Selamat Datang

Usrah Jamadilkubra ialah rangkaian keluarga keturunan SYED JAMALUDDIN AL-AKBAR AL-HUSAINI (Wajo Makasar 1352-1415 M) BIN AHMAD JALALUDDIN SYAH (AHMAD SYAH JALAL) melalui keturunannya SYED ALI NURUDDIN ZAINUL ALAM (Ali Nurul Alam).

Selasa, 1 Jun 2010

Tasauf: Antara syariat, hakikat dan tarekat


Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN

PADA minggu lepas, kita telah menekankan tentang tasauf sebagai ilmu yang membincangkan tentang rukun Ihsan dan juga hakikat agama Islam.

Kita juga telah menunjukkan bahawa istilah hakikat telah pun digunakan untuk merujuk kepada tahap keimanan yang tinggi yang dicapai oleh seorang yang benar-benar beriman.

Inilah yang tergambar daripada pertanyaan Nabi SAW kepada Muaz r.a yang telah kita petik serta hadis lain yang hampir sama isinya melibatkan seorang sahabat, Harithah r.a.

Formula utamanya adalah, syariat sebagai asas, manakala tarekat adalah wasilah dan hakikat pula ialah buah atau hasilnya. Tiga perkara ini sebenarnya saling melengkapi dan sebati.

Sesiapa yang berpegang dengan syariat, akan melalui tarekat, dan seterusnya akan sampai kepada hakikat. Tidak ada di antaranya pertentangan dan percanggahan.

Oleh kerana inilah, ahli sufi berkata di dalam kaedah mereka yang masyhur: "Setiap hakikat yang bersalahan dengan syariat, maka ia adalah zindiq".

Bagaimana boleh dikatakan hakikat menyanggahi syariat, sedangkan hakikat lahir daripada proses melaksanakan syariat? (Sheikh Abdul Qadir Isa, Haqaiq 'An al-Tasawwuf, H. 475)

Untuk menjelaskan hubungan di antara syariat dan hakikat, di sini dikemukakan satu contoh.

Misalnya solat; pergerakan dan perbuatan zahir berserta rukun-rukun dan syarat-syaratnya adalah faktor syariat yang menjadi jasad solat. Ada pun hadir hati bersama Allah di dalam solat pula merupakan faktor hakikat yang menjadi roh solat.

Amalan yang dilakukan dalam solat merupakan jasadnya, manakala khusyuk dalam solat adalah rohnya.

Apakah faedahnya jasad tanpa roh dan apakah hubungan di antara kedua-duanya? Sebagaimana roh memerlukan kepada jasad untuk mendirikan solat, begitu jugalah jasad memerlukan roh untuk tujuan tersebut.

Oleh kerana itulah, Allah SWT telah berfirman: Dirikanlah solat dan tunaikanlah zakat. (al-Baqarah: 110). Solat tidak dapat dilaksanakan dengan sebenar-benarnya melainkan dengan roh dan jasad.

Oleh sebab itulah, di dalam firman Allah di atas, tidak disebut: 'solatlah', tetapi disebut 'dirikanlah solat'.

Daripada sini terdapat hubungan yang erat di antara syariat dan hakikat sebagaimana eratnya hubungan roh dan jasad. Oleh itu, orang Mukmin yang sempurna ialah yang menghimpunkan di antara syariat dan hakikat.

Inilah inti seruan para ahli sufi kepada umat manusia sebagai mengikut kesan dan jejak Rasulullah SAW dan sahabat-sahabatnya. (Isa, Haqaiq, H. 474)

Untuk sampai kepada kedudukan yang tinggi dan keimanan yang sempurna, seseorang perlu mengikut jalan tarekat, iaitu bermujahadah melawan nafsu, mendaki daripada sifat kekurangan kepada sifat yang sempurna dengan mendampingi guru mursyid.

Inilah jambatan yang akan menyampaikan seseorang daripada syariat kepada hakikat.

Berkata Imam sufi, Sheikh Ahmad Zarruq r.a: "Tidak ada tasauf melainkan dengan fikah, kerana tidak akan diketahui hukum-hakam Allah yang zahir melainkan dengan syariat. Tidak ada fikah melainkan dengan tasauf kerana tidak ada suatu amalan melainkan dengan siddiq (benar) dan bertawajjuh (mengadapkan diri) kepada Allah. Tidak ada kedua-duanya (tasauf dengan fikah) melainkan dengan keimanan, kerana tidak sah salah satu daripadanya tanpa iman.

"Jadi semuanya menjadi wajib pada hukum sebagaimana wajibnya jasad bagi roh. Tidak ada kewujudan bagi roh melainkan di dalam jasad sebagaimana tidak adanya kehidupan bagi jasad melainkan dengan roh, maka fahamilah". (Qawaid al-Tasawwuf, H. 4)

Tasauf dan tarekat

Istilah tarekat adalah antara istilah dunia tasauf yang sering cuba dimomokkan oleh sesetengah pihak. Seolah-olah semua tarekat sufi yang ada itu adalah sesat dan menyesatkan.

Ada buku terjemahan di negara kita yang menyenaraikan nama tarekat-tarekat arus perdana tasauf, menyatakan dengan berani bahawa semua tarekat ini mengandungi kesesatan!

Sebenarnya, tidak ada bidang dan ilmu yang tidak disusupi oleh mereka yang menyeleweng daripada arus perdana bidang tersebut. Begitulah tasauf dan tarekat.

Cuma jika kita merujuk kepada para ahli bidang tasauf, kita akan mudah membezakan tarekat yang benar dan tarekat yang palsu dan sesat.

Apakah sebenarnya tarekat? Menurut al-Jurjani r.h dalam kitabnya al-Ta'rifaat: "Tarekat adalah jalan yang khusus bagi ahli salikin (orang yang berjalan) menuju kepada Allah dengan melalui pelbagai rintangan dan peningkatan pelbagai makam". (Al-Jurjani, Ta'rifaat H: 94).

Mufti Mesir, Dr. Ali Jum'ah, dalam fatwanya yang berkaitan menyatakan bahawa tasauf adalah suatu program atau modul pendidikan yang menumpukan kepada penyucian diri manusia daripada segala penyakit hati yang menghijabnya daripada Allah SWT.

Beliau turut mentakrifkan tarekat sebagai madrasah yang menjurus kepada proses penyucian diri dan pembaikan akhlak sedangkan sheikh tarekat ialah individu yang dipertanggungjawabkan memimpin proses tersebut.

Tarekat-tarekat ini berbilang-bilang disebabkan beberapa faktor termasuk tabiat semulajadi manusia yang berbeza-beza. Ini seperti yang dapat kita perhatikan dalam berbezanya jawapan Nabi SAW apabila ditanya tentang amalan soleh yang paling utama.

Baginda SAW memberi jawapan yang sesuai dengan orang yang bertanya. Perbezaan ini juga berdasarkan pengalaman dan ijtihad yang berbeza dalam mentarbiyah diri yang dipunyai oleh para guru tasauf selagi ia tidak terkeluar batasan al-Quran dan sunnah.

Namun, ini tidak bermakna kita boleh merujuk terus kepada dua sumber ini untuk mengenalpasti proses pendidikan tasauf yang benar.

Dr. Ali Jum'ah menegaskan, seperti mana ilmu-ilmu lain memerlukan perantaraan para ulama untuk menggali ilmu tersebut daripada dua sumber utama ini, begitu juga kita perlu merujuk kepada para ulama tasauf untuk menggali ilmu tasauf.

Jika tarekat dalam ilmu tasauf itu difahami dalam konteks ini, maka ia akan kelihatan selari dan serasi dengan kerangka agama Islam.

Maka jadilah ia seperti kata-kata Ibnu 'Abidin r.h di dalam kitabnya yang masyhur, Radd al-Mukhtar: "Tarekat adalah jalan yang khusus bagi Ahli Salikin dengan mengharungi pelbagai rintangan dan melalui peningkatan makam-makam...Hakikat adalah musyahadah (menyaksikan) akan Tuhan dengan mata hati. Dikatakan juga, bahawa ia adalah rahsia maknawi yang tidak terbatas dan bertempat.

"Hakikat, tarekat dan syariat saling melazimi kerana jalan menuju kepada Allah mempunyai zahir dan batinnya. Zahirnya ialah syariat dan tarekat. Manakala batinnya adalah hakikat.

"Hakikat berada di dalam syariat dan tarekat sebagaimana pati susu yang berada di dalam susu. Pati susu tidak akan dapat diminum bersama air susu, sekiranya tidak digaulkan.

"Oleh hal yang demikian, maksud ketiga-tiga perkataan tersebut (syariat, tarekat dan hakikat) adalah mendirikan penghambaan kepada Allah sebagaimana yang dikehendaki daripada seseorang hamba". (Isa, Haqaiq, H. 477-478)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan