, Kiai Dr. Nur Muhamad Iskandar dan Gabenor Riau, Dr. H.M. Rusli Zainal.

Rombongan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) yang diketuai oleh Yang Dipertuanya, Datuk Aziz Jamaludin Mhd. Tahir turut dijemput ke majlis ini.

Alunan ayat suci al-Quran itu amat mengasyikkan apabila mereka secara bergilir-gilir membacanya dengan bertarannum.

Dimulakan dengan lagu bayaati diikuti hijaz, soba, nahwand, ras sebelum ditutup dengan lagu bayaati.

Istighozah adalah perkataan Arab yang bermaksud meminta pertolongan. Di negara-negara Arab, istighozah bermaksud doa khusus yang diucapkan oleh seorang tokoh atau ulama.

Bagaimanapun, di Indonesia, ia difahami sebagai zikir yang dilakukan secara berjemaah dan biasanya di tempat terbuka.

Tujuannya mendapat petunjuk dan pertolongan Allah SWT.

Doa-doa yang dibaca adalah yang selalunya diamalkan oleh ahli tarekat walaupun adakalanya ia ditokok-tambah dengan doa yang lain.

Istighozah juga diisi dengan tazkirah oleh ulama yang mengajak para hadirin bermuhasabah dan kembali melaksanakan perintah Allah serta menjauhi larangan-Nya.

Majlis ditutup dengan bacaan doa yang dipimpin oleh ulama secara berganti-ganti.

Di Indonesia, istighozah diadakan buat kali pertamanya pada 25 Disember 1997 secara terbuka di padang bola, Tambak Sari, Surabaya.

Sejak itu, majlis ini terus mendapat sambutan masyarakat dan dihidupkan oleh penduduk setempat di pelbagai daerah termasuk di Pekanbaru sejak tahun 2004.

Sementara itu, Kiai Dr. Nur Muhamad dalam tazkirahnya mengingatkan umat Islam agar tidak terpengaruh dengan dakyah mereka yang kononnya pengikut Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ).

Sebaliknya, kata beliau, mereka sebenarnya adalah Ahli Fitnah Wal Jamaah (AFWJ) kerana berusaha memecah belahkan umat Islam.

"Mereka mendakwa sambutan Maulid Nabi itu bidaah, Israk Mikraj itu bidaah kerana ia tidak dilakukan oleh Nabi SAW semasa hayatnya.

"Jika begitu pemahamannya, saya mencabar mereka supaya tunaikan haji naik unta atau kuda kerana Nabi SAW juga tidak menaiki kapal terbang ke Mekah," katanya.

Sementara itu, Kiai Dr. Said Aqil Hussein turut membidas golongan AFWJ dengan kiasan baru belajar satu atau dua kitab sudah mahu mengeluarkan fatwa.

"Saya sering bertanya kepada golongan ini di mana bidaahnya sambutan Maulid, Israk Mikraj, Awal Muharam, istighozah dan sebagainya.

"Cuba mereka hadir bersama-sama kita pada majlis begini. Baru mereka tahu. Yang kita baca adalah al-Quran, selawat dan zikir semuanya memuji Allah dan Nabi SAW," tegasnya.

Majlis istighozah yang dihadiri oleh kira-kira 10,000 umat Islam di Pekanbaru itu tamat pukul 10 pagi.

Allah SWT penolong hakiki


Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN

Hanya kepada Allah tempat kita berserah diri dan memohon segala pertolongan.

APABILA kita katakan adalah dibenarkan memohon syafaat daripada Nabi SAW, ini tidak menafikan kepercayaan kita dengan keyakinan yang kuat dan lazim, tanpa syak dan ragu bahawa asal sesuatu pertolongan, permohonan, doa dan permintaan itu hanyalah kepada Allah SWT.

Pada hakikatnya, Dialah Maha Penolong, Maha Pembantu dan Mengkabulkan sesuatu permintaan.

Prinsip ini ditegaskan dalam firman Allah SWT yang bermaksud: Dan janganlah engkau (wahai Muhammad) menyembah atau memuja yang lain dari Allah; yang tidak dapat mendatangkan manfaat kepadamu dan juga tidak dapat mendatangkan mudarat kepadamu. Oleh itu, sekiranya engkau mengerjakan yang demikian, maka pada saat itu menjadilah engkau dari orang-orang yang berlaku zalim (terhadap diri sendiri dengan perbuatan syirik itu). Dan jika Allah mengenakan engkau dengan sesuatu yang membahayakan, maka tiada sesiapa pun yang akan dapat menghapuskannya melainkan Dia. (Yunus: 106-107)

Firman-Nya lagi yang bermaksud: Dan tidak ada yang lebih sesat daripada orang yang menyembah sesuatu yang lain dari Allah, yang tidak dapat menyahut atau memberikan sebarang pertolongan kepadanya (daripada dunia) hinggalah hari kiamat. (al-Ahqaf: 5)

Jadi, segala bentuk ibadah semestinya ditujukan kepada Allah sahaja. Tidak harus sesuatu ibadah itu ditujukan kepada selain Allah SWT, dalam apa jua bentuk sekalipun.

Maka tidak ada nazar yang boleh dibuat kecuali kerana Allah; tidak ada doa yang dipanjatkan kecuali kepada Allah; tidak ada sembelihan yang dilakukan kecuali untuk-Nya; tidak boleh memohon pertolongan dan perlindungan kecuali kepada-Nya; tidak ada sumpah kecuali atas nama-Nya; dan tidak boleh bertawakal atau berserah diri, kecuali kepada Allah Yang Maha Suci dan Maha Tinggi daripada apa yang disifatkan oleh golongan yang mensyirikkan-Nya.

Kita mempercayai bahawa Allah adalah Pencipta semua hamba-Nya dan segala perbuatan mereka. Tidak ada satu makhluk pun selain Allah; baik yang masih hidup, mahupun yang telah mati, yang mempunyai pengaruh dan kesan dalam penciptaan tersebut.

Maka Pengurus dan Pentadbir sebenar di dalam alam ini hanyalah Allah SWT. Tidak ada satu makhluk pun yang memiliki dan menguasai walau sedikit kecuali jika Allah memberikan milik dan kekuasaan itu kepadanya dan memberikan keizinan kepadanya untuk menguruskannya.

Tidak ada seorang manusia pun yang mampu memiliki suatu manfaat atau mudarat untuk dirinya. Apatah lagi untuk orang lain, begitu juga untuk mematikan dan menghidupkan atau membangkitkan, kecuali atas apa yang dikehendaki oleh Allah mengikut keizinan-Nya.

Justeru, kemampuan memberikan manfaat atau menolak kemudaratan, semuanya itu dibatasi dengan had ini dan diikat dengan ikatan ini (kehendak dan izin daripada Allah).

Penisbahan atau penyandarannya kepada makhluk, hanyalah sebagai tasabbub (penyebab) dan takassub (pengusaha). Bukannya sebagai pencipta atau yang mengadakan, atau yang mempunyai kesan, atau sebab, atau kekuatan.

Penisbahan atau penyandaran ini pada hakikatnya hanyalah penyandaran atau penisbahan majazi (simbolik), atau kiasan belaka, bukan menurut hakikatnya.

Namun demikian, manusia berbeza-beza cara dalam mengungkapkan hakikat perkara ini. Ada di antara mereka yang keterlaluan menggunakan dan menggambarkan ungkapan majazi sehingga terjerumus ke dalam kesamaran lafaz.

Namun, ia berlepas diri daripada lafaz yang samar-samar dan tidak jelas maksudnya itu dan hatinya juga bersih serta berpegang atas tauhid yang sempurna dan menyucikan Allah daripada segala sifat yang tidak layak bagi-Nya.

Ada pula di antara mereka yang berpegang teguh dengan hakikat lafaz secara berlebihan daripada had sederhana. Maka dengan ini, sampai menyusahkan, membingungkan dan mengusutkan pemikiran orang lain untuk mengikut mereka.

Bahkan, mereka membawa orang lain kepada maksud yang tidak sebenarnya dan memaksa mereka melakukan sesuatu yang tidak diingininya. Lebih teruk lagi, mereka menghukum orang lain dengan suatu hukum yang tidak benar, sedangkan mereka membebaskan diri daripada perkara tersebut.

Sepatutnya, mereka ini mengambil sikap pertengahan, bukan sikap yang ekstrem seperti itu. Maka sikap seperti ini lebih menyelamatkan agama dan lebih berhati-hati dalam menjaga kedudukan tauhid. Wallahu a'lam.