Selamat Datang

Usrah Jamadilkubra ialah rangkaian keluarga keturunan SYED JAMALUDDIN AL-AKBAR AL-HUSAINI (Wajo Makasar 1352-1415 M) BIN AHMAD JALALUDDIN SYAH (AHMAD SYAH JALAL) melalui keturunannya SYED ALI NURUDDIN ZAINUL ALAM (Ali Nurul Alam).

Selasa, 6 April 2010

Perbezaan Mujtahid Bukan Untuk Berpecah-belah


Oleh Hasliza Hassan
hasliza@bharian.com.my   2010/04/06

Taklid mazhab penyelesaian terbaik rungkai masalah ummah mengikut peredaran zaman

PEMIKIRAN anti mazhab dibawa ulama modenis-reformis menyebabkan timbulnya kesangsian terhadap ilmuwan silam termasuk ulama sejati yang dikatakan seolah-olah membekukan daya cipta masyarakat Islam dan fahaman taklid dituduh membantutkan akal serta pemikiran masyarakat Islam.

Pengarah Pusat Kajian Ekonomi dan Kemasyarakatan Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Dr Mohd Sani Badron, berkata kelompok itu bercita-cita mendirikan jaringan aliran baru berdasarkan fahaman sendiri yang merujuk terus kepada al-Quran dan al-Sunnah.
Katanya, usaha mereka itu berlawanan aliran lama yang bertaklid kepada mujtahid mazhab yang berusaha menangani masalah besar terkandung dalam risalah Nabi Muhamad SAW sebagai rahmat membawa manfaat untuk manusia seluruhnya.

“Apa yang cuba dibawakan mereka adalah mempersoalkan perkara remeh yang dijadikan masalah besar dan tindakan itu amat memalukan apabila masyarakat melihat golongan agama hanya membahaskan, tidak membaca qunut atau talkin.

“Imam mujtahid seperti Abu Hanifah, Malik, Ibn Hanbal dan Al-Syafi’e memainkan peranan menyelesaikan persoalan yang timbul dalam perhubungan orang Islam pelbagai kaum dan antara orang Islam dengan bukan Islam,” katanya pada Muzakarah Pakar Adab Terhadap Mazhab: Masalah dan Penyelesaian anjuran IKIM.

Beliau yang membentangkan kertas kerja bertajuk ‘Puak Anti Mazhab: Beberapa Pengamatan’ berkata tindakan memperbesarkan perkara kecil menyebabkan masalah besar yang benar-benar membelenggu ummah gagal ditangani.

Selain itu katanya, kebelakangan ini banyak pihak suka mengeluarkan pandangan peribadi memberi hukum berasaskan hawa nafsu dan lebih teruk apabila dikelirukan isu popular seperti kepentingan hak asasi manusia atau kebebasan bersuara.

Mohd Sani berkata, Islam tidak menentang perbezaan pendapat dengan syarat ia bukan mengikut hawa nafsu tetapi merujuk kepada sumber sama, cuma berbeza dari segi pendekatan sudut pandangan.

Antara mazhab katanya, perbezaan pandangan bukan dengan menambah perkara baru tetapi pada cara memahami, mengesahkan nas serta menetapkan hukum daripada makna terkandung dalam nas yang sama.

Malah, pandangan pertama tidak bertentangan dengan pandangan kedua tetapi digarap untuk menjawab dua perkara berbeza bukan disebabkan hukum berbeza, sebaliknya zaman atau perkembangan semasa yang berlainan.

“Perpaduan umat terjamin apabila ada kesatuan pemikiran iaitu faham bahawa dua orang mujtahid boleh berbeza kesimpulan dalam pelbagai masalah dan kedua-dua kesimpulan adalah fiqh yang sah,” katanya.

Mohd Sani berkata, hala tuju golongan agama terdiri daripada imam mujtahid adalah jelas kerana 60 peratus daripada ratusan ribu huraian isu syariah meliputi keperluan awam serta negara, perundangan syariah dan muamalah.

Contohnya, apabila Imam Abu Yusuf mengarang kitab al-Kharaj, beliau memberi panduan kepada Khalifah Harun al-Rashid mengenai hasil pendapatan negara termasuk mengenai pembahagian tanah berdasarkan nilai dan produktivitinya, perbezaan kadar hasil, perbezaan status petani yang dihurai secara menyeluruh dengan undang-undang sangat tersusun.

Katanya, imam mujtahid memberi jawapan yang memuaskan bukan hanya kepada soal bacaan Yasin malam Jumaat dan bilangan rakaat solat tarawih tetapi bagaimana untuk menyatukan umat Islam dalam mendepani undang-undang dan tatacara asing dalam urusan pentadbiran masyarakat.

“Wawasan mereka adalah mewujudkan garis panduan asas yang boleh diguna pakai dalam mendepani tahap perkembangan masyarakat dan kemajuan akal manusia. Mereka memahami kehidupan sentiasa berjalan akan menimbulkan banyak perubahan yang perlu ditangani ijtihad bersandarkan al-Quran dan al-Sunnah,” katanya.

Katanya, menyempitkan konsep ilmu menyebabkan ulama sibuk bertengkar serta memeningkan kepala mengenai perkara kecil yang menimbulkan perselisihan sia-sia dan tidak menguntungkan ummah.

Sepatutnya, isi kandungan al-Quran, al-Sunnah dan khazanah ilmu huraian imam mujtahid dimanfaatkan dalam mengenal pasti permasalahan sebenar dan mencari penyelesaian untuk diterjemahkan dalam polisi negara demi kepentingan masyarakat.

Itulah sepatutnya usaha golongan agama yang tidak henti-henti meningkatkan sumbangan kepada pembangunan ummah melalui pencarian hukum penyelesaian terbaik dan perundangan alternatif hingga wujud keseimbangan ilmu dunia, sains dengan nilai kehidupan.

Mohd Sani berkata, mazhab menyediakan untuk umat Islam ribuan jawapan yang betul berasaskan ilmu kepada soalan bagaimana mentaati Allah secara terperinci selain memutus serta menghurai perintah al-Quran dan sunnah mengikut kes demi kes.

Bagaimanapun katanya, dalam konteks bertaqlid hendaklah berasaskan ilmu bukan secara membuta tuli seperti anak guam mengikut peguam, ahli perniagaan mengikut akauntan dan pesakit mengikut nasihat doktor.

“Mazhab bukan hasil kerja seorang mujtahid tetapi himpunan sarjana yang meneliti syariah melalui pembahagian tugas dan pengkhususan dalam jangka waktu panjang bagi menghasilkan karya perundangan lebih baik untuk menawarkan Islam sebagai sistem hidup yang padu,” katanya.

Sementara itu, Felo Kehormat Institut Pemikiran dan Tamadun Antarabangsa (ISTAC), Dr Uthman El Muhammady, berkata amalan bermazhab adalah jalan beragama bagi yang bukan mujtahid seperti bidang kehidupan lain iaitu mereka mampu memimpin menjadi pemimpin sementara yang tidak mampu termasuk golongan dipimpin.

Namun, dalam kehidupan bermazhab hendaklah memahami adabnya antaranya menghormati perbezaan pendapat yang berlaku supaya menjadi rahmat yang memberi kebaikan kepada semua bukan menimbulkan masalah.

“Manusia ada yang mempunyai kelebihan ilmu dan ada yang tidak. Maka yang mempunyai kelebihan ilmu serta akal, memimpin mereka yang lain dalam hal kehidupan termasuk perkara agama yang menyentuh hidup abadi,” katanya

Tiada ulasan:

Catat Ulasan