29 September 2009 (Selasa)
Saya tidak dapat menikmati tidur dengan lena kerana asyik terjaga sahaja walaupun saya sebenarnya keletihan. Sudah menjadi kebiasaan saya, sukar untuk tidur pada malam pertama saya berada di tempat baru.
Saya terjaga seawal jam 4.50 pagi setelah azan subuh dilaungkan dari menara masjid yang berdekatan. Saya bangun untuk berwuduk terlebih dahulu sebelum mengejutkan Izzat untuk berjemaah. Setelah solat subuh yang saya imamkan selesai, Izzat terus ke bilik air untuk mandi. Manakala saya pula masih bersenang-senang diatas tilam, cuba untuk melelapkan mata buat sepicing sementara menunggu Izzat siap mandi.
Kami bersiap-siap untuk ke Desa Tosora, Wajo sebagaimana yang dirancangkan walaupun saya masih kepenatan dan keletihan. Kami turun untuk bersarapan di lobi hotel pada pukul 6.00 pagi sebelum meneruskan perjalanan kami. Saya mengambil mee goreng bersama ayam goreng dan sup sebagai sarapan pagi pada hari ini.
Tepat jam 6.20 pagi, Pak Dani tiba untuk menjemput kami. Menurut Pak Dani, perjalanan dari Kota Makassar ini ke Desa Tosoro Kabupaten Wajo itu akan mengambil masa lebih kurang 5 jam. Terbayang dalam fikiran tersebut, tempoh masa tersebut menyamai perjalanan dari Kota Bharu ke Kemaman. Namun perjalanan ke Desa Tosora ini akan melalui cerun bukit dan puncak gunung yang curam pasti akan membuatkan kami kecut perut.
Untuk keluar dari Kota Makassar ini, kami melalui lebuh raya bertol. Saya tidak pasti berapa buah tol yang telah kami lalui namun keadaan lebih raya di sini agak teruk jika hendak dibandingkan dengan kualiti lebuh raya di Malaysia . Avanza yang kami naiki bergoyang-goyang kerana keadaan jalan yang tidak rata. Manakala sistem trafiknya pula hampir menyamai sistem trafik di Thailand . Penguatkuasaan undang-undang jalan raya yang tidak setegas di Malaysia.
Mata saya masih mengantuk dan tubuh saya masih kepenatan akibat dari perjalanan semalam dan tidak cukup rehatnya. Namun begitu, saya tetap teruja untuk menziarahi makam moyang kami Syed Jamaluddin al- Akbar al-Husaini di Wajo. Oleh kerana perjalanan ini akan mengambil masa lebih kurang 10 jam pergi dan balik, Pak Dani berhenti untuk mengisi minyak, membeli minuman dan buah-buahan sebagai bekal dalam perjalanan atas permintaan Abu Aswad.
Untuk ke Wajo, kami melalui jalan yang berbukit dan sempit. Jalan raya yang agak sibuk dengan kenderaan termasuklah lori-lori. Ada kalanya kami pemandu kami terpaksa berhenti untuk memberikan laluan kepada lori yang datang dari arah bertentangan. Kami melalui selekoh- selekoh tajam dan cerun- cerun dalam yang memerlukan kemahiran dan kecekapan pemandu. Dan kami beruntung kerana Pak Dani seorang pemandu yang memenuhi ciri-ciri tersebut.
Ketika kami melalui perkampungan Bugis yang terletak di puncak gunung, Abu Aswad memberitahu bahawa orang Bugis amat kuat pegangan aqidahnya walaupun amalan syariat mereka agak longgar. Jika ada antara mereka yang murtad, maka orang tersebut bisa mati atau sakit tenat kerana dikerjakan mereka. Ianya disokong oleh Pak Dani.
Jam 8.25 pagi, Abu Aswad mengarahkan Pak Dani mencari kedai makan untuk berhenti minum bagi memberikan sedikit kerehatan kepada Pak Dani. Lalu kami berhenti untuk minum di Rumah Makan Cijantung, Jalan Poros Maros – Bone. Kami memesan dua es jeruk[1], teh ‘o’ ais dan kopi. Saya tidak memesan apa-apa makanan kerana perut masih kenyang setelah bersarapan di hotel tadi.
Kami memasuki sempadan Kabupaten[2] Bone[3] pada pukul 8.50 pagi. Sewaktu kami sampai di sebuah desa, saya lihat sekumpulan penduduk berebut-rebut mengutip buah asam yang bertaburan di atas jalan raya tanpa menghiraukan keselamatan mereka. Malah mereka memarahi kami kerana membunyikan hon kepada mereka.
Sewaktu melalui Kabupaten Soppeng, kami melihat sekumpulan penduduk yang memakai pakaian sedondong yang dikenali sebagai ‘pagar rayu’. Ianya bertujuan untuk menjemput penduduk kampung hadir ke majlis kenduri perkahwinan.
Pukul 10.40 pagi, kami memasuki Kabupaten Wajo. Mengikut keterangan Pak Dani, di sinilah terkenalnya dengan pembuatan dan penghasilan kain sutera asli. Kebanyakan rumah di sini walaupun nampak uzur, namun mereka mempunyai parabola besar yang tingginya melebihi saya. Mengikut Pak Haris (pemandu yang membawa kami semasa di Kota Palu, Sulawesi Tengah), parabola sebesar itu mampu untuk menerima 120 siaran dari seluruh dunia. Wow..hebat benar bunyinya. Tambahan lagi, mereka tidak perlu bayar apa-apa bil. Cuma keluarkan perbelanjaan untuk membeli peralatan tersebut yang berharga sekitar RM700 sahaja.
Dari jalan utama untuk ke Desa Tosora, kami perlu melalui jalan kecil yang agak teruk sejauh 10 km. keadaan berlubang dan tidak rata menyebabkan Avanza yang kami naiki terhujung- hayang. Terasa lenguh dan letih seluruh badan kami dibuai macam tu. Akhirnya kami sampai ke desa tersebut pukul 11.30 pagi.
Menurut Abu Aswad, kami perlu mendapatkan kunci makam tersebut dari kepala desa[4]. Sekarang, kawasan makam tersebut sudah dipagar dan dijaga dengan rapi tidak seperti dulu yang dibiar terbiar begitu sahaja. Kami memasuki kawasan pemakaman tersebut setelah dibuka oleh kepala desa yang seorang wanita. Terpampang dalam kawasan tersebut papan tanda yang bertulis “Maqam Assyeikh al-Habib Jamaluddin al-Akbar al-Husaini”. Allah s.w.t sahaja yang tahu perasaan saya tatkala itu bila melihat sebuah makam diantara makam-makam lain yang dipagar cantik. Kami memasuki kawasan tersebut dengan ucapan salam sebagaimana yang diriwayatkan dari satu hadis Nabi s.a.w :
وَعَنْ بُرَيْدَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ، كَانَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم يُعَلِّمُهُمْ إِذَا خَرَجُوْا إِلَى الْمَقَابِرْ أَنْ يَقُوْلَ قَائِلُهُمْ: اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ أَهْلَ الدِّيَارِ مِنَ الْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُسْلِمِيْنَ، وَإِنَّ إِنْ شَاءَ اللَّهُ بِكُمْ لاَ حِقٌوْنَ ، أَسْأَلَ اللَّهَ لَنَا وَلَكُمُ الْعَافِيَةَ. (رواه مسلم)
Dari Buraidah r.a berkata, adanya Nabi s.a.w mengajarkan para sahabatnya jika pergi ke kubur supaya membaca: Selamat sejahtera bagimu penduduk kaum Mu’minin dan Muslimin, dan kami insya Allah akan mengikuti kamu, aku mohon kepada Allah untuk kami dan kamu selamat. (Riwayat Muslim)[5]
Kami kemudiannya bertafakur di situ sejenak bagi mengenangkan perjuangan dan dakwah almarhum sehingga beliau sampai ke daerah yang jauh itu. Perjalanan kami dari Kota Makassar ke Desa Tosora, Wajo dengan berkereta itu pun mengambil masa 5 jam. Apatah lagi beliau yang datang dari Timur Tengah ke daerah pedalaman tersebut.
Dikawasan tersebut terdapat dua makam utama yang berpagar. Satunya adalah milik moyang kami al-Marhum Syed Jamaluddin al-Akbar yang bernesankan dua buah batu kuning. Sementara sebuah makam lagi bersebelahan dengan makam tersebut yang bernesankan meriam dikatakan makam milik menantu al- Marhum, Raja Wajo pertama yang memeluk Islam.
Ya Allah Ya Tuhan…
Peliharalah roh al- Marhum Syed Jamaluddin al-Akbar ini dan tempatkanlah beliau disamping para roh solihin, syuhada dan anbia yang dikasihi Mu.
Ya Allah Ya Tuhan…
Jadikanlah kami dari leluhurnya yang mulia ini sebuah generasi yang rabbani lagi kamilin. Jadikanlah kami anak cucu beliau ini sebagai pendakwah dan pejuang agamaMu sehingga hari kiamat.
Ya Allah Ya Tuhan…
Jauhilah kami anak cucunya ini dari sebarang perbuatan fasik, munkar serta musyrik kepadaMu. Janganlah ada dikalangan kami anak cucunya ini jiwa-jiwa yang jauh dari keimanan.
Ya Allah Ya Tuhan…
Jadikanlah roh al- Marhum ini dan kami yang masih hidup ini sentiasa berada di bawah rahmatMu yang Mulia..Wahai tuhan yang penuh dengan kemuliaan.
Selepas bertafakur dan berdoa sejenak di makam tua tersebut, kami melihat bekas tapak runtuhan masjid milik moyang kami. Makam itu pun sebenarnya terletak dalam kawasan tapak masjid tua. Hanya mihrab masjid sahaja yang masih kukuh berdiri di situ.
Takdir Allah s.w.t yang menentukan bahawa moyang kami akan dimakamkan di situ. Sekiranya makam dan masjid tersebut berada berdekatan dengan kami seperti di Malaysia , sudah pasti kami akan menjaganya serta membangunkan kembali sisa masjid tinggalan moyang kami tersebut.
Setelah itu kami mula keluar dari kawasan makam tersebut sementara kepala desa masih menunggu kami di muka pintu masuk makam. Setelah itu, beliau meminta kami untuk menurunkan tandatangan dalam buku pelawat yang disediakan. Menurut Abu Aswad, semasa kedatangan beliau pertama kali dahulu masih belum ada buku pelawat. Abu Aswad kemudiannya memberikan sedikit sumbangan kepada kepala desa untuk tujuan pembangunan makam tersebut.
Walaupun kami menempuh satu perjalanan yang jauh untuk sampai ke makam tersebut, namun ia cukup bererti bagi saya kerana dapat menziarahi dan melihat sendiri makam moyang kami yang mulia itu. Terlalu berat hati saya untuk meninggalkannya kerana entah bila pula saya akan datang menziarahinya kembali. Semoga Allah s.w.t memberikan saya peluang yang lain untuk datang menziarahi makam tersebut di lain kali bersama ahli keluarga kami yang lain.
Sesudah itu kami meninggalkan makam sepi tersebut dengan perasaan berat hati untuk kembali semula ke Kota Makassar. Dalam perjalanan itu, kami singgah di Kota Wajo untuk makan tengahari. Dikala itu jam telah menunjukkan pukul 12.40 tengahari. Berkebetulan pulak perut saya memang sudah diminta untuk di isi. Lalu kami singgah di Warong Sop Anda yang terletak di tengah Kota Wajo.
Abu Aswad memesan lauk untuk makan tengahari kami ini semuanya berasaskan ikan. Ikan merah goreng dan gulai ikan. Semasa kami menunggu hidangan sampai, tv Indonesia sedang menyiarkan berita tengahari mengenai kontroversi batik antara Indonesia dan Malaysia . Berita tersebut turut menyebut bahawa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah mengiktiraf batik sebagai warisan Indonesia . Ini kemudiannya diulas dalam berita tersebut bahawa batik memang berasal dari Indonesia tetapi ianya telah berkembang di Malaysia . Nampaknya kontroversi antara Malaysia dan Indonesia tidak pernah surut. Bermula mengenai isu bendera, tarian pendek dan kemudiannya batik. Entahlahlah, saya fikir ianya hanya satu isu yang kecil sahaja yang sepatutnya diselesaikan secara musyawarah anak beranak.
Semasa sedang menikmati hidangan tengahari tersebut, Abu Aswad merancang untuk menziarahi makam Syeikh Yusuf Tajul Khalwati al- Makasari, makam Pangeran Diponegoro dan makam Sultan Hasanuddin pada esok hari kerana kami masih belum mempunyai jadual khusus untuk esok. Cuma kami akan berangkat ke Kota Palu, Sulawesi Tengah dengan pesawat terbang yang dijadualkan berlepas pada pukul 3.00 petang.
Setelah itu, kami singgah untuk solat zohor jama’ taqdim di Masjid Agung Ummul Qura’ yang terletak di tengah-tengah Kota Wajo. Masjid yang cukup besar dan cantik. Solat yang diimamkan oleh Abu Aswad diruang masjid yang luas itu.
Pada pukul 2.20 petang, kami bertolak dari Kota Wajo balik semula ke Kota Makassar melalui jalan yang kami datang tadi akan mengambil masa lebih kurang 5 jam. Ahh.. sudah terbayang kepenatan yang bakal kami tempuhi sepanjang perjalanan nanti. Saya lihat wajah Pak Dani selaku pemandu sudah terbayang keletihan kerana memandu yang tidak henti-henti. Namun oleh kerana sudah menjadi kebiasaannya memandu jauh, maka dia masih lagi mampu untuk meneruskan tugasnya sebagai pemandu.
Jalan yang kami lalui untuk balik semula ke Kota Makassar ini adalah merupakan jalan yang sama kami gunakan semasa datang pagi tadi. Tapi biasanya perjalanan balik akan dirasakan lebih cepat berbanding pagi tadi. Sehinggalah kami berhenti rehat dan minum di Rumah Makan Cijantung tempat kami singgah semasa dalam perjalanan ke Kota Wajo pagi tadi. Dikesempatan ini kami mengambil peluang untuk melepaskan hajat.
Saya rasa keletihan yang amat sangat telah menguasai badan. Dalam fikiran saya sekarang ini, hanya ingin segera sampai di hotel seterusnya mandi dan kemudiannya tidur sebelum saya menyambung kembali penulisan Rehlatul Kubra yang terhenti semalam kerana laptop saya kehabisan baterinya.
Setelah menunaikan hajat, saya memesan bakso meehon dan jus mangga. Saya masih ingat pesan isteri saya sebelum datang ke sini bahawa sekarang inilah peluang untuk saya merasai bakso yang sebenar. Izzat memesan bakso sup, manakala Abu Aswad pula memesan bakso telur.
Jam 4.48 petang, kami meneruskan perjalanan untuk balik ke Kota Makassar yang masih berbaki lagi lebih kurang 2 jam. Kawasan yang paling menakutkan kami ialah sewaktu melalui puncak gunung kerana jurangnya amat curam serta jalannya sempit. Beberapa kali Pak Dani terpaksa berhenti memberikan laluan kepada lori yang datang dari arah bertentangan terutamanya sewaktu melalui selekoh yang terlalu tajam dan terhalang padangan oleh bongkah-bongkah batu besar.
Hari sudah mulai gelap dan kami berjaya melepasi puncak gunung serta sampai di kaki gunung sewaktu azan maghrib berkumandang dari menara masjid sekitar kawasan tersebut. Terbit rasa syukur di hati saya kerana Allah s.w.t telah mempermudahkan perjalanan kami hari ini.
Kami tiba di Hotel Bumi Asih, Kota Makassar pada pukul 6.45 petang. Kami berniat untuk jama’ ta’khir maghrib kerana saya ingin berehat terlebih dahulu bagi menghilangkan keletihan sehari suntuk perjalanan pergi balik antara Makassar dan Wajo.
Sesudah membersihkan diri ala kadar, saya terlelap di atas katil dalam bilik hotel. Terlalu penat sangat rasanya. Kira-kira dua jam kemudian saya bangun untuk mandi dan solat. Saya lihat Izzat juga terlena di katil sebelah.
Setelah solat jama’ ta’khir bersama Izzat, saya pinjam handphone Abu Aswad untuk hantar sms kepada isteri saya di tanah air. Saya ingin memberitahu khabar kami di sini dan juga bertanyakan khabarnya di sana . Walaupun sekadar melalui sms, namun terasa sedikit terubat rindu di hati saya kepadanya.
Kemudian saya sambung kembali penulisan Rehlatul Kubra yang terhenti semalam sehinggalah jam menunjukkan pukul 11.13 malam. Saat itu kepenatan dan keletihan kembali menguasai diri, saya sudah tidak mampu menanggungnya lagi lalu mengambil keputusan untuk tidur sahaja bagi mendapatkan tenaga dan kekuatan untuk perjalanan seterusnya esok.
Ya Allah…janganlah Engkau biarkan pada diri kami berdosa kecuali telah Engkau ampunkan, dan janganlah Engkau biarkan aib pada diri kami kecuali telah Engkau tutupi. Aku bertaubat kepadaMu Ya Rahman dari kejahatan yang telah aku perbuat. Sungguh dosa ini telah menompok dan aku mengadu padaMu ya Ilahi dari kemaksiatan- kemaksiatan yang telah menderaku dan aib- aib yang menyengsarakanku.[6]
[3] Bone adalah sebuah daerah yang terletak di Sulawesi Selatan. Bone merupakan salah sebuah kerajaan utama Bugis dari abad ke 14 hinggalah ke abad ke 19. Pada abad ke 14, di bawah pemerintahan Raja Kerrampelua, sempadan Bone diperluaskan dan ketika itu, Bone menguasai tanah-tanah yang subur. Ini menyumbang kepada kemakmuran Bone. Pada tahun 1509, Bone diserang Luwu' tetapi berjaya mengalahkan Luwu' dan berjaya memperoleh alat kebesaran Luwu' iaitu Payung Merah. Sekitar 1535, Bone bersama dengan Goa dan Soppeng menguasai Luwu'. Pada abad ke 16 pula, kerajaan ini jatuh ke tangan Makassar dan ini menyebabkan rakyat Bone merasa tidak berpuas hati dan ingin membalas dendam. Pada tahun 1667, seorang putera Bone bernama Arung Palakka mengetuai suatu serangan menyerang Makassar. (http://ms.wikipedia.org/wiki/Bone)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan