Selamat Datang

Usrah Jamadilkubra ialah rangkaian keluarga keturunan SYED JAMALUDDIN AL-AKBAR AL-HUSAINI (Wajo Makasar 1352-1415 M) BIN AHMAD JALALUDDIN SYAH (AHMAD SYAH JALAL) melalui keturunannya SYED ALI NURUDDIN ZAINUL ALAM (Ali Nurul Alam).

Rabu, 27 April 2011

Syafaat Nabi bagi Ibnu Taymiyyah


Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN

JIKA pada minggu lepas kita telah menghujahkan tentang keharusan memohon syafaat daripada Nabi Muhammad SAW di dunia, ketika Baginda SAW masih hidup, kita juga menegaskan bahawa boleh memohon syafaat daripada Nabi Muhammad SAW setelah Baginda SAW wafat. Hal ini bersesuaian dengan prinsip Ahli Sunnah wal Jamaah, bahawa para Nabi AS tetap hidup di alam barzakh.

Nabi Muhammad SAW sudah pasti adalah Nabi yang paling sempurna dan besar mendapat kurniaan tersebut. Baginda SAW mendengar perkataan umatnya, dan kepadanya diperlihatkan perbuatan mereka. Baginda SAW juga memohonkan keampunan kepada Allah bagi dosa-dosa mereka dan memuji Allah (atas amalan baik umatnya).

Selawat dan salam yang diucapkan oleh umatnya juga sampai kepadanya, meskipun mereka berada di penghujung dunia yang paling jauh, sebagaimana yang diisyaratkan dalam hadis-hadis sohih yang diakui oleh sejumlah penghafaz dan ahli hadis. Jika kita memohon syafaat daripada Rasulullah SAW, sudah pasti Rasulullah SAW akan berdoa memohon kepada Allah SWT seperti yang dilakukannya ketika masih hidup. Hamba Allah yang memintanya, akan menerima syafaat itu pada tempat dan waktu yang telah ditentukan setelah diizinkan oleh Allah SWT sebagaimana dapat masuk syurga orang yang diberi khabar gembira dengannya di dunia. Dia mengecapinya pada waktunya selepas Allah memberikan keizinan-Nya masuk syurga. Jadi, perkara ini (masuk syurga bagi mereka yang telah dijanjikan) dan syafaat, adalah sama. Inilah perkara yang dipercayai dan diyakini oleh hati kami.

Ibnu Taimiyyah mengharuskan memohon syafaat daripada Nabi SAW semasa di dunia. Di dalam bukunya, al-Fatawa, Ibnu Taymiyyah memberikan suatu penjelasan yang sangat bagus bagi ayat-ayat yang mengisyaratkan ketiadaan syafaat, ketiadaan manfaatnya dan larangan daripada memohonnya. Sedangkan, ayat-ayat itulah digunakan oleh sebahagian umat Islam untuk melarang daripada memohon syafaat daripada Nabi Muhammad SAW semasa di dunia.

Daripada perkataan Ibnu Taymiyyah tentang makna ayat- ayat tersebut dapat disimpulkan bahawa penggunaan ayat-ayat tersebut sebagai dalil untuk melarang permohonan syafaat di dunia sebagaimana yang mereka yakini itu tidak kena pada tempatnya dan terpesong daripada maksud asalnya.

Ibnu Taymiyyah berkata: "Orang-orang yang mengingkari syafaat berhujah dengan ayat-ayat berikut: Dan peliharalah diri kamu dari (huru-hara) hari Kiamat (yang padanya) seseorang tidak dapat mengganti atau melepaskan orang lain sedikit pun, dan tidak akan diterima daripadanya sebarang tebusan, dan tidak akan memberi manfaat kepadanya sebarang syafaat; dan orang-orang salah itu tidak akan ditolong (daripada azab sengsara). (al-Baqarah: 123)

(Pada saat itu) orang-orang yang zalim tidak akan mendapat seorang sahabat pun yang boleh membelanya, dan tidak akan mendapat pemberi syafaat yang diterima pertolongannya. (al-Mukmin: 18)

Maka tidak akan berguna kepada mereka sebarang syafaat pertolongan (kalaulah ditakdirkan ada) sesiapa yang boleh memberikan syafaat itu. (al-Muddathir: 48)

Ahli Sunnah, bahawa maksud ayat-ayat di atas ialah dua perkara berikut: Pertama, bahawa syafaat itu memang tidak bermanfaat bagi orang-orang yang mensyirikkan Allah, sebagaimana firman Allah dalam menyifatkan mereka: (Setelah melihat orang-orang yang bersalah itu, mereka berkata), "…dan kami sentiasa mendustakan Hari Pembalasan, sehinggalah kami didatangi oleh perkara yang tetap diyakini (mati)." Maka tidak akan berguna kepada mereka sebarang syafaat pertolongan (kalau ditakdirkan ada) sesiapa yang boleh memberikan syafaat itu. (al-Muddathhir:47-48).

Oleh kerana kekafiran mereka, maka ternafi bagi mereka faedah syafaat daripada sesiapapun yang diizinkan memberikan syafaat. Kedua, yang dimaksudkan oleh ayat-ayat tersebut ternafinya syafaat yang ditetapkan oleh pelaku syirik, dan orang-orang seperti mereka; seperti ahli bidaah, baik daripada golongan Ahli Kitab, ataupun kaum Muslimin yang beranggapan bahawa makhluk mempunyai kedudukan di sisi Allah untuk memberi syafaat tanpa izin Allah SWT.

Orang-orang musyrik menjadikan selain Allah sebagai pemberi syafaat seperti malaikat, para nabi, dan orang-orang soleh. Mereka melukis dan membentuk bermacam-macam rupa dan bentuk patung. Setelah itu, mereka meminta syafaat daripadanya, sambil berkata, "Mereka adalah kekasih Allah."Kita katakan: Inilah perkataan Ibnu Taymiyyah, mengikut sebagaimana lafaznya.

Daripada perkataannya ini, menjelaskan dengan sejelas-jelasnya hakikat ayat-ayat ini yang digunakan oleh orang-orang yang mengingkari syafaat, sebagai hujah atau dalil untuk mengingkari adanya permohonan syafaat kepada Nabi Muhammad SAW di dunia, atau pun orang-orang yang berpendapat bahawa ia adalah perbuatan syirik dan sesat.

Selasa, 19 April 2011

Sahabat mohon syafaat Nabi SAW


Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN

SYAFAAT iaitu perbuatan memohon bantuan dan pertolongan yang menjadi isu di sisi sesetengah orang jika dilakukan kepada selain daripada Allah SWT bukan isu yang sengaja diada-adakan.

Perkara ini pernah ditimbulkan oleh seorang pelajar dari negara Arab dalam satu majlis yang dianjurkan.

Pelajar terbabit dengan tegas telah menegur apabila terdengar ada kata-kata berunsur memohon syafaat Nabi SAW.

Mari kita melihat bagaimana sikap para sahabat dalam hal ini. Terdapat hadis yang menegaskan bahawa beberapa orang sahabat telah meminta syafaat daripada Nabi Muhammad.

Baginda tidak pernah mengatakan: "Bahawa meminta syafaat daripadaku adalah syirik. Maka pohonlah terus daripada Allah dan jangan sesekali kamu menyekutukan Tuhan kamu dengan sesuatu."

Sebagai contoh, Anas ibnu Malik r.a pernah berkata: "Wahai Nabi Allah! Syafaatkanlah aku pada hari Kiamat."
Maka Rasulullah bersabda: "Aku akan melakukannya." (riwayat al-Tirmidzi dalam Sunannya, Kitab al-Qiayamah).

Sawaad ibnu Qaarib juga pernah berkata di hadapan nabi SAW: "Aku menyaksikan bahawa tiada Tuhan selain Allah, dan sesungguhnya engkau dipercayai atas segala yang ghaib; Sesungguhnya engkau adalah Rasul yang mempunyai wasilah paling hampir kepada Allah, wahai anak keturunan orang-orang yang mulia dan baik!"

Hingga dia juga mengatakan: "Maka jadilah engkau pemberi syafaat bagiku, pada hari tidak ada yang mempunyai (hak) syafaat, selain engkau yang boleh menyelamatkan Sawad ibn Qarib." (riwayat al-Baihaqi dalam Dalaail, Ibnu 'Abd al-Barr, dan Ibnu Hajar dalam Fathul Bari).

Rasulullah memperakuinya dan tidak mengingkari perbuatannya memohon syafaat daripadanya.

Sahabat lain yang pernah memohon syafaat daripada baginda ialah Mazin ibnu al Ghadhubah setelah dia memeluk Islam. Dia bernasyid: "Kepadamu, wahai Rasulullah! Bergerak kenderaanku merentasi padang pasir dari 'Uman ke 'Araj. Agar engkau dapat mensyafaatkanku, wahai sebaik-baik manusia yang memijak batu-batu kecil. Maka aku diampunkan oleh Tuhanku, lalu aku pun pulang dengan membawa kejayaan." (riwayat Abu Nu'aim dalam Dalaail al-Nubuwwah, ms: 77)

'Ukkasyah ibnu Mihsan juga termasuk sahabat yang pernah memohon syafaat daripada Nabi Muhammad. Ketika baginda menyebut bahawa 70,000 orang akan masuk syurga tanpa hisab. 'Ukkasyah berkata: "Berdoalah kepada Allah supaya aku termasuk di kalangan mereka itu."

Rasulullah SAW terus bersabda: "Engkau termasuk di kalangan mereka."

Kita sedia maklum, bahawa tiada seorang pun yang menerima nikmat syurga, kecuali setelah diberi syafaat atau ditolong oleh Rasulullahmelalui Syafaat Kubra (terbesar), bagi orang yang sedang berada di Padang Mahsyar sebagaimana telah dijelaskan jelas dalam beberapa hadis mutawatir. Perkara ini dikategorikan sebagai memohon syafaat.

Selasa, 12 April 2011

Salah faham terhadap syafaat


Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN

ALHAMDULILLAH, sesudah kita menamatkan perbahasan mengenai isu tawassul, pada minggu ini, dengan memohon taufik dan inayah Ilahi, kita akan usaha memurnikan salah faham terhadap isu-isu agama dengan beralih kepada isu syafaat.

Seperti sebelumnya, pendekatan yang kita ambil adalah dengan merujuk kepada huraian pandangan Al-'Allamah al-Muhaddith Prof. Dr. Sayyid Muhammad bin Sayyid 'Alawi al-Maliki dalam bukunya Mafahim Yajib an Tusohhah (Kefahaman Yang Wajib diPerbetulkan).

Usaha kami sangat sederhana dalam menyumbang kepada tugas yang berat dan besar iaitu mempertahankan agar aliran kefahaman agama Islam di negara ini dapat dikekalkan atas fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ).

Sedangkan pihak-pihak yang mahu menukarkannya kepada aliran-aliran fahaman lain terus berusaha dengan menggunakan pelbagai ruang media arus perdana dan alternatif, menganjurkan seminar kecil dan besar, didokong dengan dana luar dan dalam, demi menghakis keutuhan fahaman Islam di Malaysia yang sangat dicemburui.
Kita hanya mampu berdoa bahawa usaha kita yang tidak setanding dengan cabaran yang ada akan ditampung dan ditimbal dengan rahmat dan inayah ilahi kepada kita semua.

Syafaat bermaksud pertolongan atau bantuan. Dalam konteks perbincangan kita, isu syafaat merujuk kepada perbahasan yang timbul berkenaan seseorang yang memohon pertolongan dan bantuan kepada selain Allah khususnya memohon syafaat daripada Rasulullah SAW.

Sebahagian orang berpendapat bahawa tidak boleh memohon syafaat daripada Nabi Muhammad di dunia. Bahkan, menurut sebahagian orang yang gemar menimbulkan kekeliruan, bahawa memohon syafaat adalah perbuatan syirik dan sesat.


Dalil yang mereka gunakan untuk mempertahankan pendapat mereka yang salah itu adalah firman Allah yang bermaksud: Katakanlah (wahai Muhammad) hanya milik Allahlah semua syafaat. (al-Zumar: 44)

Kita menegaskan bahawa kaedah penggunaan dalil mereka ini adalah batil. Ternyata menunjukkan kepada kefahaman mereka yang rosak. Kesalahan mereka ini boleh dibuktikan daripada dua aspek.
 

Pertama, hakikatnya, tidak terdapat di sana mana-mana nas; sama ada dari al-Quran, mahupun sunnah yang melarang memohon syafaat daripada Nabi Muhammad di dunia.

Kedua, ayat itu sama sekali tidak menunjukkan kepada larangan memohon syafaat daripada Nabi Muhammad di dunia (dan di akhirat). Sebaliknya, seperti ayat-ayat lain yang seumpamanya, ayat ini diturunkan bagi menjelaskan pengkhususan Allah dengan apa yang dimiliki-Nya dan tidak dimiliki oleh orang lain (makhluk).

Maknanya, Allah adalah Pengurus urusan syafaat yang hanya khusus bagi-Nya. Namun, ini tidak menafikan bahawa Dia juga berhak memberikannya kepada sesiapa sahaja yang dikehendaki-Nya, apabila Dia menghendakinya.

Dia adalah pemilik kerajaan, yang berhak memberikan kerajaan itu kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya dan menarik kekuasaan atau kerajaan itu daripada sesiapa sahaja yang dikehendaki-Nya.

Selasa, 5 April 2011

Tawassul dan kesimpulan


Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN

SETELAH membahaskan isu tawassul dalam 14 siri yang lepas, tiba masa untuk menyimpulkan perbahasan. Apa yang boleh disimpulkan ialah tidak syak lagi Nabi SAW mempunyai kedudukan yang tinggi, martabat yang mulia dan pangkat yang besar di sisi Allah SWT.

Maka syariat dan logik akal manakah yang menegah bertawassul dengan baginda. Terutamanya apabila terdapat dalil-dalil yang telah menetapkannya di dunia dan akhirat.

Ditegaskan, dalam bertawassul, kita tidak sekali-kali memohon kepada selain Allah dan tidak berdoa melainkan hanya kepada-Nya.

Kita hanya berdoa kepada-Nya dengan atau melalui apa yang dikasihi-Nya. Kadang kala kita memohon kepada-Nya dengan amalan-amalan soleh kita kerana Dia menyukai dan meredainya. Kadang kala kita memohon kepada-Nya dengan perantaraan makhluk yang dikasihi-Nya, sebagaimana disebut di dalam hadis Nabi Adam a.s yang lepas dan hadis Fatimah binti Asad yang dan hadis Uthman ibn Hunaif.

Kadang kala kita memohon kepada-Nya dengan perantaraan nama-nama Allah yang indah sebagaimana doa Nabi SAW: "Aku memohon kepada-Mu dengan sesungguhnya Engkau adalah Allah." Atau, kadang kala kita memohon kepada-Nya dengan sifat atau perbuatan-Nya, sebagaimana sabda nabi SAW di dalam hadis yang lain: "Aku berlindung dengan keredaan-Mu daripada kemurkaan-Mu dan aku berlindung dengan kemaafan-Mu daripada balasan azab-Mu."

Justeru, tawassul itu tidak terbatas pada ruang yang sempit sebagaimana sangkaan golongan yang menolaknya. Rahsianya, adalah sah kita bertawassul dengan semua yang dikasihi Allah.

Begitu jugalah halnya dengan sesiapa sahaja yang dikasihi oleh Allah sama ada kalangan nabi atau wali. Ini adalah jelas di sisi setiap insan yang mempunyai fitrah yang sejahtera. Ia tidak ditegah atau ditolak oleh akal dan naqal, bahkan akal dan naqal saling menyokong atas keharusannya.

Jelasnya, yang diminta dalam bertawassul ialah Allah yang Esa tanpa ada yang menyekutui-Nya. Bukan kepada nabi, wali, kepada yang hidup atau yang mati.

Firman Allah SWT: Katakanlah wahai Muhammad, "Semuanya itu (kebaikan dan bencana) adalah (berpunca) dari Allah". Maka apakah yang menyebabkan kaum itu hampir-hampir tidak memahami perkataan (nasihat dan pengajaran)? (an-Nisaa': 78)

Jika diterima bahawa harus bertawassul dengan amalan, sudah tentu bertawassul dengan Nabi lebih utama. Sebabnya, baginda adalah paling mulia antara sekelian makhluk dan segala amalan berpunca daripada amalan baginda.

Allah juga lebih besar kasih-Nya terhadap baginda daripada segala amalan dan lain-lainnya. Justeru, tidak ada sebarang penghalang daripada bertawassul dengan Nabi.

Tidak lebih daripada itu, bahawa seseorang itu bertawassul kerana berkeyakinan nabi mempunyai kedudukan di sisi Allah dan orang yang bertawassul tidak bertujuan selain itu.

Sesiapa yang mengingkari atau menafikan kadar kedudukan Nabi di sisi Allah, maka dia adalah kafir sebagaimana yang telah kita katakan.

Tidak diragui lagi, bahawa orang yang bertawassul dengan perantaraan orang soleh, bertawassul dengannya hanya kerana mereka adalah orang yang melakukan amalan soleh.

Maka ia kembali kepada asalnya, iaitu amalan soleh yang sememangnya disepakati keharusan bertawassul dengannya, sebagaimana yang telah kita katakan pada awal perbicaraan.

Semua hadis dan athar yang telah disebutkan, menetapkan dan mendukung keharusan bertawassul. Sekiranya dikatakan, ia hanya khusus semasa hayat baginda, maka jawapannya: "Pengkhususan yang dikatakan ini tidak langsung mempunyai dalil yang menunjukkan ke atasnya. Sesungguhnya roh itu adalah kekal dan mempunyai perasaan, pengetahuan dan pemahaman."

Mazhab Ahli Sunnah wal Jamaah berpegang bahawa mayat boleh mendengar, merasa dengan pancaindera dan merasa dengan perasaan. Mayat juga boleh mendapat manfaat dengan suatu kebaikan, boleh bergembira, merasa sakit dengan suatu keburukan dan berdukacita. Keadaan ini dinisbahkan kepada manusia kebanyakan secara umum.

Atas dasar ini, nabi pernah menyeru penghuni (perkuburan) al-Qalib yang terdiri daripada kafir Quraisy dalam peperangan Badar, "Wahai Utbah! Wahai Syaibah! Wahai Rabi'ah!" Maka Rasulullah ditanya: "Kenapa tuan memanggil mereka? Sedangkan mereka telah menjadi bangkai? Maka sabda baginda: "Kalian tidaklah lebih mendengar daripada mereka, cumanya mereka tidak mampu menjawab."

Jika begini keadaannya bagi manusia kebanyakan, maka bagaimana pula keadaannya dengan seafdal-afdal dan seagung-agung manusia?

Hanya orang yang telah mati (hatinya) itu tidak percaya bahawa Nabi tidak mampu mendengar, melihat dan mengetahui keadaan kita. Bahkan, Nabi juga tidak mampu berdoa kepada Allah untuk kita.

Apakah jenayah yang lebih besar daripada kesesatan ini? Apakah kejahilan yang lebih teruk daripada kedunguan ini? Mereka benar-benar kurang ajar dan memperkecil-kecilkan kedudukan Nabi.

Berkata Ibnu al Qayyim dalam kitab al-Ruh: Ahli Salaf berijmak dalam perkara ini, bahkan telah mutawatir athar-athar berkaitan dengannya. Begitu juga Ibnu Taimiyyah telah dipersoalkan tentang perkara ini. Maka beliau mengeluarkan fatwa yang menyokong perkara tersebut. (Al-Fatawa, Jilid 24, ms. 331, 362)

Jika demikian halnya bagi kebanyakan manusia, apakah fikiran kamu tentang orang Mukmin umumnya, hamba-hamba Allah yang soleh khasnya dan juga penghulu kita Muhammad SAW?