Selamat Datang

Usrah Jamadilkubra ialah rangkaian keluarga keturunan SYED JAMALUDDIN AL-AKBAR AL-HUSAINI (Wajo Makasar 1352-1415 M) BIN AHMAD JALALUDDIN SYAH (AHMAD SYAH JALAL) melalui keturunannya SYED ALI NURUDDIN ZAINUL ALAM (Ali Nurul Alam).

Selasa, 29 Disember 2009

Rehlatul Kubra (Akhir)


02 Oktober 2009 (Jumaat)
Tatkala jam menunjukkan pukul 12.00 tengah malam, kami diberitahu oleh Pak Ako bahawa makan malam kami sudah tersedia. Memang makan tengah malam la nampaknya kami. Masyarakat disini kelihatannya amat menggemari menjadikan ikan bakar dan sup tulang atau daging sebagai salah satu menu hidangan makan mereka. Ikan bakar pula memang sudah menjadi salah satu makanan kegemaran saya.

Setelah itu, kami bersembang-sembang seketika di beranda rumah penginapan sementara menunggu nasi yang kami makan tadi dapat dihadamkan. Ia mencakupi mengenai isu semasa terutamanya mengenai peristiwa kepungan ke atas Nordin Mat Top. Kami semuanya sudah mula keletihan, dan ketika itu jam sudah menunjukkan pukul 1.10 pagi.  Lalu masing-masing memohon diri untuk masuk berehat.

Namun begitu, saya mengambil peluang ini untuk meneruskan pembacaan novel Munajat Cinta 2 sehingga saya dapat selesaikannya. Kemudian, mata saya sudah mulai rasa mengantuk lalu saya memutuskan untuk tidur sahaja.

Wahai Tuhan, aku memohon kepadaMu keselamatan dalam agamaku, duniaku, keluarga dan hartaku. Wahai Tuhan, tutupkanlah segala sesuatu yang menjadi keaibanku, amankanlah ketakutan-ketakutanku, dan peliharalah daku sama ada ketika aku hidup, di belakangku, di kananku, di kiriku, di atas aku dan aku berlindung kepadaMu dari bahaya yang menimpaku dari bawahku.[1]

Wahai Tuhan, sesungguhnya aku bermohon kepadaMu dengan wasilah bahawa aku mengakui Engkaulah Allah, tiada Tuhan yang sesungguhnya melainkan Engkau. Yang Maha Esa dan menjadi tempat tujuan segala makhluk. Tiada beranak mahupun berbapa. Tiada sesuatu yang lainpun setara Engkau.[2]

Wahai Tuhan, dengan Mu kami berpagi-pagi, denganMu kami berpetang-petang, denganMu kami hidup dan denganMu kami mati serta kepadaMulah tempat kami kembali.[3]

Pagi ini, saya agak keterlewatan sedikit bangun subuh kerana badan masih lagi penat. Seusai solat subuh, saya dan Izzat kembali menyambung tidur kerana hari ini kami tidak mempunyai jadual khusus. Saya terjaga kembali dari tidur sewaktu bunyi motor Oleng mendekati rumah penginapan kami. Abu Aswad memintanya datang kembali pukul 9.30 pagi bagi memberikan kami peluang untuk mandi dan bersiap-siap sebelum dia membawa kami pusing-pusing sekitar Kota Palu.


Kami dibawa Oleng menjelajah Kota Palu pada pukul 9.20 pagi. Saya lihat para mahasiswa bertebaran di jalan raya sambil membawa sepanduk dan kotak derma sumbangan untuk mangsa gempa bumi di Sumatera Barat (Sumbar). Saya teringat mengenai sms isteri saya yang mengatakan bahawa semua keluarga di Malaysia amat risaukan keadaan kami dengan tersebarnya berita mengenai gempa bumi yang telah melanda Sumatera. Lalu saya menyuruh Izzat supaya menghantar sms melalui handphone Abu Aswad kepada uminya mengkhabarkan keadaan kami di sini agar kerisauan uminya hilang.

Abu Aswad meminta Oleh singgah dikedai menjual cenderamata dan kedai menjual alatan muzik kerana beliau mahu membeli gendang kecil untuk zapin. Setelah itu kami menuju ke Yayasan al-Khairaat untuk menemui Habib Ali al-Jufri. Namun kelihatannya beliau mempunyai tetamu kenamaan yang perlu diurus. Perkarangan Yayasan al-Khairaat dipenuhi dengan anggota polis yang sedang berkawal. Lalu kami memutuskan untuk pulang ke rumah penginapan sahaja.


Kota Palu ini secara kasarnya ialah sebuah kota lama yang masih dalam pembangunan. Bangunan serta kedainya kelihatan usang. Kebersihannya agak tidak terjaga dan nampak kotor. Sampah-sarap bertaburan dan tidak dimasukkan kedalam tong sampah dengan baik. Ia seolah-olah dibiarkan bersepah begitu sahaja di tepi jalan.

Di rumah penginapan, kami hanya sekadar berehat sahaja. Sehinggalah Habib Ali, Habib Alwi dan kawan-kawannya datang ke rumah penginapan kami. Pelbagai perkara yang kami bualkan, sementara itu keluarga Pak Ako sibuk menyiapkan makanan tengahari untuk kami.   

Setelah itu, kami dihidangkan makanan tengahari bersama-sama Habib Ali dan sahabat-sahabat beliau di rumah Pak Ako. Masih tersedia ‘Kaledo’, makanan kegemaran penduduk tempatan. Saya lihat, Habib Alwi memakan jagung rebus yang dicincah dengan sambal belacan terlebih dahulu sebelum makan nasi. Satu pandangan yang agak pelik bagi saya kerana setahu saya, masyarakat Malaysia tidak pernah makan jagung rebus yang dicincah dengan sambal belacan. Antara lauk-lauk yang turut dihidangkan ialah ikan bakar dan air asam. Ini membuatkan selera saya bertambah-tambah.


Selepas menikmati hidangan tengahari yang cukup menyelerakan, kami bersembang-sembang ditepi kolam dekat beranda rumah Pak Ako. Tidak lama selepas itu, kami minta diri untuk bersiap-siap kerana kapal terbang yang akan kami naiki akan berlepas petang nanti.

Sebelum, bertolak kami bersalaman dengan semua sahabat-sahabat yang budiman tersebut. Pak Ako, tuan rumah tumpangan yang cukup peramah dan baik hati. Oleng, pemandu kedua selepas Pak Haris yang sentiasa membawa kami kemana sahaja. Pak Haris pemandu utama yang terlalu baik hati dan sabar menemani serta membawa ke mana sahaja kami ingin pergi.

Habib Ali dan Habib Alwi telah menghantar kami ke Lapangan Terbang Kota Palu dengan dua buah kereta pada pukul 3.35 petang. Sesampai sahaja di Lapangan Terbang Bandar Udara Mutiara Kota Palu, kami terus check in. Habib Ali dan Habib Alwi serta yang lain kami salami serta peluk mereka dengan hati yang penuh mahabbah dan tautan ukhwah yang sentiasa mewangi indah sebelum masuk ke ruangan berlepas.    


Pesawat kami dijangkakan berlepas dari Kota Palu ke Makassar pada pukul 4.45 petang. Kami berdoa agar tidak berlaku sebarang kelewatan kerana penerbangan pesawat kami dari Makassar ke Sepang dijadualkan pada pukul 7.55 malam.

Lapangan terbang Bandar Udara Mutiara Palu tersebut mempunyai pemandangan yang sangat cantik kerana dikelilingi bukit-bukau yang menghijau. Saat demi saat saya terpaksa bersabar menanti. Landasan terbang masih kosong tanpa sebarang pesawat.   Ini membuatkan hati saya menjadi gundah apabila memikirkan pesawat untuk kami pulang ke tanah air dijadualkan berlepas pada pukul 7.55 malam.

Tepat pukul 4.45 petang, sebuah pesawat Merpati Nusantara telah mendarat di landasan terbang Bandar Udara Mutiara Palu. Saya fakir, itulah pesawat yang akan kami naiki ke Makassar nanti. Proses menurunkan penumpang serta bagasi turut mengambil masa. Detik jam tangan saya membuatkan saya tidak senang duduk.


Pukul 5.25 petang, satu pengumuman telah dibuat supaya penumpang yang akan ke Makassar supaya menaiki pesawat. Terasa sedikit kelegaan di hati. Namun ianya tidak lama kerana kami terpaksa menunggu dalam pesawat sehingga pukul 5.50 petang barulah pesawat yang kami naiki itu terbang menggapai awan. Doa saya, semoga kami selamat dan segera sampai di Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Hasanuddin, Makassar.

Setelah pesawat yang kami naiki tersebut stabil diudara, kami kemudiannya telah diberikan makanan ringan berupa air mineral dan roti oleh para paramugari. Dalam pada itu, satu pengumuman telah dibuat bahawa mana-mana penumpang yang memakai baju batik akan diberikan baucer percuma bernilai Rp100,000 sempena Hari Batik Nasional Indonesia tanggal 02/10/2009. Seorang penumpang disebelah saya yang memakai baju batik telah menerima baucer tersebut dari paramugari. Saya hanya sekadar mendiamkan diri sahaja sewaktu mendengar perbualan dua orang penumpang disebelah saya mengenai batik yang turut melibatkan isu antara Indonesia dan Malaysia.

الله أكبر ولله الحمد  itulah ucapan yang keluar dari mulut saya sewaktu pesawat Merpati Nusantara no: MZ 719 selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Hasanuddin, Makassar pada pukul 6.50 petang.  

Apabila penumpang dibenarkan keluar dari pesawat, kami bergegas untuk mendapatkan bagasi kerana penerbangan pesawat kami ke Kuala Lumpur dijadualkan berlepas pada pukul 7.55 malam, sedangkan ketika itu jam telah menunjukkan pukul 7.00 malam. Kami terpaksa berlari-lari dan berkejar-kejar untuk mendapatkan tiket yang telah ditempah serta untuk check in.

Dalam pada masa yang sama, saya mengambil peluang yang ada untuk mendapatkan sedikit cenderahati untuk isteri saya sebagai kenang-kenangan dari Sulawesi ini. Isteri saya lebih menyukai magnet pelekat peti sejuk atau pun mug. Tapi jenuh saya mencarinya, namun tidak dijumpai. Lalu saya memutuskan untuk membeli baju t-shirt dan pemegang kunci sahaja sebagai cenderahati.

7.55 malam, pengumuman telah dibuat meminta para penumpang pesawat Air Asia AK 587 dari Makassar ke Kuala Lumpur supaya menaiki pesawat. Berpeluh-peluh dan tercungap-cungap kami dibuatnya kerana terpaksa berkejaran.

8.08 malam, pesawat kami berlepas meninggalkan landasan terbang Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Hasanuddin, Makassar. Terasa sedikit kepiluan dihati saya untuk meninggalkan kepulauan ini tatkala terkenang bahawa ia merupakan tempat bersemadinya jasad moyang saya yang mulia Syed Jamaluddin al-Akbar al-Husaini. Entah bila saya akan datang lagi untuk menziarahi makam beliau. Semoga Allah menempatkan roh beliau disamping orang-orang yang soleh.

Perut saya terasa kosong. Kebanyakkan makanan di dalam pesawat telah habis. Jadi saya hanya sekadar memesan milo panas sahaja. Manakala Izzat, saya belikan donut. Saya sempat berkenalan dengan beberapa orang penumpang dari Indonesia yang pertama kalinya mahu ke Malaysia bersama rombongan keluarga untuk bercuti. Sewaktu saya memberitahu mereka bahawa saya berasal dari negeri Kelantan, mereka terus menjawab “Ooo..negerinya Manohara!!” Saya hanya sekadar tersenyum mendengar celoteh mereka. Antara perkara lucu berlaku ialah apabila mereka meminta sambal belacan daripada peramugari. Saya, Izzat dan abang Lie ketawa terkekeh-kekeh mendengarnya.

Kerinduan kepada tanah air semakin tidak tertanggung lagi. Sejauh ini saya tinggalkan isteri di tanah air untuk beberapa hari telah mengundang segunung rindu di jiwa saya. Saat ini, hanya Allah Taala sahaja yang tahu perasaan saya yang bercampur baur. Tidak dapat saya gambarkan dengan kata-kata, hanya ia adalah rasa yang terlalu sukar untuk dibicara.

Tepat jam 11.00 malam, pesawat yang kami naiki selamat mendarat di Lapangan Antarabangsa Kuala Lumpur, Sepang. الله أكبر ولله الحمد  itulah ucapan pertama yang keluar dari mulut saya tatkala tayar pesawat mencecah landasan terbang.   

Salam Perpisahan

Dikala gelap malam menyelubungi
Aku terbang menggapa awan tinggi
Ku tinggalkan tanah Ujung Pandang ini
Penuh kehibaan hati
Waktu terkenang keadaan diri
Tanah makam nenda jauh sekali
Entah bila ketemu lagi

Tiada ucap selamat tinggal kuberikan
Kerana ini bukanlah sebuah perpisahan
Walau jauh merentasi perbatasan
Pasti ada doa yang disampaikan
Buat asal sebuah keturunan
Yang kini dalam keabadian..

02/10/2009
Air Asia AK 587
Makassar – Kuala Lumpur

Sekian, wassalam…..


[1] Al-Asqalani, al-Hafiz Ibn Hajar, Bulughul Maram. Darul Nu’man, Kuala Lumpur. 2003. muka surat: 908
[2] Ibid, muka surat 910
[3] Ibid, muka surat: 911





Tiada ulasan:

Catat Ulasan