Selamat Datang

Usrah Jamadilkubra ialah rangkaian keluarga keturunan SYED JAMALUDDIN AL-AKBAR AL-HUSAINI (Wajo Makasar 1352-1415 M) BIN AHMAD JALALUDDIN SYAH (AHMAD SYAH JALAL) melalui keturunannya SYED ALI NURUDDIN ZAINUL ALAM (Ali Nurul Alam).

Rabu, 21 April 2010

Tajdid atau meruntuh?


Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN


MINGGU lepas, kita telah cuba memurnikan kefahaman tentang tajdid atau pembaharuan dalam Islam. Ia supaya kita tidak tersilap dalam memahami dan menghayatinya. Tersilap memahami tajdid dalam Islam bukannya perkara kecil kerana ia boleh membawa akibat yang besar.

Ia boleh menyebabkan seseorang itu menolak kesepakatan dan pandangan yang kuat dalam cabang-cabang utama agama akidah-syariah-akhlak.

Salah faham terhadap tajdid juga boleh mendorong seseorang itu memandang rendah, memperlekeh bahkan menghina tokoh-tokoh ulama pewaris Nabi SAW.

Di peringkat masyarakat dan umat pula, faham tajdid yang salah boleh menimbulkan perpecahan lantas melemahkan kekuatan dalaman dan jati diri umat. Suatu keadaan yang sentiasa ditunggu-tunggu oleh mereka yang iri hati dengan Islam.

Asas kerangka faham tajdid

Tajdid dalam Islam fokusnya adalah orang Islam, masyarakatnya dan negaranya serta bukannya fahaman dan ajaran Islam yang dijamin terpelihara sepanjang zaman.

Islam sebagai modul kehidupan bermula cemerlang dan kemudiannya berpindah dari generasi ke generasi di bawah perhatian dan pemeliharaan Rabbul Jalil sebagaimana yang selayaknya bagi risalah terakhir bagi manusia seluruhnya.

Mungkin ada yang mencebek dan menuduh naif terhadap pernyataan ini sedangkan ia sebenarnya suatu sikap sangka baik atau husnu dzan yang sangat kena pada tempatnya.

Ia adalah sikap yang berasaskan pelbagai nas-nas wahyu termasuklah ayat-ayat al-Quran yang memuji generasi para sahabat dan memperakui umat ini sebagai khaira ummah - umat terunggul.

Allah SWT sendiri juga telah mengisytiharkan kesempurnaan dan keunggulan modul ini dengan firman-Nya: Pada hari ini Aku sempurnakan bagi kamu agamamu dan Aku sempurnakan ke atas kamu nikmat-kurniaan Ku, dan Aku reda Islam itu menjadi agama kamu. (al-Maaidah: 3)

Rasullullah SAW pula mengiktiraf keunggulan generasi umat Islam dalam kurun-kurun terawal dalam memikul dan menghayati risalah ini. Keunggulan dan kehebatan generasi awal Islam sebagai juara-juara kemanusiaan dan ketamadunan juga merupakan suatu fakta sejarah yang diakui kawan dan lawan.

Bagi umat Islam beriman dan baik fitrahnya pula, ia turut menjadi suatu hakikat yang dapat dirasai di benak hati dan bukan sekadar hujah aqali.

Tajdid sekularis dan tajdid Modenis

Mengakui tentang permulaan Islam yang bercahaya sebegini akan mengenepikan hujah para 'mujaddid sekularis dan liberalis' yang sering bercakap seolah-olah ajaran Islam turut perlu melalui suatu proses pendewasaan bertahap-tahap atau evolusi sebelum ia menjadi sempurna.

Kelompok 'mujaddid sekularis dan liberalis' ini biasanya muncul dari luar. Luar dalam erti kata suara pengkaji dan pemerhati bukan Islam atau para orientalis yang menggunakan kerangka faham mereka yang asing daripada kerangka Islam. Luar juga boleh diertikan sebagai suara dari kalangan orang Islam sendiri tetapi daripada kalangan mereka yang bukan daripada latar belakang pendidikan agama.

Mereka ini juga sering mendatangi Islam dengan kerangka minda yang asing lantas gagal menilai Islam dengan neraca yang saksama. Mungkin sahaja apa yang sebenarnya sisi kekuatan pada Islam akan dilihat sebagai kelemahan dan cuba dirombak dan dihilangkan.

Contohnya, luas dan terperincinya hukum-hakam syarak mereka lihat sebagai mengongkong dan melemaskan sedangkan ia menjadi antara faktor penjamin jati diri dalaman umat.

Di sudut gelanggang yang lain, terdapat pula kelompok 'mujaddid modenis Islamis' yang muncul dalam kalangan umat Islam sendiri.

Kecenderungan ini ada juga muncul dari kalangan yang berpendidikan agama tetapi telah terhimbau dengan aliran-aliran dan tokoh-tokoh tertentu yang tidaklah mewakili arus perdana dan majoriti umat.

Berbeza dengan kelompok 'mujaddid sekularis liberalis', kelompok ini tidaklah meragui kesempurnaan Islam di kurun-kurun awalnya. Mereka masih bertolak daripada asas keimanan tetapi dengan kerangka 'tajdid' agama yang berasaskan prasangka bahawa generasi ulama selepas itu telah gagal memahami Islam dan menyampaikannya secara murni kepada generasi seterusnya.

Hanya sesudah banyak ratus tahun kemudiannya barulah muncul beberapa tokoh ulama dan pemikir Islam dalam pelbagai bidang yang membawa pendekatan memahami Islam yang mereka anggap lebih tepat dengan generasi awal atau para salafus soleh.

Inilah sebabnya mereka yang cenderung kepada aliran ini suka menggelarkan diri mereka sebagai beraliran salaf atau salafiy. Mereka juga melaungkan semboyan kembali kepada al-Quran dan al-Sunnah dengan nota kakinya: tanpa perlu perantaraan tafsiran dan huraian ulama silam.

Di antara tokoh-tokoh ulama dan pemikir yang menjadi rujukan aliran ini ialah Ibnu Taimiyyah, muridnya Ibnul Qayyim, Muhammad bin Abdul Wahhab, Muhammad Abduh, Rashid Ridha dan Nasiruddin al-Bani.

Pemikiran tokoh-tokoh mempengaruhi pengikut aliran ini ke tahap dan dengan cara yang berbeza hingga aliran ini bukanlah aliran yang tunggal dan homogenous sifatnya. Sesama pecahan aliran ini pun ada banyak percanggahan pandangan.

Adalah sukar untuk memetakan aliran yang rencam ini jika berbanding kesepaduan aliran arus perdana Islam. Walau bagaimanapun, aliran 'mujaddid modenis Islamis' ini tetap bersatu dalam keengganan mereka menerima-pakai acuan akidah-syariah-akhlak yang sudah baku hasil saringan generasi ulama silam.

Jika diteliti baik dari sudut nas wahyu mahupun fitrah yang sejahtera, kedua-dua aliran 'tajdid' yang kita sebutkan di atas adalah tidak secocok dengan Islam.

'Tajdid' sekularis jelas tidak berpijak di atas asas keimanan malah bertitik-tolak daripada kecurigaan. Sesetengahnya sampai ke tahap kebencian terhadap Islam itu sendiri. Sebagai suatu gagasan luar ia juga bercakap dengan bahasa dan istilah yang asing lantas lebih mudah dirasai kejanggalannya.

Maka rata-ratanya aliran 'tajdid' ini kurang mendapat tempat di kalangan umat yang solat dan berzakat. Khalayak awam pun cenderung menolak tanpa perlu diyakinkan dengan hujah yang panjang lebar.

Lain halnya dengan 'tajdid modenis Islamis' yang datangnya dari dalam tubuh masyarakat Islam itu sendiri. Ia berbicara dan memakai pakaian Islam. Khalayak awam mungkin sukar untuk menghuraikan di mana silap dan bezanya aliran ini dengan aliran arus perdana.

Malah sekali dengar, hujah disokong nas yang dibawa untuk mendokong 'pembaharuan' yang dibawa kedengaran berasas dan ada logiknya. Pendek kata para ustaz pun jika tidak menelaah rujukan dan perbahasan khusus tentang aliran tidak akan benar-benar jelas tentang selok-belok perbahasannya.

Ada persamaannya di sini dengan perbahasan antara Ahli Sunnah dan Syiah dalam Islam. Mereka yang tidak merujuk bahan-bahan khusus mengenainya tidak mudah untuk menanganinya.

Mereka yang meneliti tentang hakikat 'tajdid' dalaman ini akan menemukan bahawa aliran ini mempunyai datang dengan pakej yang tersendiri. Walaupun ia mungkin kelihatan berani, progresif dan dinamik dalam mengulas sesetengah persoalan semasa pada asasnya aliran ini tetap membawa bersamanya beberapa fahaman-fahaman yang bercanggah dengan kesepakatan umat dalam akidah, syariah dan akhlaknya.

Isu-isu yang diperjuangkan dan hendak ditajdidkan pula sering berada dalam ruang khilafiah yang sepatutnya tidak boleh menjadi punca pertelingkahan.

Oleh kerana isu-isu yang ditimbulkan oleh aliran 'tajdid' dalaman ini mudah menimbulkan kekeliruan dan kesamaran, polemik, perbahasan dan perdebatan terbuka bukanlah cara yang paling berkesan menanganinya.

Jika dibiarkan juga pandangan-pandangan ini disebarkan di tengah-tengah masyarakat, dalam sekian ramai yang mendengar tetap akan ada yang terpengaruh.

Ajaran yang jelas-jelas sesat seperti Ayah Pin dan 'Rasul' Kahar pun ada pengikutnya yang masih setia.

Pepatah Arab mengatakan Likulli Saaqitin Laqiit, "tiap yang gugur itu ada yang mengutipnya". Menyedari hal itu, pihak berkuasa yang sedar dan bertanggungjawab perlu bertegas mengawal fahaman-fahaman yang menyeleweng.

Ancaman terhadap pegangan agama adalah lebih berbahaya berbanding persoalan-persoalan lain.

Sebab itulah Imam Ibnu Hajar al-Haithami apabila ditanya tentang hukumnya seseorang menimbulkan keraguan terhadap imam-imam Ahli Sunnah turut memetik tindakan tegas yang diambil oleh Saidina Umar al-Khattab terhadap seorang lelaki bernama Dubay yang membahaskan ayat dan hadis mutasyabihat secara terbuka di tengah masyarakat.

Dubay ditangkap dan dihukum sebat sehinggalah dia bertaubat. Memang kelihatan keras dan tegas tetapi sesuailah dengan besarnya maslahah yang hendak dipelihara. (al-Fatawa al-hadithiyyah)

Polemik status agama Abu Talib


SUSUNAN SITI AINIZA KAMSARI

TIADA niat untuk mempolemikkan status agama bapa saudara Nabi Muhamad SAW, Abu Talib bin Abdul Mutallib yang dikatakan meninggal dunia dalam keadaan tidak beriman kepada Allah.

Tetapi ada pihak yang masih bertanyakan mengenai 'kelainan' kisah-kisah sebenar di sebalik kematian Abu Talib itu.

Ini memerlukan untuk kita melanjutkan kisah itu dari tulisan al Mubarakfuri dalam bukunya Sirah Nabawiyyah mengenai peristiwa sejurus bapa saudara baginda itu meninggal dunia.

Rasulullah SAW mungkin begitu kesal dengan kematian bapa saudaranya itu. Namun yang baginda kesalkan adalah apabila sehingga di saat kematian bapa saudaranya itu pun, Abu Jahal masih tidak berputus asa menghalang penyebaran Islam.

Walau bagaimanapun baginda menerima ketentuan yang seperti ini dan lalu berkata: "Akanku pohonkan keampunan (dari Allah) untuk mu wahai bapa saudaraku selagi aku tidak dilarang berbuat demikian".

Lalu Allah turunkan ayat surah at-Taubah, ayat 113 bagi menjawab persoalan mengenai kematian Abu Talib itu.

Firman Allah yang bermaksud: Tidaklah dibenarkan bagi Nabi dan orang-orang yang beriman, meminta ampun bagi orang-orang musyrik sekalipun orang itu kaum kerabat sendiri, sesudah nyata bagi mereka bahawa orang-orang Musyrik itu adalah ahli neraka.

Begitu juga firman Allah yang bermaksud: Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) tidak berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang engkau kasihi (supaya dia menerima Islam), tetapi Allah jualah yang berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut undang-undang peraturan-Nya) dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang (ada persediaan untuk) mendapat hidayah petunjuk (kepada memeluk Islam). (al-Qasas: 56)

Kata al Mubarakfuri, kita tidak perlu menghuraikan tentang perlindungan dan pengawalan yang selama ini diberikan oleh Abu Talib (kepada Rasulullah).

"Dia adalah kubu yang teguh memelihara dan dakwah Islamiah daripada serangan-serangan orang yang takbur dan bodoh.

"Sayangnya dia tetap berpegang kepada agama nenek moyangnya. Justeru dia tidak mendapat kejayaan yang sebenar," katanya.

Dalam hadis-hadis riwayat Al Abbas bin Abdul Mutalib, bahawa dia pernah bertanya kepada anak saudaranya, baginda Rasulullah mengenai kematian Abu Talib itu.

"Apakah engkau tidak dapat menolong bapa saudaramu sedangkan dia melindungi kamu dan marah demi keranamu," tanya Al-Abbas.

Lalu baginda menjawab: "Abu Talib berada dalam tempat yang paling cetek di neraka (hukuman paling ringan). Kalaulah tidak kerana aku, nescaya dia berada di lapisan terbawah dari neraka".

Sementara seperti yang diriwayatkan oleh Abu Said Al Khudriy, bahawa Al Abbas pernah mendengar baginda bersabda (mengenai nasib Abu Talib): "Boleh jadi ada gunanya syafaatku kepadanya pada hari kiamat kelak, di mana dia akan diletakkan dalam tempat yang cetek dari neraka sehingga sampai ke buku lalinya".

Sementara dalam bukunya, Fiqh Al-Harakah - Dari Sirah Nabawiyyah (Dewan Pustaka Fajar, 1992) Abdul Hadi Awang pula menulis bahawa menurut pendapat mazhab syiah dan beberapa orang di kalangan Ahli Sunnah Wal Jamaah bahawa Abu Talib telah menganut Islam berdasarkan beberapa riwayat yang membuktikan bahawa bapa saudara Nabi itu bukanlah meninggal dunia dalam keadaan musyrik.

Bahawa Al Abbas (r.a) telah mendengar Abu Talib pernah berkata: "Sesungguhnya aku telah mengetahui bahawa agama yang dibawa oleh Muhammad adalah agama yang paling baik (min khaira adyani) di kalangan agama-agama yang dianut oleh makhluk ini".

Mereka mempertahankan bahawa Abu Talib telah menerima Islam dengan mengemukakan beberapa alasan yang lain:

1) Abu Talib mengambil sikap mempertahankan Islam, mempertahankan Rasulullah dan mempertahankan mereka yang menganut Islam di samping keluarnya ucapan dari mulutnya yang menunjukkan betapa kasihnya kepada nabi dan para sahabatnya.

2) Abu Talib menyanjung tinggi segala tuntutan Nabi kepadanya. Tidak ada riwayat yang menunjukkan bahawa beliau pernah memuja (menyembah) berhala.

3) Diriwayatkan dari Al Abbas bahawa Abu Talib pernah mengucapkan dua kalimah syahadah. Namun para ulama hadis menolak riwayat ini hanya kerana Al Abbas pada masa itu belum lagi memeluk Islam.

Namun bagi mereka yang dapat menerima riwayat dari Al Abbas ini, cuba mempertahankannya dengan bertanya: "Adakah berani kita mengatakan Al Abbas, iaitu salah seorang lagi bapa saudara kesayangan dan dikasihi Nabi itu adalah seorang yang pembohong?"

Hadi Awang kemudiannya menukilkan pendapat Al Syaikh Muhammad Abu Zahrah (r.a) yang menegaskan: "Bahawa aku berpendapat Abu Talib bukanlah seorang Musyrik. Ini kerana mereka yang musyrik itu menyembah berhala. Sedangkan amalan Abu Talib dan termasuk juga kata-kata dan pendiriannya menunjukkan bahawa beliau berpendapat menyembah berhala itu suatu kebatilan. Oleh itu aku lebih cenderung beristighfar untuknya".

ADA sesetengah pendapat lain mengatakan bahawa Abu Talib adalah seorang Muslim apabila jenazahnya disempurnakan cara Islam.

Dikatakan setelah kering air mata baginda ekoran kesedihan atas kematian bapa saudaranya itu, dengan suara pilu lalu baginda menyuruh anak Abu Talib, iaitu Saidina Ali untuk menguruskan jenazah.

"Mandikanlah, kafanilah dan kuburkanlah! Semoga Allah mengampuni dan merahmatinya," kata baginda.

Dalam hal ini jika Rasulullah menyuruh Ali agar memandikan ayahnya bermakna hanya jenazah mereka yang Muslim sahaja layak diuruskan dengan cara itu.

Pada hal, Islam tidak membolehkan orang Islam memandikan (jenazah) orang kafir mahupun menguruskan jenazah orang kafir secara Islam.

Lalu sebagai seorang yang begitu mempunyai makna dan pengaruh yang sangat besar dalam kehidupan Nabi Muhammad, apakah hakikat sebenar mengenai status agama Abu Talib ini?

Namun yang jelas, pemergian Abu Talib sangat meninggalkan kesan yang sangat mendalam kepada diri Rasulullah.

Sehingga dalam nada yang sebak baginda berkata: "Orang-orang Quraisy tidak pernah meninggalkan sesuatu yang tidak disukai sedikitpun kepadaku sehinggalah Abu Talib meninggal (dunia)."

Yang jelas, Abu Talib tidak sekadar tokoh besar yang sangat dihormati dan dimuliakan oleh lawan dan kawan terutama di kalangan para pembesar Mekah.

Namun beliau merupakan tokoh yang tidak sekadar memberi perlindungan kepada seorang Rasul mahupun sekadar bapa saudara yang membesarkan anak saudaranya tetapi yang jelas tanpanya, Islam itu sendiri sukar untuk disebarkan.

Tiga hari kemudian iaitu selepas kematian bapa saudara kesayangan, baginda bagaikan jatuh bertimpa-timpa. Kali ini isteri kesayangan baginda, Saidatina Siti Khadijah pula menurut jejak Abu Talib.

Siti Khadijah meninggal dunia di saat baginda sedang mencari kekuatan baru selepas kematian Abu Talib.

Khadijah wafat pada tanggal 10 atau 11 Ramadan tahun ke 10 kenabian dan dimakamkan di Pemakaman Ma'la di sebuah kawasan bernama Hujun.

Rasulullah tidak melakukan solat jenazah terhadap jenazah isterinya itu kerana pada saat itu perintah untuk solat jenazah belum disyariatkan.

Namun baginda sendiri turun ke dalam makam untuk menguruskan persemadian terakhir Khadijah. Baginda juga menimbunkan tanah pada makam Khadijah.

Pada tahun 950 H, sebuah bangunan berkubah didirikan di atas makam Khadijah yang kemudiannya dibaik pulih semula pada tahun 1298H.

Namun pada hari ini, semua itu tiada lagi. Kubah dan bangunan itu telah dirobohkan.

Isnin, 19 April 2010

Maksud Pelarangan Taqlid Imam As Syafi’i


Pihak yang tidak membolehkan bermadzhab pada satu madzhab atau bertaqlid pada satu madzhab, biasanya berargumen dengan perkataan Imam As Syafi’i yang disebutkan Imam Al Muzani di awal Al Mukhtasar, yang manyatakan bahwa Imam As Syafi’i melarang siapa saja untuk taklid terhadap beliau atau terhadap selain beliau. (Lihat Mukhtashar Al Muzani, hal. 1).

Nah, apakah benar dari ungkapan tersebut, bahwa Imam As Syafi’i melarang taklid secara mutlak? Para ulama telah menjelaskan maksud dari perkataan yang dinukil Imam Al Muzani tersebut.

Saat menjelaskan tingkatan mufti, An Nawawi menjelaskan mengenai karakter mufti muntasib, yakni mereka menisbatankan diri kepada madzhab, namun tidak taklid kepada madzhab imam atau dalilnya, akan tetapi masih menggunakan metode Imam untuk melakukan ijtihad. Kemudian beliau menukil pendapat Ibnu Shalah dan As Sinji.

Hafidz Ibnu Shalah mengatakan bahwa para sahabat As Syafi’i tidak bergabung kepada madzhab Syafi’i secara taqlid, akan tetapi karena mereka menilai metode ijtihad dan qiyas As Syafi’i lebih unggul. Hingga mereka mengambil kesimpulan hukum dengan metode As Syafi’i.

Abu Ali As Sinji, juga mengatakan,”Kita mengikuti As Syafi’i dan bukan yang lainnya, karena kami menilai bahwa pendapat beliau lebih rajih dan adil, bukan karena kami taklid kepada beliau.”

Kemudian Imam An Nawawi mengatakan,”Yang beliau berdua katakan, sesuai dengan apa yang telah diperintahkan As Syafi’i dan Al Muzani di awal Al Mukhtashar dan di tempat lainnya kepada mereka, untuk tidak bertaklid kepada beliau atau selainnya.

Dari penjelasan Imam An Nawawi bisa disimpulkan, bahwa yang dimaksud tidak bertaqlid dalam ucapan itu, bukan berarti tidak bergabung dalam madzhab secara mutlak. Namun sampai pada tingkatan mjtahid madzhab.

Seruan untuk Tidak Bertaklid Tak Sesuai dengan Kondisi Para Imam

Ibnu Shalah sendiri mengatakan bahwa seruan meninggalkan taqlid dari para Imam bukan perkara yang mutlak,”Seruan untuk tidak bertaklid kepada mereka (para imam) secara mutlak bukanlah dakwaan yang lurus, dan tidak sesuai dengan apa yang diketahui dari keadaan mereka atau mayoritas dari mereka. (Lihat, Al Majmu’ 1/72).

Dari paparan di atas bisa disimpulkan bahwa pelarangan Imam As Syafi’i di atas tidak bisa dijadikan dalih untuk melarang bermadzhab. Karena para mujtahid muntasib sekalipun tetap menisbatakan diri kepada madzhab, dan memakai metode imam madzhab. Ulama As Syafi’iyah yang mengakui sampai pada derajat ini adalah Imam Abu Ishaq As Syairazi, penulis Al Muhadzdzab.

Pun pula ungkapan itu tidak bisa dijadikan dasar untuk melarang taqlid secara mutlak, sebagaimana disebutkan Ibnu Shalah. Dan faktanya, tidak semua orang memiliki kemampuan untuk berijtihad, baik dengan metode imam, apalagi membuat metode sendiri. Imam An Nawawi menyebutkan bahwa setelah masa As Syafi’i tidak ada mujtahid mustaqil, yang memiliki metode ijtihad sendiri (Al Majmu’ 1/72). Sehingga, bagi yang tidak mampu sampai kepada derajat itu, tidak bisa dipaksa atau memaksakan diri untuk berijtihad.

Jangankan untuk menjadi mufti muntasib, menjadi mufti muqallid pun bukanlah hal mudah, karena yang bersangkutan harus mengetahui pandangan madzhab yang dianutnya, baik pada masalah yang jelas maupun persoalan yang pelik. Mengetahui pendapat imam maupun cabang-cabang persoalan dari para ulama mujtahid dalam madzhabnya. Mufti semacam ini oleh Imam An Nawawi disebut sebagai mufti tingkatan ke lima atau terakhir. Dan semua tingkatan mufti, baik mustaqil, muntasib atau muqallid harus memiliki pengetahuan yang dimiliki oleh mufti muqallid (Al Majmu’, 1/72).

Rujukan:

Mukhtashar Al Muzani, Dar Al Fikr, cet. 2002
Al Majmu’ Syarh Al Muhadzdzab, Dar Al Fikr, Dr. Mahmud Al Mathraji, cet. 2005

Dipetik dari Al Manar

Selasa, 13 April 2010

Polemik tajdid dan pembaharuan


Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN


ABDUL Malik Karim Amrullah atau Hamka adalah antara tokoh yang sering dikaitkan dengan gerakan tajdid.

DI antara isu yang sering menjadi punca tergelincir langkah dalam memahami dan menghayati Islam adalah isu tajdid atau pembaharuan dalam agama.

Jika tidak berhati-hati dan tanpa perlindungan Ilahi, ramai yang mungkin terkeliru dalam beberapa persoalan pokok berkaitan soal pembaharuan ini.

Antara persoalan pokok di sekitar tajdid termasuklah falsafah pembaharuan yang sahih dan diterima dalam Islam, skop atau ruang untuk pembaharuan dan kaedah serta manhaj untuk pembaharuan agama.

Akhirnya pemahaman terhadap semua persoalan ini akan memandu kita mengenalpasti siapakah para mujaddid atau pembaharu sebenar, dulu dan kini.

Kekeliruan dalam soal ini mudah berlaku kerana sering ada pihak yang cuba bercakap atas nama pembaharuan kalaupun mereka dan aliran pemikiran mereka menyimpang daripada fahaman tajdid yang murni dalam Islam.

Ringkasnya mereka ini cuba berselindung dan memanipulasi tajdid dalam usaha mereka meminggirkan aliran yang tidak selari dengan mereka agar merekalah yang akan mendominasi fahaman agama di kalangan masyarakat.

Jika mereka ini agresif dan bijak memainkan lagu mereka ini tidak mustahil ramai orang awam yang akan terpengaruh.

Tidak mudah sebenarnya untuk mengambil sikap yang tepat dalam hal ini kerana isu tajdid agama ini merupakan persoalan kompleks yang memerlukan kajian dan kepakaran.

Falsafah tajdid

Istilah tajdid atau renewal memang punya imej dan daya tarikannya secara semulajadi kerana ia membawa makna-makna yang positif dan segar.

Ditambah apabila mengingatkan kalimah dan konsep tajdid ada disebut oleh Rasulullah dalam hadis yang menjanjikan suatu berita gembira untuk umat Islam, "Sesungguhnya Allah (SWT) akan membangkitkan dari kalangan umat ini dipermulaan setiap kurun mereka yang akan mentajdidkan agama umat ini." (riwayat Abu Dawud, al-Hakim dan al-Baihaqi)

Hadis ini adalah antara yang popular kerana berita baik yang terkandung di dalamnya. Cuma, harus diingat, seperti mana-mana nas al-Quran mahupun Sunnah perlulah difahami dan ditafsirkan mengikut maksudnya yang sebenar.

Walaupun hadis ini ada menyebut pembaharuan agama tetapi ia mestilah merujuk kepada faham dan konsep tajdid yang khusus dalam Islam. Hakikat dan sejarah Islam adalah berbeza berbanding agama-agama lain.

Kita meyakini bahawa Islam bermula sempurna dan murni sejak generasi awalnya lagi. Malah kurun-kurun awal Islam adalah diiktiraf oleh hadis Nabi sebagai era terbaik bagi Islam.

Jadi umat Islam sebagai umat pilihan sudah dibekalkan acuan dan panduan terbaik dari peninggalan generasi awalnya. Maka falsafah Islam tentang tajdid harus setia kepada hakikat ini.

Tajdid dalam Islam adalah suatu usaha untuk menghayati dan menterjemahkan dengan sebaik mungkin acuan Islam yang ditinggalkan oleh generasi awal umat ini. Risalah Islam itu sendiri tidak perlukan perubahan (taghyir) ataupun reformasi (islah) kerana ia sudah sedia lengkap, murni dan utuh.

Taghyir dan islah hanya layak untuk orang Islam yang lalai agar mereka berubah dan mengislah diri kembali mengikut fahaman Islam sebenar.

Adapun agama Islam itu sendiri sebagai risalah yang terakhir tetap dijamin kesinambungan dan keterpeliharaannya sepanjang zaman. Islam terpelihara dengan kehadiran para ulama yang dinobatkan oleh Nabi SAW sebagai para pewarisnya yang sah.

Ilmu-ilmu dan kefahaman agama pula sebagai inti dan paksi agama Islam dijamin hanya akan beredar di kalangan para ulama yang berkeperibadian adil dan jujur.

Mereka ini akan berperanan memelihara fahaman agama ini daripada gangguan aliran yang batil, melampau dan menyeleweng.

Janji dan jaminan tentang hal ini yang kita temui dalam al-Quran dan Sunnah ternyata menjadi kenyataan. Di sepanjang sejarah Islam, sentiasa muncul barisan ulama menjuarai pelbagai disiplin ilmu Islam dengan tradisi menyusun, memperkembangkan dan memperjelaskan lagi acuan Islam yang ditinggalkan oleh Rasulullah SAW dan para Salaf al-Soleh.

Mengenali diri peribadi dan keterampilan para ulama muktabar ini, kita memandang mereka dan khazanah ilmiah yang mereka tinggalkan sebagai jelmaan janji Allah SWT dan Rasul-Nya SAW yang sekali-kali tidak akan membiarkan umat ini tanpa panduan yang benar sepanjang hayatnya. Malah hadis mujaddid itu sendiri merupakan sebahagian daripada janji Ilahi ini.

Tajdid agama dalam hadis ini perlu difahami dalam kerangka sejarah dan perkembangan tiga aspek agama iaitu Islam, iman dan ihsan seperti yang dinyatakan dalam hadis Jibril yang masyhur itu.

Aspek Islam, iman dan ihsan ini dihuraikan di bawah ilmu-ilmu syariah/fiqh, akidah/tauhid dan akhlak/tasauf.

Ketiga-tiga cabang ilmu agama ini yang hakikatnya diasaskan oleh Rasulullah SAW sendiri berdasarkan wahyu telah berkembang dengan cemerlang di tangan para ulama Islam sehingga muncul sebagai disiplin ilmu yang baku dan tersusun rapi.

Pada masa yang sama ilmu-ilmu ini mengandungi aspek dinamika dan keanjalan yang menyebabkannya mampu untuk memenuhi tuntutan pelbagai zaman dan situasi.

Para pengkaji dan pemerhati yang jujur akan bersetuju bahawa sesudah dikembang dan disusun oleh para ulama muktabar umat ini, fahaman Islam arus perdana dan muktabar atau yang dinamakan Ahlus Sunnah wal Jamaah boleh disimpulkan kepada yang berakidahkan acuan akidah Asha'rah-Maturidiyyah, bersyariahkan mazhab-mazhab yang muktabar dan bertasauf dalam akhlaknya.

Mengambil kira hakikat ini, tidak hairanlah jika dalam senarai utama para mujaddid sepanjang kurun yang dikemukakan oleh para ulama muktabar seperti Imam Jalaluddin al-Suyuti (m.911H) dan Shah Waliyyullah al-Dehlawi (1176H) kita melihat nama-nama Imam Abul Hassan al-Ash'ariy, al-Shafi'ie, al-Ghazali dan lain-lainnya yang memang merupakan arkitek-arkitek utama penyusunan, pembakuan dan perkembangan ilmu-ilmu Islam ini sepanjang kurun yang lampau.

Susulan perbahasan di atas, tumpuan sebenar tajdid dan pembaharuan dalam Islam adalah kefahaman dan penghayatan umat Islam dan bukannya terhadap fahaman Islam itu sendiri.

Sebagai muslim, kita meyakini fahaman dan ilmu-ilmu Islam yang ada pada kita adalah fahaman dan manhaj terbaik yang dikurniakan Allah kepada kita.

Ruang dan batas apa yang haram dan halal, yang baik dan buruk semuanya tersedia di hadapan kita. Ruang perkara-perkara khilafiah yang dibolehkan kita berbeza pegangan padanya juga jelas di hadapan kita.

Perkara-perkara yang jelas haram, halal atau khilafiah tidak patut dijadikan bahan untuk ditajdidkan atau dibahaskan lagi oleh para mujaddid hakiki.

Mengenal mujaddid sebenar

Hasil perbahasan ini, bolehlah disimpulkan para mujaddid sebenar dalam Islam ialah mereka yang berjaya memimpin umat Islam sepanjang kurun yang silih-berganti agar memperbaharui iltizam dan penghayatan mereka terhadap akidah/tauhid, syariah/fiqh dan akhlak/tasauf yang benar dan murni.

Apabila umat Islam mengikut pimpinan dan panduan para mujaddid maka agama akan terpelihara dan berkembang. Mereka juga mampu mencapai ketamadunan yang hebat seperti kemunculan Islam sebagai salah satu tamadun agung dunia.

Kesetiaan umat Islam dengan manhaj para mujaddid sebenar umat ini juga menjadi rahsia di sebalik episod-episod tertentu yang gemilang dalam sejarah Islam seperti kejayaan generasi Sultan Salahuddin al-Ayyubi dan Sultan Muhammad al-Fateh.

Kesimpulan yang kita kemukakan ini tidak akan mampu menghalang aliran-aliran pinggiran umat ini untuk tetap mendakwa dan bercakap atas nama tajdid dan pembaharuan.

Tajdid dan pembaharuanlah jenama yang paling laku dalam mereka cuba mengalih perhatian umat daripada khazanah keagungan ilmu-ilmu Islam kepada pegangan mereka yang pada hakikatnya janggal dan asing.

Mereka ini akan menjulang nama-nama tokoh yang dikenali masyarakat yang dirasakan dapat mendokong pegangan mereka.

Dalam masyarakat kita, nama-nama seperti Zaaba, Hamka, Syed Sheikh al-Hadi dan seumpamanya yang dikenali oleh masyarakat kerana sumbangan mereka yang tersendiri turut digunakan tanpa mendedahkan keseluruhan sisi dan kedudukan sebenar tokoh-tokoh ini. Aspek-aspek kontroversi tokoh-tokoh ini disembunyikan.

Khalayak awam yang kurang teliti mungkin terpengaruh kerana terhimbau dengan kemasyhuran tokoh-tokoh ini tanpa mampu menilai mereka dengan tepat dalam kerangka faham tajdid agama sebenar seperti yang kita sentuh dalam makalah ini.

Selasa, 6 April 2010

Perbezaan Mujtahid Bukan Untuk Berpecah-belah


Oleh Hasliza Hassan
hasliza@bharian.com.my   2010/04/06

Taklid mazhab penyelesaian terbaik rungkai masalah ummah mengikut peredaran zaman

PEMIKIRAN anti mazhab dibawa ulama modenis-reformis menyebabkan timbulnya kesangsian terhadap ilmuwan silam termasuk ulama sejati yang dikatakan seolah-olah membekukan daya cipta masyarakat Islam dan fahaman taklid dituduh membantutkan akal serta pemikiran masyarakat Islam.

Pengarah Pusat Kajian Ekonomi dan Kemasyarakatan Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Dr Mohd Sani Badron, berkata kelompok itu bercita-cita mendirikan jaringan aliran baru berdasarkan fahaman sendiri yang merujuk terus kepada al-Quran dan al-Sunnah.
Katanya, usaha mereka itu berlawanan aliran lama yang bertaklid kepada mujtahid mazhab yang berusaha menangani masalah besar terkandung dalam risalah Nabi Muhamad SAW sebagai rahmat membawa manfaat untuk manusia seluruhnya.

“Apa yang cuba dibawakan mereka adalah mempersoalkan perkara remeh yang dijadikan masalah besar dan tindakan itu amat memalukan apabila masyarakat melihat golongan agama hanya membahaskan, tidak membaca qunut atau talkin.

“Imam mujtahid seperti Abu Hanifah, Malik, Ibn Hanbal dan Al-Syafi’e memainkan peranan menyelesaikan persoalan yang timbul dalam perhubungan orang Islam pelbagai kaum dan antara orang Islam dengan bukan Islam,” katanya pada Muzakarah Pakar Adab Terhadap Mazhab: Masalah dan Penyelesaian anjuran IKIM.

Beliau yang membentangkan kertas kerja bertajuk ‘Puak Anti Mazhab: Beberapa Pengamatan’ berkata tindakan memperbesarkan perkara kecil menyebabkan masalah besar yang benar-benar membelenggu ummah gagal ditangani.

Selain itu katanya, kebelakangan ini banyak pihak suka mengeluarkan pandangan peribadi memberi hukum berasaskan hawa nafsu dan lebih teruk apabila dikelirukan isu popular seperti kepentingan hak asasi manusia atau kebebasan bersuara.

Mohd Sani berkata, Islam tidak menentang perbezaan pendapat dengan syarat ia bukan mengikut hawa nafsu tetapi merujuk kepada sumber sama, cuma berbeza dari segi pendekatan sudut pandangan.

Antara mazhab katanya, perbezaan pandangan bukan dengan menambah perkara baru tetapi pada cara memahami, mengesahkan nas serta menetapkan hukum daripada makna terkandung dalam nas yang sama.

Malah, pandangan pertama tidak bertentangan dengan pandangan kedua tetapi digarap untuk menjawab dua perkara berbeza bukan disebabkan hukum berbeza, sebaliknya zaman atau perkembangan semasa yang berlainan.

“Perpaduan umat terjamin apabila ada kesatuan pemikiran iaitu faham bahawa dua orang mujtahid boleh berbeza kesimpulan dalam pelbagai masalah dan kedua-dua kesimpulan adalah fiqh yang sah,” katanya.

Mohd Sani berkata, hala tuju golongan agama terdiri daripada imam mujtahid adalah jelas kerana 60 peratus daripada ratusan ribu huraian isu syariah meliputi keperluan awam serta negara, perundangan syariah dan muamalah.

Contohnya, apabila Imam Abu Yusuf mengarang kitab al-Kharaj, beliau memberi panduan kepada Khalifah Harun al-Rashid mengenai hasil pendapatan negara termasuk mengenai pembahagian tanah berdasarkan nilai dan produktivitinya, perbezaan kadar hasil, perbezaan status petani yang dihurai secara menyeluruh dengan undang-undang sangat tersusun.

Katanya, imam mujtahid memberi jawapan yang memuaskan bukan hanya kepada soal bacaan Yasin malam Jumaat dan bilangan rakaat solat tarawih tetapi bagaimana untuk menyatukan umat Islam dalam mendepani undang-undang dan tatacara asing dalam urusan pentadbiran masyarakat.

“Wawasan mereka adalah mewujudkan garis panduan asas yang boleh diguna pakai dalam mendepani tahap perkembangan masyarakat dan kemajuan akal manusia. Mereka memahami kehidupan sentiasa berjalan akan menimbulkan banyak perubahan yang perlu ditangani ijtihad bersandarkan al-Quran dan al-Sunnah,” katanya.

Katanya, menyempitkan konsep ilmu menyebabkan ulama sibuk bertengkar serta memeningkan kepala mengenai perkara kecil yang menimbulkan perselisihan sia-sia dan tidak menguntungkan ummah.

Sepatutnya, isi kandungan al-Quran, al-Sunnah dan khazanah ilmu huraian imam mujtahid dimanfaatkan dalam mengenal pasti permasalahan sebenar dan mencari penyelesaian untuk diterjemahkan dalam polisi negara demi kepentingan masyarakat.

Itulah sepatutnya usaha golongan agama yang tidak henti-henti meningkatkan sumbangan kepada pembangunan ummah melalui pencarian hukum penyelesaian terbaik dan perundangan alternatif hingga wujud keseimbangan ilmu dunia, sains dengan nilai kehidupan.

Mohd Sani berkata, mazhab menyediakan untuk umat Islam ribuan jawapan yang betul berasaskan ilmu kepada soalan bagaimana mentaati Allah secara terperinci selain memutus serta menghurai perintah al-Quran dan sunnah mengikut kes demi kes.

Bagaimanapun katanya, dalam konteks bertaqlid hendaklah berasaskan ilmu bukan secara membuta tuli seperti anak guam mengikut peguam, ahli perniagaan mengikut akauntan dan pesakit mengikut nasihat doktor.

“Mazhab bukan hasil kerja seorang mujtahid tetapi himpunan sarjana yang meneliti syariah melalui pembahagian tugas dan pengkhususan dalam jangka waktu panjang bagi menghasilkan karya perundangan lebih baik untuk menawarkan Islam sebagai sistem hidup yang padu,” katanya.

Sementara itu, Felo Kehormat Institut Pemikiran dan Tamadun Antarabangsa (ISTAC), Dr Uthman El Muhammady, berkata amalan bermazhab adalah jalan beragama bagi yang bukan mujtahid seperti bidang kehidupan lain iaitu mereka mampu memimpin menjadi pemimpin sementara yang tidak mampu termasuk golongan dipimpin.

Namun, dalam kehidupan bermazhab hendaklah memahami adabnya antaranya menghormati perbezaan pendapat yang berlaku supaya menjadi rahmat yang memberi kebaikan kepada semua bukan menimbulkan masalah.

“Manusia ada yang mempunyai kelebihan ilmu dan ada yang tidak. Maka yang mempunyai kelebihan ilmu serta akal, memimpin mereka yang lain dalam hal kehidupan termasuk perkara agama yang menyentuh hidup abadi,” katanya