Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN
ALHAMDULILLAH, sesudah kita menamatkan perbahasan mengenai isu tawassul, pada minggu ini, dengan memohon taufik dan inayah Ilahi, kita akan usaha memurnikan salah faham terhadap isu-isu agama dengan beralih kepada isu syafaat.
Seperti sebelumnya, pendekatan yang kita ambil adalah dengan merujuk kepada huraian pandangan Al-'Allamah al-Muhaddith Prof. Dr. Sayyid Muhammad bin Sayyid 'Alawi al-Maliki dalam bukunya Mafahim Yajib an Tusohhah (Kefahaman Yang Wajib diPerbetulkan).
Usaha kami sangat sederhana dalam menyumbang kepada tugas yang berat dan besar iaitu mempertahankan agar aliran kefahaman agama Islam di negara ini dapat dikekalkan atas fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ).
Sedangkan pihak-pihak yang mahu menukarkannya kepada aliran-aliran fahaman lain terus berusaha dengan menggunakan pelbagai ruang media arus perdana dan alternatif, menganjurkan seminar kecil dan besar, didokong dengan dana luar dan dalam, demi menghakis keutuhan fahaman Islam di Malaysia yang sangat dicemburui.
Kita hanya mampu berdoa bahawa usaha kita yang tidak setanding dengan cabaran yang ada akan ditampung dan ditimbal dengan rahmat dan inayah ilahi kepada kita semua.
Syafaat bermaksud pertolongan atau bantuan. Dalam konteks perbincangan kita, isu syafaat merujuk kepada perbahasan yang timbul berkenaan seseorang yang memohon pertolongan dan bantuan kepada selain Allah khususnya memohon syafaat daripada Rasulullah SAW.
Sebahagian orang berpendapat bahawa tidak boleh memohon syafaat daripada Nabi Muhammad di dunia. Bahkan, menurut sebahagian orang yang gemar menimbulkan kekeliruan, bahawa memohon syafaat adalah perbuatan syirik dan sesat.
Dalil yang mereka gunakan untuk mempertahankan pendapat mereka yang salah itu adalah firman Allah yang bermaksud: Katakanlah (wahai Muhammad) hanya milik Allahlah semua syafaat. (al-Zumar: 44)
Kita menegaskan bahawa kaedah penggunaan dalil mereka ini adalah batil. Ternyata menunjukkan kepada kefahaman mereka yang rosak. Kesalahan mereka ini boleh dibuktikan daripada dua aspek.
Pertama, hakikatnya, tidak terdapat di sana mana-mana nas; sama ada dari al-Quran, mahupun sunnah yang melarang memohon syafaat daripada Nabi Muhammad di dunia.
Kedua, ayat itu sama sekali tidak menunjukkan kepada larangan memohon syafaat daripada Nabi Muhammad di dunia (dan di akhirat). Sebaliknya, seperti ayat-ayat lain yang seumpamanya, ayat ini diturunkan bagi menjelaskan pengkhususan Allah dengan apa yang dimiliki-Nya dan tidak dimiliki oleh orang lain (makhluk).
Maknanya, Allah adalah Pengurus urusan syafaat yang hanya khusus bagi-Nya. Namun, ini tidak menafikan bahawa Dia juga berhak memberikannya kepada sesiapa sahaja yang dikehendaki-Nya, apabila Dia menghendakinya.
Dia adalah pemilik kerajaan, yang berhak memberikan kerajaan itu kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya dan menarik kekuasaan atau kerajaan itu daripada sesiapa sahaja yang dikehendaki-Nya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan