Selamat Datang

Usrah Jamadilkubra ialah rangkaian keluarga keturunan SYED JAMALUDDIN AL-AKBAR AL-HUSAINI (Wajo Makasar 1352-1415 M) BIN AHMAD JALALUDDIN SYAH (AHMAD SYAH JALAL) melalui keturunannya SYED ALI NURUDDIN ZAINUL ALAM (Ali Nurul Alam).

Selasa, 19 April 2011

Sahabat mohon syafaat Nabi SAW


Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN

SYAFAAT iaitu perbuatan memohon bantuan dan pertolongan yang menjadi isu di sisi sesetengah orang jika dilakukan kepada selain daripada Allah SWT bukan isu yang sengaja diada-adakan.

Perkara ini pernah ditimbulkan oleh seorang pelajar dari negara Arab dalam satu majlis yang dianjurkan.

Pelajar terbabit dengan tegas telah menegur apabila terdengar ada kata-kata berunsur memohon syafaat Nabi SAW.

Mari kita melihat bagaimana sikap para sahabat dalam hal ini. Terdapat hadis yang menegaskan bahawa beberapa orang sahabat telah meminta syafaat daripada Nabi Muhammad.

Baginda tidak pernah mengatakan: "Bahawa meminta syafaat daripadaku adalah syirik. Maka pohonlah terus daripada Allah dan jangan sesekali kamu menyekutukan Tuhan kamu dengan sesuatu."

Sebagai contoh, Anas ibnu Malik r.a pernah berkata: "Wahai Nabi Allah! Syafaatkanlah aku pada hari Kiamat."
Maka Rasulullah bersabda: "Aku akan melakukannya." (riwayat al-Tirmidzi dalam Sunannya, Kitab al-Qiayamah).

Sawaad ibnu Qaarib juga pernah berkata di hadapan nabi SAW: "Aku menyaksikan bahawa tiada Tuhan selain Allah, dan sesungguhnya engkau dipercayai atas segala yang ghaib; Sesungguhnya engkau adalah Rasul yang mempunyai wasilah paling hampir kepada Allah, wahai anak keturunan orang-orang yang mulia dan baik!"

Hingga dia juga mengatakan: "Maka jadilah engkau pemberi syafaat bagiku, pada hari tidak ada yang mempunyai (hak) syafaat, selain engkau yang boleh menyelamatkan Sawad ibn Qarib." (riwayat al-Baihaqi dalam Dalaail, Ibnu 'Abd al-Barr, dan Ibnu Hajar dalam Fathul Bari).

Rasulullah memperakuinya dan tidak mengingkari perbuatannya memohon syafaat daripadanya.

Sahabat lain yang pernah memohon syafaat daripada baginda ialah Mazin ibnu al Ghadhubah setelah dia memeluk Islam. Dia bernasyid: "Kepadamu, wahai Rasulullah! Bergerak kenderaanku merentasi padang pasir dari 'Uman ke 'Araj. Agar engkau dapat mensyafaatkanku, wahai sebaik-baik manusia yang memijak batu-batu kecil. Maka aku diampunkan oleh Tuhanku, lalu aku pun pulang dengan membawa kejayaan." (riwayat Abu Nu'aim dalam Dalaail al-Nubuwwah, ms: 77)

'Ukkasyah ibnu Mihsan juga termasuk sahabat yang pernah memohon syafaat daripada Nabi Muhammad. Ketika baginda menyebut bahawa 70,000 orang akan masuk syurga tanpa hisab. 'Ukkasyah berkata: "Berdoalah kepada Allah supaya aku termasuk di kalangan mereka itu."

Rasulullah SAW terus bersabda: "Engkau termasuk di kalangan mereka."

Kita sedia maklum, bahawa tiada seorang pun yang menerima nikmat syurga, kecuali setelah diberi syafaat atau ditolong oleh Rasulullahmelalui Syafaat Kubra (terbesar), bagi orang yang sedang berada di Padang Mahsyar sebagaimana telah dijelaskan jelas dalam beberapa hadis mutawatir. Perkara ini dikategorikan sebagai memohon syafaat.

2 ulasan:

  1. Ermmm tapi itu semua adalah ketika Rasulullah masih hidup. Bagaimana pula jika memohon syafaat langsung dari Rasulullah ketika baginda sudah wafat sekarang ni? Tidakkah ini satu bentuk syirik?

    BalasPadam
  2. IZZAT, Syirik lah Saidina Umar radhiAllahu 'anhu kalau gittu ye. Jangang laju sanggat...

    BalasPadam